Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Taufek tunggu peguam negara

Posted: 01 Apr 2014 10:09 AM PDT

Kelana Jaya: Insiden yang berlaku dalam Terowong Larkin masih belum selesai apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan mendakwa individu tertentu yang terbabit apabila memutuskan untuk menangguhkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak menjelaskan pihaknya akan menunggu tindakan lanjut Jabatan Peguam Negara.


"Siasatan sudah dijalankan pihak polis dan saya dimaklumkan ia sudah sampai kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

"Jadi kami akan menunggu tindakan lanjut daripada pihak mereka. Buat masa ini kami tidak akan meneruskan kes ini kerana mungkin wujud dua keputusan berbeza apabila kes itu dihadapkan ke mahkamah," katanya semalam.


Bagaimanapun, Taufek menjelaskan FAM masih berhak mengambil tindakan sekiranya tiada dakwaan lanjut dilakukan.


"Kami di FAM mempunyai tempoh dua tahun untuk mengambil tindakan mengikut Kod Tatatertib. Namun jika mahkamah dapati tiada kesalahan, apa lagi yang boleh kami lakukan," katanya.

Foto

TEROWONG Larkin saksi insiden diantara Johor DT, T-Team.

Foto

JOHOR DT didenda RM30,000 atas kelemahan tahap keselamatan.

Insiden di terowong membabitkan perlawanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menentang T-Team berlaku pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin yang berlaku 1 Februari lalu.


Dilaporkan insiden yang berlaku selepas tamat separuh masa pertama dengan seorang pemain import dan jurulatih kecergasan T-Team dikasari, turut membabitkan pegawai tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Pada masa sama, Jawatankuasa Tatatertib membuat keputusan Johor DT didenda RM30,000 dan diberi amaran kerana kelemahan tahap keselamatan.


"Kami memberi tumpuan khusus kepada aspek keselamatan pada mesyuarat hari ini, bukan insiden yang berlaku dalam terowong," kata Taufek.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Nadal ghairah

Posted: 01 Apr 2014 09:44 AM PDT

Los Angeles: Rafael Nadal berkata dia perlu berusaha lebih gigih dalam persediaan menghadapi pertandingan di gelanggang tanah liat menjelang Kejohanan Terbuka Perancis.

Nadal yang juga pemain nombor satu dunia tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Miami Master Ahad lalu ditangan pilihan kedua kejohanan Novak Djokovic.


Kemenangan Djokovic 6-3, 6-3 itu dibantu kecederaan belakang Nadal yang dialaminya awal tahun ini pada Terbuka Australia, kembali menyerangnya hingga membataskan pergerakan. Pemenang 13 kali Grand Slam itu berkata, walaupun tewas di Miami, dia tetap berpuas hati dengan aksinya yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

"Saya berasa agak selesa dan tidak sabar turun memburu kemenangan di gelanggang tanah liat musim ini," kata Nadal.


"Namun persaingan di peringkat ini juga amat hebat dan saya perlu berada dalam prestasi 100 peratus.


"Saya perlu berkerja keras dan cuba untuk berada dalam keadaan yang lebih baik," katanya.

Foto

NADAL (kiri) bersama Djokovic selepas final Kejohanan Miami Master Ahad lalu.

Kejohanan Miami Masters salah satu antara tiga Kejohanan ATP Masters yang Nadal gagal memenanginya. Ditanya adakah kesakitan belakangnya masih mengganggu dirinya, Nadal berkata, "Tidak, saya berada dalam keadaan baik, terima kasih banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Durban hasrat bida Sukan Olimpik 2022

Posted: 01 Apr 2014 09:43 AM PDT

London: Durban dikatakan berpotensi untuk membida Sukan Olimpik selepas menyatakan hasrat mereka menganjurkan Sukan Komanwel 2022.

Kedua-dua temasya sukan itu pernah diadakan di Afrika Selatan, namun Durban merancang memecahkan tradisi dengan menganjurkan Sukan Komanwel yang ke-22 dalam tempoh lapan tahun.


Bandar Kanada, Edmonton yang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1978 dan kejohanan Olahraga Dunia pada 2001 turut menyuarakan minat menganjurkan temasya itu pada 2022. Pengesahan pembidaan akan diketahui pada Mac 2015 dan bakal dipertimbangkan oleh ahli dalam Persekutuan Sukan Komanwel yang akan mengadakan perjumpaan agung di Auckland pada September 2015.

Terdapat kebimbangan mengenai kemampuan jangka panjang penganjuran Sukan Komanwel yang dibuka kepada negara yang pernah menjadi sebahagian daripada jajahan British yang mana ia menjadi antara acara semakin penting dalam kejohanan serantau selain Olimpik dan kejohanan dunia. Namun menjelang penganjuran tahun ini di Glasgow, Presiden CGF Tunku Imran Tuanku Ja'afar menyambut baik keinginan Durban dan Edmonton.


"Ini satu perkembangan yang menarik untuk pembangunan temasya ini, sesuatu yang mengukuhkan lagi kedudukan Sukan Komanwel di peringkat dunia. "Masa depan penganjuran temasya itu sangat positif. "Minggu lalu kunjungan terakhir ke Persekutuan Suruhanjaya Penyelarasan dilakukan untuk memantau persediaan di Glasgow sempena Sukan Komanwel tahun ini dan perkembangannya begitu cemerlang." "Selepas Glasgow temasya itu akan berlangsung di Gold Coast pada 2018 dan kini kami tahu dua negara itu sama ada Kanada atau Afrika Selatan mempunyai prospek yang baik menganjurkan temasya pada 2022. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Carroll wira West Ham

Posted: 01 Apr 2014 09:43 AM PDT

Sunderland: Pemain antarabangsa England Andy Carroll menjaringkan satu gol dan membantu gerakan gol kedua West Ham menewaskan Sunderland 2-1 untuk terlepas daripada zon penyingkiran di Stadium of Light, kelmarin.

Bekas penyerang Newcastle United itu yang kelihatan ceria kembali semula ke daerah kelahirannya meledak gol seawal minit kesembilan, melompat tinggi sebelum menanduk kencang ke penjuru gawang lawan. Sunderland tidak bernasib baik apabila dinafikan penalti apabila pemain tengah pelawat Kevin Nolan mengeluarkan bola menggunakan sikunya di garisan kotak penalti.


Carroll kemudian mencipta gerakan gol kedua West Ham lima mint awal babak kedua apabila mendada bola untuk Mohamed Diame.

Pemain Senegal itu kemudian melepaskan rembatan dari jarak 18 meter untuk menewaskan penjaga gol Vito Mannone.


Pengurus Sunderland Gus Poyet memasukkan Adam Johnson dan pemain gantian itu berjaya merapatkan kedudukan 2-1 untuk gol pelawat 25 minit sebelum perlawanan tamat.


West Ham yang kini berada di tangga ke-11 liga mengutip 37 mata dan kemenangan itu menamatkan kebimbangan nasib barisan Sam Allardyce itu.

Sunderland kekal dikedudukan di dasar kedua terbawah liga dengan 25 mata dan memerlukan empat mata untuk terselamat dengan baki lapan perlawanan lagi musim ini. "Kejayaan menjaringkan gol ke atas Sunderland sesuatu yang agak bermakna tetapi paling penting adalah tiga mata buat pasukan," kata Carroll kepada Sky Sports television.


"Semua rakan sepasukan berasa positif berdasarkan kedudukan kami yang kini selamat daripada penyingkiran." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Guardiola pernah ditawar urus United?

Posted: 01 Apr 2014 09:41 AM PDT

Manchester: Pep Guardiola bergurau bahawa dia sepatutnya ditawarkan membimbing Manchester United bagi meneruskan legasi Alex Ferguson tetapi diketepikan kerana tidak mengetahui cara percakapan Scotland.

Ferguson mengundur diri sebagai pengurus United tahun lepas dan memilih pengurus Everton menggantikannya, manakala Guardiola menyertai juara Liga Juara-Juara Bayern Munich selepas setahun berehat.


Ketika Guardiola berjaya memastikan Bayern mempertahankan kejuaraan Bundesliga, Moyes pula bermasalah di United yang kini ketinggalan 17 mata dengan pendahulu EPL. United dan Bayern bertembung di suku akhir Liga Juara-Juara dan Guardiola ditanya jika dia ditawarkan Ferguson tugasan membimbing United ketika mereka bertemu di New York berikutan keputusannya meninggalkan Barcelona pada 2012.

"Dia menjemput saya makan di sebuah restoran. Kami menghabiskan masa dengan bersembang.


"Bahasa Inggeris saya kurang fasih dan ketika Sir Alex bercakap laju, agak sukar untuk saya memahaminya. "Kerana itu saya tidak tahu sama ada saya ditawarkan jawatan ataupun tidak." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Sekat PSG!

Posted: 01 Apr 2014 09:36 AM PDT

Paris: Jose Mourinho sudah mengenepikan peluang Chelsea untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini tetapi beliau tetap percaya mereka mampu bangkit daripada kekecewaan yang dialami baru-baru ini dan Paris Saint-Germain bakal menerima padahnya, awal pagi esok.

Pengurus Chelsea itu mempersoalkan tahap kekuatan pemainnya ketika mereka tewas mengejut 1-0 di Crystal Palace dan kekalahan itu menyingkirkan Blues daripada persada Liga Perdana dan tempat itu diambil alih Liverpool.


Mourinho bijak bermain psikologi tetapi ketika Manchester City ingin memintas Blues dengan memenangi baki satu perlawanan di tangan, mungkin benar peluang untuk Chelsea menjulang gelaran musim ini ialah menerusi Liga Juara-Juara.

Pengendali Portugal itu yakin pasukannya akan bangkit ketika menentang juara Ligue 1 itu pada perlawanan suku akhir pertama yang berlangsung di Parc des Princes.


"Paris adalah tempat di mana kami tidak kekok untuk bermain. Ia perlawanan besar, stadium hebat dan lawan kami juga bukan calang-calang," kata Mourinho menjelang kunjungan ke Perancis.


Selain itu, beliau berkata, saingan pastinya sengit dengan PSG semakin gagah sejak dua tahun lalu dan kelab berkenaan sudah berbelanja besar untuk mendapatkan pemain hebat seperti Zlatan Ibrahimovic dan kapten Brazil, Thiago Silva.

"Mereka mempunyai beberapa pemain terbaik dunia dan justeru, mereka adalah pasukan yang kuat," kata Mourinho mengenai pasukan yang tewas menerusi kiraan gol di tempat lawan di tangan Barcelona tahun lalu.


PSG tidak tewas sepanjang 28 aksi tempat sendiri saingan Eropah dan ketika ini mencatat sembilan kemenangan dalam semua pertandingan.

Mereka muncul kelab yang tidak boleh digugat dalam saingan Ligue 1 dan mempunyai kelebihan 13 mata berbanding pesaing terdekat, Monaco.


Jurulatih Laurent Blanc mengakui pemainnya sudah tidak sabar untuk bertemu Chelsea.


"Apa yang boleh saya katakan ialah pemain saya sudah mula memikirkan aksi menentang Chelsea. Kami perlu beraksi lebih baik jika mahu menang," kata Blanc yang pernah mewakili Barcelona pada hujung 1990 ketika Mourinho membimbing kelab berkenaan.


"Chelsea mahu menang dan kami tidak mempamer aksi membanggakan ketika menentang Nice. Ada kalanya bola sepak tidak menentu." Blanc berharap anak buahnya dapat bangkit ketika menentang kelab London berkenaan ketika PSG membawa impian seluruh warga Perancis yang mahu melihat mereka menjulang Liga Juara-Juara musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Waspada Dortmund: Bale

Posted: 01 Apr 2014 09:35 AM PDT

MADRID: Pemain sayap Real Madrid Gareth Bale percaya pasukannya sudah pulih daripada kekecewaan akibat dari dua kekalahan berturut-turut dan kini mahu membalas dendam kekalahan kepada Borussia Dortmund di separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Bale menjaringkan dua gol selepas tewas kepada Barcelona dan Sevilla minggu lalu, membantu pasukannya membelasah Rayo Vallecano 5-0 membolehkan mereka kekal di tangga ketiga La Liga, tiga mata di belakang pendahulu Atletico Madrid.


Bagaimanapun pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara berdepan wakil Jerman itu menyemarakkan keyakinan buat pemain Wales itu apabila mengakui inilah corak permainan yang diinginkan menjadi penyebab mengapa dia meninggalkan Tottenham Hotspur untuk bersama Real musim lalu.

"Saya fikir adalah penting untuk kami bertindak balas dengan baik dan kembali bangkit semula," katanya. "Kami mengharapkan sesuatu apabila turun bertemu Dortmund. Itulah yang anda inginkan dalam permainan bola sepak apabila dapat bermain dalam perlawanan besar. "Kami perlu fokus sepenuhnya dan berharap dapat melakukan tugas dengan baik." Bale sekali lagi akan menyertai Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema di barisan depan Madrid dengan Ronaldo kini berusaha untuk menyamai rekod Lionel Messi 14 gol dalam saingan Liga Juara-Juara.


Dortmund mempunyai kelebihan terhadap Madrid selepas empat kali bertemu musim lalu.


Barisan bimbingan Jurgen Klopp meraih empat mata daripada enam mata yang ditawarkan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan juara sembilan kali Eropah dengan agregat 4-3 di separuh akhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Bank Negara puas walau tewas

Posted: 01 Apr 2014 09:35 AM PDT

Melaka: Pasukan Bank Negara Malaysia (BNM) Kuala Lumpur tewas 2-3 pada aksi persahabatan dengan Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM Melaka di kampus Lendu, Alor Gajah baru-baru ini.

Kapten BNM Baharudin Osman berkata, walaupun tewas, pemain memberi persembahan terbaik untuk menyaingi kehebatan tuan rumah pada aksi yang berlangsung dalam hujan renyai.


Beliau berkata, perlawanan berkenaan juga mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua pasukan.

"Kami juga sering mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bagi membentuk kemahiran dan persembahan mantap pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Sungai Lalang wakili KMY

Posted: 01 Apr 2014 09:34 AM PDT

Sungai Petani: Skuad perempuan B- 12 Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Lalang (SKBBSL) mengungguli Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) Daerah Kuala Muda/Yan (KMY) 2014, buat kali kedua berturut-turut, baru-baru ini.

Bermain di padang astroturf Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, SKBBSL bangkit untuk menang 2-1 selepas ketinggalan 0-1 kepada SK Pinang Tunggal.


"Kejuaraan ini berpunca daripada barisan pemain berkaliber yang sebahagiannya memiliki skil individu.

"Kemenangan ini merangsang kami untuk merencana pasukan terbaik bagi mencipta hatrik tahun depan," kata guru jurulatih, Shuhaimi Shihabudin.


Turut berganding bahu melonjakkan SKBBSL ialah Seberi Ismail, Pathiyah Md Yusof dan Muhammad Omar.


Pada peringkat awal, SKBBSL muncul juara Kumpulan G selepas menang ke atas SK Sungai Lalang 1-0 dan SK Semeling 2-0 sebelum mantap di pusingan kedua, membenam SK Batu Hampar 2-1 dan SJKT Saraswathy 2-0.

Mereka terus konsisten apabila menang selesa 3-0 ke atas SK Ambangan Height di separuh akhir.


Berikutan kejayaan itu, SKBBSL menjadi wakil KMY untuk berentap dengan tujuh daerah lain dalam saingan peringkat negeri di Alor Setar, bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

SJKT Rantau unggul

Posted: 01 Apr 2014 09:34 AM PDT

Seremban: Pasukan bola sepak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau mempamerkan kehebatan apabila menewaskan SJKT Wawasan Seremban 2 untuk menjuarai Karnival Bola Sepak Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Sembilan 2014 yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), baru-baru ini.

Lima pemain skuad itu yang pernah beraksi dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Seremban sebelum ini nyata memberi kelebihan kepada mereka untuk mendominasi perlawanan akhir dengan 2-0.


Kemenangan membolehkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM500 manakala naib juara menerima trofi dan RM300.

Tempat ketiga diraih SJKT Tanah Merah Port Dickson yang menewaskan SJKT Bandar Port Dickson 5-4, menerusi sepakan penalti untuk masing-masing membawa pulang RM100.


Begitupun, pasukan SJKT Tanah Merah tetap berbangga apabila pemain penyerang M Yemasudan, 12, dinobatkan pemain terbaik dan penjaring terbanyak selepas menyumbat tujuh gol.


"Saya rasa teruja menerima anugerah ini kerana tidak sangka dapat menjaringkan tujuh gol. Kejayaan ini menambah semangat saya untuk terus bermain bola sepak," kata Yemasudan.

Sebanyak 20 pasukan membabitkan peserta B-12 menyertai karnival anjuran bersama Kelab Rekreasi Interek (IRC) dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Neraka' buatan suami

Posted: 01 Apr 2014 12:11 PM PDT

Kuala Lipis: Tempoh lima hari tinggal di dalam 'neraka buatan suami' cukup menyeksakan bagi seorang suri rumah apabila dia disuruh menghisap syabu sebelum dipaksa melayan nafsu lima lelaki dengan bayaran RM100 hingga RM120 setiap seorang.

Dalam kejadian pada 26 Mac lalu, wanita berusia 25 tahun berkenaan dibawa suaminya berusia 30 tahun ke sebuah rumah sewa di Benta, dekat sini, sebelum bertemu dengan lima lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang menunggu untuk menjamah tubuh mangsa.

Difahamkan, mangsa dipercayai dilacurkan suaminya sejak awal 2013 di Raub bagi menyara kehidupan termasuk menggunakan hasil pendapatan haram itu untuk membeli syabu.

Bagaimanapun, suaminya terpaksa beralih lokasi di daerah ini untuk meneruskan kegiatan haram itu berikutan lelaki berkenaan masih tidak mempunyai pekerjaan untuk menyara keluarga.

Foto

RUMAH yang dijadikan tempat lelaki melacurkan isteri sendiri.

Foto

ANGGOTA polis membawa empat suspek termasuk pasangan mangsa untuk disoal siasat.


Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, selama lima hari berada di rumah berkenaan, mangsa terpaksa melayan nafsu lima lelaki terbabit selepas mereka semua membuat pembayaran.


Menurutnya, pada masa sama, ketika mangsa 'disajikan' kepada lima lelaki terbabit suaminya menjadi penonton tanpa menghiraukan rayuan dan belas kasihan wanita itu yang meminta dilepaskan.

Katanya, bagaimanapun, pada 30 Mac lalu, mangsa akhirnya nekad melarikan diri, namun cubaannya gagal kerana seorang daripada suspek terbabit dikatakan menyedari tindakan wanita berkenaan.

"Mangsa merayu kepada suspek terbabit yang dikenali sebagai Gemuk supaya melepaskannya, namun lelaki itu bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi dengan satu syarat iaitu melayani nafsunya.

"Mangsa yang sudah buntu mencari jalan untuk menyelamatkan diri terpaksa mengikut arahan suspek sebelum lelaki itu menidurinya secara percuma tanpa pengetahuan suami mangsa," katanya.

Menurutnya, selepas melayani nafsu lelaki itu, wanita berkenaan kemudian dibawa keluar dari rumah terbabit tanpa disedari suspek lain termasuk suami mangsa sebelum dia dihantar ke Stesen Bas Bandar Katanya, selepas ditinggalkan seorang diri, mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Lipis, di sini, untuk meminta bantuan sebelum dia membuat laporan berhubung kejadian itu, petang kelmarin.

Abdul Razak berkata, susulan laporan dibuat mangsa, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis menahan empat lelaki terbabit termasuk suami mangsa di sebuah rumah seorang daripada suspek di Benta, petang kelmarin.

"Siasatan awal mendapati mangsa mendakwa dilacurkan suaminya sejak awal 2013 di Raub dan wang yang diperoleh secara haram itu digunakan untuk menyara kehidupan termasuk membeli syabu," katanya.

Katanya, siasatan turut mendapati sebelum ini wanita itu pernah merayu tidak lagi dilacurkan, namun suaminya berang sebelum memukul dan menerajang mangsa tanpa belas kasihan.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis (HKL), di sini, untuk mendapatkan rawatan, manakala anak perempuannya yang berusia lima tahun kini dijaga ibu mentuanya.

Abdul Razak berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan akan bertemu dengan keluarga mangsa serta mentuanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Penyamun panik

Posted: 01 Apr 2014 12:07 PM PDT

Shah Alam: Ibarat adegan filem aksi, sekumpulan lelaki bertindak nekad menyamun seorang pemandu kenderaan di khalayak ramai selepas melanggar kenderaan mangsa berhampiran Bulatan Jubli Perak, Seksyen 24, dekat sini semalam.

Kumpulan lelaki berkenaan yang menaiki Perodua Alza dipercayai dicuri didapati melanggar dan menghimpit kenderaan dinaiki mangsa di khalayak ramai, namun ia gagal apabila empat penyamun berkenaan panik setelah kereta yang dinaiki mereka melanggar kenderaan mangsa di Seksyen 18, di sini, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Deputi Superintendan Muhamad Idzham Jaafar berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, suspek cuba menghimpit sebuah kereta Proton Pesona yang sebelum itu diekori mereka sebelum melanggarnya.

Menurutnya, kenderaan dinaiki keempat-empat suspek berkenaan sengaja melanggar belakang kereta dipandu lelaki terbabit dengan niat untuk menyamun kereta berkenaan.

Foto

KENDERAAN yang dinaiki suspek dipercayai dicuri remuk akibat kemalangan.


"Bagaimanapun, pengguna jalan raya yang menyangkakan ia kemalangan, segera menghampiri kedua-dua kenderaan berkenaan, menyebabkan keempat-empat suspek melarikan diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

'Ustaz Zul' ditahan

Posted: 01 Apr 2014 12:05 PM PDT

Klang: Individu yang menggelarkan dirinya sebagai Ustaz Zul (gambar) dan menawarkan pakej umrah akhirnya diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan selepas disyaki menipu sekumpulan 39 bakal jemaah, di sini, semalam.

Lelaki berkenaan yang juga pengarah syarikat dikatakan menguruskan agensi pelancongan milik keluarganya dan menawarkan pakej umrah kepada mangsa dengan berbekalkan janji manis.

Difahamkan, selepas menerima bayaran daripada mangsa, suspek berusia 34 tahun sering meminda tarikh penerbangan, tetapi apabila tiba tarikh yang ditetapkan, ustaz berkenaan menunda lagi tarikh terbabit tanpa memberi alasan munasabah.

Harian Metro semalam melaporkan, 39 anggota persatuan pekerja sebuah syarikat swasta termasuk enam kanak-kanak mahu menunaikan ibadat umrah, namun perjalanan ke Tanah Suci ditangguh lima kali tanpa sebab munasabah oleh sebuah agensi pelancongan.

Rombongan itu dijadualkan bertolak pada 16 Mac lalu, tetapi dibatalkan dengan alasan ada jemaah gagal memperoleh visa daripada Kedutaan Arab Saudi sebelum ditunda ke beberapa tarikh lain .

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, selepas menerima aduan mangsa, polis menjalankan usaha mengesan suspek sebelum dapat menghubunginya dan memintanya hadir ke IPD bagi merakamkan percakapan.

Menurutnya, mangsa yang hadir ke IPD pada jam 1 tengah hari semalam, ditahan selepas disyaki menipu bakal jemaah selepas meneliti segala bukti dan rakaman percakapan mangsa.

"Lelaki itu ditahan jam 4 petang tadi (semalam) dan polis mendapatkan perintah mahkamah untuk mereman suspek esok (hari ini) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.' "Suspek didapati mengambil wang daripada 39 jemaah dengan tujuan membawa mereka menunaikan umrah, tetapi apabila sampai tarikh yang ditetapkan ustaz berkenaan memberikan pelbagai alasan," katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan ke atas kediaman dan pejabat suspek, pihak polis gagal menemui sebarang dokumen termasuk pasport milik mangsa yang dipercayai berada di suatu lokasi lain.

Katanya, suspek mendakwa semua pasport milik mangsa tiada bersamanya kerana sudah dihantar ke Arab Saudi atas urusan tertentu.

Foto

USTAZ Zul ditahan kerana didakwa menipu 39 bakal jemaah umrah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Wanita sembahyang Subuh dihunus pisau

Posted: 01 Apr 2014 12:04 PM PDT

Georgetown: Seorang lelaki tergamak menjadikan seorang wanita warga emas yang sedang menunaikan solat Subuh sebagai mangsa samun.

Ketika kejadian di Sungai Nibong Besar, Bayan Lepas di sini, jam 6.20 pagi kelmarin mangsa berusia 63 tahun sedang menunaikan solat Subuh dalam bilik di kediamannya seorang diri.

Namun, belum sempat dia selesai bersolat seorang lelaki secara tiba-tiba muncul sambil menghunuskan pisau di perutnya membuatkan mangsa panik dan menjerit meminta pertolongan.

Menurut sumber, risau jeritan mangsa didengari jiran suspek terus merampas beg tangan wanita berkenaan sebelum dia melarikan diri.

"Beberapa jiran mangsa terdengar jeritan meminta tolong wanita berkenaan mereka yang melihat kelibat suspek melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa cuba menahannya, tetapi gagal dan lelaki itu meloloskan diri dengan menunggang motosikal.

"Berdasarkan keterangan mangsa dan beberapa saksi mereka mendakwa mengecam wajah suspek yang juga dipercayai penduduk kawasan itu," katanya.

Akibat kejadian itu mangsa kerugian lebih RM8,000 selepas wang tunai, rantai dan cincin emas disimpan dalam beg tangan berkenaan dilarikan suspek.

"Suspek dikatakan berkulit gelap dan ketika melakukan samun dia memakai topi keledar.

Bagaimanapun mangsa dan beberapa jiran yang mengejarnya mendakwa dapat mengecam wajahnya.

"Pihak polis juga sudah mengenal pasti identiti suspek ketika kejadian dia melarikan diri dengan menunggang motosikal MODENAS warna hijau usaha mengesannya dijalankan," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Daud, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian termasuk mendapatkan keterangan daripada mangsa dan orang ramai menyaksikan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Siswa ditemui mati dalam longkang dipercayai murung

Posted: 01 Apr 2014 12:03 PM PDT

Georgetown : Polis mengesahkan lelaki ditemui mati di dalam longkang berhampiran asrama Desasiwa Restu, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, kelmarin, berpunca akibat kemurungan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, berdasarkan siasatan mangsa adalah mahasiswa tahun empat universiti berkenaan dalam jurusan farmasi.

Beliau berkata, mangsa berusia 23 tahun dan berasal dari Lahat, Ipoh, Perak dan tinggal bersebelahan asrama lelaki berhampiran dengan lokasi mayatnya ditemui.

"Siasatan dijalankan mendapati tidak ada saksi melihat kejadian dan melainkan maklumat dari rakan asrama mengatakan mangsa kelihatan murung sejak empat hari lalu.

"Mangsa dipercayai mengalami masalah peribadi dan kerap memencilkan diri sebelum mayatnya ditemui dalam longkang berhampiran tempat letak motosikal," katanya.

Ismail berkata, berdasarkan siasatan di tempat serta pemeriksaan oleh pakar Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian 22 meter.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa jatuh di atas tanah berhampiran longkang sebelum tergolek ke dalam longkang berikutan kawasan berkenaan curam.

"Pemeriksaan dilakukan menemui lumut di kaki mangsa selain kesan tapak kaki di atas bumbung bangunan membuktikan mangsa terjun dari tempat berkenaan.

"Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk selepas jatuh di tempat tinggi dan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah," katanya.

Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan siasatan diteruskan untuk merakam percakapan rakan dan keluarga mangsa.

Dalam kejadian itu seorang pengawal keselamatan menemui mayat seorang lelaki tanpa identiti di dalam longkang di sebuah asrama lelaki berhampiran tempat letak motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


5 kali tangguh

Posted: 31 Mar 2014 11:39 AM PDT

Klang: "Saya tidak sangka niat kami ke Tanah Suci dipermainkan individu tidak bertanggungjawab sehingga saya malu ke pejabat," kata Mohd Azhar Zambri, seorang bakal jemaah umrah yang mendakwa ditipu agensi pelancongan di Bukit Jati, di sini, kelmarin.

Mohd Azhar, 31, berkata, kumpulannya itu terdiri daripada 39 anggota persatuan pekerja sebuah syarikat swasta termasuk enam kanak-kanak mahu menunaikan ibadat umrah, namun perjalanan ke Tanah Suci ditangguh lima kali tanpa sebab munasabah oleh sebuah agensi pelancongan.

Dia berkata, sepatutnya rombongan itu dijadualkan bertolak pada 16 Mac lalu, tetapi dibatalkan dengan alasan ada jemaah gagal memperoleh visa daripada Kedutaan Arab Saudi sebelum ditunda ke 18 Mac.

Menurutnya, selepas tarikh itu, agensi yang bertanggungjawab menguruskan rombongan memberi tarikh baru pada 22 Mac namun sekali lagi mereka terpedaya kerana ditunda kali ketiga dengan alasan penerbangan balik penuh.

Foto

MOHD Azhar (kanan) bersama rakan yang terpaksa melupakan niat mereka apabila perjalanan ke Tanah Suci dibatalkan pada saat akhir oleh ejen pelancongan.


"Selepas perjalanan kali ketiga tertunda, agensi itu sekali lagi memberi tarikh baru pada 27 Mac tetapi pada jam 12 tengah malam, seorang lelaki mengaku sebagai wakil agensi bernama Ustaz Zul memaklumkan ia ditangguhkan lagi kerana masalah penerbangan.


"Tidak tahan kerana dipermainkan, kami meminta wakil persatuan menelefon ustaz berkenaan untuk meminta perjelasan.

"Ustaz itu kemudian menetapkan tarikh baru iaitu Sabtu lalu termasuk memberi jadual perjalanan dengan kami meminta berkumpul di surau pada jam 12 tengah hari, tetapi sebaik tiba, kami sekali lagi diberitahu perjalanan dibatalkan," katanya ketika ditemui di Surau Islamiyah di Bukit Jati, di sini, kelmarin.

Azhar berkata, alasan diberikan dianggap tidak munasabah kerana ustaz itu memberitahu penerbangan dibatalkan dalam tempoh tidak sampai 24 jam disebabkan jumlah penumpang tidak ramai.

"Ustaz itu juga mengugut kami supaya jangan menghubungi Kedutaan Arab Saudi untuk membuat semakan jika tidak dia membatalkan program itu," katanya.

Seorang lagi mangsa, Hajar Osman, 56, berkata, dia terkilan kerana niat menunaikan umrah kali pertama tertunda beberapa kali.

"Tergamak dia menipu kami sedangkan kami hendak pergi ke Tanah Suci untuk ibadat. Dengan duit simpanan yang ada, saya buat bayaran bersama anak, tetapi malangnya tiada rezeki kami ke sana," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan anggotanya kini menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Laporan palsu dakwa dikurung bekas suami

Posted: 31 Mar 2014 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang wanita membuat laporan polis palsu mendakwa dikurung dan tidak dibenarkan menjamah makanan oleh bekas suaminya sepanjang dia menumpang di rumah lelaki itu di Pantai Dalam, di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Polis yang melakukan siasatan mendapati wanita berusia 28 tahun itu berbuat demikian selepas tidak berpuas hati dengan bekas suaminya enggan memberikannya wang.

Sumber polis berkata, pasangan terbabit sudah bercerai, namun si lelaki simpati kerana bekas isterinya tidak bekerja membenarkan wanita itu tinggal sementara di kediamannya.

"Walaupun sudah bercerai, namun keperluan wanita terbabit tetap ditunaikan menyebabkan bekas isterinya terus menetap selama beberapa bulan dan enggan bekerja.

"Namun, dalam kejadian terbaru Rabu lalu, wanita terbabit datang ke tempat kerja suaminya dan meminta sejumlah wang, namun apabila lelaki itu enggan berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum wanita itu membuat laporan polis Rabu lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, siasatan pihaknya mendapati wanita terbabit tidak pernah dikurung atau dipukul sebaliknya dia dibenarkan tinggal di rumah bekas suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Buat laporan palsu tutup salah rakan

Posted: 31 Mar 2014 11:20 AM PDT

Nibong Tebal: Penipuan seorang lelaki memakan diri selepas dia ditahan kerana membuat laporan palsu berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 164, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Jawi di sini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu yang juga seorang kontraktor dikatakan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) jam 8.30 malam kelmarin membuat laporan berhubung kemalangan itu dan mengaku sebagai pemandu kenderaan Toyota Hilux terbabit ketika kejadian berlaku.

Dia dikatakan bertindak demikian untuk melindungi rakannya iaitu individu sebenar memandu Toyota Hilux terbabit tanpa memiliki lesen memandu sah.

Bagaimanapun, gelagatnya itu menimbulkan rasa curiga pegawai penyiasat terbabit selain keterangan dan fakta yang diberikan lelaki itu kerap bercanggah.

Ketua Polis Daerah SPS Superintendan Shafien Mamat berkata, lelaki berkenaan datang dengan ditemani tiga rakannya termasuk pemuda berusia 29 tahun iaitu pemandu sebenar Toyota Hilux ketika kemalangan berlaku.

"Ditanya mengapa lewat membuat laporan lelaki terbabit memberikan alasan bergegas menghadiri kenduri kahwin di Perlis.

"Selain gelagat mencurigakan lelaki sama juga gagal mengemukakan bukti bahawa sudah menghadiri majlis perkahwinan itu manakala siasatan lanjut dilakukan mendapati dia memberikan keterangan tidak benar.

"Semuanya dilakukan untuk mengelakkan rakannya iaitu pemandu sebenar Toyota Hilux berkenaan ketika kejadian tidak mempunyai lesen memandu daripada dikenakan tindakan," katanya.

Kontraktor berkenaan bagaimanapun dibebaskan jam 5 pagi semalam dengan jaminan selama dua minggu selain pihak polis berpuas hati dengan kerjasama dan keterangan diberikan.

Siasatan mendapati ketika kejadian Toyota Hilux terbabit dinaiki lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakannya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang.

"Tindakan lelaki itu hanya menambahkan lagi masalah kerana bukan saja terbabit dengan kemalangan sebaliknya cuba mengelirukan penjawat awam dengan memberikan keterangan palsu.

"Perkara ini amat serius dan mereka yang terbabit dengan kemalangan diberi amaran supaya tidak melakukan perkara sama kerana ia hanya merugikan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Mayat longkang desasiswa

Posted: 31 Mar 2014 11:00 AM PDT

Georgetown: Rasa curiga seorang pengawal keselamatan membawa kepada penemuan mayat lelaki tanpa identiti dalam longkang berhampiran tempat letak motosikal asrama Desasiswa Restu, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, jam 12.43 pagi, semalam.

Sebelum kejadian pengawal keselamatan terbabit melakukan rondaan rutin dan terlihat objek pelik dalam longkang berkenaan.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, berdasarkan siasatan dilakukan mangsa tidak memiliki sebarang identiti pengenalan diri.

"Ketika ditemui mayat lelaki berkenaan memakai baju warna kuning dengan tertera tulisan 'Pertandingan Pertolongan Cemas Cawangan Perak' dan berseluar sukan pendek.

"Kami cuba mendapatkan petunjuk kejadian itu dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran, tetapi gagal kerana alat keselamatan tidak berfungsi," katanya.

Foto

ANGGOTA polis forensik memeriksa mayat yang ditemui di longkang.


Ismail berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mencari petunjuk bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil.


Pelajar yang tinggal di asrama berkenaan juga mendakwa mereka tidak mengenali mangsa menyebabkan usaha mengesan identiti lelaki terbabit menjadi semakin sukar.

"Bagaimanapun seorang daripada pelajar yang ditemui mendakwa terdengar bunyi seperti objek jatuh ke dalam longkang berkenaan kira-kira jam 11.30 malam.

"Siasatan akan dijalankan secara terperinci termasuk sekiranya ia mempunyai unsur jenayah, memandangkan kawasan asrama berkenaan berpagar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Ambil tindakan tegas berita tidak tepat

Posted: 31 Mar 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Kementerian Luar serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap media antarabangsa termasuk saluran Cable News Network (CNN) yang membuat laporan tidak tepat hingga memburukkan imej negara berhubung isu kehilangan pesawat MH370.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) meminta kedua-dua kementerian itu berperanan lebih proaktif supaya masyarakat dunia tidak berterusan melihat Malaysia sebagai negara pengganas.

"Kita kena tunjuk ketegasan kita.

Kita kena tunjuk pada dunia yang Malaysia tidak ada elemen subversif seperti digambarkan media asing dalam isu MH370.

"Kita mesti jawab di peringkat antarabangsa sebab ini imej negara...seolah-olah kita negara penuh dengan pengganas," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) 2014 bagi bacaan kali kedua peringkat dasar, semalam.

Desakan Azalina itu turut mendapat sokongan daripada Mas Ermieyati Samsudin (BN-Masjid Tanah), Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) dan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut).

Mas Ermieyati turut mempertikaikan pengetahuan geografi agensi berita asing itu yang tidak mengetahui lokasi sebenar Kuala Lumpur yang sebelum ini turut memaparkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'Datuk Seri Najib Rahman'.

Azalina turut menggesa pembangkang bersatu dengan kerajaan dalam isu MH370 terutama berdepan media asing memburukkan imej negara.

"Saya berharap yang berhormat di pihak pembangkang dan kerajaan bersatu dalam isu MH370.


Ini bukan saja kerana penumpang, tetapi imej Malaysia...imej kita sebagai orang dituduh macam-macam (oleh media asing)," katanya.

Beliau turut bersimpati terhadap keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang yang berdepan pelbagai tohmahan ekoran kehilangan pesawat itu sejak 8 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Jangan leka'

Posted: 30 Mar 2014 02:08 PM PDT

Kali pertama mengungguli tahkta Liga Super begitu menggembirakan pemain Skuad Tok Gajah, namun pengendali Zainal Abidin Hassan mengingatkan anak buahnya tidak dibuai kelekaan.

Ini kerana pencapaian itu masih terlalu awal kerana masih banyak tugas yang perlu diselesaikan.

Justeru Zainal tidak mahu pemainnya berasa terlalu selesa selaku pendahulu liga selepas mengharungi 10 perlawanan.

"Semua pemain perlu lebih fokus dan meneruskan prestasi terbaik mereka kerana saingan liga masih panjang dan pusingan pertama saingan itu belum lagi berakhir.

"Bagaimanapun, kejayaan ini seharusnya menjadi motivasi terbaik untuk lebih yakin dan tampil dengan persembahan lebih cemerlang pada perlawanan akan datang," katanya semalam.

Mengulas kemenangan 2-0 ke atas Perak hasil jaringan Dickson Nwakaeme dan R Gopinathan kelmarin, Zainal berpuas hati dengan komitmen semua pemain yang bekerja keras mengutip tiga mata berharga.

Biarpun secara keseluruhan persembahan tidak mencapai tahap yang diinginkan, beliau tetap bangga kerana pemain mengotakan janji untuk meneruskan rentak kemenangan.

"Pada masa sama, saya akui tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari begitu padat tetapi mereka berjaya menyempurnakan misi kemenangan terutama di gelanggang sendiri.

"Saya harap pencapaian ini dapat dikekalkan untuk memastikan Pahang terus selesa berada persada liga tetapi perlu lebih berwaspada dengan pasukan lain seperti Terengganu dan Selangor," katanya.

Terengganu dan Selangor berada di tangga kedua dan ketiga liga tetapi mereka kurang satu perlawanan.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

BISA BALE

Posted: 30 Mar 2014 11:45 AM PDT

Gareth Bale meledakkan dua gol bagi membantu Real Madrid bangkit dari dua kekalahan liga berturut-turut menewaskan Rayo Vallecano 5-0, semalam.

Atletico Madrid kekal menguasai takhta La Liga apabila bangkit mengalahkan Athletic Bilbao 2-1 manakala Barcelona menang tipis 1-0 ke atas Espanyol hasil penalti Lionel Messi pada lewat perlawanan.

Kemenangan ketiga-tiga pesaing utama itu bermakna Atletico mengekalkan kedudukan pendahulu dengan satu mata mengatasi Barcelona dan Real, masing-masing ketinggalan dua dan tiga mata.

Bale membantu Cristiano Ronaldo untuk gol pembukaan di Bernabeu dan meneruskan penguasaan pemain Portugal itu apabila meledak gol sepanjang 10 perlawanan lalu untuk kelab dan negaranya, melepasi kawalan dua pemain pertahanan Rayo sebelum sepakan menerjah ke sudut gawang.


Karim Benzema kemudiannya gagal menjaringkan gol dan Bale turut terlepas beberapa peluang terbaik berdepan Ruben Martinez.

Dani Carvajal akhirnya menjadikan perlawanan dalam kedudukan selamat apabila menjaringkan gol pertama untuk kelab itu.


Bale kemudiannya mengambil alih senarai penjaring untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Alvaro Morata melengkapkan gol kelima 12 minit sebelum masa tamat.

"Kami bangkit kembali selepas dua kekalahan," kata pengurus Carlo Ancelotti.

"Kami bermain dengan baik ini akan membantu kami berdepan perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Serena terlalu unggul buat Li Na

Posted: 30 Mar 2014 11:45 AM PDT

Miami: Serena Williams bangkit merangkul kemenangan ketujuh di Miami WTA selepas menewaskan pemain China, Li Na 7-5, 6-1.

Pertembungan itu membabitkan dua pemain utama dunia dengan pemain nombor satu dari AS merangkul gelaran WTA yang ke-59 termasuk 17 gelaran Grand Slam.

Dia merangkul trofi kedua tahun ini selepas menjulang kejuaraan di Brisbane Januari lalu dan menyertai Martina Navratilova, Steffi Graf dan Chris Evert, satu-satunya wanita di era Terbuka WTA memenangi gelaran sama sebanyak tujuh atau lebih.

"Saya sebenarnya sangat teruja pada penghujung perlawanan," kata Serena yang menjulang gelaran WTA paling banyak di kejohanan yang menggabungkan acara lelaki dan wanita namun berkongsi rekod enam trofi kejuaraan keseluruhan bersama Andre Agassi.

"Pastinya saya mahu memiliki gelaran paling banyak di sini," kata Serena yang menetap di Miami dan bermain kejohanan pertamanya ketika berusia 16 tahun.

"Saya berasa seperti sudah membesar apabila satu ketika dulu menyertai kejohanan ini sebagai seorang kanak-kanak, melihat ramai pemain dan menjadi satu daripada pemain ini ia sangat hebat bagi saya," katanya.


Biarpun perlawanan itu menjadi sangat dramatik dengan Serena menang 11 daripada 12 permainan, Li Na perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal ameneruskan penguasaan biarpun pada satu ketika Serena ketinggalan.

"Saya tidak fikir saya bermain dengan teruk," kata Li Na.


"Mungkin dia bermain dengan baik selepas ketinggalan 2-5.

"Saya berpendapat ia satu perlawanan yang baik." Li Na merangkul gelaran kedua Grand Slam di Terbuka Australia Januari lalu kini tewas 10 perlawanan berturut-turut menentang Serena.

-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Flamini sekat City

Posted: 30 Mar 2014 11:44 AM PDT

Manchester City melepaskan peluang menggantikan Chelsea di puncak Liga Perdana selepas terikat 1-1 menentang Arsenal yang tampil mempamerkan peningkatan kelmarin.

Kekalahan Chelsea 0-1 di Crystal Palace bermakna kemenangan di Stadium Emirates akan membolehkan City melonjak di tangga teratas dengan kelebihan jaringan, namun mereka kekal di kedudukan ketiga selepas jaringan pembukaan David Silva dinafikan Mathieu Flamini.

Ini bermakna lima mata kini memisahkan pendahulu liga, Chelsea dan kelab di kedudukan keempat, yang mempamerkan persembahan lebih berkeyakinan selepas kekalahan 0-6 kepada skuad kendalian Jose Mourinho.

Kelebihan Chelsea kini tipis.

Bagaimanapun, seperti City yang ketinggalan dua mata beraksi kurang dua perlawanan, manakala Liverpool yang berada di kedudukan kedua akan melonjak ke puncak liga jika menewaskan Tottenham Hotspur.

"Saya tidak pasti jika ini adalah mengecewakan," kata pengurus City Manuel Pellegrini.

"Minggu ini kami sudah menentang Manchester United (menang 3-0) di tempat lawan dan Arsenal, kami meraih empat daripada enam mata.

"Setiap kelab mahu memenangi semua perlawanan namun Arsenal adalah sebuah pasukan bagus dan mereka turut bersaing merebut kejuaraan." Selepas permintaan Tomas Rosicky untuk mendapatkan penalti awal untuk Arsenal ditolak, City mendahului menerusi Silva pada minit ke-18 selepas menolak bola susulan rembatan Edin Dzeko yang terkena tiang.


Pertahanan tengah Arsenal, Per Mertesacker secara tidak sengaja hampir menggandakan kelebihan City pada peringkat awal separuh masa kedua apabila bola hanya beberapa inci untuk melintasi garisan selepas penjaga gol Wojciech Szczesny menolak bola hantaran silang Jesus Navas ke arahnya.

Namun selepas beberapa seketika, Arsenal menyamakan kedudukan apabila Lukas Podolski mendapat ruang melakukan hantaran silang dari sebelah kiri dan Flamini melakukan sepakan ke penjuru kanan gawang pada minit ke-53.

"Apabila anda melihat keputusan hari ini (kelmarin), apa saja boleh berlaku," kata pengurus Arsenal Arsene Wenger.

"Kami mungkin sudah jauh berbanding kedudukan teratas namun kami perlu meneruskannya dengan semangat begini mungkin membawa tuah."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Mourinho hanya tenangkan Azpi

Posted: 30 Mar 2014 11:43 AM PDT

London: Jose Mourinho mengakui beliau bercakap dengan budak pengutip bola ketika kekalahan mengejut Chelsea 0-1 di Crystal Palace kerana mengakui bimbang berlaku konfrontasi membabitkan salah seorang pemainnya.

Pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta terbabit dalam pertengkaran kecil dengan pengutip bola itu selepas kecewa masa diambil untuk mengembalikan bola pada babak kedua di Selhurst Park kelmarin.

Chelsea ketinggalan ketika itu selepas John Terry menjaringkan gol sendiri pada minit ke-52 dan insiden mencerminkan perasaan kecewa yang semakin menebal ketika skuad kendalian Mourinho itu cuba kembali bersaing dalam perlawanan.

"Saya ke sana untuk menghentikan Azpilicueta kerana dia lelaki yang beremosi, salah seorang individu yang kehilangan semangatnya," kata Mourinho.

"Saya bimbang Azpi akan menolak budak itu atau melakukan sesuatu, jadi saya pergi ke sana." Kebimbangan Mourinho terhadap taktik melambatkan perlawanan budak pengutip bola akan menjadi tidak terkawal menyebabkan skuad kendaliannya mensia-siakan peluang mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Beliau mendakwa kekalahan itu bermakna skuad kendaliannya kini tidak akan memenangi Liga Perdana dan mempersoalkan mentaliti sesetengah pemain di Selhurst Park.

"Kami kekurangan mentaliti serta sedikit kualiti.

Mentaliti kerana lawan jelas menewaskan kami dalam aspek itu," kata Mourinho.

-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Tonik jumpa Bayern: Rooney

Posted: 30 Mar 2014 11:43 AM PDT

Manchester: Wayne Rooney percaya Manchester United mampu mencabar pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara awal menentang Bayern Munich, Rabu ini selepas kemenangan selesa 4-1 menewaskan Aston Villa.

Rooney meledak dua gol dengan Juan Mata menjaringkan gol pertamanya untuk kelab dan Javier Hernandez turut menggegar gawang untuk United menafikan jaringan awal Villa menerusi Ashley Westwood pada perlawanan yang berlangsung kelmarin.

Perlawanan dibayangi dengan protes penyokong terhadap pengurus United, David Moyes dan sebuah kapal terbang diterbangkan melintasi Old Trafford ketika perlawanan dengan membawa kain rentang yang mahukan beliau digantikan.

Namun Rooney merasakan kemenangan itu termasuk cabaran United berdepan juara Eropah Bayern, mampu menjadi inspirasi terhadap kelab yang semakin goyah itu.

"Ia adalah perlawanan penting," kata penyerang England itu.

"Aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang juara bertahan.

Kami teruja dan tidak sabar.


Ia akan menjadi perlawanan yang hebat dan semoga mendapat keputusan yang bagus." Dua jaringan Rooney menentang Villa membolehkan dia kini mengumpul 171 gol di Liga Perdana -kedudukan keempat dalam senarai penjaring terbanyak -namun penyerang itu lebih gemar berbicara mengenai kemenangan yang menghentikan krisis terbaru United.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Sri Mersing bedal Endau

Posted: 30 Mar 2014 11:39 AM PDT

Sekolah Kebangsaan Sri Mersing (SKSM) mengungguli Kejohanan Bola Baling Lelaki bawah 12 tahun MSSD Mersing Johor selepas menumpaskan SK Bandar Endau 5-1 pada final di Gelanggang SK Teluk Lipat Endau, baru-baru ini.

SKSM menang tipis 3-2 pada aksi separuh akhir ke atas SK Teluk Lipat.

Jurulatih Othman Yunus berkata, kejayaan itu berkat latihan dua minggu sebelum kejohanan bermula membuahkan hasil membanggakan.

Katanya, sokongan semua pihak termasuk guru besar, guru dan ibubapa membantu kejayaan pasukan.

"Amat membanggakan apabila lima pemain SKSM terpilih mewakili Mersing ke kejohanan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ).

Beliau berharap, lima pemain terbabit menunjukkan aksi sebenar membantu Mersing menjuarai peringkat MSSJ.

Pengerusi Teknik Bola Baling MSSD Mersing, Azmi Arazad berkata, 20 pemain itu akan dipanggil untuk latihan pusat selepas kejohanan.

Katanya, latihan pusat akan diadakan sebaik sesi persekolahan dibuka bagi memudahkan guru-guru menghantar pemain terpilih menjalani latihan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Gagal fokus punca tewas

Posted: 30 Mar 2014 11:38 AM PDT

Pasir Gudang: Kesilapan demi kesilapan akhirnya memerangkap pasangan beregu muda negara Goh V Shem -Lim Khim Wah apabila tewas kepada pasangan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Chayut Triyachart pada final Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2014 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam.

Pasangan itu tewas 17-21, 20-22 sekali gus hanya berpuas hati membawa pulang wang tunai RM15,000, manakala pasangan Singapura itu RM31,000.

Dalam aksi set pertama, pasangan negara bermula goyah sekali gus menghampakan penonton tempatan yang hadir memberi sokongan kepada satu-satunya wakil negara itu.

Walaupun cuba bangkit pada set kedua, usaha pasangan muda untuk mengheret pertembungan ke set ketiga tidak kesampaian selepas Danny-Chayut dilihat bijak memasang strategi memerangkap sikap gelabah pasangan negara.

V Shem-Kim Wah harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana gagal fokus ketika di hujung saingan sebelum pasangan Singapura itu mengutip mata akhir untuk muncul juara.

Dalam pada itu, saingan akhir lain didominasi pemain China apabila meraih kejuaraan kategori beregu dan perseorangan wanita serta beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Strategi bijak

Posted: 30 Mar 2014 11:37 AM PDT

Percaturan bijak jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim membariskan peledak tempatan hampir membuahkan hasil sebelum terpaksa berpuas hati terikat 1-1 dengan Kelantan, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurut beliau kejayaan menundukkan ATM 3-0 minggu lalu menjadi pencetus kebangkitan pemain tempatan untuk mencipta jaringan lebih besar dalam setiap perlawanan.

"Ketumpulan jentera penyerang import membuatkan kami mengubah strategi meletakkan dua penggempur tempatan untuk merobek gawang Kelantan.

"Bagaimanapun pada babak pertama, rangkaian penyerang diperangkap pertahanan Kelantan sekali gus menggagalkan usaha memburu jaringan menerusi Mohd Norfarhan Muhamad dan Abdul Manaf Mamat," katanya.

Selain itu, kegagalan beberapa pemain membaca hantaran dan memegang bola terlalu lama menyebabkan peluang menjaringkan gol gagal diterjemah dengan baik.

"Biarpun hanya satu mata di laman sendiri, ia sudah memadai kerana lawan juga tidak kurang hebatnya dengan barisan pemain berkualiti termasuk pemain baru, Brendan Gan," katanya.

Abdul Rahman berkata, menjelang pertemuan dengan Sarawak pada 4 April depan di Stadium Negeri Kuching, beliau mengharapkan anak buahnya kembali menemui rentak untuk merampas semula takhta persada liga.

"Saya yakin dengan kemampuan pemain yang memiliki kemahiran tersendiri dan berharap tiga mata bakal dicapai untuk menutup saingan pusingan pertama dengan noktah kemenangan," katanya.

Sementara itu jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah mengakui anak buahnya berada di landasan tepat untuk keluar daripada zon penyingkiran walaupun seri 1-1 dengan LionsXII di Stadium Jalan Besar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Cari formula baru

Posted: 30 Mar 2014 11:36 AM PDT

Johor Bahru: Nada kecewa diluahkan pengurus Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Bojan Hodak selepas skuad itu hanya mampu 1-1 dengan Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, kelmarin.

Hodak mengakui tindakan segera perlu diambil untuk pastikan skuad Harimau Selatan bangkit untuk memburu kemenangan dan bukan sekadar seri terutama apabila beraksi di laman sendiri.

Secara peribadi bekas jurulatih Kelantan berkata, Cesar Ferrando Jiminez harus mencari formula terbaik untuk memantapkan lagi pasukan supaya tidak lagi keciciran mata.

"Kami menguasai perlawanan tetapi apabila asakan bertubi-tubi dilakukan, tetap masih buntu jaringkan gol.

Ia pasti menyukarkan kami mencari kemenangan, tambah pula pasukan lawan `berkampung' di kotak penalti.

"Saya yakin Jiminez sudah mengesan kelemahan itu dan akan segera mencari jalan memperbaiki corak taktikal lebih mantap bagi memastikan kemenangan mampu digapai pada perlawanan seterusnya," katanya.

Ditanya mengenai mutu pengadilan pada perlawanan itu, Hodak hanya sekadar menggelengkan kepala dan enggan ulas lanjut sebaliknya berkata akan menghantar rakaman video kepada FAM.

"Minta maaf, saya tak boleh ulas tentang mutu pengadilan.

Kami akan ikut saluran yang betul dengan menghantar rakaman perlawanan itu kepada FAM dan biar mereka kaji dan nilai mutu pengadil," katanya.

Pada perlawanan itu Sarawak mencipta gol awal menerusi S Chanthuru pada minit ke-16 sebelum Luciano Figueroa bangkit menyamakan jaringan m-29.

Hodak juga menambah kemungkinan Johor DT terpaksa melupakan khidmat penjaga gol, Izham Tarmizi pada aksi menentang PKNS Selangor, Jumaat ini kerana kecederaan.

Beliau juga berpuas hati dengan aksi Pablo Aimar yang dimasukkan pada m-60 apabila berjaya mengucar-kacirkan benteng pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bertaruh telan garpu

Posted: 30 Mar 2014 12:01 PM PDT

Bacau (Romania): Seorang lelaki cuba menyembunyikan kesalahannya ketika mendapatkan rawatan kerana mengalami kesakitan pada kerongkongnya.

Dia enggan memberitahu doktor yang dia menelan garpu sebelum itu.

Ujian X-ray yang dijalankan ke atas Radu Calincescu, 25, menunjukkan objek berkenaan tersekat di tekaknya.

Radu menelan garpu berkenaan kerana bertaruh dengan rakannya bagi membuktikan kekuatannya, lapor Daily Mail.

"Saya mabuk ketika itu dan bertaruh dengan rakan yang saya mampu menelan garpu itu tanpa tercedera.

Saya memasukkannya ke dalam mulut dan dapat menelannya.

Foto


"Kini saya sedar ia tindakan yang amat bodoh.


Saya rasa, buat sementara waktu, saya tidak akan bertaruh lagi," katanya.

Bengang dengan kenyataan itu, doktor memberitahu Radu mereka "tidak ada masa" untuk mengeluarkan garpu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

'Darth Vader' mahu jadi Presiden Ukraine

Posted: 30 Mar 2014 12:00 PM PDT

Kiev: Ketika Ukraine cuba menstabilkan keadaan negara itu selepas dilanda pelbagai krisis, "Darth Vader" mengumumkan akan bertanding merebut jawatan presiden negara itu dengan janji mengembalikan kegemilangannya.

Seorang penunjuk perasaan yang berpakaian seperti watak jahat dalam filem Star Wars itu sering dilihat berada di Dataran Kemerdekaan Kiev ketika tunjuk perasaan musim sejuk lalu sambil diiring "Stormtroopers" - tentera elit dalam filem berkenaan, semalam diumumkan sebagai calon presiden dari Parti Internet Ukraine (UIP).

Dia menjadi terkenal kerana penampilannya itu.

"Selepas mengadakan perbincangan di peringkat parti, kami memutuskan untuk mencalonkan Vader bertanding jawatan berkenaan," kata pemimpin parti, Dmitry Golubov.

Dengan memakai kostum serba hitam menyerupai watak berkenaan, dia terbabit dalam beberapa tindakan politik di negara itu sebelum ini.

Pada November 2013, dia dengan diiringi Stormtroopers memasuki dewan bandar raya Odessa dan mengumumkan dirinya datuk bandar.

Menurut laporan media tempatan, dia juga menuntut sebidang tanah di bandar itu bagi meletakkan "kapal angkasanya".

"Walaupun berseorangan, saya mampu menukar sebuah republik menjadi empayar bagi mengembalikan kegemilangan Ukraine, mengembalikan wilayah yang sudah hilang dan mengembalikan kebanggan negara ini," katanya.

Parti itu turut membayar wang pendaftaran calon "luar biasa" mereka.

Pilihan Raya Presiden Ukraine dijadualkan pada 25 Mei selepas Viktor Yanukovych yang pro-Moscow digulingkan bulan lalu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Isteri Schumacher belanja RM54j ubah suai rumah

Posted: 30 Mar 2014 11:59 AM PDT

Geneva: Isteri Michael Schumacher dilaporkan membelanjakan £10 juta (RM54.4 juta) bagi membina bilik dengan kelengkapan perubatan penuh di rumah mereka bagi membolehkan suaminya dirawat di rumah.

Walaupun doktor sudah memberitahu Corinna Schumacher, 45, yang suaminya mungkin tidak akan sedar dari koma, dia tetap mahu meneruskan niatnya membina kelengkapan itu di kediaman mereka di pinggir Tasik Geneva, Switzerland.

Semalam genap tiga bulan kemalangan yang menimpa Schumacher, 45 ketika bermain ski yaang menyebabkan kepalanya terhentak dan terpaksa diletakkan dalam keadaan koma bagi mengelakkan otaknya terus membengkak.

Sejak itu, bekas juara formula satu itu terlantar di hospital dan kehilangan 25 peratus dari beratnya - kini hanya 54 kilogram.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

246 tunggu hukuman mati

Posted: 30 Mar 2014 11:56 AM PDT

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam berkata, kerajaan berjaya membantu membebaskan 176 warga Indonesia termasuk pekerja asing daripada hukuman mati di luar negara.

Bagaimanapun, menurutnya, 246 lagi masih menunggu hukuman itu.

"Kami sudah membantu membebaskan 176 rakyat kita daripada hukuman mati sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Ini bukan jumlah kecil kerana permohonan pengampunan seperti itu bukannya mudah, walaupun untuk seorang pesalah saja," katanya selepas menemui ahli keluarga empat pekerja asing yang kini menunggu dikenakan hukuman mati di Arab Saudi.

Katanya, pesalah dimaksudkan secara amnya didapati bersalah atas tuduhan bunuh dan dadah.

Mereka yang ditemui Susilo adalah keluarga empat pesalah - Satinah dari Semarang, Tuti Tursilawati (Jawa Barat), Siti Zainab (Bangkalan, Jawa Timur) dan Karni (Brebes, Jawa Tengah).

Menurutnya, kerajaan juga berusaha sedaya upaya untuk membantu 246 warga Indonesia yang masih berdepan hukuman mati.

"Tugasnya amat sukar, namun kami melakukannya dengan ikhlas demi rakyat kita," katanya.

Berhubung kes Satinah, Susilo berkata, dia sudah menghantar surat kepada Raja Abdullah memohon pengampunan untuk wanita itu yang disampaikan melalui Menteri Hal Ehwal Agama Maftuh Basyuni.

Satinah, 40, berdepan hukuman bunuh selepas didapati bersalah oleh mahkamah di Arab Saudi kerana membunuh majikannya Nura al-Gharib di Gaseem pada awal 2009 dan mencuri wang wanita itu.

Dia dipenjara sejak 2009 dan hukumannya dijadualkan pada 3 April ini kecuali wang darah berjumlah SAR 7.5 juta (RM6.4 juta) dibayar.

Susilo berkata, hukuman mati terhadap Satinah ditangguhkan beberapa kali sejak 2011 berikutan tiga surat diutuskan pihaknya kepada kerajaan Arab Saudi.

"Kami terus berusaha dengan harapan dapat memohon pengampunan untuknya," kata Presiden Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Rakyat Thai undi Senat

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]
Bangkok: Rakyat Thai semalam mengundi untuk memilih separuh daripada 150 anggota Dewan Senat yang turut menjadi ujian penting terhadap kerajaan perdana menteri sementara Yingluck Shinawatra, sehari sebelum beliau dijadual membela diri atas tuduhan cuai dalam skim subsidi padi.

Kertas undi dimakan anai-anai

Posted: 30 Mar 2014 11:52 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]
Bangkalan: Polis di daerah Jawa Timur ini semalam mendapati 913 kertas undi untuk pilihan raya parlimen 9 April depan rosak akibat dimakan anai-anai.

PAN yakin bersama PDIP

Posted: 30 Mar 2014 11:51 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]
Parti Amanat Nasional (PAN) semalam yakin mengenai peluang bergabung dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dalam pilihan raya Presiden Julai depan.

Bapa pulang kereta curi

Posted: 30 Mar 2014 11:47 AM PDT

Jeddah: Seorang bapa bertindak jujur memulangkan kembali kereta mewah yang dilarikan anaknya dari sebuah syarikat sewa kereta di sini.

Lelaki itu juga meminta kakitangan syarikat berkenaan mendakwa anaknya.

Dia memberitahu anak lelakinya membawa pulang kereta mewah itu dan mendakwa membeli kereta berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak percaya anaknya mampu memiliki kereta semewah itu.

Curiga dengan dakwaan anaknya, lelaki berkenaan mencatatkan nombor pendaftaran kereta itu dan memeriksanya di Jabatan Trafik.

Dia mendapat tahu kereta itu dilaporkan dicuri dan pihak syarikat sudah membuat laporan polis mengenai kecurian itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Bawa isu ke The Hague

Posted: 30 Mar 2014 11:47 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]
Manila: Filipina semalam mengemukakan bukti menyangkal tuntutan China di Laut China Selatan di sebuah tribunal antarabangsa di sini.

Lima mati jambatan runtuh

Posted: 30 Mar 2014 11:46 AM PDT

Tokyo: Lima pekerja mati manakala dua lagi hilang selepas sebuah jambatan dalam pembinaan runtuh di kawasan kepulauan terumbu karang, semalam.

Kepulauan terumbu karang Okinotori atau dikenali sebagai Douglas Reef terletak 1,700 kilometer di selatan Tokyo dan menjadi kawasan paling selatan bagi Jepun.

Ketika kejadian berlaku pada awal pagi Sabtu, pekerja pembinaan sedang meningkatkan perlindungan di pantai pulau berkenaan, lapor stesen televisyen tempatan, NHK.

Seorang pengawal pantai tempatan berkata, 16 orang pekerja berada di tapak pembinaan dan sembilan daripadanya terselamat.

Dia turut memberitahu punca sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti.

"Pasukan pengawal pantai mengerah dua bot dan pesawat untuk misi menyelamat," katanya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan) di kawasan terumbu karang yang meliputi kawasan seluas kira-kira 11 kilometer dan sudah banyak dihakis ombak.

-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31