Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chelsea selangkah juara

Posted: 03 May 2013 03:17 PM PDT

Prestasi tidak menentu Chelsea sepanjang musim ini mungkin akan berakhir dengan kejayaan membanggakan pada saingan Liga Europa selepas menundukkan FC Basel pada separuh akhir awal pagi semalam sekali gus bertemu Benfica pada perlawanan akhir.

Gol menerusi Fernando Torres, Victor Moses dan David Luiz dalam tempoh sembilan minit pada babak kedua memberikan kemenangan 3-1 buat Chelsea pada separuh akhir kedua ke atas juara Switzerland itu di Stamford Bridge untuk mara menerusi agregat 5-2.


Juara Liga Juara-Juara itu adalah juara bertahan pertama gagal melepasi saingan peringkat kumpulan namun berpeluang menamatkan saingan musim ini dengan menjulang trofi Liga Europa.

Pengurus sementara Rafael Benitez yang tidak mendapat layanan sebaiknya selepas menggantikan Roberto Di Matteo November lalu, mungkin boleh menyumbang kepada kejayaan Chelsea serta membuktikan sesuatu kepada bakal pengurus baru yang akan menggantikan tempatnya.


Individu yang sering dikaitkan adalah bekas pengurus Chelsea Jose Mourinho yang memberi bayangan mengenai masa depannya musim depan selepas skuad bimbingannya ketika ini, Real Madrid tersingkir pada separuh akhir Liga Juara-Juara.


Penyokong setia Chelsea ternyata gembira dengan perkembangan itu apabila sering menyebut nama Mourinho sepanjang perlawanan awal pagi semalam yang mencetus kebangkitan Chelsea selepas Basel mendahului 1-0 menerusi Mohamed Salah.

"Secara jujur kami mempunyai dua peluang terbaik pada babak pertama tapi kami tidak memanfaatkannya dengan baik.


"Kami melepaskan gol pada lewat babak pertama. Pujian wajar diberikan kepada setiap pemain kerana mereka mampu untuk bangkit.

"Kami dapat menjaringkan tiga gol dan menguasai hampir keseluruhan permainan," kata Benitez.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Usaha julang Spurs

Posted: 03 May 2013 12:25 PM PDT

Gareth Bale mungkin semakin mengumpul banyak koleksi anugerah peribadi namun dia terpaksa menumpukan kepada usaha membantu Tottenham Hotspur layak ke Liga Juara-Juara.

Bale dilihat akan meneruskan rentak jaringannya ketika Tottenham berdepan Southampton di White Hart Lane buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun malam ini.


Bale, 23, diundi sebagai pemain terbaik tahunan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun dan pemain muda terbaik oleh rakan pemain profesional dalam bolasepak Inggeris awal minggu ini.

Kelmarin, dia menambah anugerah Pemain Terbaik Tahunan oleh Persatuan Penulis Bolasepak (FWA), mengalahkan pemenang 2012 dan penyerang Manchester United Robin van Persie.


Pemain tengah itu menyumbat 24 gol dalam semua pertandingan dan berada di ranking ketiga dalam Liga Perdana dengan 19 gol, kedua-duanya catatan terbaik karier.


"Saya lebih banyak melakukan rembatan selain lebih kerap mara ke kotak penalti," kata Bale. "Saya kurang membuka ruang kepada rakan sepasukan tahun ini namun saya lebih kepada posisi menyerang ketika ini dan ia jelas membantu saya menambahkan jaringan." Dia turut membantu Tottenham berada di tangga kelima liga, dua mata di belakang Arsenal di tangga keempat dan tiga di belakang pasukan tangga ketiga Chelsea.

Arsenal berdepan pasukan yang sudah tersingkir Queens Park Rangers awal pagi esok, manakala Chelsea berkunjung ke Manchester United malam esok.


Tiga pasukan teratas layak secara automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan manakala pasukan di kedudukan keempat perlu mengharungi pusingan kelayakan.

Spurs beraksi kurang satu perlawanan berbanding Gunners dan awal pagi Khamis ini mereka berdepan Chelsea di Stamford Bridge.


Sebelum itu, Bale akan cuba meneruskan rentak jaringannya. Dia menjaringkan gol dalam tiga perlawanan Liga Perdana berturut-turut buat kali ketiga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Peluang Marquez cipta rekod

Posted: 03 May 2013 12:25 PM PDT

Madrid: Penunggang rookie Sepanyol Marc Marquez berpeluang memecah lebih banyak rekod apabila dia bersaing pada MotoGP Sepanyol minggu ini sebagai pelumba termuda mendahului kejuaraan dunia.

Pelumba Repsol Honda berusia 20 tahun itu muncul penunggang termuda memenangi kejuaraan kelas perdana itu pada Grand Prix Americas di Austin, Texas hujung minggu lalu, mengatasi pencapaian bekas juara dua kali Freddie Spencer pada 1982.


Selepas menduduki tangga ketiga di Qatar pada perlumbaan pembuka tirai musim ini, Marquez mungkin boleh muncul pelumba termuda yang membuat kemunculan sulung meraih tiga podium berturut-turut untuk memadamkan rekod Jorge Lorenzo pada 2008.

Dia juga mungkin boleh muncul penunggang termuda meraih petak utama dan menang dua kali berturut-turut pada perlumbaan kelas perdana itu.


"Saya tidak akan lupakan perlumbaan di Austin dan saya berterima kasih kepada setiap orang kerana sokongan dan ucapan tahniah yang saya terima," kata Mar quez.


"Kini kami kembali ke Eropah. Penting untuk terus fokus terhadap perlumbaan. Pelumba lain berpengalaman luas berbanding saya di litar ini dan kami perlu bekerja keras." Marquez terikat 41 mata dengan rakan senegara Lorenzo dalam ranking kejuaraan dunia, kedua-duanya meraih satu kemenangan dan tempat ketiga, namun Marquez berada di atas kerana memenangi perlumbaan terakhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Buru kejuaraan

Posted: 03 May 2013 12:24 PM PDT

Pemain nombor dua dunia Rory McIlroy (gambar), yang kembali ke tempat kali pertama dia memenangi kejuaraan Jelajah PGA, mencatat lima bawah par 67 di Quail Hollow untuk berkongsi dengan enam pemain lain sebagai pendahulu pusingan pertama Kejohanan Wells Fargo, semalam.

Pemain Ireland Utara itu disertai dalam kelompok pendahulu oleh pemain Amerika Nick Watney, Ryan Moore, Robert Garrigus, Daniel Summerhays, Derek Ernst dan Nate Smith.


Enam pemain lagi berada satu pukulan di belakang termasuk bekas juara Masters Phil Mickelson dan Zach Johnson dan bekas juara Terbuka AS Lucas Glover, pemenang kejohanan itu pada 2011.

McIlroy, yang masih memburu kejuaraan pertamanya tahun ini, bergelut untuk menemui sentuhannya pada awal musim selepas menukar bola dan peralatan golf.


"Saya melakukan langkahan bermakna," kata McIlroy, yang akan berusia 24 tahun hari ini. "Permainan saya tidak berada pada tahap sepatutnya awal tahun ini. Kini saya berasakan hayunan saya semakin baik. Saya melihat permainan saya meningkat minggu demi minggu. Ia permulaan baik di sini minggu ini." McIlroy mungkin hadir di tempat terbaik untuk kembali mencari sentuhan kemenangan. Dia melakukan 62 pada pusingan akhir untuk memenangi kejohanan itu pada 2010 bagi kejuaraan sulungnya dalam Jelajah AS dan tahun lalu beraksi di penentuan play-off yang dimenangi Rickie Fowler.


"Saya berehat selama dua minggu. Kemudian berlatih empat hari. Saya berasa selesa dengan permainan saya." Juara bertahan Fowler bermula dengan par 72.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Usah sabotaj: Tunku Imran

Posted: 03 May 2013 12:24 PM PDT

Jangan sabotaj. Demikian ingatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar kepada semua pihak yang harus menerima apa saja keputusan pemilihan Perhimpunan Agung Tahunan MOM yang dijadualkan berlangsung 22 Jun depan.

Ingatan beliau itu rentetan timbul pelbagai spekulasi membabitkan perebutan jawatan Setiausaha Kehormat yang ketika ini disandang Datuk Sieh Kok Chi yang dikatakan akan dicabar beberapa individu.


Sambil mengharapkan perjalanan perhimpunan itu berjalan lancar, Tunku Imran tidak mahu keharmonian di dalam MOM terjejas berikutan rasa tidak puas hati mana-mana pihak kepada individu tertentu yang memenangi satu-satu jawatan.

"Setiap orang di dalam sesebuah organisasi ada tanggungjawab masing-masing. Jika anda tidak suka satu-satu keputusan yang anda sendiri terbabit, anda perlu juga menerimanya dan tidak mempertikaikannya.


"Di dalam beberapa persatuan sukan, perkara seperti ini (sabotaj) sering berlaku. Apabila anda tidak puas hati, anda cuba untuk mensabotaj keputusan yang mana tindakan itu sebenarnya tidak betul," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran peralatan aktiviti sukan terbaru jenama UFL yang dinamakan Power Plate Pro7, semalam.


Sebelum ini timbul pelbagai khabar angin mengenai perebutan jawatan Setiausaha Kehormat dengan Kok Chi dalam kenyataan terbarunya kelmarin menyatakan hasratnya untuk mengundur diri. Serentak dengan itu Penolong Setiausahanya T Kumar pantas menyatakan mahu bertanding susulan daripada kenyataan Kok Chi itu.

Sementara itu, ketika ditanya kebenaran mengenai wujudnya 'kem tertentu' di dalam MOM yang menyebabkan berlakunya rasa kurang harmoni yang turut membabitkan perebutan jawatan, Tunku Imran berharap perkara itu tidak benar.


"Saya harap tidak ada kem tertentu kerana akhirnya, MOM perlu mendapatkan seorang pemimpin yang terbaik untuk satu-satu jawatan.

"Setiap orang di dalam MOM perlu mempunyai rasa saling hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.


Tunku Imran juga bersikap terbuka dengan hasrat Kok Chi untuk berundur serta keputusan Kumar bertanding jawatan Setiausaha Kehormat.


"Perubahan sentiasa berlaku di dunia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Nixon sedia pamer belang

Posted: 03 May 2013 12:23 PM PDT

Atlet olahraga remaja negara, Nixon Kennedy sudah bersedia menyaingi kehebatan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Josiah Ng dalam memastikan pilihannya menyertai sukan terbabit tepat.

Keyakinan terbabit disuarakan pelari kelahiran Sarawak berusia 18 tahun itu selepas menjadi atlet lelaki tunggal dipilih ketua jurulatih negara, John Beasley menerusi program pemindahan bakat, Ride With Pride selain tiga atlet wanita dalam sukan olahraga dan bola jaring.


"Mungkin dalam jangka masa pendek, ia di luar kemampuan saya kerana tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai sukan berbasikal namun seandainya mendapat latihan, pendedahan dan teknik tepat, saya yakin mampu mencapai prestasi yang diharapkan semua pihak," kata pelari pecut 100 meter itu yang mempunyai catatan peribadi terbaik, 10.78 saat.

Empat atlet terbabit dipilih Beasley baru-baru ini selepas menjalani pelbagai ujian sejak Disember tahun lalu yang dikendalikan Institut Sukan Negara (ISN) dengan matlamat utama bagi memantapkan skuad berbasikal trek negara menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Brazil, dengan peruntukan besar disediakan kerajaan bagi merealisasikan impian meraih pingat emas pertama.


"Memang saya sedar bakal menerima latihan berbeza untuk menjadi atlet terbaik di pentas dunia, namun saya sudah bersedia sepenuhnya bagi menyahut cabaran ini. Bukan perkara mudah untuk terpilih kerana ramai yang tampil mencuba nasib dalam program ini.


"Saya gembira kerana mendapat sepenuhnya sokongan keluarga selain jurulatih (Ithnin Mahadi) yang menggalakkan saya menyertai program ini sejak awal lagi," katanya yang turut bersedia menjalani latihan di Melbourne, Australia seandainya diarahkan Beasley untuk berbuat demikian.

Nixon yang memiliki susuk tubuh badan besar sememangnya cemerlang di pentas negeri dan kebangsaan selain pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Sekolah-Sekolah Asean di Indonesia tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

T-Team makin lemau

Posted: 03 May 2013 12:23 PM PDT

Liga Perdana bagaikan semakin menggamit skuad T-Team selepas mereka gagal meraih sebarang mata apabila tewas 0-1 kepada ATM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Pemain gantian, Venice Elphi, meranapkan impian tuan rumah untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata apabila tandukannya pada minit ke-66 hasil sepakan sudut D Christie Jayaselan menerjah ke gawang yang dikawal Mohd Iqbal Suhami.


Kekalahan kali kedua berturut-turut itu ternyata meresahkan penolong jurulatihnya Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor yang nampak tidak senang duduk berikutan keputusan mengecewakan itu.

"Pemain turun dengan tekad tinggi untuk menang selepas tewas 1-3 kepada Kelantan minggu lalu. Kami mempunyai beberapa peluang yang sepatutnya menghasilkan gol, namun kelekaan pemain pertahanan menyebabkan kami gagal di tempat sendiri," katanya.


Bagaimanapun, Che Ku Marzuki yang mengambil alih tugas sementara daripada ketua jurulatih Peter Butler yang direhatkan tetap optimis pasukannya masih berpeluang mengelak daripada berada dalam zon penyingkiran ke Liga Perdana.


"Biarpun kami kini berada di tangga kedua terbawah liga, tapi peluang untuk terus bersaing dalam Liga Super masih terbuka," katanya.

Sementara itu, jurulatih ATM, B Sathiananthan berkata, walaupun anak buahnya menang untuk mengumpul 27 mata, cuaca panas di Kuala Terengganu merencatkan rentak pemainnya untuk beraksi lebih baik.


"Secara keseluruhan, pemain saya bermain baik untuk menghalang pemain tuan rumah, namun cuaca panas membuatkan mereka cepat letih dan gagal memberikan aksi lebih cemerlang.

"Apapun, saya tetap bangga kerana disiplin tinggi dipamerkan membolehkan kami pulang dengan tiga mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Azraai tidak percaya

Posted: 03 May 2013 12:23 PM PDT

"Saya seperti tidak percaya apa yang berlaku di depan mata hari ini (semalam)," kata jurulatih Perak Mohd Azraai Khor Abdullah selepas kecewa menyaksikan aksi longlai anak buahnya apabila tumpas 1-3 di tangan FELDA United pada perlawanan Liga Super semalam.

Beliau seakan-akan tidak mempunyai jawapan untuk menjelaskan aksi buruk skuad Seladang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu apatah lagi selepas mereka baru-baru ini menumpaskan pasukan bertaraf bintang Johor Darul Takzim 3-0.


Biarpun Perak terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas penyerang Abdul Hadi Yahya dilayangkan kad merah pada babak kedua, Azraai Khor tetap mengakui FELDA yang dikendalikan K Devan berhak menikmati kemenangan pertama di laman sendiri musim ini.

"Saya tak percaya selepas kami bermain cemerlang sebelum ini, tiba-tiba semuanya serba tidak menjadi. Saya boleh lihat sikap pemain yang kurang baik. Memang kami kehilangan Sharulnizam Mustapa pada saat akhir kerana kecederaan tapi itu bukanlah alasan.


"Malah sama ada Hadi ada atau tidak di atas padang tadi, kami sememangnya tidak layak menang. Pasukan tuan rumah mempamerkan kesungguhan dan bermain lebih konsisten," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.


Dua gol pada minit ke-30 dan 38 jaringan penyerang import Leonel St Preux dan Razali Umar Kandasamy menceritakan kepincangan pasukan pelawat biarpun berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Paulo Rengal sebelum separuh masa pertama berakhir.

FELDA yang kini bergelut untuk menjauhkan diri daripada zon penyingkiran mengesahkan tiga mata penuh menerusi gol ketiga penyerang gantian Rudie Ramli pada minit ke-55.


Tidak berpuas hati dengan kekalahan itu, Azraai bersedia mengambil tindakan drastik ke atas pasukannya yang kekal menduduki tangga kelapan liga.

"Saya akan membuat tindakan drastik bagi baki perlawanan liga selepas ini, mungkin saya perlu memberi peluang kepada pemain skuad Piala Presiden untuk beraksi," katanya.


Sementara itu Devan pula menghela nafas lega dengan kemenangan pertama di gelanggang sendiri selepas 15 perlawanan itu yang dianggap cukup penting untuk menyuntik keyakinan pemain.


"Saya harap kemenangan ini boleh memberikan keyakinan kepada pemain kerana dalam dua perlawanan sebelum ini, kami bermain baik tapi gagal menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Peluang Koo-Tan pertahan kejuaraan

Posted: 03 May 2013 12:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk mempertahankan kejuaraan GP Emas Terbuka Malaysia bukan petanda baik untuk mencabar kejuaraan Kejohanan Dunia, apatah lagi apabila mereka terkandas di separuh akhir kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Praveen Jordan-Vita Marissa.

Kekalahan dua set berturut-turut 17-21, 12-21 itu mujur ditebus gandingan ketiga negara, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing yang mencuri satu lagi slot ke final.


"Sebenarnya banyak kejohanan yang kami sertai tahun ini, kami tidak berada di tahap terbaik tapi apabila semuanya OK, permainan kami pula tidak menjadi," kata Liu Ying yang mengakui dia dan Peng Soon merasai tekanan ketika beraksi di separuh akhir semalam.

Dalam pada itu, Aik Quan-Pei Jing mara ke final selepas mempamerkan kebangkitan memberangsangkan, menang 13-21, 21-15, 21-13 ke atas satu lagi pasangan Indonesia Gideon Markus Fernaldi-Aprilsasi Putri Lejarsar Variella.


"Saya harap final ini peluang terbaik kami meraih kejuaraan selepas lebih dua tahun bergandingan," kata Pei Jing.


Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berpeluang mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan pemain profesional KLRC, Mohd Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari 17-21, 21-14, 21-14.

"Pada set pertama memang saya tidak 'enjoy' tapi masuk set kedua, kami mula yakin dengan corak permainan sendiri," kata Kien Keat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Soon Huat buru gelaran pertama

Posted: 03 May 2013 12:21 PM PDT

Goh Soon Huat (gambar) berikrar untuk meraih kejuaraan pertama di peringkat senior selepas melangkah ke final GP Emas Terbuka Malaysia dengan menewaskan rakan sepelatih, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Begitupun kemenangan yang dicapainya bukan mudah kerana Iskandar memberi cabaran cukup getir, cuma strategi digunakan Soon Huat berjaya membawanya ke final pertama dalam kerjayanya.


"Amat susah untuk dapatkan mata daripada Iskandar, dia begitu bagus dengan pukulan kilas sehingga saya tidak boleh menghantar bola sebegitu. Jadi saya gunakan strategi melakukan hantaran 'forehand' depan dan tengah secara bergilir-gilir untuk mendapatkan mata," kata Soon Huat.

Perlawanan separuh akhir pertama perseorangan lelaki itu menyaksikan Soon Huat menang 21-18, 18-21, 21-16, untuk bertemu pemain Indonesia, Yunus Alamsyah di final hari ini.


Yunus mara ke final selepas menang ke atas pemain China, Chen Yuekun yang menjadi pilihan untuk muncul juara kejohanan ini dengan 20-22, 21-17, 21-11.


"Saya pernah bertemu dengan Yunus di Terbuka Australia, saya tewas tiga set. Jadi untuk menang ke atasnya esok, saya perlu banyak bersabar, tidak boleh amalkan corak menyerang kerana pertahanan dia amat bagus," kata Soon Huat.

Sementara itu, Yunus menyuarakan perkara yang sama apabila berkata: "Saya yakin mampu menang di sini, tapi saya tengok permainan Soon Huat sudah banyak berubah berbanding pertemuan sebelum ini. Apa-apa juga boleh jadi esok (hari ini)." Kedua-dua pemain belum pernah meraih kejuaraan dengan kelebihan dilihat lebih memihak kepada Yunus kerana pernah beraksi di pentas final GP Emas Terbuka India tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

No comments:

Post a Comment