Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nak jadi macam anak patung

Posted: 05 May 2013 09:17 AM PDT

Tokyo: Seorang wanita Jepun menjalani transformasi fizikal yang mengejutkan selepas menjalani 30 pembedahan kosmetik dengan kos 10 juta yen (RM306,368).

Wanita itu yang juga seorang model dikenali sebagai Vanilla Chamu berkata, dia berhasrat untuk menjalani pembedahan hingga mencapai matlamat yang diidamkan - seperti anak patung Perancis.


Foto Vanilla sebelum prosedur pertamanya mendedahkan wajah biasa remaja Jepun itu hampir tidak dapat dikenali berbanding penampilan ala wanita Barat yang dimilikinya sekarang. Sesetengah pembedahan plastik, termasuk pembedahan kelopak mata dan hidung semakin popular di kalangan wanita Asia yang ingin kelihatan seperti wanita Barat.

Vanilla tidak disangkal lagi telah menjalani rawatan itu, tetapi senarai panjang prosedur dijalani turut termasuk penyedutan lemak, implan bulu mata, pembentukan lekuk di dagu dan implan payudara, lapor BuzzFeed.


Bagaimanapun, penampilannya itu tidak mencukupi buat Vanilla dalam usahanya untuk menjadi anak patung Perancis hidup yang sempurna.


Malah, baru-baru ini dia menjalani implan pembesaran payudara dan prosedur seterusnya yang lebih ekstrim ialah dia bercadang untuk menjalani pembedahan menambah ketinggian.

Foto

FOTO menunjukkan wajah Vanilla ketika remaja (kiri) sebelum menjalani pembedahan pertamanya dan wajahnya kini (kanan).

Vanilla menjalani pembedahan plastik yang pertama ketika berusia 19 tahun dan merahsiakan usia sebenarnya. Dia sudah menjadi sebagai selebriti di tanah airnya, membuat penampilan di televisyen tidak terkira banyaknya dan melancarkan karier sebagai bintang pop.


Penampilan luar biasanya tidak diragukan membuatkan dia menyerlah di khalayak ramai, tetapi dia tidak memberikan banyak pandangan luar biasa mengenai bagaimana sepatutnya penampilan anak patung Perancis.

Anak patung Perancis juga dikenali sebagai anak patung porselin, anak patung biska atau anak patung China dan bermakna sebuah boneka dengan sebahagian atau sepenuhnya porselin biska.


Secara tradisional karakternya mempunyai penyelesaian kulit kusam yang realistik dan di ambang populariti antara 1860 dan 1900. Anak patung seperti itu kini adalah barangan koleksi antik dan bernilai beribu-ribu dolar. Dengan bibir yang muncung dan payudara palsu, Vanilla jelas tidak menyerupai permainan klasik kanak-kanak, tetapi tidak dinafikan dia adalah rekaan tersendiri dirinya.- Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05

Mahgribi dicengkam skandal daging anjing

Posted: 05 May 2013 09:07 AM PDT

Rabat: Pihak berkuasa Maghribi melancarkan siasatan berhubung perdagangan daging anjing secara haram selepas 37 bangkai haiwan itu ditemui di dalam van seorang tukang sembelih.

Polis menemui bangkai berkenaan selepas menahannya di tengah Casablanca kerana kesalahan trafik. Pemandu itu memberitahu polis, dia bercadang menjual bangkai itu di restoran di kawasan kediaman penduduk miskin bandar itu, tempat daging anjing berkenaan biasanya dibuat sosej.


Memelihara anjing dan memakan dagingnya menjadi isu kontroversi di Maghribi, negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, sejak beberapa tahun lalu. Seorang pemilik restoran dipenjara enam tahun pada 2009 selepas didapati bersalah menyajikan daging anjing yang didakwanya daging lembu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Pengadil ditumbuk mati

Posted: 05 May 2013 09:06 AM PDT

Murray (Utah): Seorang pengadil bola sepak liga rekreasi yang cedera parah dan koma selepas ditumbuk seorang pemain remaja mati awal semalam.

Ricardo Portilli, 46, meninggal dunia di hospital tempat dia dirawat berikutan diserang ketika perlawanan bola sepak hujung minggu lalu, kata jurucakap polis, Justin Hoyal.

Polis mendakwa pemain berusia 17 tahun itu menumbuk Portillo selepas dia melayangkan kad kuning kepada pemain itu kerana bermain kasar.

"Suspek berada dekat dengan Portillo dan menumbuk mukanya ekoran tindakan pengadil itu," katanya dalam sidang akhbar.


Remaja itu diletakkan dalam tahanan juvana atas tuduhan melakukan serangan berat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Pyongyang tetap syarat untuk buka semula Kaesong

Posted: 05 May 2013 09:04 AM PDT

Seoul: Korea Utara semalam menuntut Korea Selatan menggugurkan semua 'provokasi ketenteraan' jika mahu menyambung semula operasi di kompleks perindustian Kaesong.

Kompleks itu yang diuruskan kedua-dua negara dibuka pada 2004 sebagai simbol kerjasama menjadi mangsa perang mulut baru-baru ini.

Pyongyang menuduh Seoul mencetuskan ketegangan ketenteraan dan bertindak melarang kemasukan rakyat negara jirannya ke kawasan berkenaan di samping menarik balik 53,000 rakyatnya yang bekerja di situ awal bulan lalu.

Seoul minggu lalu mengundurkan semua rakyatnya dari Kaesong.


Kumpulan terakhir terdiri daripada tujuh orang pulang Sabtu lalu selepas ia menghantar beberapa kereta berisi wang berjumlah AS$13 juta (RM39 juta) bagi membayar gaji dan cukai.


Suruhanjaya Pertahanan Nasional Korea Utara, badan paling berkuasa di negara itu semalam sekali lagi menyalahkan Korea Selatan terhadap penutupan kompleks itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Obama digelar 'ketua syaitan'

Posted: 05 May 2013 09:02 AM PDT

Caracas: Presiden Nicolas Maduro (gambar) semalam mengecam Presiden Barack Obama dengan menggelarnya 'Ketua Syaitan.'

Maduro bertindak demikian selepas Presiden Amerika Syarikat itu enggan mengiktiraf kemenangan beliau dalam pilihan raya Venezuela beberapa minggu lalu.

"Dia membuat pelbagai kenyataan biadap. Dia memberi arahan dan restu untuk golongan fasis menyerang demokrasi di Venezuela.

"Tetapi kita di sini ialah untuk mempertahankan institusi kita dan rakyat Venezuela. Dan kita boleh berbincang dengan sesiapa saja, termasuk Ketua Syaitan, Obama," kata Maduro ketika berucap di satu majlis.


Kecaman itu mengimbas kembali serangan bekas Presiden Venezuela Hugo Chavez ketika menyelar George W Bush yang disifatkannya juga sebagai syaitan.


Ketika melawat Costa Rica Jumaat lalu, Obama tidak berkata sama ada Amerika Syarikat mengiktiraf Maduro sebagai pemenang pilihan raya presiden bulan lalu.

Dia sebaliknya memberitahu rangkaian televisyen Univision bahawa seluruh rantau itu memerhatikan 'keganasan, bantahan dan tindakan ke atas pembangkang' selepas pilihan raya 14 April itu.

Maduro mengalahkan ketua pembangkang Henrique Capriles dengan majoriti tipis dalam pilihan raya untuk menggantikan Chavez.

Maduro menuduh Amerika Syarikat memberi bantuan kewangan kepada penentangnya.

"Obama sendiri, selaku 'boneka kuasa penjajah' yang bertanggungjawab memberi bantuan kewangan kepada golongan berhaluan kanan yang berusaha untuk menghancurkan demokrasi di Venezuela," kata Maduro.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Iran sedia latih tentera Bashar

Posted: 05 May 2013 09:00 AM PDT

Teheran: Iran bersedia 'melatih' tentera Syria jika Damsyik memintanya berbuat demikian.

Komander tentera darat republik Islam Iran, Jeneral Ahmad Reza dipetik sebagai berkata: "Sebagai negara Islam, kami menyokong Syria dan jika ia memerlukan latihan, kami akan membantu mereka dengan latihan, tetapi tidak akan terbabit secara aktif dalam operasi ketenteraan."

Menurutnya, tentera Syria sudah menimba banyak pengalaman sepanjang konflik dengan Israel selama bertahun-tahun dan beliau yakin ia mampu mempertahankan diri serta tidak memerlukan sebarang bantuan asing.

Kenyataannya itu dibuat ketika sumber pegawai kanan Israel semalam mengesahkan rejim Zionis itu melancarkan serangan udara ke atas Damsyik dengan menyasarkan peluru berpandu Iran yang mahu diserahkan kepada pejuang Hizbullah di Lubnan.


Iran kekal menjadi sekutu rapat rejim Presiden Bashar al-Assad sepanjang perang saudara di Syria yang dikatakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah membunuh lebih 70,000 orang sejak ia tercetus pada Mac 2011.


Teheran sehingga ini hanya menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Syria menerusi ruang angkasa Iraq.

Langkah itu mendorong Washington meminta Baghdad memeriksa penerbangan sedemikian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05

YB gay Britain nafi merogol

Posted: 05 May 2013 08:58 AM PDT

London: Seorang ahli politik kanan Parti Konservatif Britain yang ditangkap kerana disyaki merogol dan melakukan serangan seks berkata, dakwaan ke atasnya palsu semata-mata.

Timbalan Speaker Parlimen Nigel Evans, 55, ditangkap kelmarin.

Dia disoal siasat berhubung kesalahan seks yang didakwa berlaku antara Julai 2009 dan Mac 2013.

Evans bagaimanapun dibebaskan semalam selepas diikat jamin.


Evans yang menjadi anggota Parlimen selama dua dekad ialah antara tokoh politik gay terkenal negara itu.


Katanya, tuduhan ke atasnya dibuat oleh 'dua orang yang kenal baik antara satu sama lain' yang dianggapnya sebagai rakan sehingga Jumaat lalu.

"Tuduhan itu palsu semata-mata dan saya tidak faham mengapa mereka melakukannya, lebih-lebih lagi kami bersahabat," katanya kepada wartawan semalam.

Evans berkata, dia tidak merancang untuk meletak jawatannya sebagai timbalan speaker. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05

8 tentera NATO terbunuh di Afghanistan

Posted: 05 May 2013 08:56 AM PDT

Kabul: Lapan tentera NATO terbunuh di Afghanistan kelmarin, hari paling buruk tahun ini bagi pasukan antarabangsa itu di negara berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, tentera Jerman mengesahkan seorang anggota komandonya mati dalam serangan pejuang ketika operasi bersama di Baghlan, bandar di utara Afghanistan.

Sebelum ini, lima anggota tentera Amerika Syarikat maut apabila kenderaan yang mereka naiki terkena jerangkap samar.

Sementara itu, dua askar Nato lain ditembak mati dalam 'serangan orang dalam' apabila seorang tentera Afghanistan melepaskan tembakan di daerah Bala Buluk.

Minggu lalu, kumpulan Taliban meramalkan lebih banyak 'serangan orang dalam' akan berlaku.

Bagaimanapun, Nato berkata, kebanyakan serangan seumpama itu berpunca daripada rasa tidak puas hati di kalangan tentera Afghanistan dan salah faham, bukan tindakan ketenteraan.

NATO akan menamatkan misi tenteranya menjelang akhir tahun ini dan 100,000 tentera asing yang ditempatkan di seluruh Afghanistan sudah mula diundurkan dari medan pertempuran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05

Tel Aviv siap hadapi serangan

Posted: 05 May 2013 08:55 AM PDT

Beirut: Tentera Israel menempatkan sistem pertahanan roket di utara negara itu selepas ia melancarkan serangan udara terhadap Syria.

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian daripada langkah 'penilaian semasa' perkembangan yang berlaku.


Tindakan itu diambil beberapa jam selepas rejim Zionis melancarkan apa yang disifatkan oleh pegawai perisikan sebagai serangan di Damsyik yang menyasarkan konvoi penghantaran misil buatan Iran untuk pejuang Hizbullah di Lubnan.

Ia adalah serangan kedua rejim Zionis dalam masa tiga hari. Tindakan Israel itu meningkatkan lagi ketegangannya dengan Syria, Hizbullah dan Iran.


Sistem pertahanan Iron Dome mampu mematahkan sebarang serangan misil jarak. Hizbullah dipercayai memiliki ribuan senjata seumpama itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05

Israel bom Damsyik

Posted: 05 May 2013 08:53 AM PDT

Beirut: Pesawat Israel semalam mengebom kawasan sekitar Damsyik menyebabkan beberapa letupan ketika mereka menyasarkan konvoi membawa peluru berpandu buatan Iran untuk dihantar kepada pejuang Hizbullah di Lubnan.

Serangan itu, yang kedua dalam masa tiga hari, menandakan pembabitan mendadak Israel dalam perang saudara di Syria.

Media Syria melaporkan serangan rejim Zionis itu mengena pusat kajian saintifik dan ketenteraannya berhampiran Damsyik dan menyebabkan kematian.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara khusus lokasi serangan.


Sasaran serangan ialah peluru berpandu Fateh-110 yang mempunyai sistem panduan tepat, jauh lebih baik berbanding senjata yang dimiliki Hizbullah sekarang.


Serangan itu dilakukan ketika Washington menimbang cara untuk bertindak ke atas rejim Syria yang didakwa mungkin menggunakan senjata kimia dalam perang saudara di negara itu.

Rejim Zionis sebelum ini berkata ia tidak mahu mencampuri perang saudara di Syria tetapi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berulang kali berkata negara Yahudi itu sudah bersedia untuk mengambil tindakan ketenteraan bagi menghalang senjata canggih dibawa dari Syria kepada Hizbullah atau kumpulan pelampau lain.

Agensi berita Syria melaporkan letupan berlaku di Pusat Penyelidikan Tentera dan Saintifik Jamraya dan beberapa orang dilapor terbunuh.

Aktivis yang berpusat di Damsyik, Maath al-Shami berkata, serangan berlaku jam 3 pagi dan menyifatkan letupan itu sebagai amat kuat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05

No comments:

Post a Comment