Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Amukan babun sesat

Posted: 11 Jan 2013 03:57 PM PST

Seorang remaja perempuan bersama anak saudaranya berusia setahun terpaksa berkurung dalam bilik lebih sejam apabila rumah didiami mereka dikunjungi 'tetamu tidak diundang' iaitu seekor babun jantan yang mengamuk dalam kejadian di sebuah rumah dua tingkat di Taman Khong Lok, Batu 7, semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi, remaja berusia 17 tahun itu sedang berehat di tingkat bawah rumah sebelum terdengar bunyi mencurigakan dari satu bilik di tingkat atas.


Mangsa kemudian meninjau dengan membuka pintu bilik itu dan terkejut apabila mendapati seekor babun sedang menggeledah bilik berkenaan.

Pada masa sama, haiwan liar itu cuba menerkam remaja berkenaan, namun dia sempat menutup pintu bilik.


Mangsa membawa anak saudaranya keluar rumah untuk menyelamatkan diri, selain menghubungi kakaknya memaklumkan kejadian itu.


Pemilik rumah yang enggan dikenali berusia 30 tahun berkata, dia terkejut apabila dihubungi adiknya memaklumkan seekor babun menyerang mereka.

"Saya yang bimbang mengenai anak perempuan lantas menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu.


"Saya difahamkan babun yang datang dari hutan berhampiran bukan saja merosakkan barangan dalam bilik, malah turut membuang najis," katanya, semalam.

Katanya, adik perempuannya mendapati haiwan liar itu memasuki rumah sebaik terdengar bunyi cakaran pada pintu bilik.


"Mujur adik bertindak bijak apabila segera menutup pintu bagi mengelak haiwan itu keluar dari bilik dan bertindak liar.


"Saya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada suami sebelum dia bergegas pulang untuk menyelamatkan adik dan anak kami," katanya.


Menurutnya, sepasukan anggota Jabatan Perhilitan yang tiba berjaya menangkap haiwan berkenaan selepas berusaha hampir tiga jam.


Sementara itu, Pembantu Pusat Pemulihan Orang Utan, Elis Pambing berkata, haiwan liar itu ditangkap menggunakan jaring dan dihantar ke Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok.


"Babun ini dipercayai terpisah dari kumpulannya dan tersesat sebelum memasuki rumah mangsa dan ia agresif apabila diancam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Lepas jatuh dilanggar lori

Posted: 11 Jan 2013 02:39 PM PST

Kuala Lumpur: Dua maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Besraya, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam berhampiran pusat beli-belah The Mines, Serdang, sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya.


Sumber trafik berkata, mangsa yang menaiki motosikal Honda C100 dirempuh sebuah lori yang tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, penunggang, Noorzahrim Hisyam Taharim, 28, dan pembonceng, Muhamad Narzeri Wahab, 40, dalam perjalanan dari Balakong ke Seri Kembangan.


"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala manakala pemandu lori pula tidak cedera.


"Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan siasatan terperinci kejadian itu masih dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Suami 'ligat' tak sudah

Posted: 11 Jan 2013 02:32 PM PST

Tiga kali terima talak dalam jangka masa setahun dan tempoh paling lama menjadi suami isteri ialah 29 hari, manakala paling singkat hanya 11 hari.

Itu pengalaman pahit dilalui seorang wanita apabila berkahwin dengan seorang lelaki kasanova yang sukar membuang tabiat buruk suka berfoya-foya itu, biarpun selepas beberapa kali diberi peluang. Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Musliha, 34, berkata, dia dan bekas suaminya berkahwin pada 30 Disember 2011 hasil perkenalan singkat selama sebulan dan selepas dua kali rujuk, dia diberi talak kali ketiga pada 6 Januari lalu.


Menurutnya, lebih menyedihkan sepanjang tempoh perkahwinan singkat itu, dia turut menderita beberapa kali dipukul suaminya hingga memaksa dia membuat laporan polis.

Musliha yang juga peguam berkata, dia berkenalan dengan bekas suaminya itu pada November 2011 melalui Facebook (FB). "Pada awal perkenalan dia berterus-terang statusnya sebagai duda dan itu bukan masalah besar kepada saya kerana saya pernah berkahwin.


"Namun, apabila dia berterus-terang mengakui perangainya yang kasanova dan menjalin hubungan sulit biarpun selepas berkahwin hingga membawa kepada perceraian dengan isteri pertamanya, saya berbelah bagi untuk meneruskan hubungan.


"Bagaimanapun, dia meminta saya memberinya peluang dan berjanji berubah sikap. Berikutan itu, kami bernikah pada 30 Disember 2011 di Betong, Thailand," katanya.

Menurut Musliha, dia yakin lelaki itu berubah sikap selepas melihat perwatakannya yang warak dan pandai ilmu agama, malah turut memiliki latar belakang pelajaran dalam bidang agama.


Malangnya, semua itu tidak lebih sekadar lakonan kerana hanya selepas seminggu berumah tangga, bekas suami Musliha kembali menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.

"Kekasih bekas suami saya selepas seminggu kami berkahwin ialah pemilik kelas pengajian agama swasta. Saya kenal wanita itu kerana saya menemani bekas suami ketika dia mahu belajar di situ," katanya.


Musliha berkata, satu sikap aneh suaminya ialah dengan selamba menceritakan hubungan sulitnya, malah tanpa rasa bersalah menunjukkan gambar kekasihnya termasuk ketika melakukan hubungan intim.


"Hubungannya dengan pemilik kelas pengajian agama swasta itu berlarutan hingga wanita itu melahirkan anak luar nikah. Isteri mana yang tidak sedih diperlakukan sedemikian," katanya.


Berikutan itu, Musliha memohon perceraian pada 20 Mac tahun lalu namun bekas suaminya memaksa dia membayar RM6,000.


"Apabila saya enggan, saya dipukul dan ditampar, selepas itu baru saya diceraikan," katanya.


Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berpisah lapan bulan kerana pada 17 November tahun lalu, dia dan bekas suaminya rujuk semula apabila lelaki itu merayu dan berjanji untuk berubah sikap.


"Tetapi, tak sampai dua minggu kemudian, dia bercinta pula dengan seorang penuntut kolej, malah meminjam telefon bimbit saya untuk berkomunikasi dengan perempuan itu.


"Bukan setakat itu, saya makan hati apabila setiap kali keluar dengan wanita itu, mereka melakukan hubungan seks dan dia dengan bangga menceritakan aksi ranjangnya," katanya.


Musliha berkata, apabila dia mempersoalkan tindakan bekas suaminya itu, dia sekali lagi dipukul sehingga lebam di muka sebelum diceraikan kali kedua pada 28 November tahun lalu.


Bagaimanapun, hanya selepas 11 hari iaitu pada 9 Disember lalu, bekas suaminya datang menemuinya semula dan meminta wang serta mahu tinggal bersama.


"Jika saya tidak memenuhi permintaannya, dia mengugut akan mengganggu saya. Jadi, sekali lagi saya terpaksa rujuk dengannya pada 9 Disember lalu.


"Dengan cara itu saya 'berpeluang' mendapat talak ketiga dan jika itu berlaku, baru dia tak boleh rujuk serta mengganggu saya lagi," katanya. Ternyata apa yang dijangkakan Musliha berlaku kerana suaminya masih dengan perangai lama apabila menjalinkan hubungan sulit dengan penuntut kolej.


"Ia terbukti apabila saya menemui rakaman aksi seks mereka dalam telefon bimbit saya pada 5 Januari lalu. Jadi, keesokan harinya saya minta dia ceraikan saya.


"Mujur, dia melafazkan talak ketiga pada saya, namun pada masa sama masih mengugut akan mengganggu saya," katanya. Musliha berkata, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada hari sama berikutan ugutan bekas suaminya itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.


"Kami membuka siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana suspek memberi ugutan dan pada masa sama kes ini turut dirujuk ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Bergelut penjenayah

Posted: 11 Jan 2013 02:32 PM PST

Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang boleh digambarkan terhadap keberanian seorang anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) menentang penjenayah dalam cubaan samun sebuah kedai 24 jam di Bukit Mewah, di Kajang, 2 Januari lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Lans Koperal Mohd Kamarul Zaman Mohd Suki, 37, yang bertugas sebagai anggota URB dari Balai Polis Kajang melakukan rondaan di kawasan berkenaan sebelum menerima maklumat dari bilik gerakan memaklumkan kejadian itu.


Sebaik tiba di tempat kejadian, katanya, dia dimaklumkan pekerja kedai bahawa suspek, seorang lelaki berusia 25 tahun sudah melarikan diri menggunakan motosikal.

Bertindak atas maklumat awal itu, dia meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai bagi membuat pengecaman sebelum menjejaki suspek yang dipercayai masih berlegar-legar di kawasan itu bertujuan mencari mangsa lain.


"Kurang 30 minit selepas kejadian, saya ternampak suspek menunggang motosikal dan menghampirinya sebelum memperkenalkan diri sebagai polis. Dia ketika itu dalam keadaan kelam-kabut cuba melarikan diri menyebabkan kami bergelut namun dia diberkas.


"Hasil pemeriksaan, saya menemui pisau lipat dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan samun dalam poket seluarnya," katanya selepas majlis penyampaian sijil penghargaan di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Mohd Kamarul berkata, sepanjang hampir sembilan tahun berkhidmat sebagai anggota polis, pengalaman menjadi sebahagian anggota URB begitu bermakna selepas dia menyelesaikan empat kes jenayah membabitkan samun, memburu orang yang dikehendaki polis serta dadah bagi tempoh kurang sebulan bersama unit berkenaan.


Katanya, dia bersyukur kerana tidak pernah mendapat sebarang kecelakaan sepanjang bertugas selain diberikan kesihatan sempurna dan seorang isteri yang memahami akan karier sebagai seorang anggota polis. "Penghargaan ini motivasi buat saya dan rakan-rakan. Kami akan lebih bersemangat dan memastikan keadaan negeri ini sentiasa selamat selain orang awam akan berbangga dengan badan beruniform," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Mek Habsah kerap masuk wad

Posted: 11 Jan 2013 02:32 PM PST

Kuala Lumpur: "Sejak 16 tahun lalu, saya kerap masuk wad akibat penyakit ini," kata penyanyi dan pelakon popular era 80-an, Mek Habsah, 57, yang dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang, di sini, sejak Selasa lalu akibat jangkitan kuman dan masalah paru-paru bocor.

Keadaan ini menyebabkan Mek Habsah atau nama sebenarnya Habshah Bakar menggunakan alat bantuan pernafasan mudah alih berharga RM28,000.


Mek Habsah yang popular menerusi drama radio, Fajar Di Bumi Permata dan album komedi bersama kumpulan Asam Pedas berkata, penyakitnya itu dikesan sejak 16 tahun lalu dan dalam tempoh itu kerap dimasukkan ke wad di situ bagi merawat penyakit berkenaan.

"Dua minggu lalu saya dirawat di wad sama selama seminggu. Namun, Selalu lalu saya sekali lagi dimasukkan ke wad dan ia juga jatuh pada hari ulang tahun kelahiran saya," katanya ketika ditemui di wad berkenaan, semalam.


Penderitaan Mek Habsah mendapat perhatian Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) yang melawat artis veteran diketuai Presidennya Datuk Irwan Shah atau DJ Dave.


YA1M turut menyampaikan sumbangan wang RM2,000 bagi membantu kos rawatan Mek Habsah.

Mek Habsah yang juga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Sultan Salahuddin, di sini, terharu dengan kunjungan rakan artis dan rakan sepejabatnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

No comments:

Post a Comment