Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Koo-Tan terus dilanda malang

Posted: 04 May 2013 05:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Nama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sekali lagi dipadam dari senarai juara GP Emas Terbuka Malaysia, cuma kali ini mereka dimalukan gandingan 'adik' Goh V Shem-Lim Khim Wah.

Berikutan kemarau kejuaraan dialami Kien Keat-Boon Heong, GP Emas menjadi gelaran tunggal dimenangi mereka sejak tahun lalu, namun tanpa kelibat pasangan ternama dunia lain, kegagalan memenangi gelaran di bumi sendiri seharusnya membimbangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang meletakkan sasaran final Kejohanan Dunia mesti dicapai gandingan utama negara itu.


"Walaupun kalah, saya tetap bangga kerana ada gandingan pelapis yang mampu meraih gelaran, sekurang-kurangnya perburuan gelaran tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kami," kata Kien Keat.

Pasangan nombor tiga dunia itu tewas kepada gandingan pelapis, V Shem-Khim Wah dengan 20-22, 15-21 di final yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.


"Perlawanan hari ini (semalam) sebenarnya sama seperti semalam (kelmarin) ketika menentang Mohd Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari kerana kami saling mengenal permainan masing-masing," kata Boon Heong.


Sementara itu, Khim Wah berharap kejuaraan sulung selama bergandingan dengan V Shem ini menjadi titik tolak untuk mereka merangkul banyak lagi gelaran selepas ini.

Foto

BOON Heong (kiri)dan Kien Keat pamer aksi kurang memberangsangkan.

"Menang gelaran pertama amat menggembirakan tapi kami tidak meraikannya kerana menang ke atas rakan senegara. Saya harap selepas ini kami dapat beraksi dengan lebih yakin," kata V Shem.


Khim Wah pula berharap, penampilan tiga gandingan negara di Kejohanan Dunia di Guangzhou, China pada Ogos akan mengurangkan tekanan kepada Kien Keat-Boon Heong.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Pentingnya membukukan kisah atlet

Posted: 04 May 2013 05:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Mencari buku bergenre sukan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini memberi cabaran tersendiri buat penulis. Mana tidaknya, penerbitan buku berteraskan sukan seakan 'tenggelam' di sebalik minat orang ramai terhadap bahan bacaan bercorak popular mahupun buku keagamaan.

Jika di luar negara, atlet yang hebat bertambah popular dengan penerbitan buku membabitkan mereka. Lihat saja jaguh golf Tiger Woods menerusi beberapa buku antaranya How I Play Golf yang diterbitkan pada 2001, Tiger Woods (1997) dan Tiger Woods: A Biography (2006), tidak termasuk buku nukilan mendiang bapanya, Earl Woods bertajuk Training a Tiger.


Bekas bintang Manchester United yang kini gah di Paris St Germain, David Beckham pula berbangga dengan beberapa bukunya, begitu juga dengan Wayne Rooney, Fernando Torres. Malah sebut saja siapa atlet luar negara, baik Rafael Nadal, Li Na mahu pun Michael Schumacher semuanya sudah mencatatkan pengalaman sendiri menerusi buku untuk tatapan peminat masing-masing.

Bagaimana pula dengan atlet tempatan? Jika ada, penerbitannya dalam skala kecil dan kurang mendapat sambutan. Tahun lalu, pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menghasilkan autobiografi, Dare to be a Champion yang menceritakan liku perjalanan hidupnya hingga muncul sebagai ikon sukan negara.


Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron mengakui penerbitan bahan bacaan berteraskan sukan masih belum mendapat sambutan menggalakkan berbanding novel remaja atau popular yang lebih menarik minat masyarakat.


"Perspektif masyarakat tidak melihat sukan itu memerlukan ilmu, sukan dilihat sebagai satu kegiatan riadah dan santai. Jika ada ilmu membabitkan latihan ia hanya menerusi jurulatih dan bukan melalui buku," katanya.

"Berbanding di Barat, sukan bukan lagi satu kegiatan senggang atau mengisi masa lapang, tetapi sudah menjadi satu industri. Ahli sukan di barat jutawan yang menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi, sebab itulah buku autobiografi mereka laris terjual. Buku mengenai pemain golf, Tiger Woods serta pemain bola sepak David Beckham, Ryan Giggs, Wayne Rooney, semuanya sudah menjadi sumber ilham kepada atlet yang lain.


"Oleh kerana sukan bagaikan satu industri, maka buku berkaitan sains sukan juga mempunyai pasaran tertentu, ada orang yang berminat. Berbanding di Malaysia kita belum berasakan sukan satu industri, kita masih berasakan sukan kegiatan masa lapang dan sebab itu buku seperti itu tidak banyak di pasaran." Justeru, menurut Mohd Khair, ITBM cuba mengubah perspektif itu dengan mula menerbitkan buku siri sukan ITBM yang memberikan asas kepada sukan tertentu supaya murid di sekolah boleh mempelajari permainan sukan itu dengan cara yang betul dari segi peraturannya dalam bentuk yang santai, sesuai untuk murid sekolah.

"Apa yang kita cuba lakukan adalah memastikan buku yang diterbitkan ini akan berada di semua perpustakaan di sekolah. Mengapa di sekolah, kerana di situlah sumber generasi muda perlu dididik untuk menjadi ahli sukan berjaya, ahli sukan yang berpengetahuan. Atlet masa kini tidak boleh bergantung kepada bakat semata-mata mereka dari segi mental, pemakanan, kita perlu melentur buluh dari rebungnya," katanya.


Khair turut memberitahu, ITBM baru saja melancarkan autobiografi Supermokh: Legenda Bolasepak Tanah Air sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 mengenai Allahyarham Mokhtar Dahari yang menurutnya hingga ke hari ini tiada tolok bandingnya.


"Kita juga sedang mengadakan kerjasama dengan syarikat penerbitan antarabangsa dari Amerika Syarikat untuk menerbitkan kisah mengenai Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Azizulhasni Awang supaya ia menjadi inspirasi kepada anak muda Malaysia untuk menjadi ahli sukan yang berjaya," katanya yang turut merancang menerbitkan 50 buku bergenre sukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Super Safee inspirasi anak muda

Posted: 04 May 2013 05:16 AM PDT

Meskipun penerbitan bahan bacaan bergenre sukan masih boleh dibilang dengan jari, masih ada syarikat penerbitan yang muncul dengan cara kreatif untuk memastikan pembaca khususnya peminat sukan meneliti kisah hidup atlet pujaan mereka.

Komik Anak-Anak Sidek yang menceritakan zaman kanak-kanak Datuk Misbun Sidek, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid pernah menjadi satu sebutan suatu ketika dulu, selain Datuk Lee Chong Wei menerusi komik Jejak Libasan Jaguh yang diterbitkan tahun lalu.


Begitupun, Safee Sali, pemain bola sepak kebangsaan adalah antara yang mencuri tumpuan apabila kisah hidupnya dirakamkan menerusi komik Super Safee dan SS10.

Pengurus Penerbitan (Fiksyen) Kumpulan Media PTS, Wan Zuhairi Wan Zainuddin berkata, komik berkenaan mula diterbitkan pada April tahun lalu di Taman Permata dengan kerjasama Akademi Bolasepak Khaff FC.


"Komik berkenaan menceritakan perjalanan hidup Safee sejak lahir hingga tamat sekolah. Ia masih diterbitkan dan sehingga kini terdapat enam komik dan kami sasarkan 12 komik Super Safee diterbitkan pada hujung tahun ini," katanya.


"Safee menjadi pilihan kerana boleh dijadikan contoh kepada generasi baru untuk mengejar impian dalam bidang bola sepak. "Safee, sewaktu sekolah rendah dulu memang bercita-cita mahu menjadi profesional biarpun pada masa itu masih belum mewakili Malaysia.

"Dalam situasi bolasepak yang turun naik, begitu juga Safee sehinggalah pada Piala AFC Suzuki 2010, Safee berjaya mencipta sesuatu dan akhirnya mendapat tawaran bermain di luar negara. Ia membuka jalan kepada pemain bolasepak baru bermain di luar negara, seperti Portugal dan Jepun.


"Safee juga pernah mendapat peluang berlatih di Cardiff City. Safee antara harapan untuk beri inspirasi kepada pemain baru dan melihat salah satu cara adalah menerusi komik." Menerusi pendekatan itu yang turut memberi tumpuan kepada generasi baru, ia ternyata memberi hasil yang membanggakan.

Sejak diterbitkan, menurut Wan Zuhairi, komik Super Safee antara yang paling laris terjual di antara 120 komik yang diterbitkan syarikat berkenaan.


"Super Safee 1 sudah 30,000 naskhah terjual manakala yang lainnya sudah melebihi 10,000 dan masih mendapat permintaan," katanya.


Ketika ditanya sama ada pihaknya turut berminat untuk menerbitkan komik membabitkan atlet lain, beliau berkata ia masih dalam perancangan tetapi menurutnya PTS memilih atlet yang mempunyai imej yang bagus dan boleh dijadikan inspirasi kepada generasi baru, baik dari segi akademiknya mahupun pencapaian dalam sukan.


Begitupun realitinya, penerbitan buku bergenre sukan gagal menyaingi sambutan yang diberikan orang ramai terhadap buku bercorak agama, menurut Eksekutif Jualan Kanan PTS Publications, Nur Dianah Abdul Kadir.


"Bagi PTS, kami tidak memberi tumpuan mendalam terhadap buku berkaitan sukan kerana kami lebih menumpukan terhadap buku agama. Kami mengikut kehendak pasaran, apa yang pembaca mahukan kita akan terbitkan.


"Kita pernah menerbitkan sebuah buku berkaitan sukan tetapi kurang mendapat sambutan. Kami menerbitkan komik Super Safee yang mampu menaikkan semangat pelajar untuk fokus dalam bidang sukan, sambutannya amat menggalakkan dan beberapa kali diulang cetak."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Perlu pergiat penulisan atlet

Posted: 04 May 2013 05:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Negara bakal kehilangan khazanah penting dalam sukan negara jika penerbitan buku berkaitan sukan terus dipandang sepi.

Pengkritik sukan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengakui ada pihak yang memandang remeh sejarah membabitkan perkembangan sukan hinggakan masyarakat kini menjadi 'jahil'.


Beliau berkata, ramai yang sudah lupa dan tidak ingat apa yang berlaku dalam sukan negara sebelum ini dan ia menjadi lebih buruk dengan tiadanya pihak yang mahu menerbitkan buku membabitkan sukan negara.

"Saya pernah mencadangkan perkara ini tetapi tidak mendapat perhatian, mungkin mereka yang terbabit dalam sukan negara lebih berminat terhadap perkara lain," katanya.


"Sejarah sukan Malaysia bermula sejak 1930-an lagi malah kita pernah mengambil bahagian dalam Sukan Empayar British pada 1950-an dan kita menjadi negara disegani dalam sukan angkat berat.


"Majlis Olimpik Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Persekutuan Majlis Olimpik Malaya sendiri ditubuhkan pada 1953 dan Malaya turut popular dalam bidang bola sepak pada zaman 1930-an dan 40-an." Begitupun, beliau berpendapat perkembangan sukan di negara ini tidak seperti era kegemilangan dulu.

"Dalam badminton, cara permainan (Datuk) Lee Chong Wei berdepan pemain China tidak sama seperti pemain kita pada 1950-an dan 60-an padahal kita kuasa besar badminton dunia pada masa itu.


"Pada 1949, atlet dari China datang ke Malaya untuk berlatih tetapi apa yang berlaku kini, sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Impian Soon Huat tak kesampaian

Posted: 04 May 2013 05:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Tanpa Datuk Lee Chong Wei, gelaran GP Emas Terbuka Malaysia akhirnya beralih ke Indonesia menerusi Yunus Alamsyah, selepas harapan disandarkan pada pemain pelapis, Goh Soon Huat berkecai kerana kecetekan pengalaman.

Soon Huat tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya selepas meletakkan seluruh jiwa raga untuk bergelar juara baru, namun keghairahan untuk segera menang ketika mendahului 18-15 pada set penentuan, memakan diri apabila dia tewas 19-21.


"Kalau difikirkan memang saya mendahului selesa tapi saya memberi tekanan ke atas diri sendiri, ingin segera mematikan bulu tangkis," kata Soon Huat dengan wajah kecewa." Pemain bimbingan Hendrawan itu menang set pertama 21-10 dengan aksi penuh yakin sebelum mempamerkan penguasaan longgar pada set kedua, lalu tewas 9-21.

"Saya perlu belajar dengan cepat untuk meraih gelaran di kejohanan seterusnya. Selepas ini saya akan beraksi di Thailand, saya perlu lebih bersemangat, cekal, stabil dan beraksi dengan lebih yakin.


"Jika ikutkan hati memang saya amat kecewa kerana saya yakin boleh menang perlawanan akhir itu." Meskipun gagal meraih kejuaraan, Soon Huat membuktikan kualiti pemain pelapis negara mungkin lebih baik di kejohanan ini, berbanding dua pemain elit, Liew Daren dan Chong Wei Feng.


Dalam pada itu, Yunus mengakui yang corak permainan Soon Huat jauh berubah berbanding ketika dia mengatasi pemain negara itu di Terbuka Australia.

"Jauh beza kualiti permainannya hari ini kerana jauh lebih baik berbamding di Australia. Saya terkejut kerana dia pantas mengubah corak permainan dengan pertahanan lebih baik serta bermain dengan sabar," kata Yunus mengenai permainan Soon Huat.


Pada empat edisi lalu, Chong Wei menguasai kejohanan ini dengan mengalahkan empat lawan berbeza di final.

Pemain nombor satu dunia itu tidak menyertai kejohanan kali ini kerana mengalami kecederaan jari, dialami pada final Terbuka India minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

ASUM sasar lebih ramai perenang layak

Posted: 04 May 2013 05:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mensasarkan lebih ramai perenang negara dapat melayakkan diri ke Kejohanan Renang Dunia edisi ke-15 di Barcelona, Sepanyol yang dijadualkan berlangsung pada 19 Julai hingga 4 Ogos.

Setiausaha Kehormatnya, Edwin Chong berkata setakat ini enam perenang iaitu Daniel Bego, Kevin Yap Soon Choy, Shaun Yap Kah Choon, Khoo Cai Lin, Christina Loh dan Siow Yi Ting sudah menempah slot ke kejohanan itu.


"Walaupun tidak mensasarkan jumlah atlet ke kejohanan itu, kami berharap lebih ramai perenang dapat melayakkan diri ke Barcelona menerusi Kejohanan Terbuka Malaysia nanti," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-56 selama empat hari yang bakal membuka tirainya di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil mulai 16 Mei ini disahkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) sebagai antara medan kelayakan untuk Kejohanan Renang Dunia itu.


Kejohanan empat hari itu turut disertai Hong Kong dan India dengan penyertaan untuk peserta luar negara masih dibuka.


Selain menjadi medan kelayakan ke Kejohanan Renang Dunia, Kejohanan Renang Terbuka Malaysia turut menawarkan peluang kelayakan ke Sukan Olimpik Remaja 2014 di Nanjing, China.

Justeru, Edwin mahu semua perenang negara menggunakan peluang sedia ada untuk mencipta catatan masa terbaik bagi menggalas cabaran negara di kedua-dua kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Pemain usah tertekan

Posted: 04 May 2013 04:36 AM PDT

Manchester: Pengurus Manchester United Alex Ferguson meminta pemainnya yang sudah menjulang gelaran juara Liga Perdana Inggeris untuk bermain tanpa rasa tertekan bagi baki musim ini.

United menyambut ketibaan Chelsea ke Old Trafford malam ini dan Ferguson mahu pasukannya mempamerkan aksi membanggakan biarpun sudah sah bergelar juara Liga Inggeris buat kali ke-20.


Keputusan seri dengan Arsenal hujung minggu lalu menamatkan harapan United untuk mengatasi rekod pungutan mata Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris iaitu 95 mata tetapi Ferguson tetap kekal fokus.

"Inilah masanya untuk bermain dengan penuh semangat, tenang dan berseronok," katanya. "Itulah yang saya mahu lihat dan berharap kami mengakhiri musim ini dengan sempurna." Selepas meraikan kejayaan bergelar juara dan majlis Anugerah Pemain Bola Sepak Profesional baru-baru ini, pemain United kini lebih sibuk di luar padang.


Mereka akan menyertai perarakan trofi pada 13 Mei ini selepas menerima piala berkenaan sebaik selesai perlawanan menentang Swansea di Old Trafford pada hari sebelumnya tetapi Ferguson enggan bersikap sambil lewa memandangkan musim ini masih belum berakhir.


"Perkara seperti ini berlaku dan ia sukar dielakkan," katanya.

"Saya tidak pernah memikirkan mengenai perkara ini - anugerah PFA dan anugerah pemain terbaik tahunan kelab dan kini, perarakan piala pula.


"Kemudian (kapten kelab Nemanja) Vidic berjumpa saya dan meminta kebenaran untuk pergi ke Chester Races, Rabu depan dan tanpa berfikir saya berkata ya dan kemudian baru saya sedar terlalu banyak yang berlaku, tapi saya cuma boleh berharap yang mereka tidak lupa masih ada perlawanan bola sepak yang perlu dimenangi.

"Ia memang sukar, mereka melalui musim yang luar biasa dan berhak meraikannya sebagai satu pasukan. Mereka melalui musim yang mencabar tetapi mereka masih perlu memenangi perlawanan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Benitez hentam pencapaian United

Posted: 04 May 2013 04:35 AM PDT

London: Pengurus Chelsea Rafael Benitez kembali menghangatkan 'perang mulut' dengan rakan sejawatnya di Manchester United, Alex Ferguson menjelang pertemuan di Old Trafford malam ini.

Pertembungan dua seteru hebat itu mungkin terakhir buat pengurus sementara Chelsea, Benitez yang membawa pasukannya ke stadium lawan yang baru bergelar juara Liga Perdana Inggeris.


Pengurus kelahiran Sepanyol itu tidak pat mengelak daripada mengeluarkan kenyataan pedas buat kali terakhir buat musuhnya itu apabila menyifatkan Ferguson masih gagal di peringkat Eropah meskipun selepas sekian lama menerajui Manchester United.

Ditanya sama ada sukar untuk bersaing dengan pengurus yang banyak menjuarai gelaran, bekas pengurus Liverpool, Benitez dengan segera membalas: "Ya, di England.


"Memandangkan anda pasukan ternama dan mempunyai lebih banyak wang berbanding pasukan lain sejak bertahun lamanya, bolehlah anda terus menang dan terus bercakap.


"Bagaimanapun apabila anda bermain dengan pasukan hebat lain, ia memang lebih sukar. Patutkah beliau mencapai lebih banyak di Eropah? Saya tidak tahu. Kita biarkan saja perkara ini di situ." Perang kembali tercetus selepas Benitez membawa Chelsea ke final Liga Europa menentang Benfica di Amsterdam bulan ini.

Ferguson yang menjuarai dua Piala Eropah dan satu Piala Pemenang Piala sepanjang 27 tahun mengendalikan United, seakan-akan tidak berpuas hati ketika memuji pencapaian Benitez.


"Benitez menjalankan tugas dengan baik dalam tempoh beberapa minggu ini tetapi beliau lebih bimbangkan pencapaiannya, jadi beliau sering merujuk kepadanya," kata Ferguson. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Perang saraf Distin

Posted: 04 May 2013 04:35 AM PDT

Everton: Sylvain Distin mempunyai cara tersendiri untuk membangkitkan kemarahan penyokong Liverpool menjelang pertembungan derby Merseyside, hari ini apabila berkata, dia 'berasa sedih' dengan mereka yang kerap hadir di Anfield musim ini.

Everton dan Liverpool akan berentap hari ini dengan Toffees begitu terdesak meraih kemenangan bagi menghidupkan peluang mereka beraksi dalam kancah bola sepak Eropah musim depan.


Kemenangan akan memastikan mereka menamatkan cabaran di depan seteru utama yang lebih popular itu buat kali kedua berturut-turut dengan kejayaan itu dianggap lebih manis lantaran Liverpool menewaskan mereka di separuh akhir Piala FA, 12 bulan lalu.

Ketika tewas di Wembley, kesalahan diletakkan di bahu Distin kerana mencetuskan kebangkitan Liverpool selepas hantaran ke belakang yang lemah membolehkan Luis Suarez menyamakan kedudukan sebelum Andy Carrol menjaringkan gol kemenangan lewat perlawanan. Kini, Distin tampak seperti ingin membalas dendam.


"Penyokong The Reds agak senyap musim ini. Saya tertanya-tanya mengapa. Kini mereka merayu saya supaya melakukan kesilapan sekali lagi untuk membolehkan mereka berasa lega. Saya berasa sungguh sedih untuk mereka," katanya dalam twitter.


Jika kemenangan memihak kepada Liverpool, mereka mampu mengatasi Everton dengan kelebihan dua mata. Justeru, Stewart Downing begitu optimis The Reds mampu merapatkan jurang itu meskipun dengan ketiadaan Suarez yang digantung. Liverpool memiliki rekod bersih dalam lima pertemuan kedua-dua kelab itu sebelum ini dan Downing mahu mengambil kesempatan daripada tekanan yang dialami The Blues itu.

"Mereka perlu berdepan hakikat sudah 'berkurun' tidak memenangi sebarang perlawanan di Anfield. Hakikat pastinya tersemat di minda mereka. Pastinya David Moyes menjadi individu paling terdesak untuk menundukkan Liverpool.


"Tapi, kami tidak mahu rekod bersih itu tercemar. Kami bermain baik menentang Everton dalam tiga perlawanan musim lalu dan kami juga sepatutnya menang di Goodison, cuma pengadil silap kerana tidak membenarkan gol Suarez.

"Kami perlu bersedia dan pastikan kami bermula baik. Perlawanan ini pastinya menjadi medan ujian terbaik buat kami dan saingan pastinya sengit, tapi kami tetap yakin kami boleh meraih satu lagi kemenangan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

Mickelson ungguli saingan hari kedua

Posted: 04 May 2013 04:34 AM PDT

Charlotte: Juara Masters tiga kali, Phil Mickelson mencatat lima bawah par 67 semalam untuk mendahului dua pukulan selepas pusingan kedua Kejohanan Golf Wells Fargo.

Pemain kidal Amerika Syarikat itu memulakan saingan dengan pukulan putt sejauh 14 kaki untuk melakukan birdie berganda, menyerlah dengan mengumpul sembilan bawah par 135 keseluruhan selepas aksi 36 lubang di Quail Hollow.


"Saya bermula dengan baik untuk mendapatkan rentak terbaik di pusingan ini," kata Mickelson. "Saya benar-benar teruja dengan cara saya memulakan saingan dari pukulan tee. Jika saya bermain baik hujung minggu ini, ia pastinya hujung minggu yang menyeronokkan dan saya benar-benar mengharapkannya." Pemain Australia, Scott Gardiner, yang melakukan 67 pukulan berkongsi tempat kedua dengan 137 pukulan bersama pemain AS, Nick Watney dan George McNeill manakala pemain nombor dua dunia Rory McIlroy berkongsi tangga kelima dengan lima pemain lain, ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu.

Mickelson turut mencatat birdie di lubang ketujuh dan kesembilan sebelum bogey di lubang ke-12, disusuli dengan birdie di ke-14 dan 15 untuk menerajui tempat teratas berseorangan.


"Saya perlu bermain dengan baik, lebih agresif untuk mencatat pukulan lebih rendah hujung minggu ini kerana saya mahu memanfaatkan setiap pusingan sebaik mungkin," katanya.


Mickelson, yang muncul naib juara di belakang McIlroy di Quail Hollow pada 2010, berharap dapat menjuarai Terbuka AS, buat pertama kali bulan depan selepas lima kali menduduki tangga kedua di Merion.

"Tiada apa yang saya harapkan selain daripada menjuarai Terbuka AS," kata Mickelson.


"Menduduki tempat kedua lima kali dan tidak pernah memenanginya amat mengecewakan dan saya berharap peluang lebih cerah menanti di Merion kali ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04

No comments:

Post a Comment