Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jika ada bukti, sabit Artikel 88

Posted:

Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Artikel 88 peraturan 2010-2014 jika Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya mendapatkan bukti dalam bentuk rakaman video dan juga suara.

Pengerusinya, Datuk Taufek Abd Razak berkata, siasatan kes membabitkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu sudah dilakukan dan keputusan sudah dicapai jawatankuasa terbabit, namun pihaknya belum menjatuhkan hukuman selagi tidak memperoleh bukti kukuh.


"Saya tidak mahu komen mengenai kes ini walaupun keputusan sudah dibuat kerana bimbang akan disalah tafsir. Ada satu, dua perkara kami perlu dapatkan maklum balas daripada pihak tertentu, selepas itu kami akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat," kata Taufek selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, semalam.

"Kami menyiasat setiap kenyataan yang dibuat dan belum membuat pertuduhan ke atas Presiden Bola Sepak Negeri Johor itu. Kami perlukan bukti kukuh kerana bahan yang ada setakat ini hanyalah menerusi laporan akhbar." Begitupun, ketika ditanya adakah Tunku Ismail akan disabitkan dengan kesalahan melanggar kod etika Artikel 88, jika ada bukti rakaman video atau suara yang mengesahkan TMJ membuat komen terhadap isu pengadil seperti dilapor media, Taufek berkata: "Ya, kalau terbukti dalam 'tape', mungkin boleh disabit Artikel 88, mungkin juga Perkara 4.5.8." Bagaimanapun, FAM bagaikan sengaja melengah-lengahkan pertuduhan terhadap TMJ, tidak seperti pegawai FAM lain dan riak wajah Taufek dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dalam sidang media petang semalam, seolah-olah memohon perkenan beliau (TMJ) terlebih dulu, sebelum menjatuhkan hukuman.


Tunku Ismail membuat komen terhadap mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang ditakrif berada di tahap amatur ketika bola sepak di Malaysia sudah lama di era profesional, selepas perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dan LionsXII di Johor Bahru, 19 Februari lalu.

Foto

Datuk Taufek Abd Razak

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Badminton silaturahim

Posted:

Bahau: Buat pertama kali selepas enam tahun penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kampung (JKKK) Bukit Laka, Bahau, satu kejohanan badminton untuk penduduk kampung diadakan di Dewan Yayasan Bakti, Batu Kikir, baru-baru ini.

Sebanyak 88 penyertaan diterima bagi empat kategori iaitu perseorangan lelaki terbuka, beregu terbuka lelaki, beregu lelaki veteran dan beregu wanita.


Pengerusi JKKK Bukit Laka, Abu Zarin Bahali berkata, pertandingan diadakan bagi mengeratkan silaturahim penduduk.

Katanya sejak JKKK ditubukan, beliau berhasrat melihat hubungan penduduk kampung dieratkan dengan aktiviti seumpama itu.


"Walaupun tidak menyediakan hadiah wang tunai, penyertaan diterima membuktikan wang bukanlah segala-galanya.


"Lebih menarik penyertaan dari kalangan penduduk tiga taman perumahan yang bernaung di bawah JKKK Bukit Laka iaitu Taman Saga, Delima dan Kepayang," katanya.

Sementara itu Pengerusi Belia kampung itu, Mohd Shafiq Izrai berkata, pihaknya merancang kejohanan berskala besar pada masa depan berikutan sambutan hebat penduduk.


"Untuk kejohanan kali pertama ini, kami terima penyertaan dari usia sembilan hingga 54 tahun sekali gus membuktikan sukan badminton disukai ramai.

"Walaupun tiada hadiah menarik disediakan, peserta kelihatan cukup seronok dapat bertemu dengan rakan sekampung berikutan kesibukan tugas masing-masing," katanya.


Sementara itu, juara perseorangan lelaki terbuka dimenangi Bushri Md Udin, 42 manakala kategori beregu lelaki disandang Muhammad Hafiz Muhammad, 31, dan Muhammad Hakimi Jasni, 28.


Bagi kategori beregu veteran, juara milik pasangan Muhammad Rashid Muhammad Shariff, 49, dan Azman Khamis, 56, manakala beregu wanita dimenangi, Alyaa Najwa Jafri,10, dan Noranida Muhammad Arith, 43.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Kekuatan jentera julang Asrafni

Posted:

Kuantan: Gandingan pengalaman dan kekuatan jentera menjadi kelebihan kepada Mohamad Asrafni Zainal Abidin untuk meraih kejayaan berganda Pertandingan Enduro Tertutup Pasir Kemudi di Litar Pasir Kemudi, Kuantan, kelmarin.

Pada pertandingan julung kali dianjurkan Pasir Kemudi MX Club itu, Mohamad Asrafni muncul juara kategori belia dan terbuka, menewaskan lebih 40 pencabar. Mohd Asrafni berkata, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri yang menjadi pusat latihan turut membantunya meraih kejayaan dua kategori dipertandingkan. "Walaupun muncul juara, saya gagal mencatat masa terbaik seperti diharapkan berikutan hujan lebat yang menjejaskan penglihatan ketika perlumbaan menyebabkan litar licin terutama pada sebelah petang.


"Saingan sengit sepanjang perlumbaan merancakkan lagi pertandingan, saya puas hati saingan sulung tahun ini berakhir dengan kejayaan membanggakan," katanya yang bercadang menyertai banyak lagi pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan selepas ini.

Mohamad Asrafni berkata, kejayaan pada pertandingan ini menambahkan lagi semangatnya untuk terus melakar kecemerlangan dalam sukan permotoran lasak yang kini semakin terkenal di negara ini dan antarabangsa.


Naib juara kategori terbuka dan belia milik Mohamad Hamdan Mohd Zainuddin dan ketiga Mohd Khalid Arifin (terbuka). Tempat ketiga kategori belia milik Ahmad Hanafi Mohamad.


Kategori veteran diungguli Mohd Razali Jusof, kedua Abu Bakar Draman dan ketiga Zainal Abidin Ahmad. Pemenang kategori junior milik Mohamad Shakawi Mohamad, naib juara Mohamad Solihen Abu Bakar dan ketiga Ahmad Ridzuan Amran.

Pemenang menerima hadiah wang tunai dan hamper.


Pengerusi Pasir Kemudi MX Club, Khairul Idzham Mohamad berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam kejohanan disertai lebih 60 pelumba tempatan.

Menurutnya, sambutan pada pertandingan kali ini menggalakkan walaupun tidak menawarkan hadiah lumayan dan majoriti pelumba berpendapat persaingan dalam pertandingan lebih diutamakan berbanding habuan.


"Litar Pasir Kemudi seluas dua kilometer yang dibuka tahun lalu mempunyai lebih 20 halangan seperti batas ubi, bukit, parit dan laluan becak. Lebih menarik pelumba melalui kawasan hutan kecil.


"Kami akan terus mengadakan pertandingan secara terbuka pada masa akan datang dalam usaha memenuhi permintaan pelumba tempatan dan luar."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Cabaran MGIER'13 berlangsung sengit

Posted:

Melaka: Seramai 120 peserta dalam dan luar negara menyertai Kejohanan Melaka Grand International Endurance Ride 2013 (MGIER'13) selama tiga hari berakhir di Kompleks Sukan Hang Jebat, Paya Rumput, semalam.

Cabaran sekitar kompleks itu menyaksikan saingan menarik kategori 120 kilometer (km), 80km dan 40km terutama ketika melalui kawasan berbukit dan berbatu di bukit bukau berhampiran.


Kejohanan menyaksikan juara kategori 120km diraih Fazoul Alfy dari kumpulan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dengan masa 7:44.35 saat.

Naib juara pula disandang rakan sepasukan, Mohd Hisyamuddin Daud yang hanya ketinggalan 17 saat berbanding Fazoul dengan pelepasan acara itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.


Tempat ketiga dan keempat pula dimenangi peserta Thailand yang mewakili kumpulan The Horses, Prutirat R Serireongrith dan Wipawan Pawitayalarp dengan catatan 9:44.26s dan 9:44.9s.


Kategori 80 kilometer yang dilepaskan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob pula milik Mohd Norsyarfriman Zazlan dari TMKN Endurance (4:21.39s), naib juara Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin (RTES), 4:22.06s.

Kategori 40km menyaksikan juara dan naib juara milik peserta RTES, Mohd Taimizi Daud (2:33.39s) dan Jasryn Jaffly (2:36.45s) manakala Mohd Shamil Azizan dari MAET, ketiga (2:44.08s).


Dalam kategori berkumpulan 80 kilometer, juara milik Mohd Norsyafriman Zazlan, Rosdam Mohd Nor dan Datuk Mohd Shuib Ishak yang mewakili kelab Royal Kelantan dengan masa keseluruhan 14:01.45s.

Naib juara kelab RTES diketuai Tuanku Muhammad Ismail, Asri Abd Aziz dan Zulkifle Saari dengan jumlah masa menunggang 14:16.30s, ketiga kelab TSAB yang diwakili Mohd Nizan Muda, H Otto Satyawan Rachmad dan Tg Putri Helen Nurina Tg Shahrin Abu Bakar (20:29.41s).


Pemenang menerima hadiah wang tunai, trofi dan sijil penghargaan dengan majlis penyampaian hadiah disempurnakan Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar kasih.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

'Buat sehabis baik'

Posted:

Ipoh: Awang import Perak, Karim Roauni dituntut memberikan persembahan terbaik apabila turun bertemu The Red Warriors (TRW), Kelantan di Stadium Sultan Mohamed IV, malam ini.

Gesaan itu dibuat jurulatih Seladang, Mohd Azraai Khor Abdullah (gambar) sebagai peringatan kepada pemain kelahiran Perancis itu yang masih kemarau jaringan selepas dua perlawanan.


"Ini aksi ketiga Karim untuk Perak setakat ini. Dia tahu apa yang diharapkan daripadanya. Sumbangannya setakat ini belum mencukupi.

"Sehubungan itu saya harap dia mempamerkan keupayaan sebenar kerana jika tidak kami terpaksa mencari pengganti apabila tingkap perpindahan dibuka April bulan depan," katanya.


Karim, 30, yang mengalami kecederaan 'hamstring' sebelum sepak mula liga diturunkan semula ketika Perak bertemu Terengganu di Kuala Terengganu pada 16 Februari lalu.


Pemain tinggi lampai itu setakat ini bagaimanapun gagal menyumbang sebarang gol, malah tampak belum mendapat persefahaman dan rentak pasukan ketika beraksi menentang Pahang pada perlawanan kedua di Stadium TLDM, Lumut 19 Februari lalu.

Berikutan itu, timbul keraguan terhadap kemampuan pemain keturunan Maghribi itu, tambahan pula awang import pasukan lain semua sudah mendapat sentuhan pemusnah masing-masing.


Azraai berkata, perlawanan malam ini juga menjadi pentas buat dua pemain yang baru pulih daripada kecederaan, S Chanturu dan V Thirumurugan menunjukkan kehebatan kerana beraksi dalam perlawanan kedua.

"Mereka sudah bermain ketika menentang Pahang dan tidak menunjukkan tanda-tanda mengalami kesakitan. Saya harap mereka akan meningkatkan persembahan." Azraai optimis anak buahnya berupaya memberikan saingan kepada juara tiga piala itu biarpun sedar anak buahnya bukan sekadar berhadapan 11 pemain skuad kendalian, Bojan Hodak tetapi juga sokongan padu ribuan penyokong setia Kelantan yang pasti membanjiri stadium.


"Memang sukar buat kami tapi tiada yang mustahil. Saya harap pemain tumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan dan tidak berasa gentar dengan suasana dan provokasi penonton."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Alves belum tenang

Posted:

Seremban: Biarpun melakar kemenangan ke atas Pos Malaysia pada saingan Piala FA, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Divaldo Alves tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya terhadap kekuatan barisan depan skuad itu menjelang pertemuan saingan Liga Super menentang Johor Darul Takzim di Stadium Larkin, malam esok.

Ini berikutan ketajaman peledak skuad Hoben Jang Hoben belum terserlah apabila pemain diharapkan di posisi itu, Emanuel Matias De Porras gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai banyak peluang.


Menurut Alves, dia bimbang dengan situasi itu kerana berdepan pasukan hebat seperti Johor Darul Takzim, mereka perlukan kekuatan padu dan seimbang di setiap posisi bagi menjamin pasukan tidak menjadi skuad belasahan apatah lagi beraksi di gelanggang lawan.

"Memang tampak barisan depan pasukan kini belum begitu mantap apabila gagal menghasilkan gol, namun kita berusaha mengatasi kelemahan itu terutama menjelang pertemuan malam esok.


"Saya harap De Porras mempertajamkan sentuhannya bagi meraih kemenangan pertama dan saya yakin jika mereka fokus serta mempamerkan kekuatan sebenar, tidak mustahil pasukan mampu meraih mata di gelanggang lawan," katanya.


Alves sudah menyusun strategi terbaik bagi mengimbangi kekuatan skuad bimbingan Fandi Ahmad itu termasuk memperkuatkan bahagian tengah selepas Abdul Halim Zainal tidak dapat diturunkan.

"Saya ingatkan pemain tidak terlalu menghormati lawan hingga boleh menjejaskan rentak persembahan.


"Kami akan berusaha mencipta kemenangan dan berharap pemain mempamerkan aksi sebagai satu pasukan mantap demi meyakinkan penyokong setia," kata pengendali berusia 44 tahun dari Portugal itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

FAM tidak tahu kunjungan Barcelona ke Malaysia

Posted:

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak tahu menahu berhubung kunjungan kelab Liga Primera Sepanyol, Barcelona ke negara ini pada Ogos, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan hari ini.

"Setakat ini tidak ada pihak menghubungi FAM mengenai kedatangan kelab Sepanyol ini ke Malaysia," kata kenyataan dikeluarkan FAM semalam.


Akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan, kelab gergasi Sepanyol itu akan mengadakan kunjungan ke negara ini selepas mengadakan perlawanan persahabatan di Beijing, China dan Bangkok, Thailand menerusi Jelajah Asia kelab itu.

Jelajah itu sebahagian daripada persiapan Barcelona bagi menghadapi musim baru Liga Primera Sepanyol 2013/14.


Bagi saingan musim ini, kelab itu kini menerajui Liga Primera Sepanyol dengan mengutip 68 mata selepas mengharungi 25 perlawanan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Terengganu kena hukum

Posted:

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) didenda RM50,000 kerana kesalahan penonton membaling objek ke padang, gara-gara tidak puas hati dengan mutu pengadilan perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 15 Januari lalu.

Denda RM50,000 itu membabitkan tiga pertuduhan.


"Denda yang dikenakan ini tidak boleh dirayu kerana ia jumlah minimum," kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abd Razak, semalam.

Menurut beliau, PBSNT bersetuju dengan setiap pertuduhan dan kesalahan pertuduhan pertama, Terengganu didenda RM10,000 kerana penyokongnya membaling objek keras, ketulan konkrit selain botol dan mercun ke arah penjaga garisan pada minit ke-89 yang menyebabkan permainan terhenti selama lapan minit dengan kesalahan itu dirujuk kepada Perkara 6.2.1.


Jumlah maksimum denda yang boleh dikenakan terhadap persatuan itu adalah RM100,000.


Bagi pertuduhan kedua, persatuan itu disabitkan dengan tindakan penonton mengulangi perbuatan membaling ketulan konkrit ke arah penjaga garisan sama pada masa kecederaan (minit ke-92) hingga perlawanan dihentikan 10 minit.

PBSNT didenda RM20,000 kerana melanggar Perkara 19.7, mengulangi kesalahan selepas diberi amaran.


Denda RM20,000 lagi dikenakan berikutan kegagalan PBSNT menjamin keselamatan di stadium dan persatuan itu diberi amaran keras supaya memastikan insiden terbabit tidak berulang atau skuad Terengganu akan beraksi tanpa kehadiran penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Dollah tuntut anak buah pamer taring

Posted:

Kuantan: Jentera serangan dituntut menajamkan sentuhan jika mahu memastikan Pahang beroleh mata apabila bertemu naib juara Piala Malaysia musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam ini.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, pada tiga perlawanan Liga Super, penyerang gagal mempamerkan persembahan meyakinkan untuk membolosi gawang lawan.


Menurutnya, jika masalah itu gagal ditangani, sukar buat mereka untuk membenam Tentera yang diakui sebuah pasukan bagus.

"Sebenarnya, kemenangan besar 7-1 ke atas Tentera Darat dalam saingan Piala FA, Selasa lalu, tidak harus dijadikan ukuran pencapaian jentera serangan.


"Sebaliknya, pemain yang diberi tugas mengetuai barisan serangan perlu bijak memanfaatkan peluang selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan lalu.


"Hanya satu mata diraih daripada tiga perlawanan dan jika mahu terus bersaing di kelompok teratas, kemenangan saja mampu mengubah kedudukan," katanya.

Dalam tiga perlawanan lalu, Pahang tewas 0-3 kepada LionsXII dan Perak (0-1) sebelum mengikat Kelantan 2-2.


Namun, dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA Selasa lalu, Pahang membelasah Tentera Darat tetapi ia bukan ukuran sebenar kemampuan skuad Tok Gajah.

Justeru, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan mahu Mohd Fauzi Rozlan mengembalikan prestasi cemerlangnya untuk membolosi gawang ATM.


Menurutnya, setakat ini, persembahan Fauzi kurang memberangsangkan dan seharusnya perlu berada pada prestasi terbaik untuk memastikan kemenangan pasukan.


"Saya harap Fauzi mampu bermain baik selain Azamuddin (Mohd Akil) yang sudah menjaringkan empat gol dalam Piala FA."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

'Enggan putih mata'

Posted:

Kuala Lumpur: Pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan tidak mahu anak buahnya berputih mata lagi apabila bakal menerima kunjungan Pahang pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, hari ini.

Beraksi cemerlang selepas 13 perlawanan, ATM bagaimanapun tumpas kepada Terengganu pada perlawanan terakhir minggu lalu, kekalahan kedua mereka pada saingan liga.


Namun kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan mereka di tangga teratas liga dengan diekori rapat juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor di tempat kedua.

"Sudah tentu saya harap pemain bangkit apabila bertemu Pahang dengan sasaran utama meraih tiga mata penuh.


"Walaupun keputusan empat perlawanan terakhir Pahang tidak begitu memberangsangkan, saya yakin mereka tetap berbahaya.


"Mereka sebenarnya beraksi dengan baik sepanjang perlawanan itu walaupun mencatat keputusan kurang memuaskan," katanya.

Ditanya adakah beliau mampu membantu pasukannya untuk terus kekal di tangga teratas liga, Sathia optimis tiada yang mustahil.


"Saya tidak pernah meragui kemampuan mereka dan yakin setiap pemain mampu memikul tugas masing-masing.

"Kekalahan kepada Terengganu tidak memberi tekanan kepada kami, sebaliknya setiap pemain bersemangat untuk bangkit."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

No comments:

Post a Comment