Pages

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


5 terperangkap atas pokok

Posted: 07 Jul 2013 09:12 AM PDT

Banda Aceh: Lima lelaki terperangkap di atas pokok sejak tiga hari lalu selepas dikejar oleh beberapa ekor harimau Sumatera.

Seorang rakan mereka mati dibaham haiwan berkenaan.


Polis berkata, lima harimau masih berada di bawah pokok itu selepas mengejar lelaki berkenaan Khamis lalu.

Kejadian berlaku selepas lelaki itu yang mencari kayu gaharu di Taman Negara Hutan Leuser di puncak Sungai Rengas, Tenggulun, kawasan Aceh Tamiang, membunuh seekor anak harimau secara tidak sengaja.


Konflik antara manusia dengan haiwan semakin menjadi-jadi di Indonesia. Tetapi, dalam kebanyakan kes, ia berakhir dengan padah menimpa haiwan terbabit.


Ketua Polis Tamiang, Dicky Sondani berkata, selain mencari gaharu, lelaki berkenaan turut memasang perangkap untuk menangkap rusa tetapi secara tidak sengaja memerangkap anak harimau berkenaan.

Foto

HARIMAU Sumatera.

Harimau dewasa itu menyerang keenam-enam lelaki terbabit dan membaham seorang daripada mereka yang dikenali sebagai David. Lima yang lain - Adi Susilo, Mujiono, Budi Setiawan, Suriadi dan Awaludin - menyelamatkan diri dengan memanjat pokok, kata Dicky.


Menurutnya, 30 orang terdiri daripada polis dan tentera sudah melancarkan gerakan menyelamat mangsa kelmarin selepas dia dan tiga anggotanya terpaksa berpatah balik setelah melihat harimau itu.

Dicky juga berkata, usaha untuk mendapatkan khidmat pawang harimau sehingga semalam masih belum berhasil.


Anggota penyelamat mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari untuk tiba di kawasan terbabit. Lebih buruk lagi, mereka juga terpaksa berdepan dengan harimau dan binatang liar lain, termasuk gajah.


Harimau Sumatera adalah harimau paling kecil di dunia. Hanya 400 hingga 500 ekor dipercayai masih hidup.


"Jika harimau itu masih berada di bawah pokok, kami mungkin terpaksa menembak mereka, paling tidak dengan ubat pelali, untuk menyelamatkan kelima-lima mangsa," kata Dicky. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Sengaja mahu dijangkiti HIV

Posted: 07 Jul 2013 09:08 AM PDT

London: Sejenis 'kegilaan' baru dilaporkan semakin berkembang di Barat apabila sesetengah lelaki sengaja menjalani hidup songsang dengan harapan dapat dijangkiti virus HIV.

Aktiviti itu - digelar sebagai memburu pepijat (bug chasing) - tercetus di AS pada 1999 dalam usaha mereka mendapat kepuasan seksual.


Seorang daripada mereka yang aktif dalam aktiviti itu berkata, ada beratus-ratus lelaki di Britain mendedahkan diri masing-masing di forum dalam talian, Facebook dan Twitter.

Kebanyakan mereka kemudian bertemu dan cuba menyebarkan virus berbahaya itu yang mampu membawa maut kerana menyerang sistem imunisasi badan.


Sesetengah pemburu pepijat itu mendakwa virus HIV menyebabkan kualiti hidup mereka meningkat kerana pengambilan ubat-ubatan yang terpaksa diambil. Kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Nick, 30, dia berasa semakin bertenaga dan sihat akibat pengambilan ubat berkenaan. "Saya menjalani ujian hati setiap tiga bulan, paras kolesterol pula dipantau dari semasa ke semasa dan ada banyak pemeriksaan kesihatan yang disediakan.


"Jika ada sebarang masalah, saya dapat mengesannya dengan cepat.

"Malah, semua perkhidmatan itu diberikan percuma oleh hospital kerajaan," katanya ketika ditemui. Tahun lalu, 73,659 orang dirawat kerana HIV di Britain dan 43 peratus daripada mereka adalah pengamal homoseksual.


Jumlah itu menunjukkan pertambahan 58 peratus berbanding 10 tahun lalu.

Pada 2012 juga, perkhidmatan kesihatan Britain membelanjakan wang berjumlah £840 juta (RM3,99 bilion) sebagai kos rawatan HIV. Sementara itu, sukarelawan Yayasan Aids Elton John, Simon Prytherch berkata, amalan mengejar pepijat itu amat menakutkan dan sangat tidak bertanggungjawab. "Apa yang kita tahu, semakin banyak rawatan gagal dan berlaku kemerosotan tahap kesihatan yang ketara," katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Ditahan dua kali jalin hubungan seks dengan kuda

Posted: 07 Jul 2013 09:07 AM PDT

Austin (Texas): Seorang lelaki dari Hidalgo ditahan dua kali dalam tempoh dua minggu kerana didakwa mengadakan hubungan seks dengan seekor kuda, lapor media semalam.

Minggu lalu Cirilo Castillo, 43, didakwa menceroboh harta persendirian dan berkelakuan kejam ke atas haiwan milik jirannya.


Jurucakap polis berkata, Castillo dipercayai menyetubuhi seekor kuda bernama Nadia milik jirannya. Pada Januari 2012, Castillo juga pernah ditangkap atas kesalahan sama. Dia dibebaskan dari penjara pada April.

Ekoran sabitan itu, jiran Castillo mengambil sikap lebih berhati-hati dan memasang kamera litar tertutup (CCTV).


Sumber polis berkata, tindakan jiran terbabit memasang CCTV membolehkan perlakuan lucah melampau Castillo didedahkan. "Sebenarnya Castillo bukan lelaki yang berbahaya atau ganas - kecuali terhadap kuda," katanya.


Justeru, kata sumber itu, pihak berkuasa terpaksa bertindak ke atas Castillo.

"Jika tidak, dia akan terus melakukan perbuatan itu," katanya.


Katanya, kejiranan di situ semakin meluat dengan ketagihan aneh Castillo. Setakat ini tidak diketahui ikat jamin perlu dijelaskan Castillo bagi membolehkan dia dibebaskan sementara menunggu perbicaraan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Budak 12 tahun diarah bayar RM765,000

Posted: 07 Jul 2013 09:06 AM PDT

Riyadh: Mahkamah mengarahkan seorang budak didenda sebanyak SR900,000 (RM765,511) kerana membakar rakannya ketika mereka menikmati barbeku tiga tahun lalu.

Fayez Mohammed Awwad yang berusia 12 tahun mendakwa kejadian itu berlaku secara tidak disengajakan.


Fayez berkata, dia tersilap mencurah petrol ke badan rakannya yang lebih muda dalam kejadian berhampiran rumahnya di bandar Turaif.

Fayez mendakwa sedang memanggang kentang dan mahu menjadikan api lebih marak. Dia kemudian mengambil petrol dari rumahnya dan mula mencurah bahan berkenaan ke api, tetapi sebahagian daripadanya terpercik ke badan mangsa. - AN

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

ElBaradei tidak diterima

Posted: 07 Jul 2013 09:05 AM PDT

Kaherah: Pemilihan pemenang Anugerah Keamanan Nobel Mohamed ElBaradei sebagai perdana menteri sementara Mesir gagal menyatukan gabungan pembangkang Mohamed Mursi ketika penyokong kedua-dua kumpulan merangka perhimpunan masing-masing hari ini.

Agensi berita rasmi MENA semalam berkata, presiden sementara Adly Mansour melantik tokoh liberal dan pengkritik tegas Mohamed Mursi sebagai perdana menteri peralihan.


Hanya sejurus kemudian, pejabat presiden kemudian menafikan keputusan akhir mengenai pelantikan itu sudah dibuat. Wartawan sudah berkumpul di Istana Presiden untuk mendapatkan kenyataan rasmi yang dijanjikan Adly dan ElBaradei tetapi program itu dibatalkan tiba-tiba. Sementara itu kumpulan Islam Salafi yang menyokong Mohamed Mursi ekoran rampasan kuasa tentera minggu lalu turut menolak pelantikan ElBaradei. Penasihat presiden Ahmed al-Muslimani berkata, ElBaradei - bekas ketua agensi pemantau nuklear PBB - kekal sebagai calon paling utama untuk dilantik ke jawatan itu.

"Namanya berada di kedudukan teratas dalam senarai calon," katanya. Namun, petang semalam seorang ahli politik kanan Salafi berkata, parti diwakilinya, al-Nour, menolak ElBaradei.


Keputusan itu dibuat selepas rundingan mengenai pelantikan itu dibuat. "Alasan kami mudah. Ada dua sebab untuk menolak ElBaradei.


"Pertama, kita perlukan tokoh ekonomi teknokrat dan kedua, Mesir perlu menamatkan perpecahan di kalangan rakyatnya," katanya. Dalam keadaan semasa, katanya, tiada rundingan perpaduan dapat dijalankan apabila penentang utama Mohamed Mursi dilantik sebagai perdana menteri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Ikhwan gesa teruskan protes

Posted: 07 Jul 2013 09:04 AM PDT

Kaherah: Ikhwanul Muslimin menyeru rakyat Mesir terus mengadakan protes selepas berpuluh-puluh orang terbunuh dan lebih 1,000 yang lain cedera akibat pergaduhan di antara penyokong gerakan Islam itu dengan penentang serta tentera.

Keganasan di antara kumpulan berbeza itu berlaku di tengah Kaherah dan banyak bandar lain, sekali gus menegaskan perlunya penyelesaian politik dicari segera. Akhbar milik kerajaan, al-Akhbar melaporkan beberapa kanak-kanak dibunuh oleh anggota Ikhwanul Muslimin sambil menyiarkan gambar seorang pemuda ditolak dari atas bangunan konkrit di Iskandariah.


Bagaimanapun akhbar itu dikenali sebagai pembenci Ikhwanul Muslimin. Iskandariah adalah satu daripada lokasi protes paling buruk dengan 14 orang dilaporkan terbunuh setakat ini.

Sementara itu, pejabat presiden menawarkan perdamaian dengan penyokong Mohamed Mursi dalam Ikhwanul Muslimin ketika pemimpin pertubuhan berkenaan berjanji terus menolak rampasan kuasa tentera berkenaan. Jurucakapnya berkata, pejabat presiden mempelawa Ikhwanul Muslimin untuk berdamai. "Saya fikir Ikhwanul Muslimin mempunyai banyak peluang pada masa depan untuk menyertai pilihan raya," katanya.


Beberapa minit selepas kenyataan itu dikeluarkan, media kerajaan melaporkan pendakwa mengarahkan empat pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin yang ditahan minggu lalu, ditahan selama 15 hari lagi kerana didakwa menghasut protes. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Penjara Aleppo dibedil, 6 banduan mati

Posted: 07 Jul 2013 09:03 AM PDT

Beirut: Beberapa tahanan di penjara Aleppo terbunuh apabila pusat tahanan itu dibedil.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, setakat ini, enam banduan disahkan mati dalam serangan Jumaat lalu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pihak yang membedilnya.


Sebuah kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad yang ada hubungan dengan al-Qaeda dikatakan terbabit dalam pertempuran untuk menguasai penjara berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

Menurut kumpulan pemerhati itu, kira-kira 120 orang mati di penjara di Aleppo itu sejak April lalu, akibat pertempuran, sakit dan menjalani hukuman mati.


Agensi berita Syria (SANA) melaporkan, beberapa anggota kumpulan penentang mati dalam serangan itu tetapi tidak menyebut jumlahnya.


Aleppo, bandar terbesar Syria, terletak berhampiran sempadan dengan Turki. Sementara itu, pertempuran sengit di Homs di tengah Syria menyebabkan 60 hingga 70 peratus bandar itu rosak, musnah atau tidak boleh didiami.

Jurucakap kumpulan hak asasi itu, Rami Abdel Rahman berkata, daripada semua bandar di Syria, Homs mengalami tahap kemusnahan tertinggi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Pengadil bola kena penggal

Posted: 07 Jul 2013 08:17 AM PDT

Brasilia: Seorang pengadil bola sepak amatur dikerat kepada empat bahagian dan dipenggal selepas dia menikam seorang pemain hingga mati di padang bola dalam satu perlawanan.

Perlawanan itu berlangsung di Stadium Pius XII di Maranho, timur laut Brazil minggu lalu.


Menurut laporan Correio24horas, pemain berusia 30 tahun itu, Josenir dos Santos Abreu menghampiri pengadil Octavio da Silva Catanhede Jordan, 20, untuk mempertikai keputusannya.

Pertengkaran sengit kemudian meletus antara mereka sebelum pengadil terbabit mengeluarkan pisau saku dan menikam Santos Abreu berulang kali.


Pemain itu mati dalam perjalanan ke hospital. Peminat yang terdiri daripada rakan dan anggota keluarga mangsa yang berang dengan kejadian itu menyerbu padang dan mengepung Catanhede Jordan.


Tanpa belas kasihan, mereka mengerat pengadil itu kepada empat bahagian dan memenggalnya sebelum meletakkan kepalanya di atas pagar.

Setakat ini, polis di Santa Ines, Maranhao menahan seorang lelaki, Luis Moraes Souza, 27, berhubung kejadian ngeri itu dan masih memburu dua lagi lelaki bernama 'Chiquinho' dan 'Pirolo,' menurut beberapa blog Brazil.


"Laporan saksi menunjukkan beberapa orang berada di tempat kejadian ketika pembunuhan itu berlaku. Kami akan mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab. Jenayah tidak boleh dibalas dengan jenayah. "Tindakan seperti itu bertentangan dengan undang-undang negara," kata Ketua Polis Santa Ines, Valter Costa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Penyeludup terbesar kokain diusir ke Itali

Posted: 07 Jul 2013 08:17 AM PDT

Rome: Seorang lelaki yang dipercayai penyeludup terbesar kokain di dunia tiba di bandar raya ini semalam selepas diusir dari Colombia setelah ditahan di sebuah pusat beli-belah di Bogota dengan pasport palsu Venezuela.

Roberto Pannunzi yang melarikan diri dari penjara di Itali pada 2010 kelihatan tersenyum sambil berbual dengan anggota polis ketika tiba di lapangan terbang di Rome.


Dia yang digelar oleh pihak berkuasa Colombia sebagai 'Pablo Escobar Itali' adalah anggota kumpulan mafia Calabria dari selatan Itali tetapi mempunyai hubungan rapat dengan kartel dadah Colombia dan Mexico.

Penyiasat berkata, Panunnzi, 65, yang dikenali oleh orang sekelilingnya sebagai 'Bebe' (Baby) terlibat merancang penghantaran kokain secara besar-besaran dari Amerika Selatan ke Eropah.


Pannunzi yang dihukum penjara 16 setengah tahun di Itali ditahan dalam operasi bersama antara polis Colombia dengan ejen Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Pengikut Naqsyabandiah mula berpuasa semalam

Posted: 07 Jul 2013 08:15 AM PDT

Padang: Pengikut jemaah Tarekat Naqsyabandiah di sini dan beberapa daerah lain di Sumatera Barat mula menjalani ibadah puasa Ramadan semalam.

Mereka dilapor menunaikan solat Tarawih berjemaah di beberapa surau di kawasan terbabit kelmarin.


Guru tarekat berkenaan di Surau Baru Padang, Zahar berkata, keputusan untuk memulakan puasa lebih awal diambil selepas usaha menetapkan 1 Ramadan dilakukan dengan pengamatan bulan atau rukyah sebanyak tiga kali sepanjang bulan Syaaban.

Beliau juga menjelaskan, penetapan awal ibadah itu juga berdasarkan cara Hisab Munjid yang diajar Sheikh Haji Muhammad Tayib sejak 1906 lagi.


"Penetapan dilakukan dengan teliti menggunakan penghitungan kalendar Hisab Munjid. Dalam kalendar itu jumlah hari hanya ada 29 atau 30. "Kalau pada penghitungan sebanyak 360 hari, maka awal puasa tepatnya pada 7 Julai 2013. Jemaah melakukan solat Tarawih pada Sabtu 6 Julai. "Cara ini diamalkan secara turun-temurun dan dipelajari di Makkah oleh ulama terdahulu," kata Zahar.


Di Padang, pengikut tarekat itu banyak didapati di daerah Pauh, Lubuk Kilangan, Lubuk Begalung, Kota Tengah dan Kuranji. Kumpulan Islam kedua terbesar di Indonesia, Muhammadiah akan mula berpuasa esok sementara Nahdlatuil Ulama, kumpulan Islam terbesar negara itu akan menetapkannya selepas melihat anak bulan hari ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

No comments:

Post a Comment