Pages

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lari sebelum kahwin

Posted:

Kuala Lumpur: Gara-gara salah faham, sepasang kekasih orang kelainan upaya (OKU) yang bakal berkahwin bertindak lari dari rumah dipercayai bersama kekasihnya itu selepas membuat permohonan bantuan Baitulmal pada 10 Januari lalu.

Pasangan OKU Mohd Azwan Alimat, 19, menghidap masalah lembam dan teman wanitanya, Kasma Saari, 49, yang lembam dan kerdil dikatakan menghilangkan diri selepas membuat permohonan itu.


Ibu angkat Mohd Azwan, Russiah Bidin, 56, berkata, pada hari kejadian dia meminta anaknya menghantar kekasihnya pulang ke rumah di Sentul, namun gagal pulang selepas itu.

"Sebelum itu, saya bersama anak dan Kasma ke Baitulmal untuk membuat permohonan bantuan bulanan OKU sebelum pulang ke rumah di Taman Datuk Senu kira-kira jam 12.30 tengah hari.


"Selepas itu, saya meminta anak menghantar teman wanitanya pulang ke rumah yang juga terletak berhampiran kediaman kami," katanya.


Katanya, dia mula berasa tidak sedap hati apabila anaknya gagal pulang rumah dua jam kemudian dan cuba menghubungi telefon bimbit pasangan itu, namun gagal.

Foto

RUSSIAH menunjukkan pasangan OKU yang lari dari rumah.

"Risau keselamatan anak, saya membuat laporan polis di Balai Polis Sentul dan sehingga hari ini belum menerima sebarang khabar dari mereka," katanya.


Menurutnya, dia percaya pasangan itu lari dari rumah selepas dia melarang Mohd Azwan berjumpa teman wanitanya sepanjang mengikuti kurus kahwin.

Russiah meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pasangan berkenaan untuk menghubunginya di talian 012-9203094 atau ke balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Pemaju diarah baiki pangsapuri condong

Posted:

Shah Alam: Kerajaan negeri sudah mengarahkan pemaju pangsapuri Indahria, Seksyen 22, Batu Tiga, di sini, untuk membaiki kerosakan struktur dan mendapan yang berlaku di pangsapuri berkenaan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) petang kelmarin.


Beliau berkata, sekiranya pemaju enggan membaiki kerosakan struktur pangsapuri berkenaan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil alih kerja pembaikan itu.

"Kalau MBSA yang menjalankan kerja pembaikan, syarikat pemaju akan dikenakan tindakan dan perlu menanggung kos pembaikan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sistem Pengurusan Sosial Negeri Selangor, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Peragut patah kaki rempuh kereta

Posted:

Kulim: Dua peragut bernasib malang apabila bukan saja gagal meragut telefon bimbit milik seorang lelaki, malah seorang daripada mereka patah kaki kanan selepas terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5 petang di Jalan Kelang Lama, di sini, apabila motosikal yang dinaiki dua suspek berusia 23 dan 30 tahun terbabit memecut sebelum merempuh belakang sebuah kereta ketika dikejar polis serta ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM). Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai identiti suspek dan nombor pendaftaran motosikal mereka selepas cuba meragut telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 40 tahun di pekan Kulim.


Menurutnya, sebaik mengesan suspek, sebuah kereta peronda polis (MPV) dengan bantuan ahli PPKM mengejar motosikal yang dinaiki kedua-dua lelaki terbabit, namun mereka memecut ke Jalan Kelang Lama untuk melarikan diri.

"Namun, tindakan suspek gagal apabila motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar malam Kelang Lama menyebabkan kedua-dua lelaki itu terjatuh daripada motosikal lalu ditahan polis.


"Kedua-dua suspek yang cedera dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan dan seorang daripadanya berusia 23 tahun patah kaki kanan akibat kemalangan itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek berusia 30 tahun berkenaan berada dalam senarai dikehendaki polis kerana disyaki terbabit kejadian rogol di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Tiga pelancong sesat lima jam di hutan

Posted:

Pangkor: Tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat Pulau Pangkor berjaya menyelamatkan tiga pelancong warga asing yang tersesat lebih lima jam di kawasan Hutan Simpan Teluk Dalam, di sini, semalam.

Warga Perancis, Saladin Lorene, 24, dan Edmond Jonathan, 26, dan seorang lagi warga Austria yang hanya dikenali sebagai Hervet Skcenkr bersiar-siar kawasan hutan itu pada jam 10 pagi, tetapi dilaporkan tersesat.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Mohd Nadzir Abdul Razak berkata, pelancong berkenaan menghubungi pihak pengurusan tempat mereka menginap bagi meminta bantuan apabila gagal mencari jalan keluar selepas memasuki hutan itu kira-kira empat jam.

Katanya, pihak bomba yang dimaklumkan kejadian itu menghantar lima anggotanya diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 Abdul Aziz Yahaya bagi mengesan mangsa.


"Selepas satu jam 15 minit mencari, akhirnya anggota kami menemui ketiga-tiga mangsa dalam keadaan selamat walaupun agak keletihan kerana berjalan terlalu lama.


"Mereka dibawa keluar dengan selamat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nadzir berkata, kejadian itu yang ketiga sejak awal tahun ini dan sebelum ini, tiga pelancong Perancis, Jepun dan Hong Kong tersesat dalam dua kejadian berasingan.


Katanya, kawasan hutan simpan berkenaan sering dikunjungi pelancong terutama pelancong asing yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

'Messi' sekolah minggu depan

Posted:

Kota Bharu: Remaja keciciran sekolah, Sufian Mat, 17, yang pernah digelar 'Messi Malaysia' boleh memulakan persekolahan seperti biasa minggu depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Zahari Daud yang mengesahkan perkara itu berkata, remaja terbabit diminta datang ke pejabat Jabatan Pelajaran Kelantan Ahad ini, bagi mendapatkan surat kebenaran bersekolah.


Katanya, selepas mendapat surat itu, dia boleh melaporkan diri untuk memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.

"Kita sudah berjumpa bapa saudara remaja itu hari ini (semalam) dan meneliti dokumen yang diperlukan untuk kita proses.


"Remaja itu boleh kembali ke sekolah minggu depan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, berdasarkan maklumat dan dokumen, remaja berkenaan cukup syarat dari segi usianya tidak melebihi 18 tahun dan layak meneruskan persekolahan seperti biasa.

Katanya, pihaknya mengkategorikan remaja itu sebagai keciciran pelajaran dan dia tiada masalah menyambung persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

No comments:

Post a Comment