Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ular 'temani' solat Isyak

Posted: 05 May 2013 12:44 PM PDT

Bagan serai: "Saya hanya berserah kepada Allah SWT tidak dipatuk ular berbisa itu dan dapat menyempurnakan solat secepat mungkin," kata Md Yassin Saari, 53, apabila seekor ular muncul ketika dia menunaikan solat Isyak di rumahnya, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, dia menunaikan solat bersendirian di bilik utama di rumahnya di Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, di sini, sebelum terkejut dengan kehadiran ular itu .


"Ketika itu, saya sedang tahayat akhir dan tiba-tiba perasan kehadiran ular itu yang tiba-tiba berada di sebelah kiri saya. "Saya yang ketakutan menyempurnakan solat tergesa-gesa kerana bimbang ular itu masuk dalam kain saya," katanya.

Md Yasin berkata, selepas selesai mengerjakan solat, dia bersama anaknya berusaha menghalau ular berbisa itu keluar dari rumah kerana bimbang keselamatan mereka.


"Saya tidak tergerak hati membunuhnya kerana percaya ada hikmah di sebalik kehadirannya di sisi saya ketika menunaikan solat.


"Selepas mengusir ular itu keluar dari rumah, saya mengambil keputusan melepaskan dan membiarkannya menyusuri hutan berdekatan rumah saya," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Foto

ULAR yang menjadi makmum solat Isyak sebelum dilepaskan.

"Tuhan melindungi saya daripada dicederakan ular itu. Ini semua kuasa Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Helah upah kupas bawang

Posted: 05 May 2013 12:32 PM PDT

Raub: Seorang wanita sanggup mempergunakan anak gadisnya sendiri untuk menjalankan kegiatan penipuan, tetapi malang kerana kedua-dua mereka diberkas polis kerana menipu empat warga emas mengakibatkan kerugian RM6,000 di Kampung Sri Jaya, Ulu Gali, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berusia 18 tahun, diberkas sepasukan anggota polis ketika berada dalam kereta Perodua Alza yang disewa di Kuala Lumpur.


Sebelum kejadian, wanita terbabit ke Kuala Lumpur bersama anaknya dan menyewa kenderaan di sebuah syarikat agensi kereta sewa lalu memandunya ke Bentong.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, di Bentong, wanita itu dikatakan menyamar sebagai ejen mencari pekerja sambilan dan membuat tawaran pekerjaan kepada seorang suri rumah berusia 40 tahun yang ditemui di bandar Bentong.


Menurutnya, siasatan mendapati ketika berbincang mengenai pekerjaan ditawarkan, wanita terbabit menawarkan gaji RM8 sehari untuk mengupas sekilogram bawang dan RM450 sebulan untuk mengasingkan sekilogram ikan bilis.


Katanya, mangsa yang berminat bekerja secara sambilan, dibawa suspek untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Bentong.

"Ketika mangsa melakukan pemeriksaan, suspek mengambil kesempatan melarikan beg wanita itu dan memecut kenderaan sewanya menghala ke Raub.


"Tiba di Raub, wanita terbabit bersama anaknya ke Kampung Sri Jaya, Ulu Gali, sebelum berhenti di depan sebuah rumah didiami seorang wanita warga emas berusia 60 tahun," katanya.

Menurutnya, wanita terbabit dikatakan menggunakan taktik sama untuk menipu mangsa sehingga meyakinkan warga emas berkenaan yang kemudian mengajak dua lagi rakannya, juga warga emas berusia 70-an untuk bekerja sambilan.


Katanya, terbabit membawa semua mereka menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di bandar ini dan sekali lagi mengambil kesempatan melarikan diri bersama beg mangsanya ketika semua mangsa melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik berkenaan.


Menurutnya, tiga warga emas terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran dan melalui pengecaman nombor pendaftaran kereta dipandu suspek, polis menahannya pada jam 5.25 petang ketika sedang meronda di bandar ini sebelum dibawa ke Balai Polis Raub.


"Suspek turut mengaku menipu seorang suri rumah di Bentong dan mendakwa anak gadisnya hanya duduk di dalam kenderaan ketika dia menipu semua mangsa," katanya.


Menurutnya, wanita terbabit yang mempunyai enam rekod jenayah, diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk siasatan kes penipuan pertama dilakukannya di bandar itu.


Katanya, bagi kes di Raub, wanita itu akan ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

'Saya puas hati'

Posted: 05 May 2013 12:30 PM PDT

Pekan: Tiada sebab bagi sebarang pihak mempertikaikan proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini kerana ia berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan termasuk penggunaan dakwat kekal.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, proses mengundi menggunakan kaedah baru (dakwat kekal) itu tidak menimbulkan sebarang kesulitan dan beliau berpuas hati dengan proses berkenaan serta kredibiliti PRU-13 lebih telus.


"Saya berpuas hati dengan prosesnya dan kita juga ada meletakkan pemerhati pilihan raya dari dalam dan luar negara.

"Malah, saya juga yakin rakyat akan membuat keputusan yang bijak dan akan menerima sepenuhnya keputusan dibuat mereka," katanya kepada media selepas selesai membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.


Selain itu, beliau berkata, apa yang lebih penting baginya adalah penilaian dan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.


"Saya yakin dan percaya berdasarkan kemampuan kita selama empat tahun ini bahawa dasar transformasi nasional benar- benar dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Jika kita dapat mandat untuk lima tahun akan datang, InsyaAllah keadaan negara kita akan terus bertambah lebih baik lagi dan kita akan menjurus kepada mencapai wawasan (2020) negara," katanya.


Ditanya sejauh mana pentingnya PRU-13 kepada Barisan Nasional (BN), Najib berkata ia jelas satu mandat untuk memimpin negara.

"Kita adalah pihak lebih bagus yang mempunyai rekod dan agenda lebih baik berbanding pembangkang," katanya.


Najib tiba di pusat mengundi berkenaan pada jam 9.10 pagi dan mula membuat pendaftaran sebelum membuang undi pada jam 9.15 pagi.


Beliau yang memakai kemeja berwarna putih ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Norashman Razak.


Selesai membuang undi, Najib melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Ahmad dan Sekolah Menengah Agama Al-Attas, di sini, sebelum bertolak ke Selangor untuk meninjau proses pengundian di negeri itu.


Dalam PRU-13 ini, Najib ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fariz Musa.


Pada PRU-12, Najib menewaskan calon PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti 26,464 undi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Sekurang-kurangnya 70% keluar mengundi

Posted: 05 May 2013 12:28 PM PDT

Putrajaya: Sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 12,992,661 pengundi biasa mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) semalam dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), angka itu mungkin mencecah sehingga 80 peratus.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peratusan mengundi muktamad hanya akan diketahui setelah pengiraan terhadap Borang 16 iaitu penyata undian selesai dijalankan.


"Jumlah 70 peratus itu paling minimum. Insya-Allah ia boleh mencapai lebih tinggi lagi sehingga 80 peratus," katanya kepada media di Ibu Pejabat SPR di sini semalam.

Proses pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.


Beliau berkata, secara keseluruhannya SPR berpuas hati dengan proses pengundian semalam.


"SPR mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana menunaikan hak mereka sebagai pengundi, terima kasih juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengawal keselamatan seluruh negara, petugas SPR yang terlibat dalam pengundian pos, awal dan biasa," katanya.

Abdul Aziz turut menasihatkan parti politik supaya tidak mengumumkan keputusan tidak rasmi bagi mengelak kekeliruan orang ramai. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

BN gagal pertahan Parlimen Pandan

Posted: 05 May 2013 12:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pandan apabila calonnya Lim Chin Yee tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli yang menang dengan majoriti 26,729 undi.

Rafizi, Pengarah Strategi PKR yang pertama kali bertanding di kerusi berkenaan mendapat 48,183 undi mengatasi Lim yang hanya memperoleh 21,454 undi.


Calon Bebas, Tan Yew Leng juga tewas dan sekadar mendapat 2,415 undi. Sebanyak 1,022 undi rosak direkodkan manakala peratusan pengundian sebanyak 87.3 peratus.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka membabitkan 42,995 pengundi, calon PAS Iskandar Abdul Samad berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menerima 23,117 undi menewaskan calon BN Muhammad Faizal Sufar yang hanya memperoleh 13,509 undi.


Iskandar menang dengan majoriti 9,608 undi.


Bagi kerusi DUN Teratai membabitkan 40,862 pengundi, calon DAP Tiew Way Keng memperoleh 23,578 undi menewaskan calon BN Liew Pok Boon yang mendapat 9,932 undi manakala tiga calon Bebas Lee Ying Ha mendapat 1,832 undi; Chin Kok Keong (115 undi) dan Lim Ah Chai (61 undi).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

No comments:

Post a Comment