Pages

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pukul, tetak sampai mati

Posted:

Alor Setar: "Saya terkejut mendapat berita anak saya mati kena tetak. Baru dua minggu lalu saya menghubunginya dan dia kelihatan seperti biasa dan ceria," kata Wan Mahmud, 69, ibu kepada Mohammad Najib Bakar, 37, yang maut ditetak dalam pergaduhan berhampiran tanah perkuburan Hindu di Lorong Sharif, Jalan Langgar, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.29 malam, mangsa dikatakan dipukul dan ditetak di belakang kepala, leher dan kedua-dua kakinya oleh sekumpulan lelaki di kawasan itu.


Difahamkan, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, kerana cedera parah.

Wan berkata, dia terkejut apabila polis memaklumkan kejadian itu kerana anaknya tidak menunjukkan perubahan sikap, malah kelihatan seperti biasa dan sangat ceria.


"Arwah memang anak yang bertanggungjawab, bermurah hati serta selalu menghormati orang tua. Saya tak sangka arwah mempunyai musuh sehingga mereka sanggup memukul dia sehingga mati.


"Perbuatan itu sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup memukul anak saya dengan teruk. Kalaulah dia ada buat salah, takkan sampai nak membunuh," katanya yang ditemui di rumahnya di Flet Tongkang Yard, di sini, semalam.

Foto

NAIB Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun, (kiri) melawat ibu mangsa, Wan (kanan) atas kematian anaknya.

Menurutnya, dia tidak menemui arwah sejak sebulan lalu kerana pergi ke rumah anak perempuannya yang baru melahirkan cucunya di Kota Sarang Semut, di sini.


"Arwah anak keenam daripada tujuh beradik tinggal bersama saya di Tongkang Yard sejak beberapa tahun lalu. Arwah belum berkahwin dan hanya membuat kerja kampung jika ada yang meminta pertolongannya seperti menebang pokok dan membina rumah di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian seorang lelaki dipukul dan ditetak berhampiran perkuburan Hindu di Lorong Sharif, Jalan Langgar, di sini.


"Berdasarkan maklumat itu, anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa rebah dalam keadaan cedera parah.


"Kami menghubungi ambulans dan membawa mangsa ke HSB. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.


"Mangsa cedera parah akibat tetakan di belakang kepala, leher serta kaki kiri dan kanan," katanya.


Adzaman berkata, semakan rekod mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau dan terbabit dalam dua kes narkotik pada 2007 dan 2008.


"Polis masih menjalankan siasatan mengenai punca pergaduhan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Terperosok bawah bas

Posted:

Shah Alam: Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang boleh digambarkan apabila seorang pemuda parah apabila motosikal ditunggangnya terperosok ke bawah bas dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Kerjaya, Seksyen 13, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa berusia 20-an cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas motosikal jenis Honda Wave ditungganginya bertembung dengan bas milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Perlanggaran itu menyebabkan mangsa terperosok di bawah bahagian bas, namun nasib menyebelahinya apabila tidak digilis kenderaan itu.

Difahamkan, kejadian berlaku disebabkan lampu isyarat di persimpangan berkenaan tidak berfungsi.


Jurucakap polis ketika dihubungi berkata, mangsa datang dari arah Persiaran Kerjaya menuju ke arah sebuah pasar raya di Seksyen 13.


Setibanya di persimpangan lampu isyarat, tanpa berhenti, mangsa terus membelok ke kanan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

"Pemandu bas berusia 40-an itu dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tidak sempat mengelak sebelum merempuh motosikal dinaiki mangsa.


"Hasil pemeriksaan awal mendapati pemandu bas tidak cedera, namun masih terkejut dengan kejadian," katanya.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan kecemasan dan laporan polis berhubung kejadian dibuat pemandu bas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

'Perbuatan ibu beri kesan negatif kepada anak'

Posted:

Kuala Lumpur: "Membiarkan anak melihat ibu melakukan kerja tidak bermoral akan membawa kesan negatif. Ia memberi kesan jangka panjang kepada anak itu," kata Pegawai Psikologi Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sulaiman Selamat.

Menurutnya, perkara itu akan menyebabkan konflik dalaman berlaku terhadap anak kerana mereka menyaksikan setiap pekerjaan ibu sebagai jalan mudah mendapatkan wang.


Katanya, ibu bapa menjadi teladan kepada anak dalam setiap perkara yang mereka lakukan dan sungguh membimbangkan jika anak didedahkan dengan perkara negatif.

"Bahkan, tindakan ibu bapa terbabit dengan kerja haram itu sedikit sebanyak menular dalam pemikiran anak dan ia dikhuatiri membentuk ikutan anak itu nanti pada masa akan datang.


"Pepatah mengatakan 'melentur buluh biarlah dari rebungnya', jika anak dilentur serta ditunjukkan perkara negatif seperti si ibu melayan lelaki lain, ia pasti menjadi ikutan mereka," katanya.


Menurutnya, perkara itu perlu dielakkan kerana ia akan menjejaskan masa depan anak muda. Sehubungan itu, ibu bapa harus menunjukkan contoh teladan baik kepada anak mereka.

Selain ibu bapa, katanya, guru dan masyarakat perlu memainkan peranan membentuk generasi berakhlak yang bebas daripada maksiat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Insaflah! Usah gadai maruah kerana wang

Posted:

Kuala Lumpur: "Jangan gadai maruah kerana wang," tegas pendakwah dan tokoh agama, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz mengulas pendedahan Metro Ahad mengenai segelintir suri rumah sanggup melakukan kerja tidak bermoral untuk mencari nafkah tanpa dibantah suami.

Hassan berkata, lebih parah lagi jika suami mengetahui pekerjaan itu dilakukan isteri, namun tetap membenarkannya disebabkan mahu mendapatkan wang.


Menurutnya, suami seperti itu boleh dikategorikan dayus dan menanggung sama dosa isterinya.

Katanya, Islam jelas menerangkan peranan isteri serta ibu untuk menjaga maruah dan bukan melakukan pekerjaan terkutuk dengan berlaku sentuhan dengan bukan mahram seperti mengurut.


"Mengapa perlu melakukan urutan batin kepada lelaki, sedangkan banyak tukang urut lelaki memiliki kepakaran sama. Tindakan itu juga mendekatkan mereka kepada zina.


"Perbuatan membuka pusat urut tak salah jika urutan itu membantu memulihkan keadaan seseorang, namun Islam melarang wanita mengurut lelaki bukan mahram selagi bukan pada situasi darurat," katanya ketika dihubungi.

Berhubung tindakan Suraya dan Maya sebagaimana dilaporkan, Hassan berkata, mereka perlu insaf dan kembali ke pangkal jalan dengan mencari pekerjaan lebih baik kerana punca rezeki halal membawa kebahagiaan dalam rumah tangga.


Katanya, masa depan anak perlu diutamakan pasangan suami isteri dan setiap rezeki dimasukkan ke dalam mulut wajib daripada hasil yang halal.

"Umat Islam yang melakukan pekerjaan ditegah agama akan menerima azab seksa yang sangat pedih di akhirat nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Pencuri kabel lagak kontraktor

Posted:

Batu Pahat: Taktik berlakon umpama kontraktor membaiki wayar elektrik atau pencari barangan lusuh ketika mencuri kabel digunakan satu sindiket yang bergerak aktif melakukan kegiatan terbabit di daerah ini sejak berbulan lalu.

Kumpulan dianggotai lima individu itu menjadikan rumah kosong di sekitar Senggarang, Rengit dan Ayer Hitam sebagai sasaran utama mereka.

Namun kelicikan penjenayah berkenaan tidak berpanjangan apabila kelima-limanya ditahan polis pada Isnin lalu di sekitar Senggarang, di sini, hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan mendapati lima suspek berusia 20 hingga 32 tahun itu mencuri kabel bagi memperoleh pendapatan dengan cara mudah.


"Penjenayah memilih rumah kosong sebagai sasaran sebelum memotong kabel dan menjualnya di beberapa premis jualan barangan lusuh di daerah ini.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

No comments:

Post a Comment