Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Lampin kokain'

Posted:

New York: Dua wanita dari Bronx ditangkap kerana menyeludup enam setengah kilogram (kg) kokain dalam 'lampin' di dalam seluar panjang mereka.

Menaiki penerbangan JetBlue ke lapangan terbang John F Kennedy di New York dari Republik Dominican, Priscilla Pena dan Michelle Blassingale mengenakan lampin kokain untuk tampil biasa-biasa saja. Bagaimanapun, pegawai kastam curiga apabila dua wanita itu yang terbang dari Santo Domingo diekori anjing pengesan yang mula bertindak liar.


Pemeriksasan terhadap bagasi mereka tidak menemukan sebarang dadah. Kastam kemudian mula memeriksa tubuh dua wanita itu dan menemui lampin berisi kokain di bahagian kelengkang belakang mereka. Kedua-duanya kemudian ditahan.

Michelle ditahan di penjara oleh hakim persekutuan Brooklyn, manakala Priscilla dibebaskan dengan ikat jamin AS$150,000 (RM 466,049) menurut laporan New York Post.


Pada Oktober tahun lalu, penyeludup dadah Caribbean yang juga pekerja bagasi dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana menjadikan penerbangan American Airlines sebagai perkhidmatan ulang-alik membawa dadahnya.


Bekas pekerja bagasi American Airlines itu, Victor Bourne, 37, didapati bersalah tahun lalu kerana menggunakan akses di Lapangan Terbang JFK untuk menyeludup lebih 149 kilogram kokain sejak 2000 hingga 2009. Bourne mendakwa polis menggunakan 'bukti palsu' untuk menahannya.

Foto

KOKAIN ditemui disembunyikan dalam lampin.

Foto

LAMPIN berisi kokain yang dipakai dua wanita ditahan di Lapangan Terbang JFK di New York.

"Bagaimana saya boleh terima tuduhan yang tidak saya lakukan?," soalnya lelaki dari Barbados itu.


Sebagai ketua pekerja bagasi, Bourne memperoleh jutaan dolar hasil wang haram yang diraih melalui perniagaan antara Brooklyn dan Barbados itu, kata pihak berkuasa. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Ditawar RM210,702 bagi 'muntah paus'

Posted:

London: Seorang lelaki British ditawarkan 50,000 euro (RM210,702) untuk sebutir batu yang berbau aneh ditemui anjingnya di pantai sama seperti bentuk muntah paus digunakan dalam minyak wangi, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.

Ken Wilman berjalan dengan anjingnya, Madge di tepi pantai dekat bandar Morecambe di barat laut England ketika ternampak 'sebuah batu besar' dengan tekstur lilin berwarna kuning.


Pada awalnya, dia membiarkan saja batu itu, tetapi dia terdetik untuk kembali ke tempat itu untuk mendapatkan objek itu yang dipercayainya secebis ambergris, bahan ditemui dalam sistem penghadaman sperma paus. Paus kadangkala memuntahkan ambergris yang terapung di air dan dianggap sebagai sangat berharga sejak berabad lamanya. Ia digunakan untuk membuat minyak wangi kerana baunya yang semakin kuat seiring dengan usianya, tetapi ambergris berbau busuk.

"Apabila saya mengutip dan menghidunya, saya campakkannya kembali kerana baunya sangat busuk," katanya kepada BBC. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Lindsay mungkin dipenjara

Posted:

Los Angeles: Aktres Lindsay Lohan akan menghadapi perbicaraan pada 18 Mac atas dakwaan menipu polis California mengenai nahas kereta Jun tahun lalu dan melanggar tempoh percubaan, meningkatkan kemungkinan dia mungkin dihantar semula ke penjara.

Hakim di Los Angeles, kelmarin menetapkan tarikh perbicaraan atas dakwaan berhubung dengan nahas kereta itu dan berkata, mahkamah akan menangguhkan perbicaraan pada masa sama berikutan sama ada Lindsay melanggar tempoh percubaan dalam insiden itu seperti pada insiden kecurian barang kemas pada 2011. Bintang Mean Girls itu yang masuk dan keluar dari pusat pemulihan dan penjara sejak 2007, memakai baju hitam tanpa lengan dan kelihatan letih dalam sesi ringkas mahkamah itu.


Dia tiba di Los Angeles dari New York Selasa lalu dan mengenepikan peguam lamanya untuk memilih peguam baru, Mark Heller.

Lindsay membuat pengakuan tidak bersalah terhadap tiga dakwaan salah laku cuai ketika memandu, menipu dan menghalang polis apabila mengatakan dia tidak memandu kereta sport miliknya itu yang merempuh sebuah trak di Santa Monica Jun tahun lalu.


Lindsay, 26, meninggalkan mahkamah tanpa bercakap kepada media. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Ketua PKS ditangkap

Posted:

Jakarta: Agensi pencegah rasuah semalam menahan ketua parti Islam terbesar Indonesia yang juga menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran negara itu.

Suruhanjaya Penghapusan Rasuan (KPK) menahan Pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Luthfi Hassan Ishaaq selepas beliau disoal siasat kelmarin berhubung kes rasuah import daging lembu.


Media tempatan melaporkan, Luthfi yang memakai baju tahanan dibawa penyiasat agensi berkenaan ke Penjara Pomdam Jaya Guntur di Jakarta Selatan semalam "Seperti yang sudah diketahui banyak pihak, saya berdepan dengan masalah yang memerlukan masa untuk menjalani proses undang-undang-undang hingga boleh dibuktikan benar atau salah," kata Luthfi kepada wartawan di depan ibu pejabat suruhanjaya itu, sebelum dibawa ke penjara.

Suruhanjaya itu berkata, Luthfi, 51, ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat pengimport daging, PT Indoguna Utama untuk mendapatkan kontrak kerajaan.


Jurucakap KPK, Johan Budi berkata, penyiasat merampas wang berjumlah satu bilion rupiah (RM306,000) dari sebuah kereta milik pembantu Luthfi.


Badan pencegah rasuah itu merumuskan, terdapat bukti secukupnya bagi mereka untuk mendakwa pemimpin parti Islam berkenaan.

"Luthfi terbabit dalam kes ini. Kami mengesyaki wang berkenaan adalah untuk beliau," kata Johan.


PKS mempunyai tiga menteri dalam Kabinet Presiden Susilo.

Sementara itu, Lutfi turut memberitahu wartawan di depan pejabat KPK bahawa beliau sudah meletak jawatan sebagai pengerusi parti berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Penahanan Luthfi bawa impak besar

Posted:

Jakarta: Pengerusi Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar Indonesia, berkata semalam, penahanan Pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Luthfi Hassan Ishaaq berkait dengan kes rasuah import daging lembu memberi tamparan kepada imej parti berlandaskan Islam.

"Saya amat terkejut dan ia akan memberi kesan besar, bukan saja pada dirinya, tetapi juga parti berlandaskan Islam," kata Din ketika diminta mengulas mengenai penahanan itu.

Menurutnya, kes rasuah membabitkan parti Islam mencetuskan masalah besar kepada umat Islam di negara itu.

Katanya, keadaan itu menggambarkan parti Islam tidak boleh melaksanakan sepenuhnya nilai Islam dalam kegiatan mereka.


"Tidak hairanlah sekiranya ramai orang berkata, tidak ada bezanya parti Islam dengan parti sekular.


"Dari sudut positif, semua parti Islam berjuang untuk nilai Islam. Tetapi dari sudut negatif, ramai pemimpin mereka disoalsiasat oleh Suruhanjaya Penghapusan Rasuah (KPK)," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Irwansyah, Zaskia sedia bela Raffi

Posted:

Jakarta: Hubungan persahabatan antara pelakon Irwansyah dan Raffi Ahmad memang akrab.

Irwansyah dan isterinya, Zaskia Sungkar berkata, mereka bersedia untuk membela Raffi yang kini masih di soal siasat Badan Narkotika Nasional (BNN). Malah, jika perlu melakukan bantahan, Irwansyah sanggup bertindak demikian demi Raffi.


"Kami akan melakukan bantahan dengan demonstrasi," katanya ketika ditanya apa akan dilakukan jika temannya itu positif dadah. Zaskia juga menyokong pendapat suaminya. "Jika alasan diberikan pihak BNN tidak wajar, maka kami tidak boleh menerimanya.

"Sukar untuk dipercayai teman kami, Raffi positif dadah atau perlu dihantar ke pusat pemulihan. "Jika kami perlu membantah, ya, kami akan melakukan demikian," katanya.


Zaskia berkata, dia bersedia sepenuhnya untuk membantu Raffi. Dia juga mengumpulkan beberapa rakan penyampai program 'Dahsyat' itu untuk memberi sokongan.


Pihak berkuasa antidadah Indonesia baru-baru ini menyerbu kediaman Raffi dan menahan dia dan rakannya yang dikatakan sedang berparti dadah. Irwansyah dan Zaskia antara yang ditahan, tetapi mereka dan beberapa lagi rakan, dibebaskan selepas didapati negatif daah. Raffi bagaimanapun masih disiasat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Dadah bahaya di rumah Raffi

Posted:

Jakarta: Dadah yang diperoleh hasil siasatan beberapa orang yang ditahan di kediaman Raffi Ahmad ternyata lebih berbahaya daripada ecstasy dan ganja.

Pendakwaan terhadap Raffi dan enam lagi rakannya masih disiasat Badan Narkotika Nasional (BNN) semalam.


BNN merujuk kepada pakar kimia farmasi dan farmatologi, Mufti Yusril bagi menjelaskan bahan cathinone yang ditemui dalam kes itu.

Mufti berkata, bahan derifat methynone yang terkandung dalam cathinone jauh lebih berbahaya daripada ecstasy dan ganja.


"Berdasarkan pengetahuan kami, saya dapat menyimpulkan bahawa methylone adalah cathinone," katanya.


Dia juga membantah kenyataan yang beredar sebelum ini bahawa dadah jenis itu bukan bahan larangan. - Republika

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Israel hanya membisu

Posted:

Baitulmaqdis: Israel semalam mengambil sikap membisu berhubung dakwaan ia mengebom pangkalan tentera Syria di Damsyik.

Rejim Zionis enggan mengesah atau menafikan sebarang pembabitan dalam serangan itu.

Ia juga enggan mengulas satu lagi laporan yang mendakwa pesawatnya menyerang satu konvoi membawa senjata di sempadan Syria-Lubnan.

Tentera Syria sebelum ini berkata, tentera Israel melancarkan serangan awal pagi semalam menyasarkan pusat penyelidikan sains dekat Damsyik.


Penduduk tempatan memberitahu media, kawasan yang menjadi sasaran adalah pusat penyelidikan senjata bukan konvensional.


Israel sebelum ini berulang kali memberi amaran, ia akan mengisytiharkan peperangan jika stok simpanan senjata kimia Syria jatuh ke tangan kumpulan Hizbullah.

Rejim Zionis itu juga menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan peluru berpandu jarak jauh Scud atau senjata lain yang lebih canggih seperti sistem antipesawat dan peluru berpandu darat ke darat milik Syria jatuh ke tangan kumpulan Hizbullah.

Serangan semalam menjadi tajuk utama akhbar Israel dengan pihak berkuasa dan pengkritik segera menegaskan bahawa Israel tidak akan membenarkan pemindahan senjata canggih kepada Hizbullah, sekutu rapat Iran dan Syria.

"Perkara terbaik yang diharapkan Israel ialah Barat akan mengawal senjata berkenaan," kata ahli Parlimen Parti Likud, Tzahi HaNegbi yang dikenali sebagai kenalan rapat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

"Tetapi dunia belum bersedia berbuat demikian. Kerana Israel saja boleh menyelesaikannya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Puteri Bahrain seksa tahanan

Posted:

Abu Dhabi: Seorang puteri Bahrain yang bertugas sebagai pegawai polis menghadapi perbicaraan kerana menyeksa dua doktor ketika mereka dalam tahanan.

Kejadian beraku ketika negara itu berdepan dengan pergolakan politik, menurut seorang pegawai kanan pejabat pendakwa raya.

Shaikha Noora Bint Ebrahim Al Khalifa, 29, turut berdepan perbicaraan menyerang seorang wanita yang juga aktivis pembangkang, Aayat Al Qormozi secara fizikal ketika dia ditahan pada tempoh sama, kata Ketua Unit Siasatan Khas Pendakwa Raya, Nawaf Hamza.

"Shaikha Noora dituduh menggunakan penyeksaan, paksaan dan ancaman terhadap mangsa Zahra Al Sammak dan Kholoud Al Durazi agar mereka mengaku melakukan jenayah," kata Hamza merujuk kepada dua doktor terbabit.


Menurut peguam Zahra, penyeksaan itu dilakukan pada Mac dan April 2011, ketika negara itu menghadapi pergolakan ekoran tunjuk perasaan puak Syiah yang menuntut perubahan demokrasi.


Shaikha Noora enggan mengulas ketika ditanya pihak media mengenai tuduhan itu. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Kazakhstan larang azan bayi baru lahir

Posted:

Mangistau: Jabatan Kehakiman Kazakhstan melarang perbuatan mengazan dan iqamahkan bayi yang baru lahir.

Larangan itu terkandung dalam surat arahan jabatan berkenaan di Mangistau yang melarang azan dan iqamah dibisikkan ke telinga bayi di bilik bersalin.

Sejak arahan itu dikeluarkan, beberapa hospital di Kazakhstan mula akur dengan melarang waris melaksanakan amalan turun temurun itu.

Jabatan Kehakiman memberi alasan, keputusan itu dibuat kerana bacaan azan dan iqamah ke telinga bayi tidak selaras dengan undang-undang Kazakhstan.


Menurut jabatan itu, bilik bersalin adalah untuk urusan duniawi dan amalan mengazan dan iqamah yang berunsur agama bertentangan dengan undang-undang negara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

No comments:

Post a Comment