Pages

Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


FAM kena kecam lagi

Posted: 07 Jul 2013 09:00 AM PDT

Johor Bahru: Kesal dengan mutu pengadilan yang didakwa teruk ketika aksi terakhir Liga Super membabitkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor kelmarin, Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat segera meningkatkan mutu pengadilan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dilabel masih di tahap amatur.

Pengerusinya Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, FAM selaku badan induk bola sepak tempatan tidak boleh berlengah lagi dalam meningkatkan mutu pengadilan di negara ini yang didakwanya amat rendah.


Beliau memberi contoh beberapa keputusan pengadil Syed Azhar Syed Kamar yang mengendalikan perlawanan antara Johor DT dengan Selangor yang boleh dipertikaikan malah menyaksikan sendiri beberapa tindakan tidak masuk akal pengadil itu.

"FAM kena ambil langkah drastik untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Penonton membeli tiket berhak disajikan perlawanan yang adil tapi apa yang berlaku semalam (kelmarin) amat mengecewakan.


"Sudah tiba masanya mutu pengadilan perlu ditingkatkan ke arah lebih profesional sebab FAM perlu ingat jika tidak ditingkatkan, ia hanya akan terus mengundang persoalan mungkinkah wujudnya unsur rasuah membabitkan pengadil.


"Paling penting kami tak nak kepercayaan penyokong berkurang kerana gejala seperti rasuah. Apapun, saya yakin FAM akan ambil tindakan drastik berhubung perkara ini," katanya.

Foto

PENJAGA gol Johor DT, Muhd Al-Hafiz Hamzah (kanan) menyelamatkan bola daripada pemain Selangor, Francis Forkey Doe, kelmarin.

Zulkurnain berharap Datuk Hamidin Mohd Amin yang baru dilantik sebagai Setiausaha Agung baru FAM dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah yang sekian lama membelenggu arena bola sepak negara.


Ditanya adakah perubahan itu perlu dilakukan dengan kadar segera, Zulkurnain berkata perkara itu tidak perlu dimulakan pada musim depan.

"Kalau boleh pembaharuan ini perlu bermula pada saingan Piala Malaysia, tidak perlu hingga dua atau tiga musim lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Kelantan pertahan emas kali kedua berturut-turut

Posted: 07 Jul 2013 08:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Kira-kira 17 tahun lalu, sukan ragbi bukan sukan diminati golongan muda. Jika ada, hanya dimainkan di tiga buah sekolah saja di Kelantan.

Sejarah itu sudah bertukar apabila pasukan ragbi Kelantan meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 selepas menewaskan Melaka 36-0 pada final ragbi 7 sebelah di padang Kolej Canselori Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.


Kejayaan itu hadir sekalipun skuad kendalian jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Md Noor membuat permulaan kurang meyakinkan dalam dua perlawanan peringkat saingan kumpulan, kelmarin.

"Kami membuat permulaan goyah perlawanan pertama melawan Terengganu tapi akhirnya menang 10-12 selepas ketinggalan 0-10.


"Keyakinan serta semangat juang anak buah saya hadir pada perlawanan kedua sewaktu mengatasi Perak 24-14. Apapun, kejayaan perlawanan final mengatasi Melaka 36-0 satu pencapaian membanggakan kerana kami berjaya mempertahankan pingat emas SUKMA dimenangi dua tahun lalu," katanya.


Saizul berkata, pasukan dianggotai pemain berusia antara 19 hingga 21 tahun itu kini fokus membuat persiapan untuk mempertahankan gelaran pada Kejohanan Piala Agong November ini.

"Selepas SUKMA, pertandingan itu akan menjadi satu lagi tumpuan kami. Kami mahu meneruskan rentak kemenangan dan mengangkat martabat ragbi Malaysia sebagai satu sukan menyeronokkan ditonton dan dimainkan," katanya selepas menyaksikan pasukannya melakukan enam try dan tiga conversion pada perlawanan menarik berlangsung di bawah panas terik yang turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Kapten Mohd Khairul Abdillah, 21, menyatakan rasa gembira membawa kejayaan Kelantan pada penampilan pertama selaku kapten.

"Jerih payah berlatih dan keserasian pasukan semakin baik daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami mempamer permainan berpasukan dan tidak membuka ruang kepada lawan.


"Saya berharap ragbi akan menjadi permainan diminati di Malaysia kerana di England sukan dimainkan kelas atasan dan pertengahan dan di Perancis sebagai satu tradisi," katanya bermain pada posisi scrum-half, kini belajar di Sekolah Sukan Tengku Ismail Johor.


Pingat gangsa ragbi 7 sebelah diraih oleh Kedah yang mengatasi Terengganu 35-5.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Sukan gimnastik bolot anugerah

Posted: 07 Jul 2013 08:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Sukan gimnastik menguasai anugerah Olahragawan dan Olahragawati temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 yang melabuhkan tirai pertandingan secara rasminya semalam.

Altet Selangor, Danniel Iskandar Richard, 17, merangkul tiga emas dan dua perak manakala Esmelda Arecia Menti Alfred Gelin, 13, muncul wira Sarawak selepas menghadiahkan dua emas, dua perak dan satu gangsa.


Pemilihan Danniel yang juga atlet kebangsaan sebagai Olahragawan SUKMA amat bertepatan apabila beraksi cemerlang mempertahankan emas yang dimenanginya tahun lalu biarpun mengalami kecederaan manakala Esmelda dipilih berdasarkan kecemerlangan atlet cilik itu mempamerkan aksi tangkas dalam aparatus yang disertai.

Danniel menghadiahkan emas dalam acara berpasukan, individu keseluruhan dan kekuda pelana manakala perak dalam acara palang tunggal dan melombol. Esmelda meraih emas dalam acara melombol dan batang titian, perak dalam acara senaman lantai dan palang bertingkat, gangsa dalam acara individu keseluruhan.


Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menyifatkan SUKMA ke-16 sebagai berjaya dalam usaha mempromosi sukan tidak popular.


Katanya, wujud pertambahan dari segi bilangan penyertaan atlet, pegawai, pegawai teknikal, sukarelawan selain memperkenalkan beberapa sukan baru iaitu Muay Thai, bola sepak pantai dan woodball.

"Penyertaan beberapa sukan dari negeri amat memuaskan seperti ragbi membabitkan penyertaan 14 buah negeri sementara Muay Thai, silambam lelaki dan wanita, bina badan dan bola keranjang lelaki dengan penyertaan 13 kontinjen.


"Malah kita berjaya menjimatkan duit rakyat dan kerajaan apabila berjaya mengehadkan perbelanjaan dalam bajet yang ditetapkan iaitu dalam lingkungan RM9 juta," katanya.

Sementara itu, Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan temasya ke-16 sekali gus berjaya menyekat penguasaan Terengganu untuk muncul juara keseluruhan buat kali kelima.


Selangor mengumpul 23 emas, 17 perak dan 30 gangsa manakala Terengganu 19 emas, 13 perak dan 13 gangsa dengan tempat ketiga milik Wilayah Persekutuan emas (15), perak (20) dan gangsa (27).


Pada SUKMA 2012 di Pahang, Selangor berada di kedudukan kedua dengan 47 emas di belakang Terengganu yang meraih keseluruhan 62 emas.


Terengganu kehilangan banyak pingat apabila beberapa acara 'lubuk emas' mereka tidak dipertandingkan kali itu termasuk berbasikal dan kenu. Sebaliknya Selangor meraih kesempatan sepenuhnya daripada acara gimnastik, renang berirama serta mengekalkan gelaran selaku kuasa ping pong.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Bukan kerana wang

Posted: 07 Jul 2013 08:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Biar apapun keputusan yang akan dilakukan oleh pemenang pingat emas ping pong acara perseorangan dari Kedah, Muhd Ashraf Haiqal Rizal ia bukan kerana duit.

Itu tegas Ashraf selepas dikhabarkan menerima tawaran untuk bersama kelab baru yang berpangkalan di Zon Tengah bagaimanapun ia menuntut pengorbanan dan perlu meninggalkan negeri tercinta, Kedah.


"Semuanya terpulang kepada pihak pengurusan Kedah sama ada mahu melepaskan saya atau tidak.

"Biarpun jumlah wang yang ditawarkan itu lebih tinggi berbanding apa yang diberikan oleh Kedah, wang bukan isu utama, sebaliknya ia adalah demi untuk karier saya semata-mata," katanya.


Ketangkasan Ashraf membolehkannya membawa pulang pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.


Kemampuan Ashraf nyata sukar digugat apabila menewaskan pemain Sarawak, Chai Kiang Ann 11-8, 11-9, 11-7, 11-9 manakala gangsa dikongsi atlet Sabah, Chan Chee Yang dan Foo Dunley dari Selangor.

Kemenangan itu cukup berharga buat Ashraf pada penyertaan terakhirnya di SUKMA apabila dikhabarkan ping pong tidak akan dipertandingkan dua tahun lagi.


"Syukur apa yang disasarkan berjaya direalisasikan. Memang puas hati selepas sekian lama berlatih iaitu hampir sembilan tahun akhirnya membuahkan hasil.

"Inilah emas pertama dan mungkin yang terakhir di SUKMA. Dua tahun lalu saya sekadar meraih gangsa. Saya harap boleh terus melakar kejayaan buat negara selepas ini," katanya yang akan memberi fokus kepada Sukan SEA.


Sementara itu, atlet Johor Ho Ying mengungguli kategori perseorangan wanita selepas mengalahkan pemain Selangor, Lee Rou You 13-11, 12-10, 13-11, 9-11, 11-7 pada aksi final hari ini.


Gangsa bagi acara itu dikongsi Joybe Ting Ping dari Wilayah Persekutuan dan Chua Wan Zhen dari Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Harapan masih ada

Posted: 07 Jul 2013 08:54 AM PDT

Johor Bahru: Skuad negara berpeluang cerah menjejak kaki ke Piala Dunia 2014 di Belanda sekali gus menamatkan kemarau gagal layak ke pentas tertinggi itu sejak 2002 dengan menewaskan Jepun menerusi penentuan penalti 4-3 selepas seri 1-1 pada penentuan tempat kelima dan keenam pada kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia semalam.

Meskipun sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dan gagal merebut tiga tiket yang ditawarkan ke Piala Dunia, secara matematik penamat kelima itu sebenarnya hampir pasti untuk meletakkan skuad negara sebagai antara pilihan utama merebut baki slot ke Belanda.


Kini segala-galanya bergantung kepada keputusan pada lima kejohanan antara benua selepas ini termasuk Piala Asia di Ipoh Ogos ini.

Meskipun barisan pemain negara memberikan aksi terbaik mereka, ketua jurulatih Paul Revington tetap menganggap persembahan semalam di bawah kemampuan sebenar skuad negara.


"Ia bukanlah persembahan terbaik kami, saya cuma boleh katakan OK saja.


"Jepun sebenarnya beraksi dengan baik, malah corak bertahan mereka juga menjadi tapi kita tetap terus memberi saingan hingga tamat perlawanan," katanya.

Turun dengan misi untuk mencatat kemenangan sekali gus mengutip sebanyak mungkin mata bagi memperbaiki kedudukan ranking dunia, skuad bimbingan Paul Revington di depan seawal minit ke-10 selepas Muhammad Razie Abd Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan baik.


Jepun terus mengasak dan akhirnya usaha mereka itu membuahkan hasil apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti yang kemudian disempurnakan oleh Shinji Kawauchi pada minit ke-28.

Pasukan lawan yang dibimbing oleh Keon Wook Kang sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-33 tetapi kali ini ia disia-siakan saja oleh barisan pemain Jepun.


Chua Boon Huat mempunyai peluang terbaik untuk menambah gol kedua skuad negara pada minit ke-48 tetapi dia gagal menampan tolakan cantik Fitri Saari meskipun gawang Jepun sudah terbuka luas.


Seminit kemudian giliran Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti tetapi skuad negara gagal menyempurnakannya dengan baik sebelum pukulan penalti menjadi penentu dan penjaga gol S Kumar muncul wira dengan menafikan dua cubaan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

England tebus kecewa

Posted: 07 Jul 2013 08:54 AM PDT

Johor Bahru: England menebus kekecewaan tewas kepada Argentina pada saingan separuh akhir apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 pada penentuan tempat ketiga dan keempat pada kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia semalam.

Skuad bimbingan Bobby Crutchley di depan pada minit ke-12 menerusi gol padang sumbangan Ben Arnold dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.


Bersambung babak kedua, Korea berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Kim Seong Kyu tetapi England kembali di depan pada minit ke-59 menerusi pukulan sudut penalti Harry Martin.

Sementara itu Pakistan yang melalui kempen hambar pada kejohanan ini meskipun menjuarai saingan peringkat kumpulan, menebus kekecewaan mereka dengan menduduki tempat ketujuh daripada lapan pasukan selepas menewaskan Afrika Selatan 6-2 semalam.


"Secara keseluruhan saya kecewa kerana kami gagal menempah tiket ke Piala Dunia. Kami tidak beraksi dengan baik terutama ketika bertemu Korea Selatan dan Malaysia.


"Kami perlu menjaga reputasi selaku pasukan terbaik Asia dengan menjadi juara pada Piala Asia nanti. Itulah saja satu-satunya peluang terbaik untuk layak ke Piala Dunia," kata ketua jurulatih Pakistan Akhtar Rasool.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

'Usah pamer aksi yo-yo'

Posted: 07 Jul 2013 08:53 AM PDT

Johor Bahru: Jangan pamer aksi yo-yo lagi. Demikian ingatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada barisan pemain negara selepas menamatkan kempen di kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia semalam dengan menewaskan Jepun bagi penentuan tempat kelima dan keenam.

Meskipun gembira dengan keputusan yang diraih anak buah Paul Revington kerana ia mencerahkan peluang skuad negara beraksi pada Piala Dunia 2014 di Belanda, Tengku Abdullah menganggap aksi tidak konsisten termasuk ketika bertemu Jepun semalam sehingga mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out harus diatasi sebelum bermulanya saingan Piala Asia, Ogos depan.


"Masih lagi ada kelemahan tertentu dan untuk itu saya harap mereka tingkatkan lagi corak permainan lebih baik.

"Persembahan kita macam yo-yo, tak konsisten. Ini yang menjadi kebimbangan saya," katanya.


Walaupun penamat kelima meletakkan skuad negara hampir pasti ke Piala Dunia, Tengku Abdullah berkata, jalan terbaik untuk mengesahkan tiket ke Belanda adalah dengan menjuarai Piala Asia Ogos nanti.


Mengulas mengenai masa depan Revington yang sebelum ini mencetuskan kontroversi mahu meletak jawatan, Tengku Abdullah sekali lagi menegaskan segala-galanya terpulang kepada jurulatih berusia 39 tahun dari Afrika Selatan itu.

"Kami (MHC) bersikap terbuka tapi saya harapkan beliau kekal di Malaysia, terpulang kepada beliau.


"Beliau ada sebab-sebab tersendiri (sama ada mahu kekal atau tidak)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Jerman tepati ramalan awal

Posted: 07 Jul 2013 08:53 AM PDT

Johor Bahru: Jerman menepati ramalan mendominasi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia apabila muncul juara selepas menewaskan Argentina 4-2 pada aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, malam tadi.

Jerman bermula baik apabila berada di depan pada minit ke-22 menerusi jaringan padang sumbangan Christopher Zeller tetapi ia tidak bertahan lama apabila Argentina menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian hasil pukulan sudut penalti Gonzalo Peillat.


Skuad bimbingan Markus Weise kembali di depan pada minit ke-32 menerusi gol padang Florian Fuchs.

Namun Argentina mempamer semangat melawan dan hasilnya Matias Paredes berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-35 menerusi jaringan padang.


Bersambung babak kedua, Argentina terus memberi tentangan sengit kepada pasukan juara dunia itu dan mereka berpeluang untuk menjaringkan gol ketiga menerusi dua pukulan sudut penalti tetapi disia-siakan begitu saja.


Florian Fuchs menghadiahkan gol ketiga untuk Jerman menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-68 sebelum Christopher Wesley meledak gol keempat pada minit terakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Jalaluddin terkilan

Posted: 07 Jul 2013 08:47 AM PDT

Kuantan: Rasa terkilan tidak dapat disembunyikan kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar biarpun skuad itu berada dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super musim ini.

Pemain paling senior itu berkata, jika bersandarkan sasaran awal, skuad itu mahu berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik tetapi aksi tidak konsisten pada empat baki terakhir perlawanan memadamkan sasaran itu.


Bagaimanapun, dia bersama rakan sepasukan sudah mempamerkan persembahan terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi skuad Tok Gajah dalam saingan liga musim ini.

"Oleh itu, saya harap prestasi lebih baik dapat dipamerkan dalam saingan Piala Malaysia selepas Pahang gagal meraih gelaran juara dalam saingan liga dan Piala FA.


"Saya percaya apabila saingan Piala Malaysia bermula, Pahang dapat membentuk pasukan lebih mantap dan konsisten seperti yang dipersembahkan pada awal saingan liga lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

PFA labur lebih RM5j bina semula pasukan Perlis

Posted: 07 Jul 2013 08:46 AM PDT

Kangar: "Bukan RM2 juta atau RM5 juta, malah kami memperuntukkan lebih daripada itu bagi membina semula skuad Singa Utara," tegas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Rozabil Abd Rahman mengenai pelaburan besar pasukan itu menjelang saingan Liga Malaysia 2014.

Rozabil berkata, pasukan itu juga akan dibina dengan lebih kuat seperti pasukan elit lain termasuk membawa perubahan menyeluruh dalam PFA daripada pucuk pimpinan hingga pemain selain sudah mengenal pasti penaja besar yang akan menaja pasukan.


"Bukan itu saja, semua masalah kewangan persatuan juga akan diselesaikan sebelum Oktober ini dengan bayaran tunggakan gaji pemain akan diselesaikan dengan segera.

"Kami tidak boleh dedahkan berapa jumlah tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan, namun kami mempunyai sumber kewangan bagi menyelesaikan tunggakan itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama persatuan penuh kontroversi itu semalam.


Menurutnya yang baru dilantik sebagai presiden bulan lalu, Perlis juga bakal membawa penaja besar menaja pasukan itu selain membawa masuk pemain yang bakal memberi saingan lebih kompetitif dalam liga selain ketua jurulatih yang mantap dan terkenal.


"Kami akan memberi fokus kepada pemain tempatan selain mereka yang sudah berhijrah ke pasukan lain dan berasal dari Perlis untuk bermain dengan Singa Utara pada musim depan.

"PFA akan menyaring dengan teliti pemain yang bakal dibawa masuk pada musim depan dengan menekankan kepada beberapa perkara termasuk rasuah dan komitmen mereka kepada pasukan," katanya.


Menurutnya, insentif serta bayaran gaji yang lumayan juga bakal diberikan kepada pemain dan sedang dibincangkan malah PFA juga mencari mereka yang seronok dan puas bermain bersama pasukan itu.

Rozabil berkata, biarlah perkara serta isu yang berlaku pada musim sebelum ini dilupakan dan sedia membuka lembaran baru.


"Perjuangan PFA bagi musim lalu baru saja selesai semalam (kelmarin) dan bakal bersiap lebih hebat daripada sebelum ini bagi menaikkan kembali semangat Singa Utara (Perlis)."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

No comments:

Post a Comment