Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Koleksi kereta mini dilelong

Posted:

Atlanta: Selepas bersusah-payah menghabiskan masa 15 tahun mengembara ke serata dunia, seorang pengumpul kereta mikro bakal melelong 200 kenderaan koleksinya pertengahan bulan depan.

Kebanyakan kereta Bruce Weiner itu dilengkap enjin 49 kuasa kuda yang mampu mencapai kelajuan kira-kira 65 kilometer sejam. Walaupun kereta mikro itu hanya sepanjang 1.5 meter, tetapi ia masih boleh digunakan seseorang dengan ketinggian 1.8 meter.


Walaupun kecil, kereta mikro berkenaan dikatakan masih mampu menyelesaikan beberapa masalah pengangkutan.

Menurut Weiner, selama 15 tahun dia merantau ke seluruh pelusuk dunia untuk mendapatkan kereta mikro terbaik.


Katanya, kereta seumpama itu dibina selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, ketika Amerika Syarikat (AS) dan Britain bergelut dengan masalah kekurangan makanan, bahan mentah, bekalan elektrik dan gas.


"Kereta mikro itu dibina sebagai cara membantu orang ramai dalam keadaan sulit selepas perang, tetapi ia hanya bertahan sedekad apabila muncul kereta mini," katanya. Hasil lelongan semua 200 kereta mikro itu dijangka bakal mengumpul sehingga RM34 juta.

Antara koleksi Weiner ialah kereta ikon Peel P50 dan BMW yang diubah suai menjadi kereta lumba 730 kuasa kuda.


Menurut Weiner, lelongan itu diadakan di Muzium Kereta Mirko Bruce Weiner di Madison, Georgia. Kereta Peel P50 dikeluarkan pada 1964 adalah kereta paling kecil pernah dihasilkan di dunia dan dijangka dijual pada harga RM219,000.

Weiner juga akan menjual 11 kereta BMW Isetta, termasuk sebuah model unik, Whatta Drag, yang dilengkapi enjin Chevrolet V8.


"Kereta itu diilhamkan daripada kereta mainan Hot Wheels dan dianggarkan bernilai £65,000 (RM316,000)," katanya. Tidak ketinggalan, sebuah kereta Bond Bug oren keluaran 1972 yang mempunyai tiga tayar dihasilkan syarikat Reliant.


Kerera itu, kata Weiner, dianggarkan bernilai £12,000 (RM58,400).


Menurut Weiner, mengumpul kereta mikro memang menyeronokkan tetapi lama-kelamaan, dia berdepan masalah tempat untuk menyimpannya.


"Sebagai menghargai kereta itu, saya perlu berkongsi dengan orang lain," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Lelaki paksa 350 wanita bogel di Internet bakal dijel 105 tahun

Posted:

Los Angeles: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 105 tahun jika didapati bersalah memeras ugut beratus-ratus wanita supaya mereka berbogel sambil menyaksikan aksi itu melalui Internet.

Karen 'Gary' Kazaryan, 27, didakwa memaksa lebih 350 wanita muda mempamerkan tubuh mereka selepas menggodam akaun Facebook dan e-mel mangsa.


Media semalam melaporkan, Kazaryan menyamar sebagai rakan wanita itu sebelum memujuk mereka supaya berbogel untuknya.

Aktiviti itu dapat dilakukan secara langsung melalui kemudahan Skype.


Lelaki dari Glendale itu didakwa menyelongkar akaun mangsa mencari sebarang gambar bogel atau separuh bogel.


Jika mangsa mengesan aktiviti Kazaryan, dia bukan saja tidak menghentikan perbuatan itu, malah mengugut mereka untuk berbogel lagi untuknya.

Penyiasat berkata, 3,000 gambar bogel atau separuh bogel ditemui dalam komputer Kazaryan setakat ini.


Katanya, Kazaryan menghubungi mangsanya dari semasa ke semasa supaya dapat mendesak mereka berbogel untuknya.

"Dalam sesetengah kes, Kazaryan meletakkan gambar bogel di akaun Facebook mangsa jika mereka enggan mengikut kemahuannya," katanya. Kazaryan ditahan semalam dan menghadapi 15 tuduhan pencerobohan komputer serta 15 dakwaan mencuri identiti. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Pembantu rumah lelaki jadi pilihan

Posted:

Singapura: Sebuah agensi pembantu rumah bercadang membawa sekumpulan 30 pekerja domestik lelaki yang dilatih dengan penjagaan dari Myanmar hujung bulan depan.

Homekeeper, satu daripada agensi terbesar di republik ini berkata, terdapat permintaan tinggi untuk pembantu lelaki bagi menjaga warga emas lelaki yang sukar diuruskan pembantu wanita. Agensi itu turut meningkatkan pengambilan kira-kira 60 pekerja domestik lelaki dari Myanmar pada Jun dan akan membawa lebih ramai jika permintaan menggalakkan. Ini kali pertama sebuah agensi membawa pekerja domestik lelaki warga asing secara tetap. Hanya segelintir agensi mengambil kaum lelaki atas dasar penyelesaian sementara ekoran permintaan pelanggan sejak dua tahun lalu.


Agensi menganggarkan terdapat kurang daripada 20 pekerja domestik warga asing di Singapura. Kebanyakan mereka adalah rakyat Filipina yang diupah untuk menjaga warga tua lelaki.

Ketika ini, terdapat 208,400 pembantu rumah warga asing.


Agensi berkata, Kementerian Tenaga Buruh membenarkan majikan membawa masuk pekerja domestik lelaki jika mereka mempunyai alasan kukuh untuk melakukan demikian. Majikan perlu menghantar surat kepada kementerian menjelaskan situasi mereka.


Pengarah Urusan Homekeeper, Carene Chin berkata, kebanyakan pelanggan menyatakan pembantu rumah mereka mengalami masalah untuk mengangkat bapa mereka yang berkerusi roda atau yang terbaring sakit di katil. Majikan juga mendapati bapa mereka berasa lebih selesa jika penjaga mereka adalah lelaki.

"Pelanggan merasakan bapa mereka akan lebih selesa mempunyai seseorang daripada jantina sama untuk membantu mereka mandi dan menukar pakaian," katanya. Carene berkata, mengambil pekerja domestik warga asing yang mempunyai kemahiran penjagaan membolehkan lebih ramai majikan Singapura mengelak daripada menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan orang tua yang semakin sesak. -AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Marin Thai maut pikap diletup

Posted:

Narathiwatt: Seorang tentera marin terbunuh dan dua lagi cedera dalam kejadian letupan di tepi jalan di daerah Muang di sini pagi semalam.

Tentera laut itu yang juga anggota pasukan tugasan khas ditugaskan untuk mengiringi guru sekolah.


Mereka meronda jalan raya di kawasan pedalaman dekat simpang Khok Bae Nae di tambon Manang Tayo dalam pikap yang diubah suai apabila sebutir bom ditanam dalam jalan raya meletup di bawah kenderaan mereka. Polis masih menyiasat kejadian itu dan mengesyaki ia adalah angkara anggota kumpulan pemisah. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Profesor tembak lelaki kencing dipenjara

Posted:

Bangkok: Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan enam hari kepada seorang bekas penolong profesor kerana membunuh seorang lelaki yang membuang air di depan kediamannya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu kepada Santilak Thanyahar, 53, semalam.


Dia didapati bersalah membunuh penjaja makanan segera, Suthan Ithitsurasing, 45, yang mencetuskan kemarahannya kerana membuang air ke dalam terusan di depan kediamannya.

Thanyahar sebelum itu dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun untuk kesalahan membunuh dan sembilan hari kerana melepaskan tembakan di tempat awam, tetapi pengakuannya menyebabkan hukuman dikurangkan kepada 13 tahun dan enam hari. Ithitsurasing dibunuh pada 30 Mac 2006. Dia meninggalkan parti hari jadi anak saudaranya dan berhenti untuk membuang air ke dalam terusan di depan kediaman Thanyahar.


Seorang saksi memberitahu mahkamah, Thanyahar melepaskan dua tembakan ke dalam terusan itu sebagai amaran yang menyebabkan terjadi pertengkaran antara kedua-dua lelaki itu.


Seorang daripada rakan Ithitsurasing campur tangan, tetapi Thanyahar terus melepaskan tembakan ke arah mangsa. Bagaimanapun, Thanyahar mendakwa mangsa dan rakannya cuba mengancamnya dengan pisau menyebabkan dia membawa pistol. Mangsa dan rakannya cuba merampas pistol itu dan senjata api tu tanpa sengaja tertembak. Thanyahar ialah penolong profesor fakulti kejuruteraan di Universiti Chulalongkorn. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Penduduk Singapura cecah 7 juta pada 2030

Posted:

Singapura: Menjelang 2030, republik ini mungkin mencatat populasi hingga 6.9 juta meningkat daripada 5.3 juta pada masa kini.

Dan dua pertiga daripada pekerja Singapura dijangka memegang jawatan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik, meningkat berbanding separuh daripadanya sekarang. Untuk menyokong usaha ini, kerajaan membuat rancangan masa depan dan melabur dalam infrasktruktur sebagaimana digariskan dalam Kertas Putih Populasinya oleh Divisyen Populasi Nasional semalam. Dokumen 76 halaman bertajuk Populasi Mapan Untuk Singapura Yang Dinamik, adalah laporan komprehensif pertama yang menggariskan strategi negara itu bagi memastikan 'populasi yang mapan'.


Dalam sidang akhbar semalam, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean yang menguruskan hal populasi berkata, kerajaan akan membuat rancangan masa depan bagi memastikan Singapura mengekalkan kehidupan yang berkualiti tinggi. "Selaras dengan kemajuan, kami ingin memastikan bahawa peta laluan yang kami ada adalah betul," katanya.

Dia menambah akan mendapatkan kelulusan daripada Parlimen mengenai Kertas itu minggu depan. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Kurung anak dalam sangkar

Posted:

Los Angeles: Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan kerana mengurung anak perempuan angkat mereka berusia lapan tahun dalam sangkar ketika mereka keluar menonton wayang, kata polis semalam.

Cindy Patriarchias, 33, dan Edmond Gonzales, 37, kedua-duanya didakwa cuai selepas kanak-kanak perempuan itu yang mengalami masalah mental ditemui dalam sangkar kayu buatan sendiri di kediaman mereka di Las Cruces, New Mexico. Sangkar berukuran 74 sentimeter lebar, 172 sentimeter panjang dan 126 sentimeter tinggi itu mempunyai dua selak di pintunya dan tilam bayi di lantainya, kata kenyataan Jabatan Polis Las Cruces.


Polis dihubungi ke kediaman pasangan itu malam Jumaat lalu selepas mendapat maklumat kanak-kanak perempuan terbabit ditinggalkan sendirian sementara pasangan itu membawa tiga lagi anak mereka menonton wayang.

Polis "mendapati kediaman itu gelap seolah-olah penghuninya tiada", kata kenyataan itu.


Hampir sejam kemudian Cindy pulang dan membenarkan polis memasuki kediamannya. Ketika memeriksa kediaman itu, polis menemui sebuah sangkar kayu di sudut sebuah bilik tidur. Di dalam sangkar terbabit mereka menemui anak perempuan Cindy berusia lapan tahun.


Kanak-kanak itu kemudian dibawa keluar dan diberikan rawatan. Dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal ekoran dikurung, tetapi polis mendapati dia menderita microcephaly.

Microcephaly ialah keadaan di mana kepala pesakit lebih kecil berbanding usianya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

14 mayat pemuzik dikenal pasti

Posted:

Monterrey: Polis menarik keluar 17 mayat dari sebuah perigi di utara Mexico dan 14 daripadanya dikenal pasti sebagai anggota kumpulan muzik diculik kumpulan lelaki bersenjata minggu lalu, kata pihak berkuasa semalam.

Polis selesai memeriksa perigi itu, tetapi masih cuba memastikan motif pembunuhan anggota kumpulan Kombo Kolombia itu, kata pegawai polis Nuevo Leon yang tidak mahu identitinya dikenal pasti kerana tiada kuasa memberikan komen. Kombo Kolombia sedang bermain muzik di ladang bandar Hidalgo apabila 10 lelaki bersenjata memasuki gudang parti persendirian diadakan Jumaat lalu dan memaksa 18 ahli dan kru muzik masuk ke dalam kenderaan yang sedia menunggu. Seorang pemuzik dapat melarikan diri dan membawa pihak berkuasa ke perigi terbabit. Polis tidak mengatakan bagaimana lelaki itu berjaya melepaskan diri daripada penawannya. "Kami belum dapat memastikan tindakan melarikan diri itu disengajakan, jadi keadaan mereka yang diculik dapat diketahui kelak," kata jurucakap polis Nuevo Leon, Jorge Domene kepada stesen Radio Formula. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Pemilik kilang terbakar ditahan

Posted:

Dhaka: Polis Bangladesh semalam berkata, mereka menahan pemilik kilang pakaian di mana tujuh wanita terbunuh dalam kebakaran hujung minggu lalu, insiden terbaru dalam beberapa siri nahas maut di sektor itu.

Polis menahan pengerusi dan pengarah urusan kilang pakaian Smart Selasa lalu selepas bapa kepada seorang daripada mangsa yang terbunuh memfailkan kes jenayah menyalahkan mereka atas kematian pekerja berkenaan ekoran kecuaian.


Penahanan itu merupakan susulan beberapa siri kebakaran dalam sektor pakaian bernilai AS$20 bilion (RM60 bilion) di Bangladesh, termasuk kejadian terburuk dalam industri itu November lalu apabila 111 pekerja terbunuh di kilang pembekal pakaian untuk jenama luar negara termasuk pasar raya gergasi Walmart milik Amerika Syarikat. Dalam kebakaran Sabtu lalu, pekerja memberitahu media bahawa satu daripada dua pintu di kilang itu yang antara lain membuat pakaian untuk peruncit gergasi Sepanyol, pemilik jenama popular Zara dikunci ketika kebakaran berlaku. Pemilik "tidak mempunyai sebarang lesen kebakaran untuk kilang dan tiada peralatan kebakaran atau pintu keluar kecemasan yang dapat digunakan jika berlaku insiden kebakaran", kata jurucakap polis Dhaka, Masudur Rahman kepada media. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Pemandu bas ditembak, budak diculik

Posted:

Alabama: Seorang lelaki bersenjata menaiki bas sekolah yang membawa pulang kanak-kanak semalam dan menembak pemandunya sebelum melarikan diri bersama seorang kanak-kanak dan bersembunyi di ruang bawah tanah, lapor media.

Pegawai sherif mengesahkan bahawa seorang terbunuh dalam insiden tembakan membabitkan bas sekolah di daerah Dale Alabama itu. Namun, tiada maklumat lanjut diberikan kecuali seorang kanak-kanak menyaksikan kejadian di bandar raya Midland itu. Lelaki bersenjata itu melarikan diri ke kubu dekat kediamannya beberapa jam selepas kejadian, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kanak-kanak terbabit masih ada bersamanya yang dikenal pasti media tempatan beusia lima atau enam tahun, lapor akhbar Dothan Eagle. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

No comments:

Post a Comment