Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Syukur tak ditimpa pokok

Posted: 30 Apr 2013 11:22 AM PDT

"Saya tidak sangka pokok besar yang sering menjadi bualan penduduk itu tumbang dan menghempap motosikal saya," kata mangsa, Nawawi Mohamad Zamri, 43, yang terselamat dalam kejadian ribut di Jalan Kampung Simee, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, hujan lebat disertai ribut menyebabkan pokok sebesar tiga pemeluk itu tumbang ke arah jalan raya sebelum turut menimpa tembok dan motosikal milik mangsa.


Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di Klinik Kesihatan Kampung Simee untuk mengambil ubat sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di luar bangunan itu beberapa minit kemudian.

"Saya terkejut apabila melihat motosikal saya dihempap pokok besar itu menyebabkannya rosak teruk.


"Saya agak terkilan kerana motosikal itu menjadi punca rezeki saya selama ini untuk bekerja menyara keluarga," katanya.


Bagaimanapun, Nawawi yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan dan mempunyai tiga cahaya mata bersyukur kerana tidak dihempap pokok berkenaan.

"Saya berharap pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) segera memotong pokok lain yang didapati sudah agak berusia dan boleh membahayakan keselamatan orang awam," katanya. Menurutnya, dia akan cuba mendapatkan ganti rugi dari pihak MBI berikutan pokok berkenaan adalah di bawah kawal selia pihak MBI.


"Saya dapati motosikal saya rosak teruk pada bahagian ekzos yang bengkok, rim tayar pecah termasuk enjin. Kos baik pulih motosikal ini dianggarkan menelan belanja lebih RM1,000.

''Saya turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam supaya perkara itu boleh dirujuk oleh pihak MBI bagi membolehkan saya mendapatkan ganti rugi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Anggota perintis bomba bantuan

Posted: 30 Apr 2013 10:11 AM PDT

Semenyih: Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih menjadi perintis kepada pencapaian baru dalam perkhidmatan apabila mempunyai anggota dalam kalangan orang awam yang dilantik sebagai bomba bantuan.

Penolong Penguasa merangkap Ketua Balai Bomba Semenyih Khairul Anuar Yaacob berkata, pembabitan orang awam sebagai kumpulan sulung anggota bomba bantuan ini memberi ruang kepada mereka yang berminat menggalas tugas anggota keselamatan.


"Perkembangan ini suatu yang sangat bagus apabila ia mewujudkan hubungan lebih rapat antara anggota bomba bersama masyarakat. Kerjasama ini juga membantu dalam menjaga keselamatan masyarakat bersama," katanya pada majlis Pelancaran Balai Bomba Semenyih di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan pertama bomba bantuan ini masih dalam proses latihan sejak pengambilan pertama dijalankan pada awal tahun ini.


"Buat pertama kali, balai bomba di sini mengamalkan konsep komuniti iaitu pembabitan masyarakat sebagai anggota bomba bantuan. Dijangka 25 anggota baru ini menyertai bersama 25 anggota bomba yang bertugas di sini," katanya.


Khairul berkata, kumpulan pertama anggota bomba bantuan ini dijangka bertugas dalam enam bulan akan datang. Mereka turut dibayar elaun RM6 sejam.

Katanya, menerusi pengambilan kumpulan pertama ini diharapkan dapat memberi galakan pada orang ramai yang berminat untuk turut serta sebagai anggota bomba bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

132 staf Media Prima tunai umrah

Posted: 30 Apr 2013 10:10 AM PDT

Sepang: Seramai 132 warga kerja Kumpulan Media Prima bersama ahli keluarga masing-masing berlepas ke Makkah, semalam untuk mengerjakan umrah dan ziarah di Tanah Suci selama 12 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Mohammad Azlan Abdullah berkata, jumlah peserta yang mengikuti umrah itu membabitkan 63 warga kerja NSTP manakala 69 lagi daripada Media Prima. Menurutnya, walaupun program umrah ini sudah dilaksanakan tiga kali oleh NSTP dan 10 kali oleh Media Prima, tetapi ini kali pertama ia dilaksanakan bersama. "Kebiasaannya, program ini dibuat secara rombongan berasingan, namun kali ini kami melaksanakan bersama, sekali gus sebagai platform untuk merapatkan hubungan silaturrahim. "Selain itu, penganjuran program umrah dan ziarah ini juga sebagai satu daripada inisiatif bagi mencapai objektif integrasi di bawah Media Prima," katanya ketika ditemui di KLIA selepas menghantar jemaah umrah terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Jabatan Hartanah, Pentadbiran dan Operasi Cawangan (PABO) dan Sumber Manusia NSTP Abdul Wahab Mohamad. Semua jemaah berlepas ke Jeddah dengan Penerbangan Malaysia (MAS) dan rombongan berkenaan dijangka pulang ke tanah air pada 11 Mei depan. Mohammad Azlan berkata, program berkenaan memberi peluang kepada warga kerja Kumpulan Media Prima menunaikan umrah dan ziarah terutama yang belum pernah ke Tanah Suci. "Kami lihat sambutan daripada warga kerja yang mahu mengikuti program ini sangat menggalakkan dan kami akan meneruskannya bagi memberi peluang kepada mereka yang mahu menunaikan umrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Kebas RM10,000

Posted: 30 Apr 2013 10:10 AM PDT

Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Luar Kajang (SILK) kerugian lebih RM10,000 selepas pejabatnya di stesen minyak itu dipecah masuk seorang lelaki, pagi semalam.

Kejadian itu disedari jam 5 pagi selepas seorang pekerja menyedari kehadiran seorang lelaki menceroboh pejabat majikannya itu lalu menekan butang penggera keselamatan.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pekerja lelaki berusia 40 tahun terbabit sebelum itu bertugas di kaunter stesen sebelum terdengar bunyi bising seperti barang jatuh dari dalam pejabat yang terletak di bahagian belakang.

"Lelaki itu pergi memeriksa pejabat berkenaan dan melihat kelibat seorang lelaki sedang menggeledah. Pekerja itu bagaimanapun tidak menyergah suspek kerana bimbang keselamatannya.


"Pekerja itu kembali ke kaunter untuk membunyikan penggera keselamatan dan menelefon polis. Suspek yang panik sebaik alat penggera itu dibunyikan melarikan diri melalui tingkap," katanya.


Ab Rashid berkata, suspek menaiki sebuah kereta Proton Waja dipercayai dipandu rakan yang menunggunya dalam kereta berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati wang RM10,000 hilang dipercayai dilarikan suspek. Malah, siasatan polis di premis itu mendapati suspek masuk melalui tingkap belakang yang dipecahkan.


"Pekerja terbabit memberitahu menyedari kehadiran sebuah Proton Waja sebelum itu dan pemandunya keluar namun menyangka lelaki terbabit ke tandas yang terletak di bahagian belakang," katanya.

Katanya, polis mengesyaki suspek mahir selok-belok premis itu dan tempat wang tunai disimpan berdasarkan cara suspek memecah masuk. Menurutnya, pihaknya sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.


Dalam perkembangan lain, sebuah banglo pengurus kewangan dipecah masuk ketika penghuninya tidur, awal pagi kelmarin.


Ab Rashid berkata, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 45 tahun terbabit turun ke tingkat bawah untuk minum, namun terkejut melihat rumahnya berselerak.


Berikutan itu, mangsa mengalami kerugian hampir RM3,000 selepas dua komputer riba dan empat telefon bimbit dilarikan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Nyaris terpijak bom lama

Posted: 30 Apr 2013 10:09 AM PDT

Kulim: "Saya bersyukur kerana tidak terpijak bom tangan lama itu sedangkan sebelum ini, saya selalu berulang-alik di kawasan berkenaan ketika mengangkat tandan sawit."

Begitu kata Noor Amirul Saad, 22, yang menemui sebutir bom tangan zaman komunis sebaik melihat sesuatu mencurigakan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Batu 12 Terap, dekat sini, jam 6.30 petang kelmarin.


Noor Amirul berkata, dia hanya menyedari kehadiran bom tangan itu apabila memeriksa tayar motosikal dinaiki bapanya, Saad Yusof, 60, yang pancit.

Menurutnya, bapanya ke kebun kepala sawit itu lebih awal, manakala dia datang dengan menaiki kereta tidak lama kemudian. "Ketika itu, saya tidak nampak bom lama berkenaan dan melakukan kerja memunggah tandan sawit di tepi jalan, dan bernasib baik kerana tidak terpijak bom itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

No comments:

Post a Comment