Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tewaskan beruang seorang diri

Posted: 03 May 2013 03:17 PM PDT

Percutian hujung minggu satu keluarga untuk memerhati burung di Semenanjung Kenai hampir berakhir dengan tragedi apabila seekor beruang perang tiba-tiba menyerang mereka, semalam.

Terdesak untuk menyelamatkan keluarganya, seorang ahli biologi hidupan liar dan penduduk Alaska, Toby Burke terpaksa menghadapi beruang itu hanya dengan tangan kosong.


Burke bernasib baik kerana hanya calar-calar pada badan sebelum anggota keselamatan tiba tidak lama kemudian untuk menembak mati haiwan liar berkenaan. Sebelum itu, Burke, 48, yang bertugas sebagai juruteknik biologi di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kenai keluar bersama isteri, Laura, serta tiga anak mereka, Grace, 11; Damien, 8; dan Camille, 7 bulan, menuju Pantai Sungai Kasilof.

Dalam suhu sejuk -1 darjah Celsius, mereka leka cuba mengesan burung di udara ketika seekor beruang tiba-tiba muncul kira-kira 400 meter dari mereka.


Kata Burke, beruang itu kelihatan bermasalah dan berdasarkan pengalamannya, dia nampak haiwan berkenaan tidak begitu sihat.


Katanya, dia tidak begitu bimbang pada peringkat awal dan mereka terus memerhatikan burung.

"Tidak lama kemudian, kami tidak melihat beruang itu dan kami meneruskan perjalanan.


"Hanya beberapa detik kemudian, kami nampak beruang itu mula berlari ke arah kami dari jarak kira-kira 15 meter," katanya. Dalam usaha menakutkan haiwan itu, mereka menggerak-gerakkan tangan masing-masing, selain membuat bising tetapi sebaliknya ia semakin deras berlari. Menyedari keadaan genting itu, Burke mengarahkan Laura dan anak-anaknya berdiri di belakangnya. Kata Lisa, ketika beruang itu berdepan dengan suaminya, Damien cuba lari tetapi Burke melarang.

"Burke menyuruh kami tidak berpecah," katanya. Burke kemudian mencapai apa saja yang termampu sebagai senjata - dan tangannya hanya dapat memegang teropong burung yang disambung kepada tripod.


Kata Burke, dia menghalakan teropong ke mulut beruang berkenaan bagi menghalaunya, tetapi gagal.


"Saya kemudian menggunakan kaki tripod yang tajam untuk mencucuk muka haiwan itu tetapi gagal menakutkannya, sebaliknya dia menampar alat itu menyebabkan ia terlepas dari tangan," katanya.


Dalam keadaan tiada apa-apa di tangan, Burke terpaksa berdepan dengan beruang dan menumbuk muka haiwan itu dengan tangan kanan selepas tangan kirinya ditekan. Selepas bergelut beberapa ketika, beruang itu melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Duta Myanmar sasaran bom

Posted: 03 May 2013 12:28 PM PDT

Polis menahan dua lelaki yang didakwa merancang untuk melakukan serangan bom terhadap kedutaaan Myanmar di bandar raya ini.

Jurucakap polis, Boy Rafli Amar berkata, suspek ditahan lewat kelmarin ketika menunggang motosikal di kawasan kediaman sibuk di selatan Jakarta bersama-sama lima bom paip
Kedua-dua lelaki itu, Sefa Riano, 28, dan Achmad Taufiq, 21, merancang melakukan serangan itu semalam, kata seorang pegawai kanan polis antikeganasan yang enggan dikenali.


Ketua Agensi Antikeganasan Indonesia ANsyaad berkata, pihaknya yakin serangan itu pasti dilakukan jika kedua-dua suspek tidak ditahan.
"Matlamat mereka adalah jelas," katanya.

Beliau juga memberitahu, seorang wanita, isteri seorang suspek terbabit juga disoal sebagai saksi berhubung rancangan itu.

Rancangan menyerang kedutaan berkenaan menyusuli kekacauan anti-Islam baru yang meletus minggu ini, menyebabkan seorang terbunuh.
Kekacauan di Myanmar pada Mac lalu menyebabkan puluhan orang terbunuh sementara pertempuran di Rakhine antara penduduk Buddha dengan penduduk minoriti Rohingya tahun lalu meragut kira-kira 200 nyawa.
Jumlah kaum Rohingnya yang dimusuhi kebanyakan penduduk Buddha Myanmar semakin ramai tiba di Indonesia apabila mereka lari untuk menyelamatkan diri.
Penderitaan mereka mendapat simpati penduduk Islam Indonesia.
September lalu, seorang lelaki mengaku merancang serangan bom terhadap penganut Buddha di Jakarta sebagai tindak balas terhadap penderitaan penduduk minoriti Islam Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Kapal selam canggih kedua Singapura mula operasi

Posted: 03 May 2013 12:28 PM PDT

Singapura: Sebuah lagi kapal selam paling canggih republik ini diisytiharkan siap untuk pertempuran kelmarin.

Ia sekali gus mengukuhkan lagi kekuatan tentera laut republik berkenaan dalam peperangan di bawah permukaan air.


RSS Swordsman ditauliahkan selepas dua tahun menjalani ujian dan latihan tembakan torpedo di Sweden dan di perairan lebih panas dan kakis di sini.

Kapal berkuasa diesel-elektrik sepanjang 60.5 meter itu adalah kapal selam kedua kelas Archer yang akan menyertai Skuadron 171 Tentera Laut Republik Singapura selepas RSS Archer diisytiharkan beroperasi pada 2011.


Skuadron kapal selam itu juga mempunyai empat kapal selam kelas Challenger.


Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam yang hadir pada majlis pentauliahan di Pangkalan Tentera Laut Changi berkata, upacara itu menandakan berakhirnya usaha tentera laut republik berkenaan untuk menggantikan sebahagian kapal selam kelas Challenger yang dibina pada 1960-an.

Menurutnya, kapal selam baru itu akan mengukuhkan keupayaan tentera laut Singapura mempertahankan laluan maritim Singapura .


"Daripada 80 peratus perdagangan dunia hari ini yang dilakukan menerusi jalan laut, lebih separuh daripadanya belayar menerusi Asia Tenggara.

"Tetapi industri perkapalan global kini berdepan dengan ancaman lanun dan keganasan maritim," kata Tharman yang juga Menteri Kewangan.


Menurutnya, pertelingkahan merebut wilayah perairan juga berpotensi untuk menggugat kestabilan rantau ini, sekali gus mengancam kapal perdagangan.


"Untuk menangani ancaman seumpama itu dengan penuh yakin, Singapura membina pasukan pertahanan yang kuat menerusi pelaburan berterusan dan membenarkan pembelian senjata seperti kapal selam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Bunuh anak aibkan keluarga

Posted: 03 May 2013 12:27 PM PDT

Di depan kira-kira 300 penduduk kampung, seorang lelaki menembak kepala, perut dan pinggang anak perempuannya dalam pelaksanaan hukuman mati awam disaksikan pemimpin agama setempat di Afghanistan.

Hanya dikenali sebagai Halima, wanita berusia antara 18 dan 20 tahun serta ibu kepada dua anak itu dibunuh kerana mengaibkan keluarganya selepas dia menjalin hubungan dengan lelaki lain. Insiden itu juga membuktikan bagaimana Afghanistan masih bergelut untuk melindungi wanita lebih 11 tahun selepas kerajaan Taliban digulingkan. Polis di wilayah Badghis, barat laut Afghanistan berkata, Halima dituduh mengikut seorang sepupu lelaki ketika suaminya berada di Iran.


Untuk mengatasi kemelut itu, bapa Halima mendapatkan nasihat daripada ulama disokong Taliban.

Ketua Polis Wilayah Badghis, Sharafuddin Sharaf berkata, pengunjung masjid dan penduduk kampung mula mengejek bapa Halima disebabkan insiden itu. "Seorang ulama tempatan yang mengendalikan sebuah sekolah agama memberitahu, Halima mesti dihukum mati di khalayak ramai.


"Justeru, lelaki terbabit membunuh Halima dengan tiga das tembakan seperti diarahkan pemimpin agama," katanya.


Menurut Sharafuddin, polis pergi ke kampung itu dua hari kemudian tetapi gagal membuat sebarang tangkapan kerana keluarga terbabit sudah melarikan diri. Sementara itu, Amnesty International berkata, insiden 22 April lalu di Kampung Kookchaheel itu adalah bukti jelas menunjukkan sejauh mana kawalan polis ke atas kebanyakan kawasan di Afghanistan. Penyelidiknya, Horia Mosadiq berkata, keganasan ke atas wanita terus menjadi penyakit di Afghanistan.

"Pelakunya sering terlepas daripada tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

AS timbang semula bekal senjata kepada penentang Bashar

Posted: 03 May 2013 12:27 PM PDT

Washington: Amerika Syarikat semalam menimbang semula sama ada untuk membekalkan senjata kepada penentang Syria ketika tentera Presiden Bashar al-Assad meningkatkan serangan terhadap kedudukan kumpulan berkenaan di Homs.

Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel bagaimanapun berkata, belum ada keputusan dicapai mengenai perkara itu. Bercakap kepada wartawan, Hagel juga enggan menyatakan pendapat peribadinya mengenai rancangan itu kecuali berkata, beliau lebih menyokong untuk mengkaji pilihan yang ada dan 'melihat pilihan yang boleh diselaraskan dengan rakan antarabangsa kami.' Ketika disoal mengenai kenyataan Hagel itu, Obama berkata, ia mewakili pandangan yang sudah diluahkannya sejak beberapa bulan lalu.


"Selepas melihat bukti mengenai pertumpahan darah secara berterusan dan kemungkinan penggunaan senjata kimia di Syria, apa yang telah saya katakan ialah kami akan mengkaji semua pilihan yang ada," kata Obama pada sidang akhbar di Mexico.

Bagaimanapun, Obama menambah: "Kami ingin memastikan apa yang kami kaji sebelum mengambil keputusan bahawa apa yang kami lakukan itu benar-benar membantu keadaan." Bekas Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta memberitahu anggota Kongres bahawa beliau mencadangkan supaya bantuan tentera diberikan kepada penentang Syria, tetapi ditolak.


Spekulasi kini semakin meningkat bahawa pentadbiran AS akan mengkaji semula keputusan itu selepas pegawai berkata minggu lalu bahawa agensi perisikan AS kini percaya rejim Syria mungkin menggunakan senjata kimia secara kecil-kecilan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Paksa makan satu seksaan

Posted: 03 May 2013 12:26 PM PDT

Badan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan memaksa tahanan di penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba makan sebagai 'penyeksaan.'

Kenyataan itu dikeluarkan ketika jumlah tahanan yang dipaksa makan meningkat kepada 23 orang.


"Ia dianggap sebagai penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan. Dalam kes di Guantanamo, ia perbuatan yang amat menyakitkan, maka ia dilarang oleh undang-undang antarabangsa," kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB mengenai Hak Asasi (UNHCHR), Rupert Coville, semalam.

Coville berkata, keputusan UNHCHR mengambil pendirian itu berdasarkan standard etika Persatuan Perubatan Dunia (WMA), sebuah kumpulan antarabangsa yang mengawasi etika penjagaan kesihatan.


Persatuan itu meminda standard penjagaan kesihatannya pada 1991 yang menyifatkan pemberian makanan secara paksa sebagai bentuk 'layanan tidak berperikemanusiaan' dan 'tidak boleh diterima dari segi etika.' "Malah jika ia bertujuan untuk kebaikan, memberi makanan dengan mengancam, memaksa atau menggunakan tindakan fizikal adalah satu bentuk layanan tidak berperikemanusiaan," menurut dokumen WMA.


"Ia juga sama dengan memaksa beberapa tahanan makan dalam usaha memaksa mereka menghentikan mogok lapar." Coville berkata demikian selepas dua lagi tahanan Guantanamo menyertai 21 rakan mereka melancarkan mogok lapar yang sudahpun diberi makan secara paksa oleh tentera Amerika Syarikat menggunakan tiub menerusi hidung.

Tindakan itu disifatkan oleh tahanan terbabit sebagai amat menyakitkan dan menjatuhkan maruah mereka.


Mereka yang enggan makan diikat pada kerusi sementara pegawai memasukkan secara paksa tiub menerusi hidung mangsa untuk memasukkan zat cecair ke dalam perut mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

No comments:

Post a Comment