Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pemain elit tak boleh diharap

Posted: 05 May 2013 11:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Apa yang boleh diharapkan daripada pemain badminton negara jika pemain elit sendiri tidak mampu beraksi konsisten meskipun hanya pada kejohanan berstatus GP Emas.

GP Emas Terbuka Malaysia yang berakhir kelmarin, sememangnya dijangka menjadi pentas buat pemain muda negara menyerlah terutamanya dalam perseorangan lelaki dengan penarikan diri pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.


Dua pemain pelapis bimbingan Hendrawan - Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Goh Soon Huat melangkah ke separuh akhir dan akhir, sedangkan pemain elit seperti Chong Wei Feng tersingkir di pusingan kedua. Liew Daren pula terkandas di suku akhir, begitu juga dengan pemain yang boleh dianggap cukup lama bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bimbingan Hendrawan, Mohd Arif Latif yang sekadar ke pusingan kedua.

Berdasarkan ranking dunia, Wei Feng kini di ranking ke-12, Daren (13), Arif (30), Iskandar (68) dan Soon Huat (72).


Ternyata BAM perlu mengubah formula mengutamakan pemain elit kepada memberi penekanan kepada pemain pelapis kerana mereka yang memerlukan lebih banyak kejohanan dan pendedahan berkualiti di pentas antarabangsa.


Mungkin jika dilihat dari segi kemahiran, Iskandar mahupun Soon Huat belum mencapai tahap Daren dan Wei Feng, apa lagi Muhd Hafiz Hashim dan Chong Wei, namun setiap kali turun beraksi di gelanggang, mereka bagaikan pejuang dan apa yang ditonjolkan mereka di gelanggang sepanjang minggu lalu adalah keinginan besar untuk menang ke atas lawan.

Foto

DAREN sekadar beraksi di suku akhir sebelum kecundang.

Foto

SOON HUAT berjaya melangkah ke final tetapi tewas di tangan pemain Indonesia.

Jika mahu diukur dari segi kemahiran sekalipun, apa yang ada pada juara baru GP Emas Terbuka Malaysia, Yunus Alamsyah dari Indonesia selain semangat kental melawan.


Perkara sama juga berlaku dalam beregu lelaki dan beregu campuran, cuma beregu 'emas' negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong boleh dianggap paling teruk kerana satu-satunya kejuaraan yang mampu mereka menang selama ini, juga tidak mampu dipertahankan.

Mujur tewas di tangan rakan senegara, meskipun lebih muda, setidak-tidaknya boleh menggunakan alasan 'kami sering berlatih bersama, jadi masing-masing tahu corak permainan dan memang sukar' seperti dilemparkan selepas tewas kepada Goh V Shem-Lim Khim Wah.


Pilihan utama beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula bagai serba tidak kena di gelanggang, sedangkan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing menunjukkan semangat melawan.


Perkara ini sering ditegaskan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong, yang sekali lagi mahu BAM menilai program mereka.


"BAM perlu nilai semula program pendedahan pemain. Beri tumpuan kepada pemain pelapis yang dibimbing Hendrawan," kata Zolkples.


Apa yang dikatakan beliau ada benarnya. Jika BAM ragu-ragu, cubalah mereka menghantar pemain pelapis bimbingan Hendrawan ke setiap kejohanan yang Daren dan Wei Feng sertai tanpa meletakkan sasaran membawa pulang kejuaraan.


Tiada apa yang rugi kerana mereka sememangnya pelapis dan setiap kejohanan adalah pendedahan, sedangkan pemain elit seperti Kien Keat-Boon Heong tidak pernah diletakkan sasaran untuk menjuarai mana-mana kejohanan, sehinggalah Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Ogos.


"Bagi saya, pemain muda yang dihantar ke banyak kejohanan tanpa membawa pulang gelaran, bukan satu kerugian jika dibandingkan dengan pemain elit yang sepatutnya menuai hasil.


"Pemain seperti Daren, Kien Keat-Boon Heong tidak perlu lagi beraksi dalam kejohanan GP Emas ini kerana standard mereka sudah tinggi. Mereka patut beraksi di Siri Super saja," kata Zolkples.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Harapan Everton berkecai di Anfield

Posted: 05 May 2013 11:29 AM PDT

London: Harapan Everton beraksi pada pertandingan Eropah musim depan terjejas selepas seri 0-0 dengan jiran setempat Liverpool yang penuh dramatik, malam tadi.

Everton, yang hanya menang sekali daripada 13 pertembungan jiran setempat terakhir menentang Liverpool, kecewa selepas tandukan Sylvain Distin yang menerjah jaring menerusi sepakan sudut pada awal babak kedua tidak disahkan.


"Saya tidak mahu menjadi seorang pengurus yang suka merungut tapi kami menjaringkan satu gol sah hari ini, ia patut dikira," kata pengurus Everton David Moyes.

Everton, yang melakar 15 keputusan seri dalam Liga Perdana musim ini, terbanyak dalam kalangan 20 pasukan, kekal di tangga keenam dengan 60 mata, lima di belakang Tottenham dan Chelsea.


Mereka hanya berbaki dua perlawanan dan mempunyai harapan tipis merebut tempat ke Liga Europa bagi pasukan yang menduduki tangga kelima. Liverpool di tangga ketujuh dengan 55 mata.


Pertahanan tengah Distin melonjak mengatasi pertahanan Liverpool, Jamie Carragher untuk menanduk masuk pada minit ke-56 namun pengadil Michael Oliver meniup wisel kerana ada insiden tolak-menolak.

Peluang terbaik Liverpool turut hadir pada babak kedua dengan Daniel Sturridge dinafikan oleh tindakan bijak penjaga gol Tim Howard manakala tandukan Daniel Agger sedikit tersasar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Laluan Chelsea cerah

Posted: 05 May 2013 11:28 AM PDT

London: Jaringan sendiri lewat perlawanan oleh Phil Jones membantu Chelsea menang 1-0 ke atas Manchester United di Old Trafford awal pagi tadi sekali gus mencerahkan harapan kelab London itu menghuni kelompok empat teratas dan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Rembatan kaki kiri bintang tengah Sepanyol, Juan Mata pada minit ke-87 tertampan pemain pertahanan Jones dan mengelirukan penjaga golnya, Anders Lindegaard.


Pertahanan United, Rafael dibuang padang pada minit ke-89 kerana menyepak rakan senegaranya dari Brazil, David Luiz.

Chelsea melonjak semula ke tangga ketiga dengan 68 mata daripada 35 perlawanan, satu mata di depan Arsenal yang bermain lebih satu perlawanan dan tiga mengatasi Tottenham yang turut beraksi 35 perlawanan.


Perlawanan itu yang ke-65 buat Chelsea musim ini dan ke-12 dalam tempoh 37 hari selepas kedua-dua Arsenal dan Spurs menang kelmarin, sekali gus mengundang tekanan buat anak buah Rafael Benitez untuk memastikan tiga mata.


Pelawat memulakan inisiatif awal dan mencipta peluang awal namun hantaran silang Mata ditanduk melepasi palang gol oleh Demba Ba.

United yang sudah memastikan kejuaraan kali ke-20, hampir menerima padah apabila Oscar tidak dicabar pertahanan tuan rumah namun Lindegaard berjaya menampan rembatannya.


Benteng tuan rumah yang berdisiplin menjadi penyelamat sebelum mereka menemui sedikit ruang untuk menyerang dengan Robin van Persie dua kali berpeluang menjaringkan gol sebelum rehat.

Penyerang Belanda itu menyambut baik umpanan Ryan Giggs namun percubaannya melambung sebelum dia menanduk terus kepada penjaga gol Blues Petr Cech hasil hantaran silang Nemanja Vidic.


Pemain tengah Chelsea, Ramires menghadang keras Wayne Rooney dalam kotak penalti Blues sebelum melarikan bola dan menghantar kepada Oscar yang mengumpan kepada Mata sebelum rembatannya tertampan Jones dan menerjah ke jaring.


United berang dengan terjahan Ramires itu yang tidak dikenakan sebarang kad manakala kekecewaan Rafael terserlah apabila dia dibuang padang kerana kekasaran ke atas Luiz.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Gol Osvaldo julang Roma

Posted: 05 May 2013 09:59 AM PDT

Rome: Gol masa kecederaan Pablo Osvaldo (gambar) menyaksikan AS Roma menang tipis 1-0 ke atas Fiorentina pada saingan Serie A, awal pagi semalam.

Osvaldo menanduk masuk menerusi sepakan sudut pada saat akhir untuk memberikan Roma kemenangan diperlukan dan melonjak ke tangga kelima dengan meraih 58 mata, empat di depan Udinese yang menanti kunjungan Sampdoria semalam dan hanya tiga mata di belakang pasukan tangga keempat Fiorentina.


Fiorentina kendalian Vincenzo Montella mencipta peluang terbaik, dua kali percubaan terkena palang namun akan ketinggalan empat mata daripada tempat ke Liga Juara-Juara jika AC Milan menundukkan Torino malam tadi.

Chievo semakin hampir mengekalkan tempat dalam saingan Serie A sekalipun seri tanpa jaringan dengan Cagliari yang membolehkan mereka menghuni tangga ke-13 dengan 40 mata, lapan mata di depan pasukan ketiga tercorot Genoa. Genoa berdepan kelab tercorot Pescara semalam.


Fiorentina sepatutnya mendapat penalti 15 minit sebelum tamat apabila pemain tengah Itali Daniele De Rossi dilihat memegang bola dengan tangan berikutan hantaran silang Adam Ljajic dan Montella kelihatan kecewa selepas itu.


"Saya amat kecewa kerana pemain sudah mempamerkan aksi terbaik tapi saya tidak fikir kami patut menumpukan kepada satu insiden saja," kata Montella. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Finalis Liga Juara-Juara 2013 seri

Posted: 05 May 2013 09:58 AM PDT

Munich: Insiden tegang tercetus ketika Borussia Dortmund dan Bayern Munich seri 1-1 pada perlawanan Bundesliga kelmarin yang menjadi pemanas badan menjelang final Liga Juara-Juara dengan kedua-dua pasukan bertemu tiga minggu lagi.

Bayern, yang memenangi 14 perlawanan terakhir dalam Bundesliga, menerima lima kad kuning dan pertahanan Rafinha dibuang padang dalam pertembungan penuh dramatik dengan penjaga gol mereka Manuel Neuer menyelamatkan sepakan penalti Robert Lewandowski.


Dortmund mendahului pada minit ke-11 apabila Kevin Grosskreutz merembat voli hantaran lintang Jakub Blaszczykowski.

Mario Gomez menyamakan kedudukan buat Bayern pada minit ke-23 apabila dia yang tidak dikawal mudah menanduk masuk hantaran silang Rafinha.


Kontroversi meletus selepas sejam apabila Jerome Boateng dilihat memegang bola dengan tangan ketika dia cuba menghalang sepakan Nuri Sahin dan penalti diberikan sekali gus mencetus kemarahan pemain Bayern.


Sepakan Lewandowski diselamatkan Neuer, namun perlawanan itu tegang sekali lagi beberapa minit kemudian apabila Rafinha, yang sudah dilayangkan kad kuning, menyiku Blaszczykowski ketika mereka berebut bola.

Pemain Brazil itu dibuang padang kerana kad kuning kedua, mencetus lebih kemarahan Bayern dan ketika pemain mengerumuni pengadil, Rafinha mencucuk muka Blaszczykowski dengan jarinya sebelum meninggalkan padang.


Jurulatih Dortmund Juergen Klopp membantah tindakan Rafinha, yang sekali gus mencetus reaksi berang pengarah sukan Bayern, Matthias Sammer. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Sekat hajat Barca

Posted: 05 May 2013 09:57 AM PDT

Madrid: Pendahulu La Liga, Barcelona perlu menunggu sekurang-kurangnya seminggu lagi untuk mengesahkan kejuaraan liga selepas Cristiano Ronaldo meledak dua gol ketika membantu Real Madrid menang 4-3 di laman sendiri ke atas Real Valladolid, awal pagi semalam.

Jika Real gagal menang pada perlawanan itu, kemenangan Barcelona ke atas Real Betis sudah cukup untuk membolehkan mereka menjulang kejuaraan liga buat kali keempat dalam tempoh lima tahun kerana mereka selesa dengan kelebihan 13 gol dengan baki empat perlawanan.


Skuad bimbingan Jose Mourinho sudah pasti tidak akan menyerahkan mahkota kejuaraan dengan mudah kepada seteru utama mereka itu pada minggu terakhir kempen liga.

"Kami akan terus bekerja keras," kata pertahanan Real, Pepe.


"Kami sedar ia tugas yang sukar tapi kami beraksi dengan sebuah kelab gergasi dan perlu mempertahankan maruah hingga tamat perlawanan." Valladolid yang tidak pernah meraih mata di Bernabeu selama lebih satu dekad, melakukan kejutan seawal minit kelapan apabila Oscar Gonzalez menjaringkan gol pembukaan menewaskan penjaga gol Real Diego Lopez menerusi sepakan leret.


Real menyamakan kedudukan pada minit ke-26 apabila sepakan Angel Di Maria tertampan Marc Valiente yang kemudian masuk ke gawang gol sebelum Ronaldo meledak satu daripada dua gol tandukannya enam minit kemudian.

Valladolid kembali menyamakan kedudukan menerusi gol sumbangan Javi Guerra pada minit ke-35 dan Kaka kembali meletakkan Real di depan empat minit selepas rehat.


Ronaldo berjaya menjaringkan gol keempat 20 minit sebelum tamat sekali gus gol ke-33 pada saingan liga.

Namun pemain gantian Lluis Sastre berjaya merapatkan jurang dengan menjaringkan gol ketiga untuk pelawat.


Kemenangan Real menyaksikan mereka meraih 77 mata daripada 34 perlawanan, lapan mata di belakang Barcelona dan lapan mata mengatasi Atletico Madrid di tempat ketiga.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Pedrosa takluk Jerez

Posted: 05 May 2013 09:55 AM PDT

Jerez, Sepanyol: Penunggang Sepanyol Dani Pedrosa (gambar) meraih kemenangan sulungnya musim ini apabila menjuarai MotoGP Sepanyol, semalam.

Pelumba Honda berusia 27 tahun itu menamatkan perlumbaan di depan rakan sepasukan Marc Marquez manakala juara bertahan Jorge Lorenzo di tangga ketiga menunggang Yamaha.


Marquez, yang melonjak ke puncak carta dengan 61 mata, tiga di depan Pedrosa dan empat berbanding Lorenzo, sekali lagi mempamerkan kehebatannya ketika pelumba berusia 20 tahun itu memintas Lorenzo pada selekoh terakhir untuk menduduki tangga kedua.

Namun, ia mencetus kemarahan Lorenzo ketika kedua-duanya bersaing di selekoh dan dia enggan menerima permohonan maaf Marquez sebalik selepas perlumbaan.


"Saya tidak mahu memberi komen mengenainya dan saya lebih suka bercakap mengenai perlumbaan saya," kata Lorenzo, yang berusia 26 tahun kelmarin.


"Ia perlumbaan sempurna buat jentera dan pasukan saya. Saya agak sakit hati mengenai apa yang berlaku tapi saya tidak suka memberi sebarang komen lanjut." Marquez, yang dua minggu lalu muncul penunggang termuda menjuarai MotoGP, menerima hakikat dia melakukan kesilapan.

"Saya mahu memohon maaf kepada Jorge tapi ia tidak mungkin," kata Marquez, yang turut mempunyai sejarah memotong secara berbahaya dalam kategori berbeza sebelum ini.


"Sudah tentu kalau saya berada di pihaknya, saya berasa marah tapi saya berdepan pusingan terakhir dan saya sedar boleh memintasnya jadi saya mencuba," katanya.

Pedrosa, yang belum berjaya menambah kejuaraan MotoGP dunia selepas memenangi 125cc dan 250cc, gembira dapat memecah kebuntuan kemenangan musim ini.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Mickelson, Watney kongsi pendahulu

Posted: 05 May 2013 09:53 AM PDT

Charlotte, Carolina Utara: Phil Mickelson dan Nick Watney masing-masing bergelut namun pemain Amerika Syarikat itu masih mendahului selepas pusingan ketiga Kejohanan Wells Fargo dalam Jelajah PGA AS, semalam.

Mickelson melakar double bogey pada lubang ke-15 par-lima dan bogey pada lubang ke-16 untuk memberikan Watney pendahuluan namun Watney mensia-siakannya dengan double bogey pada lubang ke-17 par-tiga menyebabkan kedua-duanya berkongsi lapan bawah par 208 selepas 54 lubang di Quail Hollow.


"Saya terpaksa bertungkus-lumus dan tidak berjaya mempamerkan permainan A saya," kata Mickelson, yang mencatat 73 manakala Watney berpuas hati dengan 71.

"Saya bermain teruk pada sembilan lubang terakhir tapi saya bertuah kerana masih berkongsi pendahulu." Pemain AS George McNeill di tangga ketiga dengan 209 manakala Lee Westwood (England), David Lynn (England), Robert Karlsson (Sweden), John Senden (Australia), Ryan Moore (AS) dan Derek Ernst (AS) satu pukulan lagi di belakang.


Pemain nombor dua dunia Rory McIlroy melakar 73 pada hari lahir ke-24 untuk mengumpul 211 bersama pemain AS DA Points, Kevin Streelman, Brian Harman dan Jason Kokrak.


"Dari kotak tee ke green sebenarnya OK, tapi apabila saya tiba di green saya berdepan masalah. Saya tidak boleh menolak bola masuk." Watney sedar dia dan Mickelson membenarkan lawan merapati semalam, ketika ancaman ribut memaksa penganjur merombak jadual perlawanan kepada tiga pemain sekelompok dengan dua kotak tee pada sebalah pagi untuk cuba melengkapkan pusingan.

"Ada ramai pemain bagus kini dua atau tiga pukulan di belakang," kata Watney. "Sudah tentu, anda mahu menjarakkan diri sejauh mungkin, tapi siapa tahu, mungkin ini satu cerita bagus." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Gay catat masa 9.86 saat di Jamaica

Posted: 05 May 2013 09:52 AM PDT

Kingston: Pelari pecut Amerika Syarikat, Tyson Gay (gambar) mempamerkan persembahan mengagumkan pada awal musim apabila memenangi acara 100 meter pada kejohanan olahraga Jemputan Antarabangsa Jamaica dengan masa 9.86 saat semalam.

Gay, pemenang acara 100, 200 dan 4x100m kejuaraan dunia 2007, bangkit daripada permulaan buruk sebelum mengatasi pelari Jamaica Nesta Carter, yang mencatat 10.03s di tangga kedua. Pelari Amerika Darvis Patto ketiga dengan 10.07s.


Gay muncul pelari pecut pertama berlari di bawah 10 saat dalam acara 100m musim ini, dengan kemuncaknya kejohanan dunia di Moscow Ogos ini.

Gay, 30, adalah pelari kedua terpantas dalam sejarah 100m di belakang pemegang rekod dunia dari Jamaica, Usain Bolt, yang dijadualkan berlari acara 200m di Kingston namun menarik diri kerana kekejangan hamstring.


Gay, yang dibelenggu kecederaan beberapa tahun kebelakangan, berkata dia berasa bagus kali ini.


"Saya kini kembali ke tahap kecergasan terbaik, tapi saya bersabar dengannya," katanya. "Saya berasa bagus, terbaik buat sekian lama dan saya tidak sabar menanti aksi di Moscow dan memberikan segala yang termampu." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Arena FM jagoan tiga lawan tiga

Posted: 05 May 2013 09:50 AM PDT

Melaka: Kelab Sukan dan Rekreasi Arena FM muncul juara Kejohanan Street Soccer 3 On 3 sempena sambutan ulang tahun ke-10 Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Dataran Keris, Alor Gajah baru-baru ini.

Skuad berkenaan unggul selepas menewaskan Nado FC dari Masjid Tanah 2-1 bagi membolehkan Arena FM meraih RM500 sebagai juara. Selaku naib juara, Nado FC membawa pulang RM300 diikuti tempat ketiga dan keempat yang menjadi milik Bukit Bulat FC (RM200) dan Bukit Beringin B (RM100).


Pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan berkenaan termasuk golf, sukaneka, pertandingan mewarna dan persembahan karaoke dalam misi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit mendekati penduduk setempat.

Sebanyak 24 pasukan bersaing pada format 3 On 3 berkenaan menyaksikan kelibat pemain berbakat memperaga kemahiran masing-masing.


Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Yang Dipertua MPAG Abu Bakar Abdol manakala perasmian sebelah pagi Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) Datuk Md Yunos Husin.


Abu Bakar berkata, sambutan menggalakkan itu memberi impak besar terhadap khidmat sosial MPAG kepada masyarakat terutama generasi muda.

Beliau berkata, aktiviti sedemikian antara usaha mengelak remaja terbabit aktiviti tidak bermoral, menangani isu mat rempit dan penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

No comments:

Post a Comment