Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Ketiadaan TMJ, kerugian PBNJ'

Posted:

Kuantan: Tindakan drastik Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dilihat sebagai kerugian besar buat sukan nombor satu negara, terutama di negeri itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah yang terkejut dan dukacita dengan keputusan itu, berharap Tunku Ismail menimbang semula keputusan melepaskan jawatannya itu.


"Saya sangat menyokongnya menyertai bola sepak dan berasa dukacita apabila dimaklumkan mengenai peletakan jawatan TMJ (Tengku Mahkota Johor), saya harap beliau menimbang semula keputusannya itu.

"Bagi saya, mereka (PBNJ) amat memerlukan beliau, kita tengok sejak TMJ menjadi Presiden, bilangan peminat bola sepak Johor di stadium amat menggalakkan, ini apa yang saya lihat sendiri melalui media," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), kelmarin.


Ditanya berhubung keputusan Tunku Ismail meletak jawatan kerana sukar mentadbir PBNJ yang terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM, beliau berkata, tiada siapa terkecuali daripada dikenakan hukuman jika mereka disabitkan kesalahan.


"Tiada siapa boleh lari daripada undang-undang dan perlu patuh serta terima hukuman jika bersalah, kerana tiada siapapun mengatasi undang-undang di Malaysia ini.

Foto

Sultan Ahmad Shah

"Bila kita sanggup berkhidmat dalam apa jua jawatan, kita tertakluk kepada undang-undang yang perlu dipatuhi dan perlu ikut dan terima hukuman jika melakukan kesalahan.


"Tiada siapa tidak melakukan kesilapan, kita sebagai manusia mesti terima ini semua. Jika saya melakukan sesuatu yang salah, saya akan berdepan dengannya kerana ia sebahagian daripada kehidupan." Sementara itu, beliau turut bercadang bertemu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara terbabit.

"Saya baru saja bersama Tuanku Sultan Johor pergi ke Langkawi, Kedah. Mungkin dalam masa terdekat saya akan bertemu beliau lagi untuk bertanya 'khabar'."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

'Rookie' tekad cabar kejuaraan

Posted:

Kuala Lumpur: Usianya masih remaja tetapi komitmen dan sikap mahu belajar membuatkan pelumba berpengalaman sentiasa waspada dengan kehadirannya di litar lumba.

Itu gambaran diberikan terhadap Mohd Fithri Ashraf Razali, pelumba muda kategori CP130 pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.


Pelumba 'rookie' yang mewakili pasukan kendalian Soong Chee Kieong itu sedia mencabar tiga pelumba lebih berpengalaman seperti Azlan Shah Kamaruzaman, Norizman Ismail dan Md Affendi Ismail.

Menjelang saingan pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, bermula esok, Ashraf, 17, tekad memperbaiki kedudukan dengan berada dalam kelompok terbaik CP130.


"Ini musim kedua saya bersama pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, antara pasukan Cub Prix yang memiliki tradisi dan rekod perlumbaan cemerlang.


"Semangat diberikan pelumba senior yang memberikan bimbingan taktikal serta pengetahuan pelarasan enjin membuatkan saya bersedia memikul tanggungjawab besar itu. "Saya sedar podium hanya menyediakan tiga tempat dan rasa berbaloi mendapatkan keyakinan selain bersaing secara positif bersama mereka yang berpengalaman dalam pasukan ini," katanya.

Musim lalu, Fithri mempamer aksi mantap apabila menaiki podium lima kali. Dia menamatkan saingan di tempat kedua di Banting dan dua kali tempat ketiga di Teluk Intan dan Sepang pada saingan Cub Prix. Pelumba muda itu menang perlumbaan Asia di Qatar dan tempat kedua di Taiwan pada Piala Impian Asia (Asia Dream Cup). Tahun lalu, Ashraf menduduki tangga tujuh keseluruhan kategori CP130 dan satu-satunya pelumba muda berada dalam kedudukan 10 Terbaik pada musim pertama menyertai pasukan itu.


"Sungguh seronok berada dalam pasukan ini, apatah lagi dapat bergandingan dengan mereka bertiga (Azlan Shah, Norizman dan Affendi) yang pernah muncul juara kategori Expert, Underbone, CP130, Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia.

"Berbekalkan rakan sepasukan yang sentiasa positif serta pengurus dan mekanik yang tahu bagaimana untuk menangani jentera, situasi seperti itu menambahkan keyakinan kepada seseorang pelumba sebelum berlepas dari petak permulaan.


"Saya harapkan permulaan baik di Batu Kawan kerana tidak mahu tercicir mata hingga terpaksa bergelut pada pertengahan musim yang belum tentu dapat menjamin mata konsisten hingga akhir musim. "Lima pusingan pertama penting untuk mencorak 'mood' serta gambaran kedudukan pasukan dan pelumba untuk keseluruhan musim 2013."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

Semangat pemain tonik kejayaan

Posted:

Kuala Terengganu: SMK Sultan Sulaiman muncul juara Kejohanan Bola Jaring Bawah 15 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Terengganu Selatan (MSSDKTS) selepas menewaskan musuh tradisi, SMK Sultan Mansor, 13-8.

Dalam saingan mendebarkan di SMK Chendering itu, SMK Sultan Sulaiman mendahului lawan 8-5 pada separuh masa pertama.


Mengulas kecemerlangan SMK Sultan Sulaiman itu, jurulatih Mardiana Mokhtar berkata, beliau berasa cemas kerana perlawanan akhir itu sungguh mencabar lantaran pihak lawan tidak mahu memberikan kemenangan mudah kepada mereka.

"Saya kagum dengan kesungguhan pemain, meskipun lawan begitu bersemangat memberikan saingan mereka tetap mengekalkan ketenangan. "Kejayaan ini cukup manis kerana kami berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut," katanya.


Seramai tujuh pemain SMK Sultan Sulaiman turut diumum mewakili pasukan MSSDKTS ke kejohanan peringkat negeri yang dijangka diadakan akhir bulan ini.


Bagi Mardiana, pemilihan tujuh pemainnya itu dianggap sebagai kejayaan berganda buat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

MRSM Kota Putra jagoan taekwondo

Posted:

Kulim: Maktab Rendah Sains (MRSM) Kota Putra, Terengganu muncul juara Kejohanan Taekwondo MRSM Seluruh Malaysia yang berlangsung di MRSM Polis Diraja Malaysia (MRSM PDRM), Kulim, baru-baru ini.

Seramai 640 peserta menyertai kejohanan edisi ke-10 yang dibahagikan kepada lima kategori untuk menengah rendah dan menengah atas.


Pada kejohanan itu, MRSM Kota Putra meraih tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa untuk mengutip 47 mata keseluruhan dan dinobat juara keseluruhan. MRSM Baling kedua dengan 44 mata dan MRSM Besut ketiga 28 mata. Bagaimanapun MRSM Baling muncul juara keseluruhan menengah rendah apabila membolot dua emas, satu perak dan dua gangsa manakala MRSM Besut serta MRSM Pengkalan Chepa diisytihar juara bersama keseluruhan bagi kategori menengah atas apabila masing-masing meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Pada kejohanan empat hari itu, Ahmad Dinie Furqan Kamaruzaman dari MRSM PDRM Kulim dipilih peserta Lelaki Terbaik bagi kategori menengah rendah dan Areena Zahira Mohd Abdulah Shabri (MRSM Baling) peserta Terbaik Perempuan untuk kategori sama.


Untuk kategori menengah atas pula, Amirul Afiq Rahman dari MRSM Besut dan Nur Aqilah Zahraa A'Jalwaa' Alias (MRSM Pengkalan Chepa) dipilih peserta Terbaik Lelaki dan Perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

TDM taja barangan sofbol

Posted:

Kuala Terengganu: Seramai 50 pemain sofbol Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara meluahkan kegembiraan apabila menerima sumbangan RM10,000 dalam bentuk peralatan sukan daripada anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Development Management Berhad (TDM).

Ketua Pegawai Kewangan TDM Amir Mohd Hafiz Amir Khalid berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu sekolah itu menyerlah dalam sukan itu.


"Saya harap pemain kini lebih bersemangat untuk meraih kejayaan pada kejohanan lebih besar sama ada dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.

"Saya amat kagum apabila diberitahu beberapa bekas pelajar dan pemain sofbol SMK Padang Negara mendapat keputusan cemerlang dalam bidang akademik.


"Sumbangan ini bertepatan dengan tanggungjawab sosial korporat TDM dalam menyokong usaha kerajaan negeri memajukan sukan ini di Terengganu," katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan di SMK Padang Negara, baru-baru ini.


Sementara itu, Pengetua SMK Padang Negara Megat Abu Bakar Megat Husin berkata, sebelum ini pasukan sofbol sekolahnya tidak mempunyai peralatan mencukupi.

"Walaupun serba kekurangan kami masih mampu meraih kejayaan pada pertandingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia Kuala Terengganu Selatan pada 2008 dan 2011.


"Sekolah ini juga tidak ketandusan melahirkan pemain sofbol untuk SUKMA dan Sukan SEA kerana bekas pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, masih terus berkecimpung dalam sukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

Janji Stewart!

Posted:

Kuantan: Pemain import baru Pahang Damion Delano Stewart berazam membantu skuad Tok Gajah meraih kejuaraan saingan Liga M musim ini.

Mengakui cuaca di Malaysia seperti negara kelahirannya, Jamaica, Stewart memberi jaminan kepada pengurusan Pahang, pemilihannya dalam skuad itu memang tepat.


Pemain berusia 33 tahun itu percaya kehadirannya dapat mengukuhkan lagi pertahanan Pahang apabila pusingan kedua Liga Super bermula 13 April ini.

"Setakat ini latihan bersama pemain Pahang berjalan lancar dan mereka juga banyak membantu komunikasi dan ia tidak menjadi masalah utama.


"Malah keadaan cuaca yang lebih kurang sama di Jamaica membantu saya menyesuaikan diri lebih cepat biarpun sebelum ini hampir lapan tahun bermain di England," katanya.


Bekas pemain pertahanan Notts County yang beraksi dalam Liga Perdana Satu Inggeris itu pemain import baru Pahang selepas Mohamed Borji dari Maghribi dan Nikolche Klechkaroski (Macedonia) ditamatkan kontrak.

Pemain yang pernah menyarung jersi Queen Park Rangers (QPR) pada 2006 hingga 2010 itu nyata selesa dan gembira kerana dapat mewakili Pahang yang dilihat bakal menjadi pasukan berjaya musim ini.


Stewart yang memiliki ketinggian 191 sentimeter dan masih beraksi bersama skuad kebangsaan Jamaica bermula 1999 begitu teruja dengan sokongan peminat tempatan.

"Mereka datang dan bergambar dengan saya. Kehadiran mereka menguatkan semangat saya untuk membantu Pahang." Sementara itu, jurulatih Pahang Dollah Salleh puas hati dengan aksi dan komitmen dipamerkan Stewart sepanjang sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

Persiapan Tok Gajah terjejas

Posted:

Kuantan: Persiapan Pahang berdepan Sime Darby pada saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam esok, terganggu berikutan kecederaan tiga tonggak yang mungkin tidak dapat diturunkan.

Lebih memeritkan, dua daripada tiga pemain itu adalah penjaga gol, Mohd Rosfaizul Azuar Ali dan Mohd Nasril Mat Nordin manakala Mohd Saiful Nizam Miswan, pertahanan.


Justeru tidak hairan jurulatih Pahang Dollah Salleh berharap seorang daripada dua penjaga golnya itu sempat pulih sebelum perlawanan.

Beliau agak bimbang dengan situasi itu kerana kecederaan Nasril dilihat lebih serius selepas jari kelingking patah.


"Saya Rosfaizul pulih daripada kecederaan dalam tempoh tiga hari. Saya juga tidak pasti untuk menurunkan pemain yang akan menggantikan posisi Saiful jika dia tidak dapat diturunkan nanti," katanya.


Difahamkan, jika Saiful tidak sempat sembuh, Mohd Zaiza Zainal Abidin yang sudah pulih daripada kecederaan lutut dan kembali menjalani latihan akan mengisi kekosongan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

Piya, Nwakaeme pamer keserasian

Posted:

Kota Bharu: K apten Kelantan Mohd Badhri Radzi mengaku serasi beraksi bersama penyerang import, Dickson Nwakaeme dan mahu pemain dari Nigeria itu beraksi dalam saingan Liga Super selepas pendaftaran pemain baru dibuka 8 April ini.

Aksi memukau pemain penyerang import bertubuh sasa itu ketika membenam SHB Da Nang dari Vietnam, 5-0 pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Selasa lalu menambah keyakinan Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya untuk terus beraksi bersama.


Mohd Badri selaku perancang utama The Red Warriors (TRW) berkata, dia memerlukan penyerang yang serasi dan dapat membaca hantaran dilakukannya dan optimis Nwakaeme adalah pilihan terbaik setakat ini berbanding bintang muda dari Australia, Dimitri Petratos.

Katanya, Nwakaeme bukan saja dapat membaca hantarannya malah mempunyai kemahiran mengawal bola lebih baik daripada penyerang import, Keita Mandjou yang kini beraksi untuk Liga Super.


"Saya lebih gemar bergandingan bersama Nwakaeme ketika saingan AFC malah berharap kami dapat terus bekerjasama andai dia didaftarkan untuk Liga Super apabila sesi pendaftaran pemain dibuka.


"Bagi saya Nwakaeme bagus dan saya serasi dengannya. Bagaimanapun, keputusan terletak di tangan jurulatih dan saya tetap menghormati apa jua yang diputuskan pengurusan," katanya.

Menurut Mohd Badhri, Kelantan memerlukan penyerang yang mampu melakukan penyudah selain boleh memecah benteng lawan andai mahu bangkit menguasai pusingan kedua Liga Super.


"Sudah pasti kita mahu mempertahankan kejuaraan Liga Super dan ia bukan satu tugas mudah apatah lagi kita ketinggalan jauh dengan pendahulu pada pusingan pertama. "Kita perlu pemain bagus untuk membantu pasukan bangkit pada pusingan kedua." Hingga kini, ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak belum memutuskan siapa yang bakal mengisi dua slot pemain import selepas mempamer aksi cemerlang.

Apakah nasib Mandjou sekiranya Nwakaeme terpilih dan bagaimana pula dengan Petratos yang dilihat terus kempunan untuk beraksi di Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

Buru kemenangan pertama

Posted:

Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) masih tercari-cari kemenangan pertama dalam siri latihan di Eropah selepas anak buah Ong Kim Swee itu tumpas 1-4 kepada kelab liga utama Slovakia, MSK Zilina dalam aksi persahabatan kelmarin.

Keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati pengendali negara itu yang menganggap barisan pemainnya masih melakukan kesilapan sama dan kerap hilang tumpuan hingga menjadi punca kekalahan kali ini.


"Ini perlawanan kompetitif dan bukan mudah untuk pemain mengharungi persekitaran baru (cuaca sejuk). Ia menguji mental, fizikal dan tumpuan pemain kita pada tahap maksimum.

"Sesetengah pemain masih cenderung melakukan kesilapan dan hilang tumpuan menyebabkan gawang kita dibolosi tiga kali. Ini antara kelemahan ketara dapat dilihat pada perlawanan semalam (kelmarin)," kata Kim Swee.


Pertemuan dengan MSK Zilina kelmarin aksi ketiga skuad B-23 negara selepas seri 1-1 menentang skuad B-19 Slovakia dan dibelasah 1-7 skuad B-21 Georgia.


Kim Swee yang ditugaskan membentuk skuad mantap bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar Disember ini tetap yakin mereka masih mempunyai cukup masa untuk meningkatkan prestasi.

"Saya melihat masih ada aspek positif daripada perlawanan ini. Pergerakan bola dan hantaran pendek dari benteng pertahanan yang dilakukan pemain semakin baik tapi saya menuntut lebih banyak peningkatan selepas ini.


"Kita baru mengharungi tiga perlawanan dan masih ada masa memperbaiki kelemahan pasukan," kata Kim Swee yang tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada anak buahnya.

Selain Sukan SEA, skuad B-23 yang dibarisi ramai pemain Harimau Muda A itu akan turut menggalas cabaran Sukan Universiti Dunia di Kazan, Russia dari 6-17 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

Bambang kini wartawan sukan

Posted:

Jakarta: Pemain popular Indonesia Bambang Pamungkas yang bersara dari bola sepak kebangsaan selepas menolak panggilan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015, kini menjadi wartawan sukan.

Bambang yang dikenali dengan panggilan singkat Bepe, mengalihkan pilihannya ke perniagaan berita portal bersama penyampai sukan, Darius Sinathrya, iaitu membina portal berita sukan www.sportsatu.com.


"Selain sebagai salah seorang pengasas, saya juga akan menjadi penulis kolum dan wartawan di SportSatu," kata Bambang di Jakarta, semalam.

Menurut penyerang Indonesia itu, idea untuk membuat SportSatu sudah cukup lama, namun mula serius sejak awal Januari lalu. "Portal berita sukan ini bakal memberikan berita tepat mengenai sukan tempatan dan antarabangsa secara langsung. Pada mulanya kerana saya senang menulis, apatah lagi dalam beberapa bulan akhir ini saya tidak sibuk dengan latihan kerana sudah meninggalkan kelab Persija Jakarta. Saya juga melihat kekalutan bola sepak Indonesia banyak dipengaruhi media, kerana itu saya ingin memberi maklumat sebagai seorang yang neutral," katanya.


Nama Bambang mula melonjak ketika menjaringkan gol tunggal kemenangan ke atas Malaysia di separuh akhir Piala Tiger 2002. Dia juga menjadi penjaring terbanyak kejohanan itu dengan lapan gol.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

No comments:

Post a Comment