Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Amanat terakhir

Posted: 02 Dec 2013 09:23 AM PST

Kuala Lumpur: Amanat terakhir Paulus Firman kepada Hoon Thien How-Tan Wee Kiong "tetapkan misi dan beri komitmen sepenuhnya" untuk terus mengecapi kejayaan.

Jurulatih dari Indonesia yang memutuskan hanya memberi khidmat singkat selama 10 bulan sebagai jurulatih beregu negara, akan kembali ke Indonesia esok, selepas notis berhenti kerja selama sebulan yang dihantar kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berakhir tiga hari lalu.


"Saya masih di sini kerana menanti mereka (Thien How-Wee Kiong) pulang dari Macau petang ini (semalam). Saya mahu jumpa mereka buat kali terakhir kerana saya tidak mungkin menarik balik peletakan jawatan ini," kata Paulus selepas sesi latihan skuad badminton negara di Bukit Kiara, semalam.

Beliau yakin beregu negara akan terus berkembang, termasuklah Thien How-Wee Kiong yang akhirnya meraih gelaran selepas dua tahun digandingkan.


"Meskipun 10 bulan saya di sini, saya hanya dapat fokus kepada pemain beregu lelaki dalam tempoh dua bulan terakhir ini dan saya sangat berpuas hati kerana janji memastikan Thien How-Wee Kiong muncul juara seperti yang saya katakan dulu, bermula dengan gelaran GP Emas, terima kasih juga kepada mereka yang merealisasikan impian saya." Begitupun, Paulus mahu Thien How memberi perhatian kepada fizikalnya yang besar demi masa depan gandingan itu sendiri.


"Memang sekarang orang tidak boleh menafikan keadaan fizikal anda kerana anda juga mampu muncul juara, tapi untuk masa depan yang lebih baik, adalah perlu untuk menurunkan berat badan.

Foto

THIEN How (depan) dan Wee Kiong diyakini akan terus meningkat.

"Thien How perlu menguruskan dirinya ke tahap lebih baik untuk meningkatkan tahap kecergasan dan mengurangkan risiko kecederaan," kata Paulus.


Thien How-Wee Kiong menamatkan kemarau kejuaraan mereka dengan memenangi Terbuka Macau kelmarin selepas menundukkan pilihan utama dari Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 21-16, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

'Chelsea pamer karakter'

Posted: 02 Dec 2013 09:11 AM PST

London: Jose Mourinho percaya Chelsea sudah mula mempamerkan karakter diperlukan sebagai pasukan yang mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Chelsea kini di tangga kedua, empat mata di belakang pendahulu Arsenal, selepas mempamerkan kebangkitan pada babak kedua untuk mengalahkan Southampton 3-1 di Stamford Bridge, awal pagi semalam.


Kelab barat London itu bangkit selepas ketinggalan menerusi gol pembukaan Jay Rodriguez selepas hanya 15 saat dan pengurus Blues, Mourinho berkata, tindak balas mereka membuktikan kematangan pasukannya.

"Ia satu persembahan bagus secara kolektif dan beberapa persembahan menakjubkan secara individu," kata Mourinho, yang kini bertugas kali kedua sebagai pengurus Chelsea.


"Ia satu petanda pasukan ini meningkat selangkah demi selangkah, memahami idea dan mentaliti saya, peningkatan pemain," kata pengendali berbangsa Portugis itu.


"Sesetengah mereka, terutama yang belum lagi memahami mentaliti dan falsafah saya, menyesuaikan diri dengan baik, berasa bertanggungjawab bahawa Chelsea tidak boleh terkeluar daripada saingan kejuaraan pada Disember.

"Mereka perlu bertanggungjawab bermain untuk Chelsea dan ia satu petanda kematangan. Ketinggalan selepas hanya 10 saat, bertenang dan terus berusaha." Mourinho mencabar pemainnya supaya meneruskan kebangkitan mereka akhir-akhir ini ketika berkunjung ke Sunderland dan Stoke City bagi dua perlawanan berikutnya.


Tandukan Gary Cahill dan John Terry membolehkan mereka mendahului sebelum Demba Ba melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

Meulensteen ambil alih tugas Jol

Posted: 02 Dec 2013 09:11 AM PST

London: Tempoh dua tahun Martin Jol sebagai pengurus Fulham berakhir awal pagi semalam selepas pengurus dari Belanda itu terbukti gagal menyelamatkan kelab itu daripada terus berada di kelompok bawahan Liga Perdana Inggeris.

Jol dipecat dan jawatannya itu segera diisi jurulatih Rene Meulensteen selepas Fulham tewas lima perlawanan berturut-turut dalam liga dan enam kali tewas dalam semua pertandingan.


Fulham setakat ini hanya menang tiga perlawanan liga dan berada di kedudukan ke-18 iaitu dalam kelompok penyingkiran selepas tewas 0-3 kepada West Ham.

"Prestasi buruk kami dan keputusan sepanjang musim ini langsung tidak dapat diterima kerana penyokong setia Fulham layak mendapat yang lebih baik," kata pengerusi Fulham Shahid Khan.


Sejak minggu lalu, Jol berasakan masa depannya bergantung kepada keputusan di Upton Park yang menyaksikan pasukannya layu tanpa melawan.


"Dengan lebih daripada setengah musim perlu ditempuhi, perubahan segera perlu dilakukan," kata Shahid.

"Martin cukup berhemah dan saya menghargai sikapnya yang memahami situasi pasukan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

'Rodgers resah'

Posted: 02 Dec 2013 09:10 AM PST

Liverpool, England: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers bimbang Liverpool tidak dapat mencari pengganti penyerang Daniel Sturridge yang mengalami kecederaan selepas pasukannya tumpas 1-3 di tangan Hull City di Stadium KC.

Pemain antarabangsa England Sturridge terpaksa diketepikan hingga lapan minggu selepas mengalami kecederaan ligamen di buku lali kiri pada sesi latihan minggu lalu dan tidak dapat diturunkan menentang Hull.


Dia menjadi penjaring terbanyak Liverpool musim ini dengan 11 gol serta penjaring terbanyak Liga Perdana pada 2013 dengan 19 gol.

Rodgers juga menyatakan pemain Brazil Philippe Coutinho mengalami kecederaan buku lali dan terpaksa menerima suntikan untuk kembali cergas supaya dapat disenaraikan sebagai pemain simpanan menentang Hull.


"Kualiti pasukan ini tidak cukup bagus untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua pemain tonggak ini," kata Rodgers.


"Daniel kemungkinan terpaksa berehat hingga lapan minggu dan ini memberi kesan kepada kami.

Foto

STURRIDGE alami kecederaan ligamen buku lali kiri.

"Philippe pula tidak berlatih sepanjang minggu. Dia mengalami kesakitan di buku lali dan terpaksa diberikan suntikan untuk berada di bangku simpanan.


"Mereka pemain yang amat bagus dan memberi sumbangan besar kepada kami musim ini." Jake Livermore yang dipinjamkan dari Tottenham Hotspur meletakkan Hull di depan pada minit ke-20 menerusi rembatan yang tertampan sebelum Steven Gerrard menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma tujuh minit kemudian.

David Meyler memastikan Hull kembali mendahului 2-1 pada pertengahan babak kedua sebelum Martin Skrtel tertanduk bola lambungan Tom Huddlestone ke gawang sendiri tiga minit sebelum tamat untuk mengesahkan kemenangan tuan rumah.


Liverpool kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Liga Perdana Arsenal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

Bincang pada masa sesuai: Moyes

Posted: 02 Dec 2013 09:10 AM PST

London: Pengurus Manchester United David Moyes tidak pasti mengenai perancangan untuk menawarkan kontrak baru kepada Wayne Rooney sebagai ganjaran kepada pemain itu yang mempamerkan prestasi cemerlang ketika ini.

Rooney meledak dua gol untuk United bangkit mengikat kedudukan seri 2-2 di Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana kelmarin iaitu gol kesembilan dan ke-10 peribadinya dalam semua pertandingan.


Penyerang England itu dilaporkan mahu meninggalkan Old Trafford pada hujung musim lalu namun dia kembali menemui sentuhannya untuk memastikan United terus mengekori rapat pasukan di tangga teratas.

Kontrak pemain berusia 28 tahun itu dijangka tamat pada akhir musim depan namun Moyes menyatakan mereka tidak perlu tergesa-gesa untuk menawarkan kontrak baru.


Ketika ditanya bilakah kelab itu akan berbincang dengan Rooney mengenai kontrak baru itu, Moyes berkata: "Saya tidak tahu.


"Saya fikir kami tidak menghadapi masalah sejak isu itu timbul pada musim panas lalu. Ia akan berakhir dengan baik dan kami akan berbincang pada masa yang sesuai." Kecederaan pangkal paha Robin van Persie memaksa Moyes terpaksa merombak bahagian serangan United bagi tiga perlawanan terakhir.

Rooney bergandingan bersama Javier Hernandez ketika seri dengan Cardiff City minggu lalu namun dia kemudian diturunkan sebagai penyerang tunggal ketika menang 5-0 dengan Bayer Leverkusen dalam aksi Liga Juara-Juara dan seri di White Hart Lane. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

Barca kalah lagi...

Posted: 02 Dec 2013 09:09 AM PST

Madrid: Barcelona mengalami kekalahan kedua berturut-turut buat kali pertama sejak April 2012 apabila mereka kecundang kali pertama dalam liga musim ini 0-1 di tangan Athletic Bilbao di laman lawan, awal pagi semalam.

Barcelona mengalami kekalahan sulung di bawah kendalian jurulatih Gerardo Martino menentang Ajax pertengahan minggu lalu dan Athletic nyata belajar daripada pendekatan juara Belanda itu, ketika Barca tanpa Lionel Messi yang cedera gagal menyerlah.


Iker Muniain menjaringkan gol tunggal perlawanan daripada hantaran lintang Markel Susaeta 20 minit sebelum tamat ketika kemenangan ketiga berturut-turut melonjakkan pasukan dari Basque itu ke tangga keempat.

Kelab dari Catalunya itu kekal menghuni tangga teratas La Liga menerusi perbezaan gol berbanding Atletico Madrid dengan Real Madrid kini hanya tiga mata di belakang mereka.


Pasukan juara itu juga merungut mengenai keputusan pengadil Juan Martinez Manuera yang hanya melayangkan kad kuning terhadap Ander Iturraspe apabila dia menarik kasar Neymar yang berusaha menjaringkan gol ketika kedudukan 0-0.


"Mereka sebuah pasukan yang bagus tapi sukar apabila kami tidak menyempurnakan peluang yang ada," kata pemain tengah Sergio Busquets.

Foto

MUNIAIN jaring gol tunggal perlawanan.

"Lagipun pengadil tidak menjalankan tugasnya dengan baik kerana ia sepatutnya kad merah dan ia menjadikan tugas kami lebih sukar." Selain ketiadaan Messi, Barca turut turun tanpa Victor Valdes dan Dani Alves lantas Busquets menegaskan mereka perlu menumpukan usaha mengelak daripada kekalahan lagi dalam dua perlawanan liga selepas ini sebelum rehat musim sejuk dengan Messi dan Valdes dijangka kembali bulan depan.


"Kami tidak patut gusar. Kami perlu teruskan usaha, memenangi dua perlawanan antara kini dan hujung tahun dan belajar daripada kesilapan lalu," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

PSG belasah Lyon

Posted: 02 Dec 2013 09:05 AM PST

Paris: Zlatan Ibrahimovic meraih gol ke-11 dalam Ligue 1 musim ini dengan dua penalti untuk membantu pendahulu Paris St Germain membelasah Olympique Lyon 4-0, awal pagi semalam.

Rakan serangannya Edinson Cavani meletakkan pasukan juara itu di depan selepas 36 minit dengan gol ke-10 buatnya dalam liga sebelum Ibrahimovic menyempurnakan penalti pertamanya dengan mengelirukan penjaga gol lawan.


Thiago Silva menjadikan kedudukan 3-0 berikutan sepakan sudut selepas sejam dan pendahulu penjaring gol terbanyak liga Ibrahimovic melengkapkan penguasaan tujuh minit sebelum tamat.

PSG mengumpul 37 mata daripada 15 perlawanan, empat di depan pasukan tangga kedua Lille yang menang 1-0 ke atas Valenciennes Sabtu lalu.


Monaco di tangga ketiga dengan 32 mata manakala juara tujuh kali Lyon, yang tidak pernah kalah lebih daripada tiga gol di Parc des Princes, di tangga ke-10 dengan 19 mata.


"Kami berdepan masalah tapi jurulatih bertindak pantas mengubah taktik kami," kata pemain tengah PSG, Blaise Matuidi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

Jaringan Llorente julang Juventus

Posted: 02 Dec 2013 09:03 AM PST

Milan: Tandukan masa kecederaan penyerang Sepanyol, Fernando Llorente menyelamatkan Juventus yang menang 1-0 ke atas Udinese sekali gus membolehkan juara bertahan itu berada tiga mata di depan AS Roma dalam Serie A Itali, semalam.

Pendahulu awal musim, Roma terlepas peluang kembali ke puncak apabila anak buah Rudi Garcia terpaksa meraih keputusan seri kali keempat berturut-turut, kali ini 1-1 dengan Atalanta di gelanggang lawan.


Juve meraih peluang untuk menjarakkan diri namun terlepas beberapa peluang sebelum Llorente memastikan kemenangan selepas menanduk masuk rembatan Stephan Lichsteiner melepasi Zeljko Brkic pada masa kecederaan babak kedua.

Kemenangan ke-12 Juve musim ini, yang keenam secara berturut-turut dan semuanya tanpa dibolosi, meninggalkan mereka tiga mata di depan Roma dengan Napoli di tangga ketiga, enam mata di belakang.


Jurulatih Juventus, Antonio Conte berkata: "Meraih sekurang-kurangnya satu mata tak mampu mengubah kedudukan tapi tiga mata mampu mengubahnya.


"Semua perlawanan amat penting. Jika kami tidak menang ke atas Livorno minggu lalu, kami tidak mungkin berpeluang melonjak semula hari ini. Jangan lupa, Roma pernah mendahului dengan lima mata baru-baru ini." Terdahulu, Inter Milan dikejutkan dengan gol penyamaan lewat permainan pemain Brazil, Renan ketika seri 1-1 di laman sendiri dengan Sampdoria, selepas Fredy Guarin meletakkan Nerazzurri di depan pada minit ke-18 di San Siro. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

Uji stamina

Posted: 02 Dec 2013 08:38 AM PST

Johor Bahru: Bermula sebagai pasukan cegah jenayah membabitkan anggota dan pegawai polis, Kelab Ronda Riadah Cegah Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) kini bangga apabila turut disertai lebih 1,200 ahli membabitkan 114 kelab basikal sekitar daerah ini.

Malah, ahli kelab itu kini bukan saja aktif menjaga keselamatan penduduk daerah malah menyertai pelbagai kejohanan basikal lasak termasuk Sirkit 5 Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 yang akan diadakan di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini di sini, 22 Disember ini.


Pengerusinya Inspektor Hasbullah Noh (gambar) berkata, pihaknya menggalakkan penyertaan ahli kelab dalam pelbagai kejohanan basikal lasak bagi memantapkan kemahiran dan stamina.

"Daripada 114 kelab basikal di bawah pengurusan kami, saya jangkakan sebanyak 110 kelab akan menghantar wakil masing-masing untuk menyertai kejohanan anjuran Akhbar Nombor Satu Malaysia ini.


"Malah, saya dimaklumkan setakat ini sebahagian besar daripada mereka sudah mendaftarkan diri untuk menyertai acara itu dan ada di antara mereka berpengalaman dalam acara basikal bukit.


"Saya yakin pengurusan Harian Metro akan memberikan cabaran bermakna kepada semua peserta dan mereka boleh menilai kemampuan masing-masing melalui cabaran disediakan kelak," katanya.

Hasbullah berkata, Kelab Ronda Riadah Cegah Jenayah IPD JBS terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan bertujuan membantu polis mencegah jenayah.


Katanya, kehadiran ahli kelab yang meronda dalam kumpulan di taman perumahan terbukti dapat mengurangkan jenayah, namun mereka perlukan kemahiran dan stamina.

"Berikutan itu, kami menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam pelbagai kejohanan basikal lasak kerana melalui cara ini, mereka lebih berpengalaman untuk mengendalikan basikal.


"Selain kecergasan, kejohanan seumpama ini boleh mewujudkan semangat muhibah dan kerjasama antara masyarakat melalui aktiviti sukan.


"Kami tidak menyasarkan kedudukan khusus dalam kejohanan ini, namun berharap semua peserta dapat menamatkan perlumbaan dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

Ahmad tak gentar berkayuh

Posted: 02 Dec 2013 08:37 AM PST

Johor Bahru: Walaupun sudah berumur, Ahmad Abdullah, 67, tetap mengayuh basikal tiga kali seminggu untuk mengekalkan kecergasan selain kerana minat mendalam dalam sukan basikal lasak.

Malah pemandu teksi itu tidak gentar untuk menyertai mana-mana kejohanan basikal lasak termasuk Harian Metro Mountain Bike Cuti-Cuti 1Ma laysia di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini di sini, 22 Disember ini.


Bapa kepada lapan anak dan datuk kepada lapan cucu itu berkata, beliau mengayuh basikal sejak remaja namun mula meminati sukan basikal lasak selepas menyertai kelab Sri Stulang Xtreme Bikers tiga tahun lalu.

Katanya, disebabkan minatnya itu, beliau mula mengumpul wang untuk membeli basikal dan kini memiliki empat basikal lasak dan dua basikal lumba.


Menurutnya, beliau bertuah kerana mempunyai kenalan yang sanggup berkongsi ilmu berkaitan sukan basikal lasak.


"Saya memang gemar berbasikal dan syukur, sejak menyertai kelab ini, banyak aktiviti kemasyarakatan dilakukan.

"Selain ronda riadah dan cegah jenayah, ahli kelab akan menyertai pertandingan basikal lasak di seluruh Johor untuk menguji kemampuan.


"Kali ini, kami akan menyertai Harian Metro Mountain Bike Cuti-Cuti 1Malaysia di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini dan berharap dapat memberi saingan," katanya.

Menurutnya, sebagai peminat basikal dan pembaca setia Harian Metro, beliau sudah tidak sabar menunggu 22 Disember ini untuk beraksi bersama rakan.


"Walaupun saya meminati sukan ini, semua lapan anak saya tidak berkongsi minat sama kecuali cucu, Mohd Aliff Rizal Ismail yang berusia 12 tahun yang sering menemani saya sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/03

No comments:

Post a Comment