Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Mana ada pinjaman!

Posted: 08 Jul 2013 09:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu pembatalan penggunaan pemain pinjaman pada kempen Piala Malaysia bermula Ogos ini dijadikan isu memandangkan peraturan baru itu sudah dipersetujui semua pasukan sebelum ini.

Setiausaha Agung Hamidin Mohd Amin berkata, semua 16 pasukan bertanding tidak dibenarkan mengambil pemain pinjaman berbanding sebelum ini apabila mereka boleh meminjam tiga pemain daripada pasukan lain yang tidak layak beraksi.


"Peraturan ini sudah diputuskan sebelum Liga Malaysia (Liga-M) bermula musim ini dan isu ini tidak boleh disensasikan kerana semua pasukan sudah diberitahu lebih awal," katanya.

Sama ada sedar ataupun tidak, masih ada pasukan berhajat mengambil pemain pinjaman bagi mengharungi Piala Malaysia bermula 17 Ogos, antaranya pasukan kelab dari Terengganu, T-Team.


Menerusi laporan BERNAMA kelmarin, pengurusan T-Team menyuarakan hasrat meminjam tiga pemain luar untuk memperkuatkan cabaran skuad itu bagi kempen Piala Malaysia, namun mereka belum mengumumkan pemain berkenaan.


"Saya tahu memang ada pasukan mahu memohon menggunakan pemain pinjaman tapi perkara ini tidak boleh dilakukan kerana ia sudah diputuskan sebelum ini." Sepuluh pasukan teratas Liga Super, LionsXII, Selangor, Johor Darul Takzim (DT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan, Pahang, PKNS FC, Perak, Terengganu dan T-Team layak automatik manakala empat pasukan Liga Perdana yang turut menempah tempat ialah Sarawak, Sime Darby, Johor dan Kedah.

Foto

Hamidin Mohd Amin

Empat pasukan lagi akan beraksi dalam perlawanan play-off esok iaitu Felda United menentang Pos Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala Negeri Sembilan berdepan Sabah di Stadium Shah Alam bagi merebut dua lagi tiket bersaing dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

'Zaha hak United'

Posted: 08 Jul 2013 09:10 AM PDT

London: Pengurus Crystal Palace, Ian Holloway tidak akan cuba mendapatkan semula Wilfried Zaha kerana mahu memberi peluang kepada bintang muda itu menikmati aksi di Manchester United.

Pemain antarabangsa England berusia 20 tahun itu dibeli United Januari lalu sebelum dipinjamkan semula kepada Palace yang memenangi aksi play-off Liga Kejuaraan.


Palace dilapor mungkin meminta United melanjutkan tempoh pinjaman Zaha ketika mereka berusaha untuk kekal dalam Liga Perdana namun Holloway tidak merancang sebegitu.

"Saya tidak pernah terfikir walaupun seminit untuk meminta David Moyes meminjamkan Zaha kepada kami," kata Holloway.


"Saya tidak fikir ia adil buat Zaha. Dia perlu bersama United.


"Saya amat mengenali Moyes, jika ada kelab selain United yang ingin diwakili Zaha, pastinya Crystal Palace. Justeru, kami rasa biarlah dia kekal di situ.

"Secara jujur saya merasakan pemain itu seronok apabila mendapat peluang bermain di United dan saya yakin dia akan tampil dalam skuad utama.


"Saya mengharapkan yang terbaik dalam kariernya dan tahniah kepada United kerana membelinya.

"Sir Alex Ferguson jarang melakukan kesilapan dan David Moyes pasti gembira apabila mendapati beliau mempunyai pemain berbakat, kerana dia mampu memenangi perlawanan pada tahap tinggi." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Pardew mahu bersikap terbuka

Posted: 08 Jul 2013 09:10 AM PDT

London: Pengurus Newcastle Alan Pardew menegaskan beliau bersikap terbuka mengenai pelantikan Joe Kinnear sebagai pengarah bola sepak kelab itu.

Pemilik kelab Mike Ashley mencetus kekecohan bulan lalu apabila membawa kembali Kinnear, 66, ke St James Park dan memberikannya tanggungjawab menguruskan semua berkaitan bola sepak.


Pardew bercuti ketika itu dan pengarah urusan Derek Llambias membantah dan meletak jawatan namun pengurus berusia 51 tahun itu bersedia menerimanya.

"Saya bersikap terbuka dengan kedudukan Joe. Saya akan menerimanya.


"Orang yang bekerjasama dengan saya tahu saya seorang yang mampu melakukannya secara sendirian. Saya akan menguruskan kelab bola sepak ini dan menguruskan pasukan dengan keupayaan maksimum.


"Selepas apa yang berlaku tahun lalu, saya lebih bermotivasi untuk bertindak lebih baik tahun ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

'Robin Hood' Bundesliga

Posted: 08 Jul 2013 09:09 AM PDT

Berlin: Walaupun tewas perlawanan akhir Liga Juara-Juara di tangan Bayern Munich, jurulatih Jurgen Klopp menyifatkan Borussia Dortmund sebagai 'Robin Hood' Bundesliga.

Dortmund menikmati kejayaan besar 9-1 ketika menewaskan pasukan dibarisi selebriti pada perlawanan persahabatan, Sabtu lalu dan bakal berdepan Bayern buat kali kedua pada saingan Piala Super Jerman, 27 Julai ini.


Bayern menundukkan semua lawannya musim lalu dan muncul kelab Jerman pertama memenangi gelaran Eropah selepas menewaskan Dortmund, 2-1 selain saingan liga dan piala tempatan.

Ketika Bayern memilih bekas pengendali Barcelona Pep Guardiola selaku pembimbing dan turut mengikat bintang Dortmund, Mario Goetze, Klopp berkata, Dortmund tidak bimbang dan akan terus melawan.


Beliau menyamakan semangat juang Dortmund ketika menentang Bayern seperti wira pujaan Inggeris Robin Hood yang rela berkorban untuk rakyat.


"Kami mempunyai busur dan panah dan jika menghalakan senjata itu dengan tepat, pasti kami mengenai sasaran," kata Klopp kepada akhbar harian Die Welt.

"Bayern seolah-olah mempunyai senjata canggih dan peluang mereka mengenai sasaran lebih besar berbanding kami tetapi jangan lupa, Robin Hood juga pernah mencatat beberapa kejayaan." Klopp berkata, berdasar situasi terkini, gelaran Bundesliga mungkin sukar dirampas dari Bayern musim depan tapi keadaan itu tidak pernah menghalang Dortmund cuba mencatat yang terbaik.


Dortmund memenangi gelaran Liga Jerman dua tahun berturut-turut, 2010-11 dan 2011-12 manakala Bayern pula gagal memenangi piala pada kedua-dua musim itu.

Selepas memulakan latihan pra-musim bersama pasukannya minggu lalu, Klopp dapat mengesan semangat dan kekuatan tersembunyi anak buahnya yang gagal memenangi gelaran musim lalu.


Borussia sudah menguatkan pasukan dengan mendapatkan khidmat penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang dari St Etienne dan pertahanan Greece, Sokratis dari Werder Bremen.


Pemain tengah Armenia, Henrikh Mkhitaryan turut dijangka menyertai Dortmund dari Shakhtar Donetsk.


Di sebalik perpindahan Goetze ke Bayern, kapten Dortmund, Sebastian Kehl tetap tidak berasa bimbang.


Penyerang Poland, Robert Lewandowski kembali menjalani latihan Ahad lalu tetapi dia sudah menyatakan impiannya untuk berpindah ke Bayern.


"Sebenarnya kami bersedia untuk berbincang mengenai hasrat Robert tapi perkara itu masih belum berlaku," kata Klopp sambil menambah Lewandowski masih mempunyai baki kontrak hingga Jun 2014. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Henry sertai bintang MLS

Posted: 08 Jul 2013 09:09 AM PDT

New York: Bintang Perancis, Thierry Henry tersenarai antara pemain skuad Bintang Liga Bola Sepak Major (MLS) yang akan berdepan kelab Itali, AS Roma di Kansas City pada 31 Julai ini.

Henry, 35, yang beraksi bersama kelab New York dan pernah membantu Perancis menjulang Piala Dunia 1998, menjaringkan enam gol dalam 17 perlawanan bersama kelab MLS itu. Dia juga pernah mewakili Arsenal, Juventus serta Barcelona sebelum berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada 2010.


Selain Henry, penjaga gol Peru, Raul Fernandez dari FC Dallas, pemain tengah Kanada, Will Johnson serta pertahanan Perancis, Aurelien Collin dari Kansas City antara pemain bukan kelahiran AS yang dipilih penyokong MLS menyertai pasukan bintang itu.

Pemain lain turut dipilih bintang Chicago, Mike Magee yang sudah meledak 10 gol musim ini dan lima individu yang mewakili skuad kebangsaan AS iaitu penyerang San Jose, Chris Wondolowski, pemain tengah Houston, Brad Davis, pertahanan Los Angeles, Omar Gonzalez, pemain tengah dan pertahanan Kansas City, Graham Zusi dan Matt Besler.


Jurulatih skuad Bintang MLS Peter Vermes dan Pesuruhjaya MLS Don Garber akan memilih seorang lagi pemain untuk melengkapkan barisan MLS menentang kelab Serie A itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Harimau tumbang

Posted: 08 Jul 2013 09:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia terpaksa menangguhkan hajat menempah tiket ke suku akhir acara bola sepak di Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) lebih awal apabila skuad kendalian Ong Kim Swee tumpas 0-2 kepada pasukan pilihan Great Britain pada aksi kedua Kumpulan C malam tadi.

Selepas cemerlang mengejutkan Itali 2-0 pada aksi pembukaan, skuad muda negara yang dikerah beraksi dengan 10 pemain hampir sepanjang separuh masa kedua selepas Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dibuang padang terpaksa akur dengan kehebatan Great Britain yang menyumbat satu gol pada setiap babak.


Great Britain yang tidak beraksi sebelum ini selepas satu lagi pasukan dalam Kumpulan C Algeria tidak hadir berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-18 selepas James Philip Aldred bijak menolak masuk bola hantaran dari sebelah kanan.

Skuad kendalian James Ellis itu kemudian hampir menggandakan jaringan di minit ke-34, namun gol percubaan Gavin Malin dibatalkan pengadil apabila bola terlebih dulu terkena tangan pemain tengah itu.


Malaysia memperoleh peluang terbaik sebelum tamat babak pertama menerusi sepakan percuma penyerang, Ahmad Hazwan Bakri bagaimanapun penjaga gol pasukan lawan, James Michael Belshaw tangkas menyelamatkan keadaan.


Kebangkitan yang diharapkan daripada anak buah Ong Kim Swee tidak menjadi pada separuh masa kedua, sebaliknya Great Britain lebih mengancam dan berjaya menyumbat gol kedua pada minit ke-48 menerusi Alex James Dyer.

Situasi semakin parah buat skuad muda negara apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang melakukan terjahan dari belakang ke atas pemain Great Britain pada minit-50 dilayangkan kad merah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

'Dah jawab!'

Posted: 08 Jul 2013 09:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Penjelasan sudah diberikan!. Itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin susulan dakwaan dilemparkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan terhadap badan induk bola sepak negara itu berhubung aduan membabitkan mutu pengadilan yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Jelas Hamidin, segala aduan dikemukakan PBNJ berhubung mutu pengadilan sudah diberi maklum balas serta maklumat sepatutnya dan beliau berharap perkara itu tidak lagi diperbesarkan.


"Saya sudah semak perkara ini dengan Datuk Azzuddin Ahmad (bekas Setiausaha Agung FAM) serta jabatan pengadil dan FAM sudah memberikan maklum balas serta penerangan yang jelas terhadap segala aduan dan ketidakpuasan dikemukakan PBNJ.

"Saya menafikan kami hanya berpeluk tubuh tanpa membuat sebarang tindakan seperti didakwa pihak terbabit. Kami sentiasa bersikap proaktif dalam meningkatkan mutu bola sepak negara," katanya yang baru dilantik mengetuai sekretariat FAM bermula 1 Julai lalu.


Zulkurnain menerusi laporan media kelmarin menggesa FAM memberikan jawapan terhadap aduan dikemukakan PBNJ selepas beliau difahamkan badan induk negeri itu sudah membuat lebih daripada lima aduan rasmi selain bukti dalam bentuk rakaman video namun tiada sebarang jawapan diterima.


Beliau berkata demikian selepas sekali lagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan membabitkan perlawanan terakhir Liga Super membabitkan Johor Darul Takzim ( DT) menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang dikendalikan pengadil Syed Azhar Syed Kamar pada Sabtu lalu.

Johor DT yang tampil dengan barisan pemain bintang musim ini tewas perlawanan akhir Piala FA pada 29 Jun lalu, sekali lagi kecewa apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Selangor, sekali gus menyaksikan mereka terlepas peluang bergelar naib juara Liga Super dan tiket ke saingan Piala AFC tahun depan.


Isu membabitkan pengadil sememangnya hangat diperkatakan sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini hingga mendorong penggantungan enam bulan Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim daripada sebarang aktiviti bola sepak selain didenda RM18,000 pada Mac lalu selepas Jawatankuasa Tatatertib mendapati beliau bersalah melanggar Artikel 88 Statut FAM kerana mengkritik mutu pengadilan bola sepak tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Piya tak fikir tawaran lumayan musim depan

Posted: 08 Jul 2013 09:05 AM PDT

Kota Bharu: Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi enggan memikirkan khabar angin ada pasukan ingin 'memancingnya' dengan habuan besar selepas aksi mantap bersama The Red Warriors (TRW) musim ini.

Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya yang dipilih pemain terbaik ketika membantu Kelantan mempertahankan Piala FA dengan menewaskan musuh ketat Johor Darul Takzim (DT) 29 Jun lalu, kini menjadi perhatian hingga beberapa pasukan bersedia 'memancingnya' dengan bayaran lumayan.


Tanpa mendabik dada, Piya berkata, dia menganggap khabar angin itu perkara biasa kepada setiap pemain yang mempamerkan aksi terbaik.

Katanya, dia mengaku kontraknya bersama Kelantan bakal berakhir hujung musim ini, namun semangatnya masih membara untuk membantu Kelantan mempertahankan Piala Malaysia bermula Ogos ini.


"Saya tidak mahu memikirkan khabar angin itu dan buat masa ini masih setia bersama Kelantan. Saya perlu membantu Kelantan mempertahankan Piala Malaysia tidak lama lagi.


"Kontrak saya bersama Kelantan tamat hujung musim ini namun saya belum membuat apa-apa keputusan," katanya.

Sebelum ini, banyak khabar angin di Internet dan laman sosial Facebook mendakwa pemain memakai jersi nombor 16 dari Kota Bharu itu bakal dipancing beberapa pasukan lain.


Ketika ini, Piya terpaksa berehat tiga minggu selepas cedera hamstring paha kiri ketika berdepan LionsXII pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu lalu.

Kecederaan itu menyebabkan Piya terlepas peluang menyertai skuad Harimau Malaya berdepan dua kelab ternama, Chelsea dan Barcelona pada 21 Julai dan 10 Ogos ini.


Piya kecewa kerana kecederaan itu menghalangnya beraksi dalam perlawanan persahabatan itu dan berharap segera pulih sebelum latihan menghadapi Piala Malaysia bermula.


"Memang kecewa apatah lagi peluang bermain menentang Chelsea dan Barcelona bukan datang selalu."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Pengurusan pasukan lemah

Posted: 08 Jul 2013 09:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM) Pandak Ahmad mengaku kes minuman keras dan rogol dikaitkan dengan atlet sukan itu berlaku kerana kelemahan pengurusan pasukan.

Katanya, pengurus pasukan Wilayah Persekutuan seharusnya menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan bagi mengetatkan kawalan keselamatan membabitkan atlet mereka.


Beliau berkata PBBM memandang serius insiden itu dan selain menggantung sementara berkuat kuasa serta-merta terhadap tiga atlet, turut mengambil tindakan sama kepada pengurus berkenaan, jurulatih dan seorang pegawai pasukan walaupun mereka tidak terbabit membawa masuk bahan larangan berkenaan ke perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pandak berkata, beliau akan menubuhkan satu tribunal siasatan untuk mengendalikan kes itu dengan hukuman sebenar terhadap atlet akan diketahui selewat-lewatnya minggu ini.


"Saya sudah berbincang dengan jawatankuasa pengurusan Wilayah Persekutuan dan Ketua Pengarah MSN (Majlis Sukan Negara) Datuk Seri Zolkples Embong hari ini (semalam). Kami akan menjalankan siasatan penuh dan keputusan akan dibuat selepas siasatan ini selesai.


"Bagi kes minuman keras, kami gantung mereka kerana melanggar disiplin SUKMA. Berhubung kes rogol pula, kami serahkan kepada polis," katanya.

Beliau yang kecewa dengan perbuatan atlet terbabit berkata, ia tidak seharusnya berlaku andai mereka menekankan disiplin tinggi terutama di temasya utama seperti SUKMA ketika mewakili negeri masing-masing.


"Saya amat kecewa apabila ia membabitkan atlet bola baling. Kes itu mencemarkan nama sukan ini." Kelmarin, akhbar tempatan melaporkan dakwaan seorang atlet bola baling SUKMA 2013 membuat laporan polis mendakwa dirogol atlet lelaki di perkampungan sukan, Rabu lalu.

Bagaimanapun Zolkples menjelaskan dakwaan yang menyatakan mangsa sebagai atlet tidak benar kerana dia hanya seorang pegawai pengiring pasukan bola baling Wilayah Persekutuan dan namanya tidak berada dalam senarai diserahkan kepada MSN.


Remaja berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan Kolej Kedua Universiti Putra Malaysia (UPM).


Ketiga-tiga atlet itu ditahan polis tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Polis mula bertindak

Posted: 08 Jul 2013 09:03 AM PDT

Sungai Buloh: Polis berkemungkinan akan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes rogol remaja berusia 19 tahun di bilik penginapan Kolej Kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) tempat perkampungan temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Rabu minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, sebarang penahanan bagaimanapun hanya akan dibuat mengikut keperluan siasatan selepas tiga atlet bola baling temasya sukan itu sudah ditahan sebelum ini.


Beliau berkata, polis juga meneliti secara terperinci laporan kesihatan dari hospital berhubung kes terbabit sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita masih menyiasat kes berkenaan. Ada (individu) sudah diambil keterangan dan ada yang belum. Kes ini kita ambil serius termasuk dari sudut integriti, mengenai tindakan kita perlu jalankan berdasarkan siasatan yang rapi.


"Sesiapa saja yang terbabit kita akan ambil rakaman percakapan mereka bagi membantu penyiasatan," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

No comments:

Post a Comment