Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Peminat basikal bukit teruja

Posted: 01 May 2013 12:21 PM PDT

Pengiktirafan diberikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PBKM) terhadap Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 membuatkan peminat sukan berbasikal bukit semakin teruja untuk tampil bersaing dalam kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan mencecah RM220,000 itu.

Lebih menggembirakan apabila PKBM bercadang menjadikan kejohanan membabitkan lima sirkit itu antara medan pemilihan skuad berbasikal bukit negara untuk bersaing di Sukan SEA Myanmar, Disember ini.


Bagi Ahmad Hanin Mohd Zain, perkembangan itu sesuatu yang menggembirakan terutama bagi mengetengahkan potensi dan bakat dimiliki anak lelakinya berusia 16 tahun, Mohd Afiq yang sudah setahun bergiat secara serius dalam sukan itu.

"Ini satu peluang keemasan untuk pelumba muda seperti anak saya mempamerkan bakat. Mungkin dengan menyertai kejohanan ini peluangnya untuk terus melangkah lebih jauh akan terbuka luas," kata kakitangan kerajaan dari Segamat, Johor itu.


Pandangan sama turut dikongsi pengurus pasukan BANSUNSEM CT, Faizul Izri Halimi yang melihatnya sebagai langkah bertepatan dalam meningkatkan lagi sukan itu di kalangan masyarakat.


Malah dia turut menaruh harapan laluan yang disediakan nanti bakal memberikan cabaran tinggi yang tidak pernah dirasai ahli kumpulannya sebelum ini kerana ia turut membabitkan kategori elit.

"Kami sudah banyak kali menyertai kejohanan seperti ini dan sememangnya mengharapkan laluan yang bakal mencabar kemampuan. Sememangnya kami tidak sabar menantikan sirkit pertama di Putrajaya," katanya yang akan menyertai kategori Terbuka Metro bersama-sama empat lagi ahli pasukannya.


Saingan kejohanan itu yang dianjurkan Harian Metro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) bakal membuka tirainya di Presint 15, Putrajaya pada 1 dan 2 Jun dengan sasaran 3,500 peserta mengambil bahagian dan tarikh tutup pada 15 Mei ini.

Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.


com.my atau hubungi Pengarah Kejohanan Nor Azam Aziz (019-3245808) dan AJK Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

AFC berdepan kontroversi baru

Posted: 01 May 2013 09:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Badan induk bolasepak Asia yang bermasalah akan memilih seorang pemimpin baru hari ini selepas kempen dibayangi dengan tuntutan dan pelbagai tuduhan membabitkan campur tangan pihak luar selain dakwaan pencabulan hak asasi manusia.

Dua tahun selepas dakwaan membeli undi yang mencetus kejatuhan bekas presiden, Mohamed Hammam (gambar), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kini berdepan risiko kontroversi baru apabila ahli gabungan berkumpul untuk memilih pengganti beliau.


Semua tiga calon bagi jawatan itu didakwa, pada masa yang sama, sama ada rasuah atau membenarkan kuasa luar campur tangan dalam pemilihan itu, ketika usaha mencetuskan era baru yang lebih terbuka dan telus.

Tuduhan, penafian dan tuntutan balas berleluasa sejak kebelakangan ini, menjadikan suasana tegang membabitkan 46 wakil anggota AFC yang bersidang di sebuah hotel lima bintang.


Saingannya sengit kerana kepentingan yang besar: AFC, persekutuan bolasepak terbesar dunia, mempunyai pendapatan yang penting dan pengaruh di seluruh kawasan yang luas terbentang dari Timur Tengah ke Oceania.


Tiga calon utama kini bersaing untuk melengkapkan baki penggal, yang berakhir pada 2015. Presiden dari Qatar itu tersingkir tahun lalu selepas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan peruntukan kewangan lantas dilarang menyertai sebarang aktiviti bolasepak.

Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa menjadi pilihan utama namun kerabat diraja Bahrain itu terpaksa mempertahankan diri atas tuduhan dan dakwaan beliau membayangi penahanan pemain bolasepak ketika insiden protes pro-demokrasi.


Sheikh Salman ditentang Yousuf Al Serkal (Emiriah Arab Bersatu), Hafez Al Medlej (Arab Saudi) dan Datuk Worawi Makudi (Thailand). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

Buru trofi kelas kedua Eropah

Posted: 01 May 2013 09:49 AM PDT

Pemburuan Chelsea untuk sekali lagi merangkul kejuaraan Eropah diteruskan awal pagi esok apabila bertemu FC Basel pada separuh akhir kedua bagi memburu tiket ke final Liga Europa.

Kelab London itu seperti Benfica yang akan bertemu Fenerbahce pada satu lagi separuh akhir, tersingkir awal pada saingan Liga Juara-Juara tetapi kedua-dua pasukan mungkin akan bertemu pada aksi final di Arena Amsterdam pada 15 Mei ini.


Chelsea berada pada kedudukan selesa selepas menang 2-1 di Switzerland tetapi Benfica tewas 0-1 kepada wakil Turki itu pada separuh akhir pertama.

Kemenangan di Liga Europa bukanlah sasaran asal kedua-dua kelab tetapi itulah satu-satunya peluang untuk menjulang piala bagi menebus kehampaan.


Chelsea selaku Juara Liga Juara-Juara, akan bermain perlawanan ke-11 dalam 33 hari menentang juara Switzerland itu di Stamford Bridge.


Mereka berpeluang cerah untuk menempah tiket final sekali gus membolehkan pengurus sementara Rafael Benitez berundur dengan cara terhormat.

Benitez berjaya mengubah nasib kelab itu dan masih berpeluang untuk merangkul kejuaraan Eropah serta memperbaiki kedudukan di kelompok empat teratas liga untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.


Tandukan Victor Moses dan sepakan percuma David Luiz (gambar) pada lewat permainan memberikan kemenangan kepada Chelsea selepas Fabian Schaer menyempurnakan sepakan penalti buat Basel pada minit ke-87.

Anak buah Murat Yakin sedang berusaha muncul kelab pertama Switzerland memenangi perlawanan kompetitif di England sejak 1995.


Basel pernah menewaskan kelab England musim ini apabila menyingkirkan Tottenham Hotspur menerusi penentuan penalti pada suku akhir selepas seri 2-2 di London dan 2-2 di tempat sendiri.


"Amat menarik dapat menjuarai liga domestik tapi layak ke separuh akhir Liga Europa lebih menarik.


"Setiap pemain sedar kami mampu memberi saingan kepada mana-mana pasukan. Kami gembira dengan apa yang kami capai setakat ini dan selain itu ia adalah satu bonus," kata Yakin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

Rancangan mantapkan pasukan

Posted: 01 May 2013 09:48 AM PDT

Manchester, England: Alex Ferguson (gambar) mengesahkan beliau mempunyai perancangan untuk memantapkan skuad Manchester United musim panas ini.

Pengurus dari Scotland yang baru meraih gelaran liga buat kali ke-13 bersama United musim ini, sudah memulakan persediaannya untuk mempertahankan kejuaraan musim depan.


Beliau yakin sudah mempunyai pemain di kelab itu bagi mewujudkan asas kukuh untuk tempoh lima tahun akan datang namun masih mahu menambah kualiti selagi termampu.

Walaupun tidak mempunyai kemampuan berbelanja seperti Manchester City atau Chelsea, Ferguson yakin United boleh menjadi kompetitif pada jendela perpindahan pemain musim panas ini.


"Anda perlu melihat struktur pemain di kelab ketika ini, dalam aspek jumlah pemain skuad utama kita sudah mempunyai sejumlah pemain berusia 23 tahun atau lebih muda," kata Ferguson.


"David De Gea, Rafael, Phil Jones, Chris Smalling, Alex Buttner, Nick Powell, Tom Cleverley dan Danny Welbeck, Shinji Kagawa serta Chicharito berusia 24 tahun. Jonny Evans berusia 25 tahun dan Wayne Rooney mencapai kemuncak pada usia 27 tahun.

"Pemain lebih berumur seperti Ryan Giggs, Paul Scholes dan Rio Ferdinand mungkin menuju penghujung karier namun pemain muda itu adalah asas untuk tempoh lima atau enam tahun selepas ini, tanpa mengira pemain yang kelihatan menyerlah seperti pemain Belgium, Adnan Januzaj yang kelihatan sangat bagus.


"Semoga pemain yang kami beli tahun depan ada lebih kualiti yang kami perlukan. Kami perlu kompetitif dalam pasaran pemain, kami tidak setanding Chelsea atau Manchester City dalam aspek kewangan namun kami perlu kompetitif.

"Kami sudah menjalankan sedikit kajian terhadap perkara itu dalam tiga atau empat bulan lalu, menyasarkan pemain mana yang kami rasa mampu memantapkan skuad ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

'Sudah dimaafkan'

Posted: 01 May 2013 09:48 AM PDT

Pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic berkata dia sudah memaafkan Luis Suarez selepas digigit penyerang Liverpool itu.

Ivanovic digigit di lengan oleh Suarez ketika Chelsea terikat 2-2 di Anfield bulan lalu dan pemain Uruguay itu dikenakan penggantungan 10 perlawanan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris.


Suarez memohon maaf kepada Ivanovic serta-merta selepas insiden itu dengan pemain Serbia itu mengakui terkejut.

Pemain berusia 29 tahun itu tidak memendam rasa mengenai perkara itu dan mengesahkan dia tidak berdendam terhadap Suarez.


"Sudah pasti apa yang berlaku sangat mengejutkan saya," kata Ivanovic.


"Namun selepas perlawanan, saya tenang. Saya hampir terlupa mengenai semua yang berlaku.

"Hari berikutnya kami berbual menerusi telefon dan saya menerima permohonan maaf dia. Saya tidak mengkritik apa yang dia lakukan, tapi turut tidak mempertahankan dia.


"Namun saya memaafkan dia. Bagi saya perkara itu boleh berlaku. Namun saya tidak kisah." Minggu lalu Suarez memutuskan tidak merayu terhadap penggantungan 10 perlawanan, namun satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya, dia menekankan ada percanggahan terhadap hukumannya berbanding pemain lain sebelum ini hingga mengalami kecederaan serius".

Namun pemain antarabangsa Uruguay itu secara keseluruhannya kesal dan berkata: "Saya harap semua individu yang tersinggung dengan saya akan memberikan kemaafan dan saya mengulangi permohonan maaf secara peribadi kepada Branislav.


"Saya sedar semua yang berlaku kepada saya di England akan membantu saya membaiki tingkah laku di padang.


"Saya membuat keputusan untuk menerima penggantungan itu kerana 10 perlawanan lebih berat berbanding hukuman pada masa lalu apabila pemain mengalami kecederaan serius. Saya mengakui tindakan saya tidak boleh diterima. Saya tidak mahu memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai dengan membuat rayuan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

Bolt lupakan Jemputan Antarabangsa Jamaica

Posted: 01 May 2013 09:45 AM PDT

Kingston: Pemenang enam pingat emas Olimpik, Usain Bolt (gambar) terpaksa melupakan kejohanan Jemputan Antarabangsa Jamaica Sabtu ini kerana kekejangan hamstring, menurut ejennya semalam.

Pemegang rekod dunia acara 100 dan 200 meter itu berasa ketegangan ketika latihan hujung minggu lalu dan selepas berbincang dengan jurulatih Glen Mills memutuskan tidak mahu mengambil sebarang risiko, kata ejennya Ricky Simms.


"Ia kekejangan kecil dan dia berharap OK bagi minggu depan tapi anda tahu ia hari ke hari... mungkin dua atau tiga hari. Ia hanya masalah memecut," kata Simms.

Ditanya jika kecederaan itu serius, Simms membalas: "Tidak. Dia harap boleh berlari di Cayman minggu depan, jadi ia dipanggil kekejangan tahap satu, yang mana anda tidak boleh memecut, tapi anda boleh berjalan. Dia tidak terhincut-hincut atau seumpamanya." Bolt dijadualkan menyertai perlumbaan 200m pertamanya musim ini menentang pemenang gangsa Olimpik dari Jamaica, Warren Weir dan pelari Amerika, Wallace Spearmon pada kejohanan itu.


Perlumbaan berikut buatnya adalah acara 100m pada kejohanan di Kepulauan Cayman 8 Mei ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

Nadal masih lagi ancaman

Posted: 01 May 2013 09:45 AM PDT

Bagi Rafael Nadal, untuk mengejar jurang 7,000 mata dengan Novak Djokovic dalam ranking ATP satu tugas sukar, namun dia mungkin mampu mengancam impian pemain Serbia itu menamatkan 2013 sebagai pemain nombor satu dunia.

Ketika Terbuka Perancis semakin menghampiri, Nadal kembali ke gelanggang tanah liat kegemarannya untuk meneruskan kemunculan semula berikutan kecederaan lutut yang menyaksikannya tidak beraksi tujuh bulan.


Pemain Sepanyol itu memenangi empat kejuaraan dalam enam kejohanan sejak kembali di Chile Februari lalu, muncul naib juara dalam dua lagi kejohanan, namun masih berada di luar kelompok empat terbaik dunia.

Bermula di Madrid minggu depan, yang mana dia mengalami kejutan tersingkir pada pusingan ketiga tahun lalu di tangan rakan senegara Fernando Verdasco, pilihan kelima Nadal boleh mula mengatur langkah.


Pemain dari Mallorca itu mesti mempertahankan 3,000 mata pada Masters Rome dan kemudian di Roland Garros, yang mana dia memburu kejuaraan Terbuka Perancis kelapan.


Kekalahan mengejut pada pusingan kedua di tangan pemain Czech, Lukas Rosol di Wimbledon tahun lalu ternyata menjadi perlawanan terakhirnya pada 2012, bermakna pemain Sepanyol itu mempunyai enam bulan untuk mengumpul mata ranking dan merapatkan jurang dengan pemain di atasnya.

Djokovic berharap menamatkan musim ketiga berturut-turut sebagai pemain nombor satu dunia namun Brad Gilbert, bekas pemain nombor empat dunia dan jurulatih Andre Agassi, percaya Nadal mampu mencabar pemain Serbia itu hujung tahun ini.


"Bagi saya, ini saat paling menarik musim ini," kata Gilbert.

"Anda berdepan dua kejohanan Masters 1000 berturut-turut dan kemudian Terbuka Perancis serta Wimbledon. Ia 6,000 mata untuk dikutip dalam tempoh yang singkat dan apa yang berlaku ketika ini akan memberikan bayangan siapa yang boleh menghuni tangga nombor satu.


"Djokovic berada pada kedudukan yang bagus namun ia masih satu saingan sengit."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

Sofbol gamit warga politeknik

Posted: 01 May 2013 09:44 AM PDT

Johor Bahru: Sukan sofbol kini menjadi sukan teras dan kekuatan politeknik yang kian mendapat tempat di hati warga insititusi pengajian tinggi itu.

Kerana itu Majlis Sukan Politeknik (MSP) bukan saja sedang merangka pelan tindakan bersepadu dan secara terancang malah berjaya menyiapkan tiga gelanggang Skin Diamond (Polimas, Politeknik Ibrahim Sultan(PIS) dan Politeknik Sultan Azlan Shah,PSAS) bertaraf antarabangsa demi barisan pemain untuk pasukan negara. Pengerusi Sekretariat Pembangunan Sukan Sofbol MSP Mohammed Tahir Mohammed berkata MSP paling menonjol dalam sukan sofbol dalam setiap penyertaan di sebarang kejohanan setakat ini.


"MSP A dan MSP B muncul juara peringkat kumpulan pada kejohanan Sofbol Terbuka Kebangsaan ke-39 di UTM baru-baru ini.

"Pasukan lain bertanding adalah dari Brunei, Selangor, Melaka, Sarawak, Kuala Lumpur, Terengganu dan Pahang," katanya.


MSP kategori lelaki kali ini diperkuatkan dengan bekas pemain kebangsaan Rasidi Mohd Sidek sebagai ketua jurulatih dibantu Khairulizwan dan diurustadbir oleh Mohd Asmedi Yaacob daripada Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak.


"Dalam kejohanan ini, hanya MSP A mampu menewaskan pasukan elit Brunei yang juga juara bertahan 3-2 pada peringkat kumpulan.

"Namun perjalanan MSP A terkandas di suku akhir atas masalah teknikal. Akhirnya Brunei menjuarai kejohanan ini dan mengekalkan rekod kejuaraan mereka," katanya.


MSP mengadakan kejohanan sofbol inter-politeknik dan itulah medan terbaik mereka menguji kekuatan pasukan baru nanti.

"Kami akan berusaha mencungkil potensi di kalangan pelajar daripada 32 politeknik seluruh negara. Malah kami bangga ramai kalangan pemain MSP telah menyarung jersi pasukan negeri dalam SUKMA," ujar Mohammed Tahir lagi.


Katanya, MSP akan menganjurkan Kejohanan Sofbol Jemputan Antarabangsa di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun.


Politeknik yang kerap mendominasi sukan sofbol adalah Polimas, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Politeknik Port Dickson, Politeknik Sultan Azlan Shah, Politeknik Merlimau, Melaka dan Politeknik Melaka, termasuk Politeknik Muadzam Shah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

UiTM kuasai carta teratas

Posted: 01 May 2013 09:43 AM PDT

UiTM Shah Alam menamat pusingan pertama saingan Divisyen Satu Liga IPT dengan mengungguli carta teratas selepas mengekal rekod tanpa kalah dengan empat menang, tiga seri dan mengumpul 15 mata.

Terbaru pasukan bimbingan Wan Mustafa Wan Ismail (gambar) itu sekadar menang tipis 1-0 ke atas Kolej Komuniti Kedah (KKK) Sabtu lalu, namun sudah cukup untuk menjarak kedudukan dengan pencabar kedua, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meminta tangguh pertemuan menentang Universiti Malaya (UM), kepada tiga mata.


Walaupun masihberbaki satu perlawanan, UKM mampu memintas UiTM Shah Alam tetapi mereka harus mengatasi UM, salah satu pasukan pilihan yang turut menewaskan pasukan dari Bangi itu pada final Piala MASUM tahun lalu, perlu menang dengan kelebihan empat gol.

"Kami sudah berada di landasan tepat untuk mempertahan gelaran Divisyen Satu," kata Wan Mustafa. "Kemenangan tipis itu tidak membayangkan keupayaan sebenar kami." Gol kemenangan UiTM Shah Alam hasil ledakan lencong dari luar kotak penalti oleh pemain dari Sarawak Rantai anak Juki.


Tidak ada perlawanan Sabtu ini kerana memberi ruang kepada Pilihan raya Umum ke-13 Ahad ini.


Sementara itu, Universiti Multimedia, satu-satunya pasukan dari IPTS, mengalamai kekalahan terburuk apabila dibelasah Universiti Teknikal Melaka (UTeM) 8-0 di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

UKMPSP, Lanang FT sama kuat

Posted: 01 May 2013 09:42 AM PDT

Seberang Jaya: Skuad futsal Unit Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seberang Prai (UKMPSP) berjaya mengikat pasukan Lanang FT 7-7 dalam perlawanan persahabatan di gelanggang Safira Sport Planet, di Seberang Jaya, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Keputusan itu lebih baik daripada pertemuan pertama mereka yang diadakan tahun lalu apabila tewas 4-10 kepada lawan sama.


Dalam perlawanan kedua itu, UKMPSP pimpinan Mohd Shukri Said melangkah lebih konsisten dan mengelak kesilapan kecil membolehkan mereka menyerap tekanan seterusnya mencari gol awal.

Walaupun berdepan pemain Lanang FT pimpinan Mohd Rizal Osman, yang memiliki taktikal individu dan berpasukan mantap, UKMPSP berjaya mencuri kesempatan untuk meletakkan pasukan mereka di depan dalam separuh masa pertama berbanding keputusan awal 4-2.


Bagaimanapun, keputusan itu berubah sebaik permainan bersambung pada babak kedua apabila Lanang bangkit mengikat kedudukan 7-7.


"Kami tetap berpuas hati. Bukan mudah menakluk pasukan mantap seperti Lanang FT. Apa pun, kami sudah berusaha yang terbaik untuk menyaingi lawan. Mungkin perlawanan selepas ini kami dapat menewaskan mereka," kata Mohd Shukri.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rizal, berkata kebangkitan UKMPSP menakjubkan kerana corak permainan mereka banyak berbeza dalam pertemuan terdahulu.


"Lanang FT bertuah kerana dapat bersaing dengan UKMPSP yang ternyata semakin meningkat permainan mereka. Kemenangan kami mungkin disebabkan sedikit bernasib baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02

No comments:

Post a Comment