Pages

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Jaga kebas motosikal

Posted: 09 Jan 2013 12:55 PM PST

Kuala Lumpur: Akibat cuai meninggalkan motosikal tanpa mematikan enjin ketika masuk seketika dalam kedai membawa padah kepada seorang tukang cat apabila motosikalnya dilarikan seorang pengawal keselamatan di Jalan Hang Lekiu, di sini kelmarin.

Difahamkan, mangsa berusia 50 tahun itu meninggalkan motosikalnya dalam keadaan tergesa-gesa sebelum masuk dalam kedai untuk membeli barang.


Kesempatan itu digunakan pengawal keselamatan terbabit untuk melarikan motosikal itu.

Bagaimanapun, dalam tempoh 48 jam, kenderaan itu dikesan Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) ketika membuat rondaan mengesan nombor pendaftaran palsu di Jalan Imbi, jam 7.30 malam.


Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika membuat rondaan di sekitar Jalan Imbi, anggota U3K mengesan sebuah motosikal SYM Bonus 110 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.


"Selepas melakukan intipan, seorang lelaki berusia 27 tahun berpakaian seragam pengawal keselamatan membuka kunci mangga pada motosikal itu sebelum menghidupkan enjin.

"Lelaki terbabit ditahan sebelum dia mendakwa kononnya motosikal berkenaan dipinjam daripada rakannya," katanya, semalam.


Menurutnya, siasatan lanjut melalui sistem kompol mendapati motosikal berkenaan baru dicuri dua hari lalu di Jalan Hang Lekiu dan suspek memiliki rekod cubaan samun.

"Selain itu, dia turut memiliki rekod dikehendaki polis atas kesalahan dadah dan laporan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

RM26,000 habis lebur

Posted: 09 Jan 2013 12:51 PM PST

Kuala Lumpur: Bukan saja impian untuk mengerjakan umrah musnah, malah sepasang suami isteri berputih mata apabila wang simpanan RM26,000 lesap selepas terpedaya dengan pelaburan pemasaran bertingkat (MLM).

Pasangan terbabit yang mahu dikenali sebagai Fuad, 39, dan Hanim, 44, mendakwa mengenali sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) sejak beberapa bulan lalu melalui kenalannya.


Hanim berkata, sejak pertemuan itu, pasangan terbabit memperkenalkan kepada dia dan suami program dikenali sebagai 'mentor-mentee' yang didakwa disertai pelajar sebuah universiti swasta sebagai penggerak syarikat pelaburan itu.

Menurutnya, tertarik dengan tawaran dan keuntungan berlipat kali ganda dijanjikan lelaki itu jika menyertai pelaburan dan semakan melalui laman web mendapati syarikat terbabit wujud menyebabkan mereka bersetuju menjadi ahli.


"Kami pada mulanya diminta membayar wang pendahuluan bagi memulakan proses pendaftaran untuk menjadi ahli. Saya dan suami menyerahkan RM16,000 pada 13 September tahun lalu dan baki RM10,000 diserahkan keesokan harinya di Taman Melawati, Ampang, dekat sini.


"Malah, lelaki itu turut meyakinkan saya dan suami supaya mencari ahli lain yang akan berada di bawah saya jika ingin mendapat pulangan lebih lumayan secara cepat iaitu sebanyak RM20,000 hingga RM40,000 sebulan," katanya.

Hanim berkata, dia bersetuju dan memperkenal tiga rakan sekerja kepada lelaki itu untuk melabur menyebabkan mereka turut kerugian RM2,000 hingga RM16,000.


"Selepas berulang kali menghubunginya untuk mengetahui status pelaburan berkenaan dia menghilangkan diri dan gagal dihubungi," katanya.

Sementara itu, Fuad berkata, dia yang mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kemudian berjumpa sendiri dengan pengasas syarikat MLM itu di Johor untuk mengetahui keadaan sebenar.


Menurutnya, dalam pertemuan itu syarikat terbabit memberitahu pernah bertemu dengan lelaki itu untuk berbincang mengenai pelaburan terbabit namun tidak lama kemudian dia menghilangkan diri. Fuad membuat laporan di Balai Pejabat Polis Wangsa Maju sebelum dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

JAIS terima maklumat

Posted: 09 Jan 2013 12:50 PM PST

Putrajaya: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah menerima maklumat mengenai kegiatan satu keluarga mualaf yang dipercayai memeluk Islam hanya untuk menerima sumbangan wang tunai orang ramai.

Pengarahnya, Datuk Marzuki Husin berkata, JAIS sudah menerima maklumat kegiatan keluarga itu dan nama mereka sudah berada dalam rekod saudara baru.


"Kami sudah dimaklumkan mengenai kes itu, jadi kami minta mana-mana masjid atau surau yang didatangi keluarga terbabit membuat laporan polis kerana mereka dilihat mengambil kesempatan menipu di atas keprihatinan orang ramai.

"Saya juga meminta pihak kariah memeriksa latar belakang mana-mana individu atau keluarga yang datang ke masjid untuk memeluk Islam dengan merujuk kepada Jais kerana kami mempunyai rekod saudara baru," katanya yang dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Polis ada petunjuk baru buru tahanan

Posted: 09 Jan 2013 12:49 PM PST

Georgetown: Polis sudah mempunyai petunjuk baru dan yakin dapat menahan tahanan reman yang melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Butterworth dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berdasarkan petunjuk itu, pihaknya yakin dapat menahan empat daripada tujuh tahanan reman berkenaan yang kini masih berada di negeri ini.


"Kami yakin mereka tidak sempat keluar dari negara ini berikutan kawalan ketat yang dilakukan di semua daerah dan sempadan," katanya.

"Semua pegawai dan juga anggota kini bertungkus-lumus untuk mengesan tahanan reman berkenaan dan secara taktikalnya, kita percaya dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat ini," katanya.


Kelmarin, satu pasukan khas yang terdiri daripada 250 pegawai kanan dan anggota ditubuhkan bagi memburu tujuh tahanan reman berkenaan yang dianggap sangat berbahaya.


Pasukan khas terbabit diketuai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Udara Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurut Abdul Rahim, beliau mengakui kejadian itu berpunca daripada kecuaian anggota polis dan mereka bakal dikenakan tindakan tatatertib.


"Memang kita akui kejadian ini berpunca daripada kecuaian anggota polis dan mereka akan dikenakan tindakan tahan kerja, namun siasatan lanjut masih diteruskan.

"Dalam kes ini, kita dapati anggota bertugas tidak mengikut peraturan dan ada kecuaian berlaku hingga menyebabkan tahanan reman terbabit meloloskan diri," katanya.


Menurut beliau, keempat-empat anggota polis itu ditahan kerja untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

'Hati berdebar-debar dengar suami cedera'

Posted: 09 Jan 2013 12:48 PM PST

Seberang Jaya: "Hati saya berdebar-debar ketika suami menghubungi menyatakan dia mengalami kecederaan ketika mengiringi sekumpulan tahanan reman kira-kira jam 10.30 pagi semalam (Isnin lalu).

"Ketika itu, saya dan anak-anak hanya mampu berdoa supaya suami terselamat," kata Kamariah Zakaria, 42, isteri kepada Koperal Muhammad Sharifuddin Ali, 47, yang cedera ketika bergelut dengan sembilan tahanan reman yang meloloskan diri dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), kira-kira 30 meter dari susur keluar Pantai Bersih, Bagan Ajam, Isnin lalu.


Muhammad Sharifuddin yang bertugas sebagai anggota pengiring di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda, dekat sini, menerima 12 jahitan di kepala dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Seberang Jaya.

Dia yang sudah berkhidmat selama 28 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi cuti sakit lima hari.


Kamariah berkata, dia kerap menasihatkan suaminya supaya berhati-hati ketika bertugas terutama sebelum keluar rumah menjalankan tugas harian.


Dia berkata demikian selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah melawat Muhammad Sharifuddin di Kuarters Balai Polis Seberang Jaya, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Balai Seberang Jaya, Sarjan Mejar Hashim Abd Rani.


Dalam kunjungan itu, Arif Shah menyampaikan sumbangan wang tunai RM300 kepada Muhammad Sharifuddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

No comments:

Post a Comment