Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pekerja sebelah rupanya!

Posted: 12 Jan 2014 02:04 PM PST

Miri: Pengusaha dan pekerja sebuah pusat kecantikan serta refleksologi di Jalan Sida di sini, berada dalam kebingungan selepas mengetahui dalang yang terbabit bagi beberapa kejadian pakaian dalam wanita digantung di depan premis perniagaan itu sejak Disember lalu.

Pemilik premis yang dikenali sebagai Amie, 40-an, membuat penemuan mengejutkan itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang menunjukkan perbuatan itu dilakukan seorang lelaki warga emas yang juga pekerja restoran bersebelahan premis itu.

Amie berkata, setakat ini kejadian sama berlaku sebanyak empat kali sejak pertengahan Disember lalu menyebabkan dia dan 10 pekerja wanita lain sentiasa berjaga-jaga kerana bimbangkan keselamatan mereka diancam lelaki gila seks itu.

Dalam kejadian terbaru semalam, Aimie berkata, dia dan beberapa pekerjanya terkejut apabila mendapati lebih 10 pakaian dalam wanita terpakai seperti coli dan seluar dalam digantung pada bidai di hadapan premis perniagaannya pada jam 9.30 pagi.

Foto

GELAGAT seorang lelaki menggantung pakaian dalam wanita yang dirakam CCTV.

Foto

ANGGOTA polis memeriksa pakaian dalam yang digantung seorang lelaki di sebuah pusat kecantikan dan refleksologi di Jalan Sida, Miri.


Katanya, dia tidak mengetahui motif individu yang melakukan perbuatan itu, namun hasil rakaman CCTV yang dipasang di luar premis itu mendapati ia dilakukan pekerja restoran bersebelahan.


"Saya tidak tahu apa niat lelaki itu kerana selama ini dia langsung tidak pernah bertegur sapa dengan saya atau pekerja saya dan tingkah lakunya yang pelik itu membimbangkan kami," katanya, semalam.

Katanya, tindakan lelaki terbabit menakutkannya, apatah lagi apabila dimaklumkan pekerjanya bahawa lelaki terbabit sering berlegar-legar di hadapan premisnya hampir setiap hari.

Berikutan itu katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkenaan dan mendapatkan keterangan daripadanya bagi membantu siasatan.

Katanya, setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan, namun pihaknya akan mendapatkan maklumat mengenai identiti suspek dengan majikannya, sekali gus mengenal pasti motif tindakannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Bapa maut, anak melecur

Posted: 12 Jan 2014 02:04 PM PST

Ampang Jaya: Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya melecur 70 peratus selepas rumah teres dua tingkat dihuni mereka di Jalan Perdana 10, Pandan Perdana, di sini, terbakar, semalam.

Bagaimanapun, punca kematian Ng Chee Wei @ Peter, 52, dalam kejadian jam 5.40 petang itu mengundang persoalan apabila mayat mangsa ditemui terbaring dengan kesan kelar di tangan kanan di bilik tidurnya di tingkat atas.

Anaknya pula, Ng Qi Jang, 17, melecur 70 peratus dan kini menerima rawatan di Hospital Ampang.

Ketua Zon Bomba Hulu Langat Hamdan Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.46 petang dan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 15 anggota.

"Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian api yang terbakar di tingkat bawah dipadam jiran mangsa.

"Selepas ke tingkat atas, kami menemui dua beranak itu.

Mangsa lelaki terbabit gagal diselamatkan sementara anak perempuannya yang berada di sebelah melecur 70 peratus dan dalam keadaan separa sedar," katanya kepada pemberita, semalam.

Hamdan berkata, kebakaran hanya berlaku di tingkat bawah dan tidak merebak ke tingkat atas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui kejadian sebenar.

Foto

RUANG tingkat bawah hangus terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Gadis dipaksa jadi GRO diselamat

Posted: 12 Jan 2014 02:02 PM PST

Klang: Seorang gadis warga asing berusia 17 tahun yang dipaksa menjadi pelayan pelanggan (GRO) diselamatkan sepasukan anggota polis dalam satu serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Gadis berkenaan ditemui dalam sebuah pusat karaoke di Bandar Botanik, di sini, selepas pasukan berkenaan melakukan serbuan di dua premis berasingan sekitar kawasan itu yang berakhir awal pagi semalam.

Serbuan membabitkan lima pegawai dan 18 anggota itu bermula kira-kira jam 12 tengah malam membabitkan penahanan 11 GRO warga Vietnam dan Kemboja berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, operasi dijalankan berdasarkan risikan pihaknya dengan dibantu Pasukan Cantas Khas Wanita diketuai Inspektor Ainy Rohaiza Ahmad Rakli.

"Serbuan pertama dijalankan di sebuah kafe di Jalan Kasuarina, di sini, membabitkan penahanan lima GRO warga asing dan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis bersama dua lelaki warga asing masing-masing dari Nepal dan Pakistan bekerja sebagai pengawal," katanya.

"Dalam serbuan itu kita turut merampas peralatan audio, cakera padat dan juga wang tunai RM420 dari premis berkenaan selepas mendapati pemiliknya menjalankan perniagaan tanpa lesen," katanya.

Rohan berkata, serbuan kedua dijalankan di sebuah pusat karaoke yang terletak sederet dengan premis berkenaan dan dalam serbuan itu, seramai lima wanita warga Vietnam bersama seorang remaja tempatan berusia 17 tahun ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

'Suami mungkin pekak'

Posted: 12 Jan 2014 02:01 PM PST

Arau: "Walaupun kecederaan dialaminya teruk, namun saya bersyukur kerana suami selamat walaupun mungkin mengalami masalah pendengaran berdasarkan isyarat sambil menunjukkan telinganya," kata Miswarunee Yusoh, 27, isteri kepada pekerja kontrak, Mohd Zulfadly Hasan, 27, yang cedera parah pada bahagian kiri muka, tangan dan badan akibat letupan tong gas di luar bangunan makmal sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 4.45 petang ketika mangsa dipercayai sedang melakukan kerja pemasangan saluran gas di luar bangunan makmal bersama seorang rakan sekerja, namun rakannya itu hanya cedera ringan.

Miswarunee berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu restoran di Kampung Pokok Petai, Mata Ayer hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya apabila dihubungi wakil syarikat tempat lelaki itu bekerja jam 5 petang, kelmarin.

Menurutnya, dia bergegas ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk melihat keadaan suaminya, tetapi hanya dibenarkan bertemu seketika kerana lelaki itu perlu menjalani pembedahan segera.

"Sebelum ini, suami tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana seorang yang pendiam.

Cuma sejak beberapa hari lalu, dia sering pulang lewat hingga terpaksa bekerja pada hari minggu untuk menyiapkan tugas atas arahan syarikat.

"Saya bersyukur kerana suami masih hidup, namun risau kerana dia mungkin mengalami masalah pendengaran selain perlu merawat tulang rahang yang patah," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTF, semalam.

Pasangan berkenan mendirikan rumah tangga lebih dua tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 10 bulan.

Seorang saksi enggan dikenali, berkata dia melakukan kerja mengecat di tempat sama sebelum terdengar bunyi letupan kuat lalu terus meninggalkan kerja dan turun dari tingkat empat bangunan itu.

Menurutnya, dia melihat dua lelaki mundar-mandir berhampiran kawasan yang terdapat beberapa tong gas dan beberapa batang paip berselerakan.

"Seorang daripada mangsa seperti kebingungan tetapi tiada kecederaan, manakala seorang lagi lelaki kelihatan seperti melecur di muka dan tangan kiri serta sebahagian pakaiannya terkoyak seperti terbakar.

"Tidak lama kemudian saya lihat ambulans tiba untuk memberi rawatan sebelum mangsa dibawa ke HTF," katanya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Arau Amir Yatim ketika dihubungi berkata, tiga jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Arau dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.54 petang.

"Ketika tiba di lokasi, tiada kebakaran berlaku, tetapi dua mangsa dengan seorang daripadanya mengalami kecederaan di muka dan badan dirawat pasukan paramedik sebelum dihantar ke HTF untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati kecederaan dialami seorang mangsa dipercayai akibat letupan gas, namun kami masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar," katanya.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku akibat letupan (tong gas) ketika kerja membaik pulih dilakukan di sebuah bangunan yang menempatkan makmal dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah," katanya.

Foto

ANGGOTA paramedik merawat seorang mangsa kemalangan yang parah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Penyamun sesat masuk kampung kena cekup

Posted: 12 Jan 2014 01:59 PM PST

Georgetown: Cubaan empat penyamun melarikan diri ke sebuah kawasan perkampungan mengundang padah apabila tiga daripada mereka ditahan selepas tersesat dan memasuki 'jalan mati' dalam kejadian di Kampung Seberang Tasek, Simpang Ampat di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, empat suspek terbabit dikatakan baru selesai melakukan kegiatan samun di rumah milik tauke kilang tauhu dan dikejar polis, namun mereka enggan memberhentikan kenderaan.

Menurut sumber, berikutan itu polis mengejar mereka yang menaiki Toyota Vios sebelum kenderaan yang dinaiki kumpulan penjenayah terbabit masuk ke kawasan kampung.

"Bimbang dicekup, kumpulan penjenayah berkenaan masuk ke satu kawasan perkampungan, tetapi tidak menyedari laluan dimasuki itu sebenarnya jalan mati.

"Kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar Proton Saga milik penduduk sebelum mereka cuba melarikan diri ke hutan berhampiran," katanya.

Menurutnya, semua suspek masuk ke hutan itu, namun keadaan gelap menyukarkan mereka bergerak dan sejam selepas itu tiga daripada mereka ditahan polis yang mengepung kawasan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek sebelum itu melakukan samun di rumah pemilik kilang tauhu, namun kegiatan itu disedari dan secara kebetulan polis yang melakukan rondaan terserempak kereta dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan.

"Polis menemui beg mengandungi barang kemas dan pelbagai barang berharga lain dipercayai hasil samun ditinggalkan di ladang nanas berhampiran rumah mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

No comments:

Post a Comment