Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tak bersalah makan orang

Posted: 10 Jul 2013 02:46 PM PDT

Florida: Seorang lelaki berusia 35 tahun yang dituduh membunuh dan kemudian memakan sebahagian mayat lelaki gelandangan di Connecticut didapati tidak bersalah atas tuduhan tidak siuman.

Tyree Lincoln Smith dari Bridgeport bagaimanapun akan menghabiskan seluruh hidupnya terkurung, di pusat rawatan jiwa, bukan di penjara.


Panel tiga hakim mendapati pendakwa raya berjaya membuktikan Smith membunuh mangsa, Angel Gonzales tetapi pada mangsa sama, pihak pembela juga membuktikan tertuduh tidak bersalah kerana tidak siuman.

Keputusan itu disambut gembira oleh anggota keluarga mangsa.


"Keadilan sudah terlaksana. Saya tidak kira di mana dia ditahan asalkan dia dikurung selama-lamanya," kata Talitha Frazier, adik ipar Gonzales.


Smith ditangkap tahun lalu dan dituduh membunuh lelaki gelandangan yang mayatnya ditemui di tingkat tiga sebuah bangunan tinggal di bandar itu, 39 hari selepas dibunuh.

Foto

SMITH (kanan) bersama peguamnya di mahkamah, semalam.

Polis berkata, Smith berlumuran darah apabila memberitahu sepupunya, Nicole Rabb mengenai pembunuhan itu selepas terasa inginkan darah kerana merasa muak setelah makan steak aneh.


Dia menceritakan bagaimana dia membunuh Gonzalez dengan kapak dan menghancurkan muka serta kepala mangsa.

Smith kemudian memberitahu Nicole, dia memakan satu mata mangsa yang didakwanya rasa seperti kerang sebelum makan sebahagian otak mangsa di kawasan tanah perkuburan berhampiran.


"Smith memberitahu sepupunya bahawa kepala Gonzalez hancur sehinggakan dia boleh mengambil mata dan otak mangsa dengan mudah," menurut dokumen mahkamah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Kisah jual dara RM248,000 palsu belaka

Posted: 10 Jul 2013 02:43 PM PDT

New York: Seorang wanita yang menjadi sensasi di Internet apabila melelong keperawanannya dengan harga AS$78,000 (RM248,095) tashun lalu kini berkata, dia diperdaya dan dieksploitasi.

Catarina Migliorini, 21, dari Brazil juga memberitahu, dia masih dara.


Dia memberitahu akhbar The Huffington Post bahawa lelongan di Internet yang mendapat perhatian ramai pada Oktober lalu itu yang dianjur penerbit filem Justin Sisely sebenarnya gagal.

"Saya berasa menjadi mangsa...saya diperdaya oleh Justin Sisely.


"Saya percaya dia cuba menipu saya dan yang lain," katanya.


Jutawan Jepun berusia 53 tahun yang mengenal pasti dirinya di Internet sebagai "Natsu" memenangi bidaan untuk membeli perawan Catarina. Tetapi apabila Catarina berada di sebuah restoran di Sydney, Australia untuk menemui Natsu, dia mendapati lelaki itu tidak sama dengan keterangan yang diberikan Sisely kepadanya. Mereka juga tidak melakukan seks.

Malah, Catarina berkata, dia ke Sydney dengan perbelanjaan sendiri.


Catarina kini percaya "Natsu" tidak wujud. Dia tidak pernah melakukan seks dengan lelaki itu dan dengan bangga mengatakan dia masih perawan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Guna anjing seludup kokain dari Mexico

Posted: 10 Jul 2013 02:42 PM PDT

Rome: Kumpulan penyeludup dadah dari Amerika Selatan menggunakan anjing untuk menyeludup kokain dari Mexico ke Itali.

Polis berkata demikian selepas satu operasi yang menemui sekurang-kurangnya 48 anjing dibunuh bagi mendapatkan dadah dalam badan haiwan itu. Haiwan berkenaan dipaksa menelan bungkusan plastik mengandungi dadah sebelum dihantar ke Itali dengan pesawat yang biasanya mendarat di Lapangan Terbang Linate di Milan. Dadah itu dibungkus dengan pita vinil hitam bagi mengelak dikesan oleh mesin pengimbasan di lapangan terbang.


Penyeludup kemudian mengerat anjing itu untuk mengeluarkan dadah berkenaan.

Mahkamah kelmarin mengarahkan 49 orang yang ditahan dalam operasi itu dibicarakan serta-merta, kata jurucakap polis Milan. Mereka ialah anggota 'pandillas' (rangkaian dadah) Amerika Selatan yang menggunakan anjing untuk dijadikan keldai dadah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Kerajaan Thai pantau keganasan

Posted: 10 Jul 2013 02:42 PM PDT

Bangkok: Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional (NSC) Paradorn Pattanatabut berkata, kerajaan bersetuju dengan cadangan kumpulan pemisah di selatan Thai yang diketuai Barisan Rakyat Nasional (BRN) untuk mengadakan gencatan senjata sepanjang Ramadan.

Beliau turut menggesa kerajaan terus memantaau keadaan untuk melihat sama ada ia benar-benar dipatuhi.


BRN sebelum ini mengemukakan tuntutan tujuh perkara kepada kerajaan sebagai ganti kepada mengehadkan keganasan pada bulan puasa. Pihak berkuasa Thai juga mengemukakan cadangan kepada BRN menerusi Malaysia," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk berkomunikasi satu sama lain dalam masa 48 jam sekiranya berlaku keganasan. "Sekiranya kumpulan yang bertanggungjawab menyebabkan keganasan itu boleh dikenali, kami akan meminta BRN memberi penjelasan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Mangsa gempa di Aceh berdepan ancaman penyakit

Posted: 10 Jul 2013 02:41 PM PDT

Banda Aceh: Mangsa yang terselamat daripada gempa bumi yang melanda Aceh minggu lalu kini berdepan dengan ancaman penyakit.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Aceh Tengah Subhan Sahara berkata, sebahagian besar daripada 48,000 mangsa yang terselamat di 70 pusat perlindungan sementara sudah dihinggapi penyakit.


"Ada yang menghidap pelbagai penyakit, khususnya kanak-kanak dan orang tua," kata Subhan.

Katanya, keadaan menjadi buruk apabila beberapa pusat perlindungan tidak mempunyai khemah secukupnya dan bekalan air bersih.


Menurut agensi berkenaan, kira-kira 2,150 pelarian dijangkiti masalah kesihatan, termasuk demam, cirit-birit dan sesak nafas. Sementara itu, agensi berita Antara melaporkan, 372 buah sekolah di Aceh Tengah dan Bener Meriah musnah atau rosak berikutan gempa 6.2 magnitud itu yang melanda pada 2 Julai lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Santoso arah perangi Densus

Posted: 10 Jul 2013 02:41 PM PDT

Jakarta: Seorang lelaki yang mendakwa orang paling dikehendaki di Indonesia muncul dalam video yang dimuat naikkan ke YouTube semalam, menggesa kumpulan jihad meneruskan serangan terhadap skuad antipengganas polis Indonesia, Densus 88.

Video enam minit itu yang berjudul Risalah Kepada Umat Islam di Kota Poso, dimuat naik dengan menggunakan akaun di bawah nama Al-Himmah Ahad lalu tetapi hanya disedari oleh media kelmarin.


Dalam video itu, lelaki yang mendakwa dirinya Santoso menyampaikan mesej sambil memegang pistol di kawasan hutan. Dua lelaki bersenjata raifal berdiri di sebelahnya.

"Kepada saudara kami, khususnya di Poso (Sulawesi Tengah). Semalam saya mendengar berita mengenai pertempuran anda dengan Densus 88. Saya bangga mendengar khabar itu," katanya dalam video berkenaan.


"Selepas mereka membunuh, menyerang dan memenjara saudara kita lain, saya berharap kita akan menjadi generasi yang akan memerangi Densus 88. Mereka adalah musuh sebenar, syaitan sebenar," kata lelaki itu. Santoso adalah Ketua Mujahiddin Indonesia Timur. Video berkenaan turut menunjukkan sekumpulan lelaki yang mempamerkan kecekapan mereka menembak.


Polis masih belum mengesah identiti lelaki berkenaan tetapi jurucakap polis Sulawesi Tengah Soemarno percaya mereka merakam video itu di Poso. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Hadkan penggunaan pembesar suara

Posted: 10 Jul 2013 02:40 PM PDT

Jakarta: Masjid di seluruh Indonesia diminta mengehadkan penggunaan pembesar suara bagi mengelak mengganggu kehidupan mereka yang tinggal berhampiran.

Gesaan itu dibuat ketika umat Islam mula menjalani ibadah puasa, semalam.


Sudah menjadi kebiasaan bagi 800,000 masjid di negara yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia itu untuk memasang bacaan ayat suci al-Quran dengan kuat bermula awal pagi lagi.

Bagaimanapun, Majlis Masjid, sebuah badan bebas yang dianggotai kebanyakan masjid di Indonesia berkata, ia meminta jawatankuasa masjid di bawah naungannya supaya mengurangkan penggunaan pembesar suara. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Penduduk Aleppo berdepan kebuluran

Posted: 10 Jul 2013 02:39 PM PDT

Aleppo: Aktivis Syria di sini mengadakan tunjuk perasaan mendesak penentang Presiden Bashar al-Assad menarik balik kepungan di daerah yang dikuasai tentera rejim.

Kepungan yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan bekalan makanan di wilayah itu berkurangan.


Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, tunjuk perasaan menggesa kepungan itu ditamatkan mula diadakan kelmarin yang turut menyaksikan seorang penunjuk perasaan mati ditembak.

Kepungan itu turut menyebabkan harga bahan makanan melonjak mendadak ketika penduduk mula berpuasa Ramadan.


Rakaman video yang disiarkan oleh kumpulan hak asasi itu menunjukkan seorang wanita yang ditemani anaknya cuba menyeberang ke kawasan yang dikuasai rejim Bashar bersama kereta tolak berisi makanan.


"Saya datang untuk membeli makanan. Kami tidak ada apa untuk dimakan. Anak kami berdepan dengan kebuluran.

"Anak saya terlantar sakit dan perlukan ubat dan sesuatu untuk dimakan," kata wanita berkenaan kepada seorang penentang yang bersenjata raifal Kalashnikov.


Rayuan wanita itu mencetuskan pertengkaran antara dua penentang, satu cuba memujuk seorang lagi supaya membenarkan wanita itu melalui sekatan berkenaan bersama-sama makanan itu.

Penentang Bashar berusaha menyekat kemasukan ubat dan makanan ke daerah yang dikuasai rejim di Aleppo sejak beberapa minggu lalu.


Mereka yang berusaha menggulingkan kerajaan Bashar, memasuki Aleppo tahun lalu tetapi hingga kini masih gagal menawan keseluruhan wilayah itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Merompak kerana nak masuk penjara

Posted: 10 Jul 2013 02:37 PM PDT

Moulton: Polis tidak perlu mencari jauh untuk mengesan lelaki yang disyaki merompak sebuah bank di Alabama.

Ini kerana perompak berkenaan sudah bersedia menanti mereka di luar bank berkenaan.


Kerana bimbang hilang pekerjaan akibat kecederaan kaki dan mahu mengelak daripada hidup berkeliaran tanpa rumah, lelaki itu bertindak merompak supaya boleh masuk penjara.

"Dia begitu yakin tindakannya itu akan membolehkan dia mendapat tempat tinggal dan makan percuma," kata Ketua Polis Moulton, Lyndon McWhorter.


Lelaki itu, Rickie Lawrence Gardner, 49, yang kini ditahan di penjara Moulton dikatakan memasuki bangunan Bank Independent kelmarin dan menyerahkan nota berbunyi: "Saya memiliki senjata. Beri wang anda." Dia mengarahkan petugas memasukkan wang ke dalam beg dan kemudian berjalan keluar dari bank bersama-sama wang lebih AS$4,000 (RM12,723) menuju ke keretanya. Dia meletakkan beg itu di tempat duduk penumpang lalu mengunci kenderaan sebelum menghala ke bangku berhampiran untuk menanti ketibaan polis.


Gardner memberitahu polis, kakinya cedera teruk akibat kemalangan jalan raya dan bimbang hilang pekerjaan.

Menurut McWorther, Gardner menyebut senjata dalam nota itu walaupun tidak memilikinya kerana menyangka ia akan menyebabkan dia dihukum lebih berat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Rain akhiri kerahan tenaga

Posted: 10 Jul 2013 02:37 PM PDT

Seoul: Ikon pop Korea Selatan, Rain semalam secara rasmi selesai menjalani kerahan tenaga.

Kira-kira 700 peminat Rain, baik tempatan mahupun yang datang dari luar negara bersorak apabila bintang K-pop berusia 31 tahun itu keluar dari bangunan Kementerian Pertahanan di Seoul.


Rain berada di situ untuk mengambil dokumen pelepasannya. Beberapa peminat yang membawa sepanduk yang kelihatan keletihan selepas berkhemah semalaman dalam hujan renyai menitiskan air mata apabila bintang itu keluar memakai uniform tentera dari bangunan berkenaan. "Terima kasih semua kerana datang menyambut saya. Saya sayangkan kamu semua," katanya. Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-Hoon ialah antara nama besar dalam dunia K-pop yang mempunyai ramai peminat di Korea Selatan, selain Asia dan negara lain.

Pada Januari lalu, Rain dikenakan hukuman tidak boleh keluar dari berek selama seminggu selepas dia ditangkap kerana menyelinap keluar untuk bertemu kekasihnya. Dia berpacaran dengan Kim Tae-Hae, bintang drama televisyen yang mempunyai bilangan peminat yang besar di Jepun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

No comments:

Post a Comment