Pages

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


2 jam terperangkap dalam tong derma

Posted: 02 Jul 2013 09:09 AM PDT

Oklahoma City: Gara-gara mahu mencari gelang tangan yang dipercayai dibuang bersama pakaian lama, seorang wanita terperangkap selama dua jam dalam bekas mengumpul pakaian terpakai untuk tujuan amal, semalam.

Terdahulu, wanita yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan memanjat tong berkenaan untuk mencari beg berisi pakaian lama yang dibuangnya. Bagaimanapun, tiba-tiba dia terjatuh dan gagal keluar dari situ.


Selepas menyedari dia terperangkap, wanita terbabit menunggu sehingga dua jam dalam kepanasan sebelum menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.


Ketika menghubungi talian 911, wanita terbabit yang menghidap sklerosis menceritakan bagaimana dia kembali ke tong berkenaan selepas menyedari gelang tangan milik ibunya hilang.


"Saya datang ke sini dan menyelongkar bungkusan yang ada dan tiba-tiba terjatuh.

Foto

TONG mengumpul barangan terpakai yang 'memerangkap' seorang wanita penghidap sklerosis.

"Disebabkan saya menghidap sklerosis berbilang, tidak lama kemudian saya mula kejang otot dan tidak mampu keluar sendiri," katanya.

Sementara menunggu bantuan tiba, beberapa penderma lain tidak menyedari wanita terbabit terperangkap di dalam tong itu lari apabila terdengar jeritan meminta tolong.

Wanita itu kemudian diselamatkan sepasukan anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian.

Pegawai bomba bertugas, Brian Stanalan berkata, wanita terbabit keletihan dan kehilangan banyak air dalam badan.

"Dia terperangkap dua jam di bawah sinar matahari dan bekas ini diperbuat daripada besi," katanya.

Tidak dapat dipastikan sama ada wanita itu menemui semula barang kemas yang dicarinya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Pemindahan kepala manusia tidak mustahil

Posted: 02 Jul 2013 09:00 AM PDT

Rome: Cara pembedahan pemindahan kepala Frankestein mungkin menjadi realiti selepas seorang saintis berkata, pembedahan pemindahan kepala manusia sepenuhnya kini boleh dilakukan.

Dalam dokumen yang diterbitkan baru-baru ini, Dr Sergio Canavero dari Turin Advanced Neuromodulation Group di Itali berkata, kemajuan dalam kejuruteraan sel membolehkan pakar bedah secara teori mencantumkan saraf tunjang.


Ini bermakna terdapat kemungkinan pembedahan pemindahan kepala penuh boleh dilakukan.

Cubaan seumpama itu pernah dilakukan pada 1970, menyaksikan kepala seekor monyet dipindahkan ke seekor monyet lain di makmal di Ohio, Amerika Syarikat. Walaupun monyet itu hidup selama lapan hari, ia tidak boleh menggerakkan leher kerana 'akson' dalam saraf tunjangnya tidak boleh dibaiki.


Canavero berkata, dia kini boleh melakukannya dengan menggunakan bahan kimia yang diberi nama 'fusogen membran' atau pelekat.


Sebahagian fusogen itu sudah biasa digunakan untuk membuat ubat atau digunakan dalam bidang industri pembuatan.

Bagaimanapun, menurut Canavero, masalah teknikal paling besar ialah untuk menyambung saraf tunjang penderma dengan penerima. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Tangan 'saksi' putus ditetak

Posted: 02 Jul 2013 08:59 AM PDT

Patna (India): Seorang budak perempuan kehilangan sebelah tangannya apabila ditetak penjenayah ketika keluarganya cuba membebaskan adik mangsa yang diculik.

Media semalam melaporkan, Uzma Ara, 8, dalam perjalanan ke Patna ibu negeri Bihar, timur India bersama keluarganya.


Mereka ke bandar itu dalam usaha membebaskan adik Uzma, Julfikar, yang diculik ketika budak lelaki berusia empat tahun itu berada di luar rumah mereka di daerah Darbhanga.

Bapa Uzma, Ainul Ansari berkata, penculik terbabit menyasarkan anaknya kerana dia menjadi saksi penting dalam kejadian penculikan Julfikar. Uzma dilaporkan cedera parah dan masih dirawat di sebuah hospital kerajaan di Patna akibat kehilangan sebahagian daripada tangan kanannya. Ainul berkata, Uzma diserang berhampiran stesen kereta api di Patna pada Jumaat lalu.


"Ketika itu kami sedang mencari hotel untuk menginap tetapi tanpa disedari, sekumpulan lelaki mengekori kami," katanya.


Menurut Ainul, dia sepatutnya membuat aduan kepada polis mengenai penculikan Julfikar. Kata tukang jahit itu, penjenayah menuntut dia membuat bayaran sebanyak 300,000 rupee (RM15,934) sejak beberapa bulan lalu.

Dia juga membuat aduan kepada polis kerana menjadi mangsa peras ugut, tetapi pihak berkuasa enggan menyiasat kes berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Wartawan dirogol di Tahrir

Posted: 02 Jul 2013 08:54 AM PDT

Kaherah: Seorang wartawan menjadi mangsa rogol beramai-ramai ketika rakyat Mesir turun ke jalan raya pada malam yang turut menyaksikan 44 serangan ganas lain ke atas wanita.

Lima lelaki dilaporkan menyerang wartawan kelahiran Belanda itu menyebabkan mangsa "cedera parah" dan perlu dibedah untuk menyelamatkannya.

Laporan lain menyatakan, selain wartawan berusia 22 tahun itu, seorang nenek dan kanak-kanak berusia tujuh tahun turut menjadi mangsa serangan seksual.

Seorang saksi kejadian berkata, mangsa dipercayai wartawan pelatih dan diserang ketika merakamkan gambar penunjuk perasaan di Kaherah.


Pengarang Timur Tengah BBC, Jeremy Bowen berkata: "Sedih melihat suasana revolusi di Dataran Tahrir kehilangan adab, manakala serangan seksual menjadi lazim.

"Tiada polis kelihatan di situ." Berjuta-juta orang kini turun ke jalan raya di sekitar Dataran Tahrir untuk mendesak Presiden Mohamed Mursi berundur.

Aktivis dari kumpulan Operasi Antiserangan Seksual merekodkan 44 kes insiden berlaku pada malam kelmarin saja. Pertubuhan itu turut menggesa wanita menjauhi Dataran Tahrir sehingga keadaan kembali terkawal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Gempa di Aceh

Posted: 02 Jul 2013 08:54 AM PDT

Lampahan (Indonesia): Satu gempa bumi sekuat 6.1 magnitud melanda Aceh semalam dan mengorbankan lima orang serta mencederakan puluhan yang lain.

Sejumlah bangunan turut musnah, suasana panik melanda penduduk setempat yang pernah mengalami gempa bumi dan tsunami besar pada 2004.


Gegaran itu berlaku pada jam 3.37 petang (waktu Malaysia) dengan pusat gempa terletak hanya 10 kilometer di bawah tanah di kawasan pergunungan di daerah Bener Meriah di tengah Aceh.

Kemusnahan rumah berlaku di daerah yang berada kira-kira 320 kilometer dari Banda Aceh. Doktor di sebuah klinik awam di Lampahan, Ema Suryani berkata, seorang kanak-kanak terbunuh akibat dihempap dinding bangunan yang runtuh.

"Kami menerima kira-kira 50 orang yang cedera kerana bangunan mereka runtuh akibat gegaran itu," katanya. Daripada jumlah itu, kata Ema, 30 parah dengan sesetengahnya cedera di kepala.

Selebihnya, Ema berkata, mengalami kecederaan ringan seperti luka kecil dan calar.


"Mangsa dibawa untuk rawatan menaiki dua lori dari beberapa kampung," katanya. Sementara itu, penduduk Banda Aceh dan Medan bertempiaran lari ke luar bangunan apabila binaan itu dirasakan bergegar. Jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, gegaran itu dapat dirasakan dengan kuat selama kira-kira 15 saat.

"Orang ramai panik dan segera berlari ke tempat terbuka untuk menyelamatkan diri," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Indonesia lulus undang-undang kontroversi

Posted: 02 Jul 2013 08:53 AM PDT

Jakarta: Ahli Parlimen akhirnya mencapai persetujuan berkompromi mengenai Undang-undang Pertubuhan Massa semalam ketika kesatuan pekerja terbesar Indonesia berikrar untuk membawa isu itu ke Mahkamah Perlembagaan.

Undang-undang itu yang menyekat kebebasan menganjur dan mengadakan perhimpunan beramai-ramai mencetuskan tunjuk perasaan di Jakarta, semalam.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas 311 daripada 561 ahli Parlimen yang hadir mengundi menyokongnya, manakala kira-kira 50 menentang.

Selebihnya bersikap berkecuali.


Timbalan Speaker, Taufik Kurniawan berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan berkenaan.


Parlimen dijadual meluluskan rang undang-undang itu pada 25 Jun lalu tetapi beberapa kumpulan menuntut ia menundanya.

April lalu, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia, Muhammadiyah, berkata mereka akan meningkatkan tentangan jika ia diluluskan di Parlimen.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Syarikat Pekerja Indonesia, Said Iqbal berkata, mereka akan membawa isu berkenaan ke mahkamah.

"Melalui undang-undang ini, kerajaan tempatan boleh membubarkan kesatuan tempatan jika mereka melakukan mogok," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Rundingan sulit dengan pemisah

Posted: 02 Jul 2013 08:52 AM PDT

Bangkok: Majlis Keselamatan Kebangsaan Thai (NSC) mengadakan rundingan sulit dengan kumpulan pemisah tanpa pengetahuan Malaysia, dalam usaha untuk menamatkan kekacauan di selatan negara itu.

Penasihat NSC Charoon Ampa berkata pihaknya bersedia berunding dengan lebih banyak kumpulan yang tidak sehaluan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) kumpulan yang terbabit dalam rundingan damai dengan kerajaan Thai di Kuala Lumpur.

Langkah mengadakan rundingan itu dilakukan selepas beberapa siri serangan di wilayah selatan yang dipercayai dilakukan kumpulan pemisah yang tidak ada kaitan dengan BRN.

Charoon juga berkata, kerajaan Thai tidak dapat melayani tuntutan BRN yang mendesak tentera negara itu diundurkan dari Pattani, Narathiwat dan Yala serta lima daerah di Songkhla sebagai cara untuk menghentikan keganasan sepanjang Ramadan ini.


"Rundingan secara sulit itu perlu kerana ia membolehkan kami berbincang dengan pelbagai pihak," katanya.


Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Jeneral Yutthasak Sasiprapha berkata, kerajaan akan membuat keputusan mengenai rundingan dengan BRN sebaik Ramadan berakhir.

"Buat masa ini, kita akan menggunakan rundingan berkenaan sebagai saluran untuk mencapai keamanan," katanya.

Pihak berkuasa Thai percaya serangan Sabtu lalu di daerah Krong Pinang di Yala yang meragut nyawa lapan askar dilakukan oleh kumpulan serpihan yang membantah rundingan damai dengan BRN. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Orang utan mati dipukul

Posted: 02 Jul 2013 08:50 AM PDT

Jakarta: Penduduk sebuah kampung di Indonesia memukul hingga mati seekor orang utan Sumatera yang didakwa menganggu kehidupan harian mereka.

Orang utan betina dewasa itu sebelum ini diselamatkan dari sebuah kampung di Aceh selepas cedera parah.


Pengarah Program Pemuliharaan Orang Utan Sumatera Ian Singleton berkata, haiwan itu ditemui bengkak di kepala dan badan, cedera teruk di mata dan berdarah di sekeling tangan.

"Penduduk memukul orang utan liar itu kerana mengganggu mereka," katanya.


Menurutnya, ini bukan kali pertama orang utan diperlakukan begitu.


Dalam beberapa kes sebelum ini, penduduk kampung membunuh orang utan betina yang cuba menghalang perbuatan mengambil anak mereka untuk dijual sebagai haiwan peliharaan.

Binatang itu juga menjadi sasaran pekerja ladang di Sumatera yang melihat mereka sebagai pengacau. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Alasan Yingluck jadi Menteri Pertahanan

Posted: 02 Jul 2013 08:49 AM PDT

Bangkok: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata, keputusannya untuk mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan ialah kerana mahu mempercepatkan keputusan berkait dengan tentera.

Katanya, dengan menjadi perdana menteri dan menteri pertahanan akan membenarkan kerajaan memberi sokongan lebih baik kepada tentera.


Yingluck turut menyangkal tuduhan Parti Demokrat kononnya beliau mahu campur tangan dalam hal ehwal tentera.

Pemimpin Demokrat, Abhisit Vejjajiva sebelum ini menuduh kerajaan berhasrat menguasai jawatankuasa Kementerian Pertahanan bagi mempengaruhi rombakan tahunan pegawai kanan tentera yang akan diadakan sedikit masa lagi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

Mursi tolak kata dua

Posted: 02 Jul 2013 08:48 AM PDT

Kaherah: Presiden Mesir, Mohamed Mursi menolak kata dua tentera untuk memaksa penyelesaian kepada krisis politik negara itu dan mendakwa pasukan keselamatan itu tidak merujuk kepadanya terlebih dulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Pada masa sama, Mohamed Mursi bertegas untuk meneruskan pelan yang dirangkanya bagi mencapai perpaduan dalam negara. Tokoh berfahaman Islam itu menganggap tempoh 48 jam diberi pemimpin tentera semalam boleh mengelirukan orang ramai.


Kenyataan itu dikeluarkan Mohamed Mursi awal pagi semalam dan beliau mengelak daripada menggunakan bahasa tegas.

"Presiden republik tidak dirujuk mengenai kenyataan dikeluarkan pasukan tentera. Presiden melihat sesetengah kenyataan itu membawa maksud yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam suasana negara yang kompleks.


"Pejabat Presiden mengesahkan rancangan menggalakkan perpaduan kebangsaan menyeluruh yang dirangka sebelum ini akan diteruskan walau apa pun kenyataan yang menyebabkan perpecahan rakyat semakin melebar," katanya. Satu rakaman video rasmi menyiarkan imej Mohamed Mursi bertemu dengan Panglima Tentera Mesir merangkap Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel-Fattah El-Sisi.


Bagaimanapun, berdasarkan bahasa badan mereka, pertemuan itu tidak berlangsung dengan mesra. Beberapa jam sebelum itu, Abdel-Fattah memberi tempoh selama 48 jam kepada Mohamed Mursi untuk "memenuhi tuntutan rakyat" atau tentera akan melaksanakan "pelan politik" ke atas Mesir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02

No comments:

Post a Comment