Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sengaja persia peluang

Posted:

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23), Ong Kim Swee melahirkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi anak buahnya selepas mensia-siakan peluang melakar kemenangan apabila membenarkan Laos bangkit mengikat kedudukan 3-3 pada aksi persahabatan di Vientiane, kelmarin.

Selepas mendahului 3-1, skuad muda negara melakukan kesilapan hingga memberi ruang kepada Laos yang dibarisi pemain senior menyumbat dua gol dalam tempoh lima minit terakhir.


Biarpun mengaku prestasi pemain lebih baik berbanding ketika seri dengan Myanmar 0-0 dalam satu lagi aksi persahabatan minggu lalu, Kim Swee nyata kurang senang dengan keputusan diraih di Vientiane kali ini.

"Kita bermain lebih baik berbanding menentang Myanmar tapi selepas mendahului 3-1, kita gagal mengawal keadaan hingga dibolosi dua gol dalam lima minit terakhir menerusi sepakan penalti dan kesilapan pemain mengeluarkan bola.


"Saya mahu semua pemain khususnya pemain baru lebih matang apabila berada dalam tekanan. Saya memang belum puas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Vientiane semalam.


Pada perlawanan itu, gol skuad negara disumbang A Thamil Arasu, Rozaimi Abd Rahman dan Muhammad Nurridzuan Abu Hassan.

Foto

ROZAIMI (kiri) berjaya jaring satu gol.

Skuad kendalian Kim Swee kembali ke tanah air malam semalam dan akan berlatih seperti biasa sebelum berlepas ke Slovakia bagi sesi latihan dan perlawanan bermula 15 Mac sebagai persiapan menghadapi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.


Sementara itu, Kim Swee mengesahkan masih belum ada kata putus mengenai kontrak dua pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria bersama Ryukyu FC meskipun wakil kelab divisyen tiga Jepun itu datang ke Laos untuk mengadakan perbincangan.

"Hasil perbincangan dengan wakil kelab itu nampak positif tapi keputusan akhir hanya diketahui selepas satu lagi perbincangan pada 11 Mac ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

'Sedia anjur lagi tahun depan'

Posted:

Kuching: Sambutan yang cukup menggalakkan pada saingan Karnival Futsal Harian Metro di Kuching, Sarawak hujung minggu lalu mendorong penganjur untuk menganjurkannya lagi pada masa akan datang.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, sambutan diterima membuktikan rakyat Sarawak sangat menyokong karnival yang kali pertama dibawa ke negeri Bumi Kenyalang itu selepas tujuh tahun berlangsung di Semenanjung.


"Kami terpaksa menolak permohonan selepas tamat tarikh tutup pada 15 Februari lalu kerana mahu memastikan perjalanan karnival ini berjalan dengan lancar.

"Situasi itu menunjukkan jumlah penyertaan melebihi sasaran ditetapkan dan ia benar-benar menggembirakan kami.


"Kualiti permainan yang dipamerkan juga amat menarik sekali gus membuktikan rakyat Sarawak juga mempunyai bakat dan skil cukup tinggi dalam sukan futsal," katanya.


Jelas beliau, Karnival Futsal Harian Metro tidak mustahil menjadi acara tahunan di Sarawak sekiranya mendapat sokongan tajaan yang kukuh.

"Kami memang berhasrat untuk terus menganjurkannya pada masa depan tetapi terpulang juga kepada sokongan penajaan.


"Jelas sekali rakyat Sarawak sangat menyokong penganjuran karnival ini dan kami yakin sambutan lebih hebat pasti diterima sekiranya kami terus menganjurkannya selepas ini." Karnival Futsal Harian Metro edisi Sarawak yang berlangsung hujung minggu lalu mencatat sejarah apabila sebanyak 193 pasukan daripada tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Wanita dan Remaja Bawah 17 mengambil bahagian, melebihi jumlah disasar penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Ismail terbaik Terbuka Lelaki

Posted:

Kuching: Karnival Futsal Harian Metro bukan sekadar memberi ganjaran lumayan kepada pasukan juara malah turut mengiktiraf usaha individu menerusi anugerah pemain terbaik bagi setiap kategori iaitu Tebuka Lelaki, wanita dan Remaja Bawah 17.

Bagi Terbuka Lelaki, Ismail Ahmad dari pasukan KTT Wirajaya dinobat pemain terbaik perlawanan akhir meskipun pasukannya tewas kepada War's 15 80's A.


Sementara pemain terbaik Terbuka Wanita milik Charity Kemp dari pasukan Bankers Tidal Bore yang turut tewas pada aksi final kepada Bandarayaku A.

Mohd Azirul Joss dari pasukan Coneli Tiger pula dipilih pemain terbaik Remaja Bawah 17 tahun.


Bagi Ismail yang juga ketua pasukan KTT Wirajaya, anugerah itu sedikit mengubat kekecewaan pasukannya tewas di final.


"Memang terkilan sebab pasukan tewas kerana kami sememangnya mampu menang. Tapi nasib tidak memihak kepada kami," katanya.

Sementara itu, Charity pula berkata: "Saya memang tak sangka dinobat pemain terbaik sebab ramai lagi pemain yang beraksi lebih baik.


"Apapun saya gembira kerana dipilih sebagai pemain terbaik sekali gus mengubat sedikit kekecewaan selepas pasukan tewas pada aksi final." Setiap pemenang menerima sepasang kasut sumbangan jenama sukan terkenal, Figos.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Karnival cungkil bakat baru futsal

Posted:

Kuching: Bukan sekadar mencipta sejarah pertama kali bertapak di Kuching, Sarawak, malah Karnival Futsal Harian Metro turut berjaya mencungkil bakat baru sukan futsal.

Antara pasukan yang menarik perhatian pengunjung pada saingan hujung minggu lalu ialah Viper FC, pasukan berasal dari Kuching yang hampir keseluruhan anggotanya dibarisi pemain bertubuh kecil dan menyertai kategori Remaja Bawah 17.


Namun kecil mereka bukan sembarangan kerana begitu lincah ketika beraksi di atas gelanggang.

"Mereka meminati sukan futsal dan atas sebab itu, saya berusaha daripada semua segi termasuk soal kewangan untuk membantu mereka.


"Lagipun dua orang anak saya turut menganggotai pasukan ini. Saya akan cuba memenuhi apa saja impian mereka berdua," kata pengurus pasukan, Nur Diana Aling Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Pengiktirafan KPM

Posted:

Kuala Lumpur: Ng Eain Yow dan Traisy Vivien Tukiet mendapat pengiktirafan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) apabila dinobat pemenang Anugerah Putera dan Puteri KPM berikutan kejayaan di pentas dunia.

Eain, 15, pemain skuasy remaja negara yang muncul juara pada Kejohanan Remaja Terbuka British Januari lalu, adalah kesinambungan bakat skuasy negara yang lahir selepas Datuk Nicol David, Ong Beng Hee dan Mohd Azlan Iskandar.


"Saya amat gembira dengan pengiktirafan ini dan ia membuatkan saya lebih bermotivasi untuk melakar kejayaan lebih besar," kata Eian.

"Melihatkan kerja keras Datuk Nicol mempromosi skuasy untuk ke Olimpik, saya amat berharap sukan ini tersenarai dan mahu beraksi di temasya berprestij dunia itu." Selain muncul juara Remaja British tahun ini, pemain remaja negara itu juga muncul pemenang tempat ketiga kejohanan sama tahun lalu dan menjuarai Kejohanan Milo All Star, Remaja Terbuka Pulau Pinang, Kejohanan Individu Asia, Remaja Kebangsaan dan MSSM 2012.


Traisy, 20, pula adalah atlet paling menonjol Sekolah Sukan Bukit Jalil yang beraksi di Sukan Olimpik London lalu.


Pencapaian menempatkan diri dalam ranking ke-18 Piala Dunia Fina ke-18 dan ke-22 Olimpik London, cukup untuk gadis dari Sarawak itu dinobatkan pemenang Anugerah Puteri KPM.

Sembilan lagi anugerah turut disampaikan pada majlis yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur semalam.


Selain pelajar, dua guru Lee Yock Chin dan Rasia Lutang dianugerahkan sebagai Guru Sukan Berjasa.

Sementara pesara guru yang juga bekas atlet sepak takraw negara, Abdul Rahman Md Nor diberi Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Dedah suasana kejohanan sebenar

Posted:

Melaka: Seramai 14 atlet Persatuan Bowling Negeri Melaka menyertai Kejohanan Tenpin Bowling Sportexcel-NSC-Milo-MTBC Sirkit Remaja Perak 2013 di Ampang Superbowl, Ipoh Parade, Perak baru-baru ini.

Mereka menyertai lima acara dipertandingkan, lelaki dan perempuan Bawah 18 Tahun (B-18) serta graded dan Bawah 12 Tahun (B-12) lelaki.


Abdul Basit Mohamad mempamerkan aksi membanggakan apabila menduduki tangga keempat keseluruhan lelaki B-18.

Pegawai Pembangunan Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM), Lufti Asiman berkata, Abdul Basit berjaya mendahului pusingan pertama tapi dipintas dua atlet Kuala Lumpur dan Selangor pada pusingan kedua untuk sekadar berpuas hati di tangga keempat.


Anessa Asyira Abas turut bangga menduduki tangga keempat perempuan B-18 manakala rakan sepasukan, Nur Izzati Mad Yunos ke-16.


Dua daripada enam atlet acara graded lelaki mara ke pusingan kedua. Luqman Al Hakim Tenang Mohammad Suhaimi menduduki tangga ke-16 dan Muhammad Hery Hadzren Mohd Hisham, ke-20 keseluruhan.

Muhammad Alif Najmee Zailani pula menduduki tangga ke-17 daripada 50 peserta B-12 lelaki.


"Program Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Melaka berjaya mendedahkan atlet menghadapi saingan getir sepanjang kejohanan.

"Semua atlet akan mewakili Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis 2014," kata Lufti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

PERCAK serlah bakat pencatur

Posted:

Sungai Petani: Tan Khai Boon, Muhammad Sirajuddin Munawir Ahmad dan Ang Jing Xuan muncul juara pertandingan catur kategori terbuka, Bawah 18 Tahun dan Bawah 12 Tahun anjuran Persatuan Catur Negeri Kedah (PERCAK) di Maktab Rendah Sains Mara Merbok, baru-baru ini.

Mereka mengumpul mata tertinggi selepas tujuh pusingan untuk mengatasi cabaran peserta kategori masing-masing.


Khai Boon dari Pulau Pinang muncul juara kategori terbuka selepas menang semua tujuh pusingan, mengalahkan lawan terakhir dan naib juara, Evan Timothy Capel manakala Keok Kai En, ketiga.

Jagoan dari Kulim Muhammad Sirajuddin pula mudah menggenggam juara B-18 selepas menumpaskan naib juara, Ang Zhen Wei dan ketiga, Khor Boon Yaw.


Manakala Jing Xuan dari Pulau Pinang, tidak memberi peluang kepada naib juara, Nur Islamurni Yahaya, dan ketiga, Heng Gu Jia, untuk gah menjuarai kategori B-12.


Hadiah berupa sijil dan medal disampaikan Presiden PERCAK, Yahaya Ahmad yang diiringi naib presiden, Mohd Zuhri Abdullah dan bendahari, Abd Rahman Omar.

Setiausaha PERCAK, Norazwan Kamaruzaman berkata, pertandingan itu menarik minat 173 pencatur Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.


"PERCAK bertanggungjawab meneruskan sukan taktikal yang kurang diberi perhatian ini.

"Pertandingan ini dan sambutan diterima membuktikan sukan catur masih mempunyai penggemar tersendiri. Paling membanggakan, kehadiran pencatur generasi muda seawal usia 10 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

'Elak buat kesilapan'

Posted:

Ipoh: Peningkatan Kelantan terutama awang import, Keita Manjou merisaukan Perak menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam kancah Liga Super di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, malam esok.

Justeru jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Seladang perlu lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa juara trebel musim lalu itu.


"Pada masa ini Kelantan terutama Keita memang berbahaya kerana semakin meningkat. Pemain Perak perlu mengawasi pergerakannya serta tidak melakukan kesilapan yang memberi peluang kepadanya meledak jaringan," katanya.

Begitupun Azraai yakin anak buahnya juga sudah bersedia menghadapi apa jua bentuk cabaran dihidang pasukan The Red Warriors (TRW).


"Sebenarnya tiada apa perlu dirisaukan kerana ketika ini setiap pasukan sudah mulai menunjukkan kemampuan selepas mengharungi tujuh perlawanan.


"Malah bagi Perak, beberapa pemain yang baru kembali dari kecederaan sudah beraksi dalam perlawanan kedua atau ketiga dan saya yakin mereka juga mulai mendapat sentuhan masing-masing." Malah Azraai berkata, perlawanan dengan Kelantan menjadi pentas memperkenal pemain tengah berpengalaman, Shahrulnizam Mustapha tetapi tidak dapat memastikan berapa lama pemain itu akan beraksi.

"Dia pasti dibawa ke Kota Bharu dan saya bercadang menurunkannya pada perlawanan ini. Berapa lama dia beraksi bergantung pada keadaan," katanya.


Peluang menurunkan kesebelasan terbaik malam esok membuatkan Azraai yakin Perak mampu memberi saingan kepada anak buah Bojan Hodak yang kini berada satu tangga di belakang Perak iaitu kelapan dalam liga 12 pasukan itu.

Sehubungan itu, Perak bertandang ke Kota Bharu dengan misi mengelak kekalahan kerana liga kini sudah berada di pertengahan jalan.


"Liga sudah semakin menuju ke penghujung pusingan pertama. Berdasarkan kedudukan semasa, sukar meramalkan pasukan yang akan terus mengungguli kerana semua pasukan termasuk dua pasukan di tangga terbawah masih berpeluang mengejar pasukan di hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Pemain Negeri Sembilan makin yakin

Posted:

Seremban: Kejayaan menebus episod luka dalam saingan Liga Super, keyakinan pemain Negeri Sembilan kini semakin meningkat apabila mara ke suku akhir Piala FA, selepas menewaskan Pos Malaysia, 2-0 di Stadium MP Selayang, kelmarin.

Kini pemain skuad berazam meneruskan persembahan terbaik sama ada pada saingan Piala FA atau Liga Super, terutama ketika turun menentang Johor Darul Takzim dalam saingan liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.


Tonggak pertahanan, Azmeer Yusof menyifatkan kemenangan kelmarin sebagai detik mengembalikan semula reputasi pasukan yang kurang membanggakan sepanjang mengharungi lapan perlawanan liga yang menyaksikan sekadar meraih keputusan seri dalam empat perlawanan.

Katanya, walaupun pasukan masih dibelenggu masalah kecederaan beberapa tonggak, pemain yang menjadi pilihan jurulatih, Divaldo Alves berjaya menggalas tanggungjawab dengan baik.


"Sebagai pemain, saya gembira menewaskan Pos Malaysia dan seterusnya membawa pasukan ke suku akhir Piala FA. Jika mengambil kira rekod musim lalu, Negeri Sembilan terkandas pada pusingan kedua tapi kali ini, kami berjaya membawa pasukan mara lebih jauh dan berharap kejayaan ini dapat dikekalkan bertemu Terengganu pada suku akhir.


"Saya yakin kemenangan ini meningkatkan lagi keyakinan rakan lain untuk terus berjuang ketika menentang Johor Darul Takzim, Sabtu ini," katanya.

Sementara itu, pemain sayap kiri, Shahurain Abu Samah, bertekad untuk terus memberikan persembahan terbaik membantu pasukan mencapai kemenangan dan kembali ke landasan terbaik saingan Liga Super.


"Rakan sepasukan perlu terus berusaha bersungguh-sungguh memastikan skuad Hoben Jang Hoben tidak lagi mengalami kekalahan, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri.

"Dalam aksi sebelum ini, prestasi pasukan kurang memberangsangkan apabila gagal memanfaatkan peluang jaringan termasuk ketika beraksi di gelanggang sendiri tapi saya yakin perubahan akan berlaku selepas kami berjaya melepasi halangan Piala FA," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Azamuddin tamat kemarau jaringan

Posted:

Kuantan: Penyerang Pahang Azamuddin Mohd Akil gembira selepas membantu pasukannya membelasah Tentera Darat, 7-1 untuk layak ke suku akhir Piala FA, kelmarin.

Lebih manis, pemain kelahiran Lipis itu berjaya menamatkan kemarau gol apabila menjaringkan empat daripada tujuh gol itu.


"Saya tidak sangka dapat menjaringkan empat gol. Kejayaan ini menyuntik motivasi saya menjaringkan lebih banyak gol terutama dalam saingan Liga Super.

"Dalam lapan perlawanan liga, saya gagal melakukannya dan kini lebih bersedia apabila bertemu ATM, esok.


"ATM bukan lawan mudah, saya harap rakan lebih waspada dan fokus untuk memastikan tiga mata milik pasukan," katanya.


Sementara itu, jurulatih Dollah Salleh memuji persembahan mantap anak buahnya pada perlawanan itu biarpun bertemu pasukan Liga FAM.

Menurutnya, pemain mempamer tahap permainan terbaik untuk memastikan Pahang layak ke suku akhir.


"Pada masa sama, saya sudah mengingatkan pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana yang penting layak ke suku akhir.

"Saya harap pemain bijak memanfaatkan peluang apabila bertemu Sime Darby FC kerana lawan sentiasa membuat kejutan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

No comments:

Post a Comment