Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Shahidan tutup mulut

Posted:

Alor Setar: "Saya tak nak komen apa-apa. Saya baru balik daripada lawatan ke Gaza," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang masih berteka-teki sama ada sudah menerima surat pendakwaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau sebaliknya.

Shahidan berkata, setakat ini, beliau belum menerima apa-apa surat pendakwaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kritikan 'pedas' dibuatnya bagi menuntut transformasi dalam FAM yang menjadi isu panas, sejak akhir-akhir ini.


"Saya tak baca surat khabar lagi... saya baru pulang dari Gaza, dalam (laman sosial) Facebook saya pun tiada siapa yang maklumkan mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu, saya tak fikir lagi... yang saya fikir macam mana nak bayar gaji pemain. Tiap-tiap bulan nak bayar gaji RM170,000. Mungkin pemberita boleh tolong fikirkan untuk saya macam mana nak bayar gaji," katanya berseloroh.


Sebelum itu, beliau disambut kira-kira 100 penyokongnya sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.


Ketika ditanya perkembangan terbaru setakat ini, beliau terus mengulangi 'saya hanya fikir macam mana nak bayar gaji pemain saja buat masa ini.' "Saya turun KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), terus mai (datang) sini... tak baca apa lagi. Saya tak nak komen lagi selagi tak dapat surat.

"Saya bukan mencari masalah, tapi kebenaran. Bagi saya, ini perjuangan. Perjuangan, sana sini mesti berlaku," katanya.


Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Shahidan mungkin dikenakan tindakan tatatertib berikutan kenyataannya yang menuntut transformasi dalam FAM bagi memastikan badan induk bola sepak tanah air itu mendapat sokongan ramai pihak.

Transformasi yang dituntut bekas Menteri Besar Perlis itu turut menjurus kepada kesediaan FAM membantu pasukan yang mempunyai masalah kewangan.


Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.


Shahidan dalam reaksi balas terhadap kes itu, baru-baru ini menyuarakan sudah bersedia mengadap Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya dipanggil berbuat demikian.


Untuk rekod, sebelum ini Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pernah menjadi mangsa Artikel 88 apabila digantung dua tahun enam bulan pada April tahun lalu atas kesalahan mengkritik prestasi skuad kebangsaan.


Sebelum itu, Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama FAM yang dihukum pada 1991, disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Zambia berduka

Posted:

Nelspruit: Juara bertahan, Zambia tersingkir daripada saingan Piala Negara-Negara Afrika manakala bintang Chelsea, Victor Moses membantu Nigeria mengiringi Burkina Faso ke suku akhir.

Kumpulan C menyaksikan saingan sengit dan Moses menyempurnakan dua sepakan penalti untuk menewaskan Habsyah, 2-0 dan meletakkan Nigeria di tangga kedua kumpulan di belakang Burkina Faso.


Bagaimanapun Zambia terpaksa pulang awal, juara bertahan pertama tersingkir awal sejak Algeria pada 1992 yang tersingkir pada pusingan pertama.

Mereka menghuni tangga ketiga selepas mencatat keputusan seri kali ketiga berturut-turut, kali ini seri tanpa jaringan dengan Burkina Faso.


Dibimbing jurulatih dari Belgium, Paul Put, benteng pertahanan Burkina Faso begitu ampuh manakala Zambia bergelut ketika melakukan penyudah.


Namun, dengan baki 11 minit, Zambia bagaimanapun masih berada di landasan tepat untuk menyingkirkan Nigeria yang menduduki tangga kedua.

Andai berkongsi mata serta jaringan, mereka masih menjadi pasukan pilihan ke suku akhir kerana mengumpul kad kuning serta kad merah lebih sedikit berbanding Nigeria.


"Kemenangan ini untuk rakyat Nigeria, di mana saja mereka berada," kata jurulatih, Stephen Keshi.

"Inilah masanya meraikan kejayaan. Kini kami bertemu pasukan pilihan, Ivory Coast pada suku akhir dan pastinya tiada peluang kedua bagi kedua-dua pasukan.


"Saya sudah mempunyai taktik yang akan diterapkan tapi ia untuk pemain bukan untuk anda." Put berjaya menaikkan semangat pemainnya bagi merealisasikan peluang terbaik mencipta sejarah dan ternyata mereka tidak mengecewakannya.


"Mereka beraksi dengan baik. Kami menjangkakan Zambia beraksi dengan corak menyerang dan kami berjaya bermain secara bertahan.


"Meskipun tidak menarik, tapi kadang kala perlu lebih realistik dalam bola sepak. Yang penting layak ke saingan seterusnya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Mikel laung amaran awal kepada Elephants

Posted:

Rustenburg: Pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel melaungkan amaran kepada pasukan pilihan Piala Negara-Negara Afrika, Ivory Coast supaya tidak memandang remeh cabaran Nigeria menjelang pertembungan suku akhir, awal pagi Isnin ini.

Mikel bertindak cemerlang dan rakan sepasukan Stamford Bridge, Victor Moses menyempurnakan penalti lewat perlawanan ketika Super Eagles mengatasi Habsyah, 2-0 untuk menduduki tangga kedua di belakang juara Kumpulan C, Burkina Faso.


Zambia muncul juara bertahan pertama sejak Algeria pada 1992 gagal ke peringkat kalah mati selepas seri 0-0 dengan Burkina Faso.

Berbekal perbezaan jaringan besar empat gol berbanding dua, Burkina Faso mengungguli kumpulan itu mengatasi Nigeria selepas kedua-dua negara berakhir dengan lima mata, Zambia meraih tiga dan Habsyah hanya satu dalam penampilan pertamanya selepas 31 tahun.


Nigeria yang gagal ke peringkat kalah mati dua kali dalam 17 penampilan, kini berazam mengejutkan Ivory Coast dan Mikel percaya pasukannya boleh menyingkirkan Elephants.


"Pasti sukar dan menarik apabila turun beraksi menentang Ivory Coast dan beberapa pemain lawan, terutama Didier Drogba adalah rakan saya," kata bintang Chelsea berusia 25 tahun itu.

"Orang yang memandang rendah Nigeria pasti menanggung malu. Ini perlawanan kalah mati dan kami pasti menang. Media kerap mengingatkan kami Ivory Coast tidak boleh dikalahkan, lihatlah nanti.


"Habsyah adalah perlawanan hidup mati dan kami bertindak cemerlang, terutama pada babak kedua. Selepas membenarkan lawan menjaringkan gol penyamaan lewat perlawanan menentang Burkina Faso dan Zambia, kami memberitahu pertahanan supaya meningkatkan tumpuan dan mereka berjaya melakukannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Renard kritik keputusan CAF

Posted:

Nelspruit: Jurulatih Zambia, Herve Renard mengkritik badan induk bola sepak Afrika, CAF kerana menafikan peluang mereka mewakili benua itu pada Piala Konfederasi, tahun ini.

Zambia yang memenangi Piala Negara-Negara Afrika 2012, seharusnya mengibarkan bendera Afrika di Brazil dan berdepan juara dunia dan Eropah, Sepanyol, Uruguay serta pasukan kerdil, Tahiti.


Namun keputusan CAF mengubah kejohanan Piala Negara-Negara Afrika kepada tahun ganjil untuk mengelak pertembungan dengan Piala Dunia, maka juara edisi 2013 dan bukannya Zambia akan beraksi di Amerika Selatan.

Renard menyuarakan rasa tidak puas hati selepas juara bertahan itu tersingkir pada peringkat kumpulan awal pagi semalam dan berasa Zambia berhak diberi peluang beraksi pada perlawanan play-off menentang juara 2013 yang akan ditentukan pada 10 Februari ini di Soweto.


"CAF amat gembira Zambia tidak pergi ke Piala Konfederasi, mereka fikir kami tidak cukup bagus mewakili Afrika, itulah kenyataannya," kata pengendali dari Perancis itu.


"Lebih adil jika pemenang antara juara Piala Negara-Negara Afrika 2012 dan juara 2013 dipilih.

"Tapi ia tidak pernah terlintas di fikiran mereka, CAF tidak mahu kami pergi. Mereka membuat keputusan dan juara 2013 akan mewakili Afrika, bukan kami.


"Sungguh malang kerana kami hanya menjadi juara selama setahun." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Lazio musnah harapan Juventus

Posted:

Milan: Sergio Floccari menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk membantu Lazio mara ke final Piala Itali selepas menang 2-1 pada aksi timbal balik, awal pagi semalam sekali gus melenyapkan harapan Juventus meraih kejuaraan berganda liga tempatan.

Selepas terikat 1-1 dengan pendahulu Serie A, Juve pada separuh akhir pertama minggu lalu, Lazio di depan pada minit ke-53 apabila pemain tengah Uruguay, Alvaro Gonzalez menanduk masuk hantaran silang Cristian Ledesma.


Juve menggandakan asakan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan menerusi Arturo Vidal namun tidak lama kemudian Floccari melompat tinggi mengatasi pemain Chile itu untuk menjaringkan gol kemenangan dan diraikan penyokong di Stadium Olimpico.

"Perlawanan ini mendebarkan. Saya gembira kerana membantu pasukan memenangi pertemuan ini.


"Kami pasti meraikan kejayaan ini dan tunggu siapa lawan kami di final," kata Floccari merujuk pertemuan separuh akhir kedua antara AS Roma dan Inter Milan.


Juve agak tertekan sebelum perlawanan itu apabila kedudukan di puncak Serie A semakin goyah dan kritikan meluas terhadap tindakan jurulatih, Antonio Conte terhadap pegawai perlawanan hujung minggu lalu.

Conte, dilarang berada di bangku simpanan untuk dua perlawanan liga tapi pengkritik mendakwa hukuman itu terlalu ringan, menggilirkan pemain namun pasukannya lebih menguasai babak pertama.


Pengadil tidak menghadiahkan penalti apabila pemain Juve, Mirko Vucinic dan penyerang Lazio, Miroslav Klose dikasari manakala cubaan penyerang Montenegro, Vucinic berjaya diselamatkan penjaga gol, Federico Marchetti.

Lazio, kali terakhir menjuarai kejohanan pada 2009, menguasai babak kedua walaupun Juve menurunkan perancang, Andrea Pirlo dan akhirnya juara Itali itu sekali lagi tersisih daripada kejohanan selepas tewas kepada Napoli tahun lalu.


Roma mendahului Inter, 2-1 dan perlawanan timbal balik di San Siro berlangsung 17 April ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Kem Real bergolak: Sara

Posted:

Madrid: Teman wanita penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas yang juga wartawan sukan televisyen, Sara Carbonero mendakwa wujud perpecahan antara pemain dan jurulatih pasukan, Jose Mourinho.

"Ada khabar angin mendakwa pemain tidak sehaluan dengan jurulatih," kata personaliti berusia 28 tahun itu kepada stesen televisyen Mexico, Televisa.


"Buat masa ini, perpecahan bilik persalinan berlaku tapi perlu tunggu hingga musim tamat untuk melihat sama ada Mourinho berhijrah kerana beliau mempunyai ramai musuh di Real." Minggu lalu, akhbar sukan terbesar Sepanyol, Marca melaporkan Casillas dan penolong kapten, Sergio Ramos menggesa pengerusi kelab, Florentino Perez memecat Mourinho sebelum musim depan.

Menurut Marca, kedua-dua pemain memberi amaran sesetengah pemain Real Madrid akan meninggalkan kelab jika pengurus kelahiran Portugal itu kekal musim depan.


Perez mengadakan sidang media tergempar menafikan laporan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan menggugat kestabilan kelab. Casillas dan Ramos turut mengeluarkan kenyataan bersama menafikan bertindak sedemikian.


"Tiada ugutan seumpama itu," kata Sara.

Casillas, 31, direhatkan Mourinho sebelum Krismas sekali gus menyemarakkan lagi khabar angin itu.


Kini pemain Sepanyol itu tersisih antara lapan hingga 12 minggu kerana patah ibu jari tangan kiri dan sudah menjalani pembedahan Jumaat lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Perpindahan Drogba langgar syarat kontrak

Posted:

Shanghai: Penyerang Ivory Coast, Didier Drogba masih memiliki kontrak bersama Shanghai Shenhua dan perpindahannya ke kelab Turki, Galatasaray melanggar syarat, menurut kelab China itu semalam.

Drogba bersetuju dengan kontrak selama 18 bulan bersama kelab Istanbul itu, Isnin lalu dengan perjanjian membabitkan yuran perpindahan 6 juta euro (RM25 juta), gaji 15,000 euro (RM63,000) setiap perlawanan dan 4 juta euro (RM16.6 juta) untuk menandatanganinya.


Bagaimanapun Shanghai Shenhua menegaskan, perjanjian itu melanggar kontrak Drogba bersama kelab itu dan mereka bersedia merujuk isu itu kepada badan bola sepak dunia, FIFA.

"Kelab sangat terkejut," dakwa kelab Liga Perdana China itu di laman webnya.


"Drogba masih pemain Shanghai Shenhua kerana kontrak dua setengah tahun yang ditandatanganinya masih sah. "Pengurusan kelab akan mengumpul maklumat dan menyerahkannya kepada FIFA demi mempertahankan hak kelab." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Roberta mantap

Posted:

Paris: Juara beregu wanita Terbuka Australia, Roberta Vinci melepasi pusingan pertama Terbuka Paris, kelmarin selepas menewaskan pemain Romania, Simona Halep 6-0, 6-3.

Roberta yang meraih gelaran Grand Slam ketiga bersama pemain Itali, Sara Errani di Melbourne Jumaat lalu, mengambil masa hanya 52 minit untuk menundukkan Simona dan bakal menentang pemain Jerman, Mona Barthel pada pusingan kedua.


Terdahulu, pemain remaja Perancis, Kristina Mladenovic melakar kejayaan terbesar kariernya apabila menewaskan pemain ranking ke-19 dunia, Julia Goerges dari Jerman pada pusingan pertama.

Kristina, 19, pemain ke-87 dunia, kehilangan rentak selepas menang set pertama hingga membenarkan Julia memaksa set penentuan namun berjaya bangkit untuk menewaskan pemain Jerman itu, 7-5, 5-7, 7-6 (7-4).


Teruja selepas melakar kemenangan terbaik dalam siri Jelajah WTA, Kristina membuktikan kemampuannya dan mendedahkan dia dipanggil menyertai skuad Perancis bagi Piala Persekutuan menentang Jerman bulan depan, 24 jam sebelum pengumuman rasmi dibuat kapten baru pasukan, Amelie Mauresmo.


"Saya tahu dipilih sebelum perlawanan itu," katanya. "Ia memberi lebih tekanan tapi mungkin Amelie hanya mahu menguji saya dengan menimbulkan keraguan di kalangan pemain skuad Jerman." Kristina berpeluang menamatkan permainan dalam straight-set apabila mendahului 4-3 pada set kedua, namun pilihan ketujuh, Julia berjaya merampas servisnya untuk menyamakan kedudukan sebelum menguasai tiga daripada empat permainan seterusnya untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Julia kemudian berpeluang untuk menang apabila menguasai enam permainan set terakhir namun gagal meneruskan rentak pada kedudukan 5-3 selepas pukulannya kerap tersangkut di jaring untuk kembali membuka peluang kepada Kristina.


Pemain remaja Perancis itu akhirnya menguasai tie-break set terakhir dan mengekalkan ketenangan untuk layak ke pusingan kedua menentang sama ada Yanina Wickmayer atau Anastasia Pavlyuchenkova.

Alize Cornet layak ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Sweden, Sofia Arvidson 6-3, 4-6, 6-0 diiringi Carla Suarez Navarro dari Sepanyol dan pemain kelayakan dari Switzerland, Stefanie Voegele. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Alicia akhiri karier

Posted:

New York: Alicia Sacramone, salah seorang gimnas terkenal Amerika Syarikat (AS) yang melakar rekod merangkul 10 pingat pada kejohanan dunia, mengumumkan persaraannya, semalam.

Hampir sedekad, Alicia menjadi asas kejayaan kepada skuad gimnastik wanita AS, merangkul dua gelaran individu dunia (lantai (2005), melombol (2010)) dan pingat emas berpasukan pada 2007 dan 2011.


Dia turut menjadi sebahagian daripada gimnas yang meraih pingat perak temasya Sukan Olimpik 2008 namun gagal pada kemunculan semula bersama pasukan AS di Olimpik London 2012.

"Alicia sangat istimewa dan memiliki keazaman tinggi mencapai matlamat ditetapkan untuk dirinya," kata penyelaras skuad wanita kebangsaan, Martha Karolyi.


"Alicia memiliki karier yang hebat, penuh dengan kejayaan.


"Dia turut mempamerkan kekuatan karakter ketika menempuh detik sukar demi mencapai matlamatnya." Satu daripada kekecewaan terbesar Alicia apabila hampir gagal merebut tiket skuad lima gimnas pasukan AS di Olimpik London selepas kariernya tergugat kerana kecederaan tumit.

Alicia mengalami kecederaan sebelum Kejohanan Dunia 2011 namun kembali bersaing pada sesi ujian Olimpik 2012 dan menamatkan saingan di tempat kedua acara melombol dan batang titian.


"Alicia melakar impak besar dalam gimnastik wanita," kata Presiden Gimnastik AS, Steve Penny.

"Dia memiliki personaliti menarik dan kepimpinannya menjadi ramuan penting kejayaan kami." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Ragbi 7's MCKK meriah

Posted:

Kuala Lumpur: Saingan merebut kejuaraan edisi ketiga Kejohanan Ragbi Premier Tujuh Sebelah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada 22 hingga 24 Februari ini dijangka lebih sengit apabila turut disertai empat pasukan luar negara.

Bukan saja Kolej Vajiravudh dari Thailand memeriahkan kejohanan bawah 17 tahun itu tapi Sekolah Sukan Hong Kong, Sekolah Antarabangsa Australia dari Singapura serta wakil Brunei, Sekolah Antarabangsa Jerudong turut mengesahkan penyertaan.


Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur kejohanan, Mohd Zain Mohd Yusoff menjangkakan saingan membabitkan 24 pasukan pada tahun ini lebih sengit berbanding dua edisi terdahulu yang turut berlangsung dengan meriah.

"Antara matlamat kami agar pemain tempatan dapat meningkatkan kemampuan dengan kualiti perlawanan lebih bermutu," katanya.


Kehadiran pasukan luar negara pasti mencabar kewibawaan juara dua edisi lalu, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dari Johor meskipun kekuatan pasukan asing belum diketahui.


"Pasukan tempatan juga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka yang terbaik di setiap negeri. Pasti mereka membuat persediaan rapi," katanya selepas majlis memperkenalkan penaja bagi kejohanan itu semalam.

Sementara itu, MCKK kini dikendalikan bekas pemain kebangsaan Fiji, Biumaiwai serta bekas kapten negara, Khusainy Ishak.


"Saya harap pasukan ini dapat memastikan sasaran ke final tercapai tahun ini selepas terkandas di separuh akhir pada edisi 2011," katanya yang juga pengerusi All Black Revival yang bertanggungjawab mengembalikan semula kegemilangan sukan terbabit di MCKK.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

No comments:

Post a Comment