Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kejutan Presiden

Posted: 30 Apr 2013 11:24 AM PDT

"Mungkin berlaku kejutan". Itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berhubung penggantinya yang bakal mengemudi sekretariat badan induk terbabit.

"Apa yang boleh saya maklumkan, Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) sedang memikirkan calon yang sesuai untuk menjadi pengganti saya. Kebiasaannya akan berlaku kejutan dan saya tidak menafikan kemungkinan itu berlaku sekali lagi," katanya yang bakal menjalankan tugas sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 1 Jun ini.


Pelantikan Azzuddin sebelum ini oleh Sultan Ahmad Shah turut menghadirkan kejutan kepada banya pihak apabila bekas pemain kebangsaan era 70-an itu menggantikan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad pada September 2007.

Azzuddin berkata buat masa ini beliau masih meneruskan tugas di Wisma FAM, Kelana Jaya dan bakal melepaskan jawatan itu apabila Sultan Ahmad Shah mengumumkan penggantinya.


Sepanjang pentadbirannya di Wisma FAM, skuad negara berjaya memenangi Piala AFF buat kali pertama selain menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas di Sukan SEA 2009 diikuti mempertahankan kejuaraan bawah 23 tahun itu di Indonesia, dua tahun lalu.


Beberapa nama dikaitkan untuk menggantikan Azzuddin dengan Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin antara yang paling menonjol susulan pengalaman luasnya dalam mentadbir bola sepak tempatan.

Selain Hamidin, Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud, bekas Penolong Setiausaha Agung FAM Saifuddin Abu Bakar dan Windsor Paul John yang berpengalaman luas di kancah tempatan dan antarabangsa turut antara yang dikaitkan.


Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertengahan bulan lalu berkata, tidak gemar untuk membuat keputusan tergesa-gesa dan memerlukan masa dalam menamakan pengganti Azzudddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Zabaleta cari jalan bawa bapa ke final

Posted: 30 Apr 2013 09:21 AM PDT

London: Pablo Zabaleta (gambar) sedang berusaha mencari jalan bagaimana mahu membawa bapanya menyaksikan perlawanan akhir Piala FA Inggeris bulan depan.

Pertahanan Manchester City itu diberi cuti ehsan oleh kelabnya pada 2011 iaitu ketika bapanya Jorge mengalami kecederaan serius selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya.


Walaupun bapanya selamat daripada kemalangan itu, beliau tidak mampu untuk ke Wembley pada tahun sama untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA bertemu Stoke yang menyaksikan Zabaleta dimasukkan sebagai pemain gantian pada lewat permainan.

Jorge masih memerlukan kerusi roda untuk bergerak berikutan kemalangan di Buenos Aires tetapi pertahanan Argentina itu cuba mencari jalan bagi membolehkan bapanya dapat menyaksikan final bertemu Wigan di Wembley.


"Saya bercakap dengan bapa minggu ini," kata Zabaleta.


"Kami akan cuba membawanya menyaksikan perlawanan akhir. Dia mahu hadir tapi kami perlu menguruskan kehadirannya dengan sebaik-baiknya tapi ia sedikit sukar.

"Beliau perlu ditemani seseorang dan setakat ini, kami tidak pasti sama ada beliau dapat hadir atau tidak," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Peluang kembali terbuka

Posted: 30 Apr 2013 09:21 AM PDT

Penyerang Aston Villa Christian Benteke (gambar) meledak hatrik ketika kelab itu membelasah Sunderland 6-1 awal pagi semalam sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Benteke, 22, yang juga pemain antarabangsa Belgium, terus mengukuhkan reputasinya dengan koleksi 18 gol pada saingan liga dan Villa pula naik ke tangga ke-16 dengan 37 mata ketika berbaki tiga perlawanan, lima mata mengatasi Wigan yang menduduki tempat ketiga tercorot.


Sunderland yang menyaksikan Stephane Sessegnon dibuang pada minit ke-70, juga mengumpul 37 mata daripada 35 perlawanan, berkongsi kedudukan dengan Newcastle United di bawah Villa menerusi perbezaan gol.

"Penting untuk memenangi perlawanan ini," kata pengurus Villa Paul Lambert.


"Persembahan mereka amat menakjubkan. Benteke pula seperti pemain bertaraf dunia. Dia begitu merendah diri dan mampu melakukan apa saja yang diingininya," katanya.


Kapten Villa Ron Vlaar memecah kebuntuan pada minit ke-31 apabila merembat dari jarak 30 ela ke penjuru gawang lawan.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pertahanan Sunderland Danny Ross membuat gerakan satu dua dengan Danny Graham sebelum melakukan penyudah menewaskan penjaga gol Villa Brad Guzan.


Villa kembali di depan sebelum tamat babak pertama apabila hantaran silang Matthew Lowton dari jarak 12 meter disempurnakan penyerang Andreas Weimann.

Benteke meledak gol pertama pada minit ke-55 menerusi tandukan tajam sebelum sekali lagi menanduk masuk bola empat minit kemudian hasil sepakan penjuru Ashley Westwood.


Selepas Sessegnon dibuang padang kerana melakukan terjahan keras, Benteke melengkapkan hatrik menerusi penyudah yang tenang sebelum digantikan.


Gabriel Agbonlahor melengkapkan kemenangan Villa menerusi gol keenam dua minit sebelum tamat.


"Kekalahan yang amat memalukan dan saya memang tidak gembira. Saya harap setiap pemain mempunyai keinginan dan komitmen tinggi pada setiap perlawanan.


"Saya akan pastikan kami perlu lebih bekerja keras untuk meraih mata yang kami perlukan bagi kekal di Liga Perdana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Redknapp sah kekal pengurus QPR

Posted: 30 Apr 2013 09:20 AM PDT

London: QPR mengesahkan Harry Redknapp (gambar) kekal mengendalikan kelab itu musim depan walaupun sudah tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris.

QPR tersisih ke Liga Kejuaraan susulan keputusan seri tanpa jaringan di Reading, yang turut menyaksikan Royals tersingkir ke saingan bahagian dua bolasepak Inggeris itu.


Pemilik Rangers, Tan Sri Tony Fernandes kelmarin mengumumkan beliau bertemu Redknapp untuk berbincang pelbagai aspek mengenai masa depan pasukan, mencetuskan spekulasi Redknapp bakal meninggalkan kelab, namun pemilik dari Malaysia itu mengesahkan bekas bos Tottenham berusia 66 tahun itu akan kekal sebagai pengurus.

Tony menerusi laman web QPR berkata: "Saya mengadakan perjumpaan yang positif bersama Harry.


"Saya tidak berasakan beliau terfikir untuk tidak bersama kami dan meneruskan rancangan yang dimulakan selepas dilantik ketika musim sudah memasuki satu pertiga." Redknapp dilantik menggantikan Mark Hughes sebagai pengurus November lalu, namun walaupun mereka berbelanja besar ketika musim perpindahan Januari lalu, kelab barat London itu akan beraksi di Liga Kejuaraan musim depan.


Redknapp berkata: "Kami sangat sedih dengan cara musim ini berakhir.

"Sebenarnya ia satu malapetaka, musim yang mengecewakan bagi setiap orang, pemilik, staf, penyokong serta semua yang berkaitan dengan kelab.


"Kami akan memberikan saingan hebat musim depan dan berharap dapat kembali ke Liga Perdana." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Arsenal masih mampu!

Posted: 30 Apr 2013 09:19 AM PDT

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya jika skuad kendaliannya memenangi baki tiga perlawanan Liga Perdana, mereka akan layak ke Liga Juara-Juara namun Chelsea dan Tottenham Hotspur masih mampu memusnahkan harapan itu.

Jika Chelsea meraih sekurang-kurangnya sembilan mata dalam baki empat perlawanan terakhir, mereka akan mengumpul 74 mata. Jika Tottenham memenangi empat baki perlawanan, mereka turut akan menamatkan saingan dengan 74 mata.


Bagaimanapun jika Arsenal memenangi baki perlawanan menentang pasukan yang sudah tersingkir Queens Park Rangers, Wigan Athletic dan Newcastle United, mereka akan mengumpul 73 mata dan bakal terlepas tempat ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Perlawanan penting adalah pada 8 Mei ini apabila bekas pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas membawa Spurs berkunjung ke Stamford Bridge.


Jika Spurs memenangi perlawanan itu dan baki tiga perlawanan menentang Southampton, Stoke City dan Sunderland, mereka akan menamatkan saingan di atas Arsenal.


Chelsea turut akan menamatkan saingan di atas Arsenal jika mereka tewas kepada Spurs dan memenangi tiga baki perlawanan menentang Manchester United dan Aston Villa di tempat lawan serta menentang Everton di laman sendiri.

Berdasarkan kedudukan ketika ini, juara Manchester United diikuti Manchester City yang sudah pasti di kedudukan kedua, akan meraih dua daripada empat tiket ke Liga Juara-Juara.


Chelsea kini mengumpul 65 mata selepas 34 perlawanan di kedudukan ketiga, diikuti Arsenal (64 mata menerusi 35 perlawanan) dan Spurs (62 mata menerusi 34 perlawanan).

Wenger menyaksikan anak buahnya tercicir dua mata apabila terikat dengan juara baru Liga Perdana, Manchester United di Stadium Emirates Ahad lalu dan selepas itu berkata, tiada lagi ruang untuk melakukan kesilapan ketika musim ini sudah sampai kemuncaknya.


Ditanya sama ada pungutan mata mencukupi untuk layak ke Liga Juara-Juara bagi musim ke-16 berturut-turut, Wenger berkata: "Jika kami menang semua baki perlawanan ia mencukupi dan saya yakin kami akan bersaing di pertandingan itu. Saya amat yakin kami akan berada di kedudukan yang kami ingini apabila musim ini tamat.


"Namun kami sedar tiada ruang untuk terus tercicir mata. Kami menyedarinya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Beckenbauer perjelas kenyataan 'helah Barca'

Posted: 30 Apr 2013 09:19 AM PDT

Berlin: Franz Beckenbauer terpaksa menjelaskan semula komennya yang mana beliau menyatakan Barcelona akan menggunakan "semua tipu helah" untuk mengatasi defisit 0-4 menentang Bayern Munich pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Presiden kehormat Bayern Munich itu, bekas pemain dan jurulatih kelab paling berjaya Jerman itu, dipetik sebagai berkata Barca akan "cuba bermain habis-habisan untuk mengimbangi Bayern".


"Mereka akan menggunakan apa cara sekalipun, apa saja yang dibenarkan dan apa saja yang dilarang. Mereka akan mempertahankan diri sendiri kerana maruah mereka sudah terjejas," katanya menurut akhbar Bild.

Barca menyiarkan kenyataan Beckenbauer kelmarin dan beliau memohon maaf kerana disalah tafsir.


"Saya hanya kata Barca akan melakukan apa saja yang mereka termampu untuk layak ke final, tapi tidak dengan cara yang dilarang," katanya.


"Apabila saya kata mereka akan menggunakan apa saja yang mereka miliki, saya merujuk kepada memberi tekanan terhadap lawan, sesuatu yang biasa di padang, ia sesuatu yang biasa saya gunakan sebagai pemain dan ketika menjadi pengurus.

"Barca sebuah daripada kelab terbesar dan paling jujur dalam kancah bolasepak dunia dan saya mengagumi mereka.


"Saya yakin 'permainan bersih' akan wujud dalam perlawanan itu nanti. Dua pasukan akan melakukan apa saja termampu untuk mara ke final dan itulah yang saya maksudkan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Gol awal Barca cetus kebangkitan

Posted: 30 Apr 2013 09:18 AM PDT

Jika Barcelona memerlukan inspirasi tambahan ketika bersiap sedia mengatasi defisit 0-4 pada separuh akhir Liga Juara-Juara di laman sendiri menentang Bayern Munich awal pagi esok, mereka hanya perlu merujuk kepada pasukan La Liga, Deportivo La Coruna.

Depor mencatat satu daripada kebangkitan menakjubkan dalam pertandingan elit kelab Eropah itu pada musim 2003-04 apabila mereka membelasah AC Milan 4-0 pada suku akhir kedua di La Coruna untuk mengejutkan penyandang juara itu dan layak ke separuh akhir menerusi agregat 5-4.


Penyerang Uruguay, Walter Pandiani menjaringkan gol pembukaan pada minit kelima di Riazor pada malam bersejarah itu, apabila kelab itu mengejutkan Milan yang menampilkan Paolo Maldini, Kaka dan Andriy Shevchenko.

Kini berusia 37 tahun dan bermain dalam liga divisyen tiga Sepanyol bersama Atletico Baleares, Pandiani percaya Barca juga memerlukan gol awal jika mereka mahu layak ke perlawanan akhir di Stadium Wembley, London, bulan depan.


"Menjaringkan gol awal adalah kunci kepada pasukan untuk meraih keyakinan," kata Pandiani, yang digelar 'The Rifle'.


"Jika anda tidak mampu menjaringkan gol pada babak pertama, secepat mungkin, maka anda pasti menggelabah," katanya.

"Gol awal itu memberikan kami ketenangan untuk terus bertindak bagus." Peluang Barca untuk menghidupkan peluang bagi memburu kejuaraan Eropah ketiga dalam tempoh lima tahun kelihatan tipis, terutamanya kerana mereka gagal menjaringkan sebarang gol di Munich, namun Pandiani berkata, Depor berada dalam situasi sama pada 2004.


"Jika kami meraih sesuatu yang berharga dalam Liga Juara-Juara tiada siapa pun percaya dengan kami, terutamanya kerana kami berdepan Milan," katanya.

"Namun kami percaya dengan diri sendiri dan penyokong kami berada di sana membangkitkan semangat kami.


"Keceriaan dalam bilik persalinan pada rehat babak pertama membuktikan sukar buat mereka meranapkan impian kami jika kami meneruskan mentaliti sama." Harapan Barca awal pagi esok sekali lagi terletak di bahu Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi.


Messi, yang kembali selepas pulih daripada kecederaan hamstring, mulanya direhatkan ketika seri 2-2 menentang Athletic Bilbao Sabtu lalu, namun Barca hanya menemui semula sentuhan apabila dia masuk menggantikan pemain tengah Xavi Hernandez sebelum menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi gol buat Alexis Sanchez.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Merion mencabar!

Posted: 30 Apr 2013 09:17 AM PDT

Penyandang juara Terbuka AS, Webb Simpson (gambar) menjangkakan pertarungan hingga lubang ke-72 apabila pemain handalan dunia golf berdepan kejuaraan utama berikutnya, Terbuka AS ke-113 di Merion, Jun ini.

Lapangan golf yang sukar itu menawarkan 13 lubang jarak pendek yang mana permainan menggunakan wedge agak kritikal dan lima lubang terakhir yang akan menguji kesabaran mana-mana pemain.


"Saya tidak fikir pada Terbuka AS kali ini ada seseorang yang memenanginya lebih awal kerana lima lubang terakhir terlalu sukar dan pemain yang mendahului pasti berdepan getir hingga ke lubang terakhir," kata Simpson semalam.

"Tapi saya fikir ia yang membuatkannya lebih menarik. Ada banyak peluang membenam birdie, tapi jika anda tiga atau empat pukulan di depan pun dan melangkah ke tee lubang ke-14, anda pasti mengalami kesukaran. Jadi ia pasti menarik buat peminat." Lapangan sama menyaksikan Bobby Jones melengkapkan kemenangan pada 1930 menyapu bersih Terbuka AS dan Britain serta kejuaraan Terbuka Amatur Britain dengan kejayaan Terbuka Amatur AS, akan menjadi hos Terbuka AS kali kelima, kali pertama sejak pemain Australia, David Graham muncul juara pada 1981.


Simpson, yang memenangi kejuaraan itu tahun lalu di Kelab Olympic di San Francisco, bermain di Merion pada Kejohanan Terbuka Amatur AS 2005.


"Saya tahu apa yang perlu dilakukan di lapangan ini," kata Simpson. "Banyak penggunaan iron dari kotak tee bagi 13 lubang pertama, lubang yang lebih pendek. Banyak penggunaan wedge untuk ke green di lubang ini berbanding Terbuka AS lain dan harapnya permainan wedge saya mantap.

"Kemudian lima lubang terakhir adalah yang paling sukar pernah kami hadapi pada Terbuka AS." Simpson menafikan idea pemain dengan pukulan jarak jauh mahupun jarak dekat memiliki kelebihan dari kotak tee, menyatakan kepentingan pukulan kedua.


"Pemain dengan permainan wedge yang bagus mempunyai kelebihan kerana anda berdepan peluang membenam birdie," katanya. "Apa yang saya ingat mengenai Merion adalah sebaik saja anda fikir anda berdepan lubang yang mudah, dengan iron dan wedge, anda sebenanrnya mungkin melakukan kesilapan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Ricciardo mahu ulang kejayaan di China

Posted: 30 Apr 2013 09:17 AM PDT

Paris: Daniel Ricciardo percaya kedudukan tempat ketujuh diraihnya pada Grand Prix China membuktikan potensi sebenar Toro Rosso meskipun sekadar menduduki tempat ke-16 pada perlumbaan berikut di Bahrain.

Pemandu Australia itu mencatat keputusan terbaiknya dalam Formula Satu (F1) setakat ini menerusi pemanduan mantap berada di tempat ketujuh di Shanghai, tetapi tidak mampu mengulangi pencapaian sama di Sakhir, sewaktu menduduki petak ke-13 kelayakan dan ketinggalan ketika bergelut mendapatkan pecutan.


Ricciardo mendapati Toro Rosso perlu mengulangi keputusan di China untuk mengesahkan tahap kompetitif mereka tetapi yakin pecutan sebenar pasukannya lebih baik berbanding apa dicapai di Bahrain.

"Saya rasa kami sudah tentu perlu melakukannya sekali lagi untuk mengetahui kedudukan sebenar kami," kata Ricciardo mengenai kutipan mata diraih di China.


"Kami menamatkan saingan di tempat ketujuh dan bermula di petak ketujuh berdasarkan prestasi sebenar.


"Saya tidak rasa kami bernasib baik. Saya rasa kami akan menjadi pasukan kompetitif. Saya rasa kami menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh kerana memiliki kelajuan.

"Ia mungkin menjadi pencapaian sekali lalu pada satu sirkit saja, tiada siapa tahu, jadi kami mahu melakukannya sekali lagi untuk benar-benar mengetahui adakah itu saja yang kami dapat tapi saya rasa itu adalah penanda aras kepantasan sebenar kami." Pemandu Toro Rosso itu mengakui keputusan di China dapat mengurangkan sedikit tekanan terhadap apa mampu dilakukannya tetapi menyedari dia tidak boleh bersikap lewa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

Rezeki Perantau FC di Terengganu

Posted: 30 Apr 2013 09:16 AM PDT

Kuala Terengganu: "Syukur akhirnya kami berjaya juga ke Grand Final," kata pengurus Perantau FC dari Kelang, Nazrin Shah selepas mengungguli Karnival Milo Hidup Bola 2013 Bawah 16 di Masterscaff Indoor, Paka.

Mereka menamatkan badi gagal ke peringkat berprestij itu selepas mencuba di lima negeri sebelum ini antaranya di Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Akhirnya rezeki mereka berada di Terengganu selepas melangkah ke final berentap dengan wakil tuan rumah dari Dungun, T Lite Junior A.


Dua jaringan melalui Noor Fahmizie Sabri sudah memadai buat Perantau FC muncul juara memadam impian skuad T Lite Junior A dengan jaringan 2-0.

Pada separuh akhir, Perantau FC diberi tentangan hebat skuad The Orange sebelum menang tipis 3-2 manakala T-Lite Junior A tidak menghadapi masalah menumpaskan Power Oblong 3-0.


"Saya memang mengharapkan kejayaan ini, sebelum ini saya hampir putus asa, kali ini boleh tidur lena," kata Nazrin.


Bagi kategori bawah 12, aksi final pertembungan dua wakil Johor, Akademi Bola Sepak Selatan (ABS) Har Sports dari Ulu Tiram dan BETA United (Kulai Jaya). Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan bertenaga dan menghiburkan hingga penentuan juara terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1. Tuah lebih memihak kepada BETA United selepas menang 3-2.

Perantau FC, T-Lite Junior A, BETA United dan ABS Har Sports layak ke Grand Final bagi mewakili Terengganu di Ampang Sports Planet, Kuala Lumpur, 7 Julai ini.


Hadiah disampaikan Eksekutif Pemasaran Sukan, Nestle Products Sdn Bhd, Kerwin Lim.

Siri kesembilan KFMHB akan diadakan di D'Futsal Centre, Perlis pada 11 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01

No comments:

Post a Comment