Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kantung zakar gergasi dibedah

Posted: 30 Apr 2013 11:23 AM PDT

Berat badan seorang lelaki berkurangan sebanyak 59 kilogram selepas menjalani pembedahan membuang kantung zakar yang besar.

Wesley Warren Jr menarik perhatian antarabangsa tahun lalu kerana keadaan yang menimpanya yang menyebabkan kehidupan hariannya menjadi satu mimpi ngeri.


Bagaimanapun, dia kini menjalani pemulihan selepas sepasukan pakar bedah di California menghabiskan masa hampir 13 jam untuk membedahnya secara percuma.

"Dia kini seolah-olah lelaki baru," kata Dr Joel Gelman, Ketua Pembedahan Pembentukan Semula Urologi di Universiti California, Irvine.


Pada 8 April lalu, Gelman dan tiga pakar bedah lain membedah kantung zakar Warren untuk membuang ketumbuhan yang terdiri daripada kulit dan otot, menurut Review Journal Las Vegas.


Masalah yang menimpa Warren itu yang dikenali sebagai scrotal lymphedema membesar sehingga seberat 59 kilogram dalam masa kurang dua tahun, Warren yang menghadapi masalah darah tinggi dan semput, sebelum ini menyuarakan kebimbangan akan mati ketika dibedah.

Warren dimasukkan ke hospital selama dua minggu dengan satu minggu di dalam unit rawatan rapi.


Pusat perubatan itu memberitahu jurnal berkenaan, pesakit itu kini mampu bangun, berjalan dan memulakan terapi fizikal, seminggu selepas pembedahan itu.

Warren kini menjalani pemulihan di sebuah rumah berhampiran hospital berkenaan. Tetapi tidak dapat dipastikan sehingga bila dia perlu berada di California.


"Banyak pemeriksaan susulan perlu dilakukan," kata Jelman.


Dengan kantung sebesar sebiji tembikai di celah kakinya, dia pernah muncul dalam rancangan Howard Stern dan Comedy Central sekali gus menjadikannya selebriti tempatan di bandar kediamannya.


Firecracker Films, syarikat di sebalik rancangan 'Big Fat Gypsy Weddings' menandatangani konrak untuk menghasilkan satu dokumentari mengenainya, termasuk proses pembedahan itu. Dan dia juga merakamkan satu babak untuk TLC.


Dia terpaksa memakai pakaian lengkap dengan penutup kepala pada kakinya apabila berjalan di tempat awam bagi melindungi kantung zakarnya yang besar.


Kemaluannya terletak jauh ke dalam kantung itu sehingga air kencing membasahi tubuhnya apabila setiap kali membuang air kecil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Kereta mewah rempuh dinding rumah nenek

Posted: 30 Apr 2013 10:20 AM PDT

Swansea: Seorang nenek nyaris maut selepas seorang pemandu tertidur menyebabkan kereta yang dipandunya merempuh ruang tamu banglo wanita berkenaan. Kejadian itu menyebabkan sebahagian ruang berkenaan musnah.

Marianne Heath, 72, hanya berada beberapa meter di bilik tidurnya apabila kereta Audi itu terbabas dan melanggar pagar kayu kediamannya lalu merempuh dinding ruang tamu rumahnya.


Pemandu berusia 60 tahun itu kini dirawat di sebuah hospital selepas kejadian di Gowerton, Swansea itu sementara kereta yang baru dibelinya musnah sama sekali.

Kecederaan yang dialami pemandi terbabit dipercayai tidak mengancam nyawa.


Dia dipercayai tertidur ketika memandu menuruni bukit menyebabkan kereta Audi A3 itu terbabas.


Marianne berkata dia mendengar bunyi kuat dari ruang tamunya.

"Saya membuat persiapan untuk menyambut ketibaan cucu saya. Sudah pasti kami akan berkumpul di ruang tamu. "Ia berlaku kira-kira jam 7 pagi. Saya baru bangun dan duduk di atas katil apabila saya mendengar bunyi dentuman yang kuat.


"Saya cuba ke ruang tamu tetapi pintu bilik saya tidak boleh dibuka. Saya keluar melalui pintu belakang dan melihat kereta itu," kata Marianne.

Menurutnya, dia sungguh terkejut dengan kejadian itu.


"Kerosakan yang berlaku begitu teruk. Saya cuba mendail 999 tetapi telefon tidak boleh berfungsi, kesan daripada kemalangan itu," kata nenek itu.


Dia berkata, seorang jiran menelefon nombor kecemasan itu dan tidak lama kemudian, beberapa ambulans, bomba dan polis tiba.


"Saya tidak pernah melihat begitu banyak kenderaan kecemasan seumur hidup saya," katanya.


Ibu tiga anak itu kemudian melihat pemandu yang terperangkap dalam kenderaan berkenaan.


"Dia menggerakkan tangannya apabila saya tiba di kenderaan itu. Saya memberitahunya supaya jangan bergerak. "Pasukan penyelamat mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkannya," kata Marianne ketika ditemui. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Rundingan tidak gagal

Posted: 30 Apr 2013 10:18 AM PDT

Ketua keselamatan Kebangsaan Thailand Paradorn Pattanathabutr semalam berkata, rundingan antara pemimpin pemisah dan kerajaan yang bertujuan mengakhiri pergolakan di selatan negara itu tidak gagal walaupun penolakan tuntutan pemisah untuk mempunyai pentadbiran sendiri.

Keganasan berterusan di tiga wilayah didominasi penduduk Islam di Pattani, Yala dan Narathiwat yang menjadi sebahagian kesultanan Melayu Islam hingga diambil alih oleh pentadbiran Buddha Thailand pada 1909.


"Kami tidak gagal. Kami mendengar tuntutan mereka, tetapi tidak adakan sebarang perjanjian," katanya yang juga Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thai merujuk kepada rundingan di Malaysia kelmarin. Pada Februari lalu Thailand bersetuju mengadakan rundingan damai rasmi dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN), satu daripada kumpulan pemisah tertua yang beroperasi di selatan negara itu.

BRN memuat turun tuntutan mereka di YouTube Ahad lalu menyenaraikan "mempunyai kerajaan sendiri secara adil" sebagai satu daripada objektifnya di negara itu. "Tuntutan awal mereka terlalu tinggi dan bermakna keazaman diri, autonomi, berkongsi kuasa atau desentralisasi.


"Tetapi selanjutnya BRN mungkin sanggup untuk kurangkan tuntutan mereka," kata Srisomphob Kitphiromsri, ahli sains politik dengan Deep South Watch kumpulan pemikir yang menjejaki keganasan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

1,231 calon majlis kerajaan tempatan Aceh jalani ujian baca al-Quran

Posted: 30 Apr 2013 10:17 AM PDT

Aceh: Seramai 1,231 calon majlis kerajaan tempatan akan menjalani ujian membaca al-Quran dianjurkan Jawatankuasa Pemantauan Pilihan Raya Bebas Aceh (KIP) sebagai sebahagian syarat untuk setiap individu bertanding dalam pilihan raya tahun depan.

"Sebagai wilayah yang bersedia untuk melaksanakan undang-undang Islam, Aceh mensyaratkan setiap calon majlis daerah dan perbandaran menjalani ujian kemahiran membaca al-Quran," kata Ketua unit Ujian Membaca al-Quran KIP, Akmal Abzal.


Akmal berkata, ujian itu diwajibkan untuk bakal anggota perbandaran dan regen di wilayah itu, tetapi tidak diwajibkan bagi calon Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

"Ujian membaca al-Quran itu disyaratkan undang-undang kecil wilayah (Qanun) No.3/2008 kepada calon daerah, datuk bandar dalam pilihan raya umum dari parti politik tempatan," katanya.


KIP Aceh menetapkan tiga standard ujian al-Quran dan Dekri No.2/2008 terhadap panduan asas teknikal membaca al-Quran untuk calon berdasarkan pembacaan Quran yang betul.


Calon perlu mencapai markah maksimum 50 atau tidak layak bertanding.

Aceh memerlukan calon menjalani ujian membaca Quran. Syarat itu turut dilaksanakan terhadap calon gabenor dan ketua agensi. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Budak 4 tahun mangsa rogol meninggal

Posted: 30 Apr 2013 09:25 AM PDT

Mumbai: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di hospital hampir dua minggu selepas dia diperkosa dan ditemui tidak sedarkan diri di ladang, kata kakitangan hospital semalam.

Kanak-kanak itu dibawa dengan ambulans udara dari negeri Madhya Pradesh ke Hospital Care di bandar raya Nagpur pada 20 April lalu, di mana dia meninggal dunia malam kelmarin.


"Dia meninggal selepas degupan jantungnya terhenti kira-kira jam 7.45 malam. Kami sudah melakukan semua usaha...tetapi keadaannya semakin buruk dan tekanan darahnya menurun. Dia tidak memberi tindak balas terhadap ubat-ubatan diberikan," kata jurucakap hospital itu, PA Sriram kepada media.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu bapanya pada 18 April lalu, sehari selepas seorang lelaki berusia 35 tahun didakwa merogolnya di bandar Ghansour dan membuangnya di ladang, lapor akhbar Press Trust of India. Pada awalnya, dia dibawa ke hospital tempatan sebelum dipindahkan ke Nagpur di negeri Maharashtra dua hari kemudian.


Polis telah menahan seorang individu yang didakwa terbabit dalam kes itu di utara negeri Bihar. Kes itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri serangan seks berprofil tinggi yang mencetuskan kemarahan di India ekoran layanan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan. Bantahan pertama kali dilakukan Disember lalu ekoran insiden kejam rogol berkumpulan terhadap pelajar berusia 23 tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Penyeludup buah pinggang dijel

Posted: 30 Apr 2013 09:24 AM PDT

Sebuah mahkamah di Kosovo semalam mendapati dua rakyatnya bersalah menyeludup organ manusia dan terbabit dalam jenayah terancang dalam perbicaraan utama terhadap tujuh orang.

Mereka disyaki menjalankan rangkaian antarabangsa penyeludupan organ yang mengambil buah pinggang daripada penderma miskin yang diperdaya dengan janji kewangan.


Sebuah panel terdiri daripada dua hakim Kesatuan Eropah dan seorang hakim tempatan menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara terhadap pakar urologi Lutfi Dervishi dan anak lelakinya, Arban Dervishi yang dipenjarakan tujuh tahun dan tiga bulan.

Kedua-duanya juga dikenakan denda, manakala Lutfi dilarang daripada mempraktikkan urologi selama dua tahun. Defendan ketiga, Sokol Hajdini dipenjarakan tiga tahun kerana menyebabkan kecederaan pada tubuh. Dua lagi menerima hukuman yang digantung, manakala dua yang lain dibebaskan. Defendan boleh membuat rayuan terhadap hukuman dan mereka tidak ditahan. Pemindahan organ dilarang di klinik swasta di Kosovo. Ia juga jarang dilakukan di pusat kesihatan awam kerana keadaannya yang miskin.


Perbicaraan kes itu bermula pada Disember 2011 dan membabitkan lebih 100 saksi. Semua penderma dan penerima adalah rakyat asing.


Tujuh penderma yang memberi keterangan berasal dari Israel, Russia, Ukraine, Kazakhstan, Belarus dan Turki. Mereka menerangkan bagaimana mereka diterbangkan ke Kosovo dari Istanbul dan kemudian segera dibawa menjalani pembedahan di pusat perubatan bernama 'Medicus' di pinggir ibu negara Kosovo, Prestina.

Mangsa dijanjikan bayaran AS$10,000 (RM30,425) hingga $12,000 (RM36,510) untuk buah pinggang mereka, tetapi kebanyakannya berkata, mereka tidak dibayar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Hizbullah didakwa sudah peroleh senjata kimia Syria

Posted: 30 Apr 2013 09:24 AM PDT

Baitulmaqdis: Seorang bekas Menteri Pertahanan Israel mendakwa senjata kimia Syria sudah diperoleh oleh kumpulan Hizbullah di Lubnan, Ia dakwaan pertama seumpamanya oleh seorang ahli politik kanan Israel. Dia bagaimanapun tidak menyokong dakwaan itu dengan bukti.

Binyamin Ben-Eliezer, bekas jeneral yang kini menjadi anggota Parlimen mewakili Parti Buruh memberitahu Associated Press: "Proses pemindahan senjata kepada Hizbullah sudah bermula." Dalam kenyataannya kepada Radio Israel pula, Binyamin berkata, dia yakin Presiden Syria, Bashar al-Assad sudah mula menggunakan senjata kimia dan 'sedikit demi sedikit senjata itu sudah tiba ke tangan Hizbullah.' Kenyataan itu tidak mewakili pendapat rasmi Israel dan pegawai pertahanan rejim berkenaan memilih untuk menjauhkan diri daripada dakwaan berkenaan.


Mereka berkata, meskipun bimbang mengenai kemungkinan senjata itu diperoleh Hizbullah, mereka sehingga ini tidak melihat bukti ia sudah berlaku.

Israel berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan senjata kimia Syria jatuh ke tangan kumpulan pejuang anti-Israel seperti Hizbullah, sekutu Bashar, atau ke tangan kumpulan yang ada kaitan dengan al-Qaeda yang turut berjuang untuk menggulingkan pemimpin Syria itu.


Israel dipercayai melancarkan serangan udara di Syria awal tahun ini dengan menyasarkan konvoi membawa peluru berpandu antipesawat yang didakwa untuk dihantar kepada Hizbullah. Bagaimanapun, rejim Zionis itu tidak mengesah atau menafikan tindakan itu.


Meskipun Bashar adalah musuh ketatnya, Israel mengambil langkah berhati-hati untuk tidak menyokong mana-mana pihak dalam perang saudara di Syria. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Bantah campur tangan tentera

Posted: 30 Apr 2013 09:23 AM PDT

Menteri Pertahanan Jerman Thomas de Maiziere (gambar) semalam memberi amaran mengenai langkah mengubah-ubah ketetapan 'garisan merah' dalam perang saudara di Syria berikutan bukti yang semakin meningkat bahawa tentera Presiden Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia.

"Saya menyokong semua bentuk tekanan politik tetapi buat masa ini saya tidak melihat peranan untuk tentera. Tindakan ketenteraan secara berkesan amat rumit dan mahal," kata De Maiziere kepada wartawan di Washington, menolak tindakan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap penggunaan senjata kimia di Syria.


Beliau berada di ibu negara Amerika Syarikat itu bagi menghadiri upacara sambutan ulang tahun ke-20 Muzium Peringatan Holokos.

Kenyataannya itu dilihat merujuk kepada amaran Presiden Barack Obama sebelum ini bahawa penggunaan senjata kimia oleh tentera Syria akan melanggar garisan merah yang boleh mendorong campur tangan Amerika Syarikat secara langsung dalam perang saudara itu.


Khamis lalu, Amerika Syarikat buat kali pertama berkata, Syria mungkin telah menggunakan senjata kimia secara kecil-kecilan ke atas kumpulan penentang. Bagaimanapun, ia menegaskan, agensi perisikan masih belum 100 peratus pasti terhadap keputusan siasatan.


Jumaat lalu, Obama berjanji akan melakukan siasatan terperinci mengenai laporan itu. Beliau juga mengulangi amaran, jika tentera Bashar terbukti menggunakan senjata berkenaan, ia akan menjadi 'titik perubahan' dalam perang berkenaan.

Sementara itu, De Maiziere menggesa sekutu Jerman menjalankan siasatan bersama terhadap dakwaan penggunaan senjata kimia. "Kami masih belum mempunyai maklumat secukupnya mengenai hal itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Pakar roket Hamas maut

Posted: 30 Apr 2013 09:23 AM PDT

Gaza: Seorang lelaki Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera selepas Israel melancarkan serangan udara di sini, semalam.

Ia adalah serangan udara pertama terhadap pejuang Palestin sejak gencatan senjata menamatkan perang lapan hari November lalu.


Seorang jurucakap rejim Zionis berkata, serangan itu membunuh seorang 'pejuang yang pakar membuat roket.' Menurutnya, lelaki itu memainkan peranan dalam serangan roket dari Semenanjung Sinai di Mesir terhadap Eilat, kawasan peranginan Laut Merah di Israel pada 17 April lalu yang tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kecederaan.

Menurut penduduk di Gaza, lelaki yang terbunuh ialah Haitham Al-Mes-hal, 29. Dia dipercayai anggota pasukan keselamatan Hamas menjadi sasaran serangan tentera udara Israel ketika menunggang motosikal di utara wilayah itu. Menurut anggota keluarganya, Haitham juga menganggotai sebuah kumpulan jihad pertubuhan kumpulan Salafi.


Hamas, kumpulan Islam yang rapat dengan Ikhwanul Muslimin kini menguasai kerajaan Mesir, bertindak tegas terhadap kumpulan Salafi sejak kebelakangan ini kerana melihatnya sebagai menjejaskan penguasaannya terhadap Semenanjung Gaza. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

No comments:

Post a Comment