Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


Kera masuk kampung

Posted: 27 Dec 2012 12:52 PM PST

KLANG: Kawasan hutan yang semakin berkurangan di daerah ini menyebabkan penduduk Kampung Sementa, di sini, diancam kehadiran kera yang mengganggu kehidupan penduduk sejak empat bulan lalu.

Lebih membimbangkan, kumpulan kera itu bukan saja mengganggu penduduk, malah menyebabkan persekitaran kawasan kotor apabila tong sampah penduduk diselongkar dan ada juga yang menceroboh rumah untuk mencari makanan.

Malah, kumpulan kera itu turut merosakkan tanaman penduduk seperti pisang, tebu dan beberapa pokok hiasan.

Bekas kakitangan awam, Ehsan Ahmad, 46, berkata, sekurang-kurangnya 20 kera liar sering berkeliaran mencari makanan di kawasan kebun di depan rumahnya walaupun belum ada kes serangan haiwan itu ke atas penduduk.

Foto

DI SANA...Ehsan menunjukkan kawasan tumpuan kera berkeliaran.


Katanya, ekoran itu, penduduk menebang pokok di kawasan kebun berkenaan bertujuan menghalau kera terbabit, namun tindakan itu gagal kerana bilangan haiwan itu bertambah setiap hari.


"Beruk di kawasan ini seolah-olah tidak takut manusia. Ini kerana biarpun walaupun pelbagai cara sudah dilakukan termasuk meletakkan perangkap untuk mengurangkan kehadiran haiwan itu, semuanya masih tidak berjaya.

"Selain itu, kami bukan saja takut diserang, tetapi menghadapi masalah untuk menjemur pakaian di ampaian. Pakaian disidai perlu disepit bagi mengelakkan ia dilarikan," katanya.

Ehsan berkata, kumpulan kera itu berkeliaran di kawasan kampung berkenaan tanpa mengira masa, tetapi lebih ketara ketika tengah hari dan petang dipercayai untuk mencari makanan.

"Kera berkenaan seperti mengetahui aktiviti harian manusia kerana menjelang tengah hari, lebih banyak kera berkeliaran berikutan pada waktu itu kebanyakan penduduk menyediakan makanan.

"Saya bimbang dengan tahap keselamatan penduduk di sini, terutama kanak-kanak kerana kera berkenaan boleh bertindak ganas pada bila-bila masa dan boleh mendatangkan kecederaan," katanya.

Sehubungan itu, dia merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlakunya kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai masalah kera yang mengganggu penduduk di kampung berkenaan.

Menurutnya, pihak Perhilitan sudah memasang perangkap dan menangkap 65 kera yang sering berkeliaran di perumahan penduduk.

"Sukar untuk menghapuskan kera yang berkeliaran kerana kawasan berkenaan berhampiran dengan hutan paya bakau yang menjadi habibat asal haiwan berkenaan.

"Namun, kami akan menjalankan pemantauan berterusan untuk memastikan keadaan terkawal dan beruk yang berkeliaran tidak mengganggu penduduk," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai masalah mengenai kehadiran kera di kawasan perumahan mereka boleh menghubungi Pejabat Perhilitan Pelabuhan Klang di talian 03-55193915 untuk menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Najis lembu 'hiasi' taman

Posted: 27 Dec 2012 12:48 PM PST

JASIN: Lebih 200 penduduk Taman Rim Baru Fasa Dua, di sini, mengeluh berikutan berdepan masalah lambakan najis lembu di hadapan rumah mereka sejak setahun lalu.

Penduduk, Mohd Rizal Samsudin, 28, berkata, masalah najis lembu itu berlarutan sejak tiga tahun lalu dan keadaan bertambah teruk setahun lalu.

"Hampir setiap pagi, penduduk berdepan kawanan lembu berkeliaran di hadapan rumah sehingga menyukarkan kami keluar bekerja.

"Selain itu, penduduk terpaksa membersihkan najis lembu yang bertaburan di hadapan rumah dan sepanjang taman perumahan ini," katanya ketika ditemui di taman berkenaan.


Menurutnya, kebiasaannya lembu berkenaan datang secara berkelompok iaitu lebih 10 ekor pada waktu tengah malam hingga pagi.


Katanya, ternakan berkenaan datang dari kawasan bukit terletak berhampiran dengan taman perumahan mereka sejak tengah malam.

"Pada waktu siang, lembu itu tidak kelihatan di kawasan perumahan kami namun najisnya bertaburan atas jalan di hadapan rumah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ariff Ramli, 26, berkata, dia terpaksa menutup pintu rumahnya setiap hari bagi mengurangkan masalah bau najis lembu yang bertaburan di hadapan rumahnya.

"Kedudukan rumah saya betul-betul di hadapan padang permainan lokasi kegemaran lembu berkenaan.

"Saya bingung dan rimas dengan keadaan ini kerana terpaksa menahan bau busuk selain segan untuk mempelawa saudara-mara serta rakan datang berkunjung ke rumah," katanya.

Penduduk lain, N Ganesan, 36, berkata, dia dan penduduk kampung sudah beberapa kali mengadukan perkara itu kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) namun sehingga kini tiada tindakan.

"Saya dan penduduk sudah berulang kali membuat aduan melalui telefon dan bertemu mereka di pejabat namun sehingga kini tiada perubahan.

"MPJ memberitahu beberapa anggotanya sudah membuat rondaan di kawasan berkenaan namun sehingga kini masalah ini tidak berakhir," katanya.

Dia berharap, pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah lembu berkeliaran dan najis lembu di kawasan itu.

Sementara itu, Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, pihaknya membuat rondaan di kawasan berkenaan apabila menerima laporan penduduk.

"Bagaimanapun, ketika rondaan dilakukan, kami tidak menemui haiwan itu dan anggota MPJ akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan berkenaan.

"Pihak MPJ akan menangkap haiwan ternakan itu dan mengenakan kompaun RM500 seekor terhadap pemilik lembu terbabit," katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Tarik 30,000 pengunjung

Posted: 27 Dec 2012 12:47 PM PST

KULIM: Pesta Flora Kulim 2012 yang berlangsung di pekarangan Medan Usahawan, di sini, baru-baru ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila dikunjungi 30,000 orang untuk menyaksikan pelbagai spesis bunga termasuk pokok hiasan lain dan pokok buah-buahan.

Pameran buat kali kelima anjuran Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dan Persatuan Orkid Negeri Kedah, berlangsung seminggu mulai 17 Disember lalu. Ketua Bahagian Khidmat Masyarakat MPKK merangkap Penyelaras pameran, Zaidi Zainun berkata, sambutan diberi amat baik apabila jumlah peserta dan pengunjung bertambah berbanding tahun lalu.


"Program ini adalah idea MPKK di bawah Program Local Agenda 21 bertujuan mempromosikan flora serta menjadikan Kulim sebagai tempat tumpuan pelancong di samping menambahkan lagi ciri baru daerah yang mengutamakan bandar dalam taman.

"Ia membabitkan 24 pengusaha tapak semaian bunga di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang mempamerkan lebih 100 jenis spesis bunga dan pokok hiasan serta buah-buahan termasuk spesis bunga orkid yang mempunyai bentuk dan warna yang amat menarik," katanya.


Menurutnya, selain pameran dan jualan bunga, ada juga peserta yang menjual barangan perhiasan untuk landskap dan kelengkapan penjagaan tanaman seperti baja pada harga berpatutan.


Katanya, pada masa sama, peserta turut menyertai pertandingan bunga orkid bagi memilih bunga orkid tercantik berdasarkan beberapa kriteria.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Huni rumah reput

Posted: 27 Dec 2012 12:46 PM PST

REMBAU: Nasib seorang warga emas di Kampung Chengkau Hulu, dekat sini, ibarat menunggu buah yang tidak gugur apabila permohonannya sejak tiga tahun lalu bagi membaiki rumah rosak teruk dimakan anak-anai, belum mendapat perhatian pihak berkaitan.

Aini Nikmat, 80, yang tinggal bersama anak lelakinya, Afendi Parjo, 44, juga orang kelainan upaya (OKU), kini terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka mendiami rumah yang semakin uzur dan boleh roboh pada bila-bila masa.


"Semakin hari rumah semakin reput dimakan anai-anai dan banyak atap yang bocor sehingga saya terpaksa menadah besen dan baldi setiap kali hujan.

"Keadaan bertambah teruk terutama sekarang musim hujan, habis rumah basah dan tidur malam saya tidak lena kerana bilik dimasuki air namun terpaksa juga tidur dalam kebasahan kerana tiada pilihan disebabkan rumah di tingkat atas langsung tidak dapat digunakan lagi kerana reput," katanya ketika ditemui di rumahnya.


Aini berkata, setiap kali hujan dia menangis memikirkan nasib dan keadaan rumahnya itu serta sentiasa berdoa supaya ada pihak prihatin dan sudi membantunya.


"Nak harapkan anak, mereka semua hanya kerja kampung dan mempunyai tanggungan masing-masing, jadi saya terpaksa mengambil upah mengurut menambah pendapatan.

"Walaupun anak lelaki tinggal bersama, dia tidak dapat bekerja kerana cacat pendengaran dan bisu serta terpaksa bergantung hidup dengan saya.


"Saya menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 setiap bulan, namun jumlah itu tidak cukup untuk membaiki rumah yang rosak ini," katanya.

Cucunya, Yazaini Noryazid, 32, berkata, sebelum ini dia pernah membuat permohonan melalui ketua kampung bagi pihak neneknya dan mendapat kelulusan bantuan membaiki rumah, tetapi hairan sehingga hari ini tiada tindakan dilakukan.


"Saya kasihan melihat keadaan nenek yang tua dan tinggal di rumah yang uzur seperti ini tambahan pula jauh dari penduduk kampung.


"Dinding dan lantai rumah semua reput dimakan anai-anai, saya bimbang rumah ini boleh roboh pada bila-bila masa dan boleh membahayakan keselamatan.


"Saya berharap ada pihak dapat membantu dan mengambil tindakan segera untuk membaiki rumah nenek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Usah lepas!

Posted: 27 Dec 2012 12:45 PM PST

SHAH ALAM: Sikap lepas tangan penternak lembu yang membiarkan haiwan ternakan mereka sesuka hati meragut rumput boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di Persiaran Panglima Hitam, Alam Impian, di sini.

Disebabkan itu, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati berikutan kehadiran lembu di bahu jalan yang boleh menyebabkan kemalangan. Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati sekumpulan lembu berkeliaran di bahu jalan manakala sekumpulan lagi meragut daun pokok ditanam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Pengguna jalan raya, Siti Rohaiza Abdul Khalid, 25, berkata, sikap tidak bertanggungjawab penternak lembu membiarkan ternakan mereka berkeliaran di kawasan itu mengundang risiko kemalangan.

Katanya, penternak terbabit tidak sepatutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa kawalan kerana ia mengganggu ketenteraman awam dan mengancam nyawa pengguna jalan raya lain. "Aliran trafik di sini sentiasa sibuk walaupun pada waktu malam kerana ini jalan utama menghubungkan taman perumahan dengan jalan utama ke Shah Alam atau Klang.


"Sepatutnya haiwan ternakan itu ditempatkan di kawasan padang ragut yang berpagar supaya tidak terlepas dan berkeliaran hingga ke jalan raya," katanya.


Penduduk, Mohd Danial Daud, 36, berkata, lembu yang dibiarkan berkeliaran turut menyebabkan jalan raya di situ turut dipenuhi dengan najis haiwan itu. Beliau berkata, tidak sepatutnya kawasan perumahan yang baru dibuka selain landskap persekitaran indah dihiasi dengan pencemaran najis haiwan yang mencemarkan pemandangan dan mengganggu keselesaan penduduk.

"Sayang rasanya jika kawasan baru dan mempunyai pemandangan cantik tercemar dengan masalah ini. Ditambah pula dengan status Shah Alam sebagai Bandar Dalam Taman, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.


"Perkara ini bukan terletak kepada pihak berkuasa semata-mata, tetapi penternak sendiri perlu lebih bertanggungjawab dan tidak hanya lepas tangan. "Mereka harus mengawal pergerakan haiwan ternakan mereka selain menyediakan kandang di tempat yang sesuai," katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil satu masa nanti, lembu berkenaan akan memasuki Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan kerana kedudukannya hampir dengan kawasan haiwan itu dibiarkan berkeliaran.


Katanya, awal tahun ini tiga pengguna jalan raya mengalami kemalangan apabila kenderaan yang mereka naiki terlanggar dua ekor lembu yang secara tiba-tiba melintas jalan terbabit.


"Kehadiran lembu yang berkeliaran ini cukup membimbangkan kerana pemandu kenderaan terpaksa membrek secara mengejut ketika mengelak ia melintas jalan, sekali gus meningkatkan risiko berlaku kemalangan," katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, MBSA sudah mengeluarkan notis kepada penternak haiwan berkenaan berhubung masalah itu.


Menurutnya, tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) boleh diambil dan penternak yang gagal mengikut undang-undang yang ditetapkan akan dikenakan kompaun selain tindakan lanjut yang diambil MBSA bagi mengatasi masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Mohon baiki alatan taman mainan uzur

Posted: 27 Dec 2012 12:45 PM PST

PORT DICKSON: Penduduk di Fasa 10, Bandar Springhill, di sini, memohon pihak berkuasa segera membaik pulih peralatan di padang permainan di situ yang rosak dan membahayakan keselamatan kanak-kanak.

Metroplus difahamkan, sejak dibina lima tahun lalu semua peralatan itu tidak pernah diganti baru dan kini ada antaranya sudah rosak termasuk buaian dan berbahaya jika digunakan.


Penduduk mendakwa, berlaku beberapa kes kanak-kanak cedera ketika menggunakan peralatan di taman permainan itu termasuk buaian yang terputus talinya dan kini mereka tidak boleh bersabar dengan perkara itu.

Pekerja swasta, Saiful Zadrin, 38, berkata, kejadian terbaru berlaku Ahad lalu apabila anaknya, Mohamad Adly Ihsan Saiful, 8, cedera di kaki akibat terkena serpihan kaca.


"Kaki anak berdarah ketika balik dari taman permainan dan menurut kawan-kawannya dia terkena kaca di situ. Nasib baik dia dihantar jiran ke klinik dan menerima enam jahitan akibat luka di kakinya.


"Isteri beritahu darah banyak keluar akibat luka dan saya rasa kawasan permainan itu tidak selamat untuk kanak-kanak bermain sebab sudah banyak kejadian serupa berlaku di situ.

"Sebelum ini, ada anak jiran yang luka di kaki akibat kaca dan saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil iktibar supaya kejadian serupa tidak berulang," katanya.


Penduduk lain, Zakaria Ahmad, 47, berkata, sejak dibina kira-kira lima tahun lalu, semua peralatan permainan di taman itu tidak diganti baru dan berkeadaan uzur, malah anaknya patah tangan apabila tali buaian digunakan terputus.

"Selain itu, ada serpihan kaca bertaburan di kawasan permainan itu terutama di kawasan rumput tebal yang membahayakan kanak-kanak kerana mereka tiada tempat lain untuk bermain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Rumah merekah

Posted: 20 Dec 2012 01:34 PM PST

KUALA LUMPUR: Hampir setiap malam sembilan pemilik tanah di Kampung Pindah, di sini, tidak lena tidur memikirkan risiko kejadian tanah mendap di rumah mereka berikutan kejadian terowong 'meletup' di situ dua tahun lalu.

Sejak kejadian itu sembilan pemilik tanah terbabit masih tidak mendapat pampasan di sebalik kerosakan rumah serta kerugian dialami mereka.

Penduduk, Sulaiman Hassan, 50, berkata, pihaknya difahamkan berdasarkan kajian dilakukan, masalah itu berpunca daripada terowong Sungai Bunus yang dibina di bawah perumahan mereka tidak diselenggara sehingga ia tersumbat.

"Kemuncak masalah itu berlaku apabila terowong itu tidak dapat menampung tekanan pecah menyebabkan rumah di sini rosak teruk dan struktur tanah tidak stabil.


"Sehingga kini, belum ada penyelesaian muktamad diambil pihak berkuasa.

Mereka mahu kami berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas bagi membolehkan mereka membaiki terowong itu tanpa memberi pampasan," katanya.

Menurut Sulaiman, penduduk menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda selain hilang punca pendapatan rumah sewa memandangkan penyewa berpindah keluar selepas insiden itu.

Menyingkap kembali sejarah terowong itu, Osman Kasmadi, 75, berkata, penduduk diminta berpindah ke tempat lain bagi membolehkan pembinaannya dilakukan pada 1969.

"Ketika itu, kami difahamkan pembinaan terowong itu bertujuan mengatasi banjir yang kerap melanda kampung bersebelahan.

"Walaupun tiada hitam putih antara penduduk dan kontraktor, atas dasar persaudaraan dan ingin membantu penduduk kampung lain kami membenarkan pembinaan terowong itu, sebelum membina semula rumah penduduk.

"Saya masih ingat bagaimana kontraktor terbabit meyakinkan kami terowong itu mampu bertahan 100 tahun, tetapi tidak membenarkan pembinaan rumah konkrit di atas tapak itu, walaupun ia masih tanah kami," katanya.

Beliau yang kecewa dengan keadaan itu, berharap pemilik tanah mendapat pembelaan sewajarnya dari pihak berkuasa kerana masalah itu berpunca daripada penduduk.

"Kami membenarkan terowong itu dibina, tetapi apabila masalah ini berlaku, tiada pihak membantu kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Terowong Sungai Bunus, Kampung Pindah, Zainal Frederick berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani masalah penduduk dengan lebih berkesan.

"Menurut laporan Institut Latihan dan Penyelidikan Jabatan Kerja Raya Malaysia (Ikram), kawasan ini tidak selamat diduduki.

"Disebabkan kelalaian JPS dan DBKL yang tidak menyelenggara terowong berkenaan selain jangka hayatnya yang sudah tamat tempoh antara punca masalah ini berlaku.

"Mengikut perancangan DBKL, kami akan dipindahkan ke PPR Air Panas, tetapi sehingga kini tiada hitam putih mengenai perpindahan itu.

"Malah kami juga tidak menerima sebarang pampasan atau ganti rugi walaupun masalah ini sudah berlaku dua tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21

Lubang maut

Posted: 20 Dec 2012 01:32 PM PST

ALOR GAJAH: Penduduk di Lorong 19, Taman Seri Aman, Masjid Tanah, di sini, bimbang apabila jalan di belakang rumah mereka semakin rosak akibat tanah mendap sejak dua tahun lalu yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Mereka mendakwa, jalan berkenaan boleh runtuh pada bila-bila masa sehingga membahayakan pengguna.

Penduduk, Zaweah Harun, 53, berkata, mereka terpaksa meletakkan barangan terpakai bagi menutup lubang di jalan yang rosak itu sebagai peringatan kepada pengguna.

"Jalan di sini banyak yang sudah berlubang kerana tanah mendap. Kalau kenderaan melaluinya, ia pasti tidak dapat menampung berat kenderaan itu.


"Saya sangat bimbang kerana pada mulanya hanya satu lubang terbentuk, tetapi kini ia merebak ke tempat lain.


"Jika dilihat pada jalan ini hanya tinggal tar menutupi bahagian atas manakala di bawahnya sudah mendap," katanya.

Menurut Zaweah, penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berwajib namun sehingga kini tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, lebih membimbangkan penduduk jika masalah itu dibiarkan berlarutan, mendapan itu menjadi semakin teruk dan penduduk semakin terancam.

"Ketika ini tiada kemalangan berlaku namun kalau dibiarkan, tidak mustahil lubang terbabit memberi musibah kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norizan Meor Omar, 43, berkata, ada ketikanya penduduk terpaksa menggunakan jalan belakang kerana bimbangkan keselamatan ketika melalui laluan mendap itu.

"Jika ada majlis perkahwinan atau aktiviti lain, jalan di bahagian hadapan tidak boleh digunakan dan penduduk akan menggunakan laluan belakang.

"Penduduk di sini sudah tahu keadaan jalan ini, namun masalah timbul kepada orang luar," katanya.

Menurutnya, dia bimbang setiap kali kenderaan lalu jalan berkenaan kerana mereka terdedah bahaya terjerumus ke dalam jalan yang mendap itu.

Penduduk lain, Surina Abd Aziz, 46, berkata, dia bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang bermain berhampiran jalan mendap itu.

"Saya bimbang apabila mereka berhampiran dengan jalan mendap itu. Malah, jalan terbabit sudah tidak stabil dan boleh runtuh pada bila-bila masa.

"Pihak berkenaan diharapkan segera membaiki dan menurap jalan itu," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Md Shah berkata, beliau akan menghantar pegawainya ke taman berkenaan untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21

Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Atlet Tionghua negara mahu setangkas kuda

Posted: 30 Jan 2014 09:35 AM PST

Kuala Lumpur: Atlet berketurunan Tionghua mahu menjadikan Tahun Kuda pada kalendar masyarakat Cina tahun ini untuk mereka turut menjadi tangkas seperti haiwan itu dalam menghadapi kejohanan terutama di peringkat antarabangsa.

Bagi atlet wushu negara Diana Bong Siong Lin, beliau berharap Tahun Kuda akan memantapkan lagi persembahannya terutama bagi menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang dijadual bermula 19 September ini.

"Kalau boleh saya tidak ingin mengulangi kesilapan sama ketika beraksi di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China yang menyebabkan saya terlepas pingat. Saya tidak berani letakkan sasaran tinggi, namun saya akan beri persembahan terbaik," katanya.

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut mulai hari ini, anak jati kelahiran Kuching itu memilih menyambutnya secara sederhana bersama keluarga selain berusaha mengurangkan perbelanjaan terutama dalam membeli pakaian baru.

Foto

ATLET negara (belakang dari kiri) Khoo Cai Lin, Daniel Bego, Christina Loh, Ooi Tze Liang serta (depan dari kiri) Phoon Eyin, Tai Cheau Xuen, Diana Bong dan Leong Mun Yee gembira meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

Foto

ATLET menggaul 'yee sang' meraikan sambutan Tahun Baru Cina walaupun sibuk menjalani latihan di MSN, Bukit Jalil, semalam.


"Saya ingat tak akan beli pakaian baru tahun ini kerana baju tahun lalu masih elok dan apa yang lebih penting saya dapat bersama keluarga," katanya.


Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Doha 2006 ini berkata, sekembalinya daripada cuti, dia akan meneruskan sesi latihan bagi proses pemulihan otot.

"Menjadi rutin bagi atlet wushu atau sukan lain untuk berehat bagi proses pemulihan dalam masa singkat selepas beraksi di kejohanan besar. Saya perlu mulakan latihan pada tahap satu terlebih dulu sebelum bersedia menghadapi kejohanan selepas ini," kata Diana yang meraih dua emas menerusi acara nanquan dan nandao.

Berkongsi harapan sama ialah atlet lontar peluru Jackie Wong Siew Cheer yang berharap kehadiran Tahun Kuda mampu melonjakkan semangat bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Komanwel yang dijadualkan bermula 23 Julai ini.

Pemenang gangsa Sukan SEA Myanmar ini berkata, kuda yang disebut 'ma' dalam bahasa Mandarin juga membawa maksud pantas mampu menjadi azimat terbaik untuknya mempelajari teknik lontaran baharu bagi memperkemaskan lagi persembahannya.

"Saya baru belajar beberapa teknik baru dalam melakukan lontaran dan harap dapat menguasai teknik itu sebelum Terbuka Hong Kong atau Terbuka Taiwan pertengahan tahun ini," katanya yang pulang ke kampung halaman di Sarikei untuk menyambut tahun baru. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

SCK tampil dua muka baru

Posted: 30 Jan 2014 09:33 AM PST

Kuala Lumpur: Barisan pelumba baru menjadi taruhan pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini.

Dalam misi mempertahan gelaran juara pasukan terbaik CP130, pasukan yang dikendali Soong Chee Kieong itu bakal mendapatkan khidmat dua pelumba berpengalaman iaitu Mohd Zamri Baba dan Ahmad Fazrul Sham.

Kedua-dua pelumba itu akan mengisi tempat kosong yang ditinggalkan Mohd Affendi Rosli dan Elly Idzlianizar Ilias dengan kedua-duanya bakal bergandingan dengan Norizman Ismail dan Mohd Fitri Ashraf Razali. Keempat-empat pelumba itu akan beraksi dalam kategori CP130.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, Soong Chee Kieong berharap barisan pelumba baru ini akan membawa tuah buat pasukannya yang sudah menempa pelbagai jenis kejayaan sepanjang pembabitan mereka dalam kancah Cub Prix.

Foto

CHEE Kieong (kanan) memberi angpau dan buah limau kepada pelumba SRC, semalam.


Antaranya, kem ini pernah bergelar Juara Anugerah Berpasukan CP130 selama tiga tahun berturut-turut (2011-2013) dan mereka juga memenangi gelaran juara Expert individu tiga kali menerusi Norizman Ismail (2005, 2011) dan Azlan Shah Kamaruzaman (2012).


Selain itu, antara pelumba SCK Racing yang pernah bergelar juara termasuk Rid
wan Bakri (WIRA) dan Affendi Rosli yang menjuarai kategori Novis pada 2007. Lebih membanggakan lagi, Affendi turut muncul juara keseluruhan Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS pada 2009.

"Kami amat gembira sekali dengan kehadiran Zamri serta Fazrul dan sudah tidak sabar untuk memulakan saingan musim baru. Kami percaya kehadiran mereka akan membawa nafas baru buat pasukan ini dan lebih manis berita gembira ini hadir ketika sambutan Tahun Baru Cina," kata Chee Kieong.

"Walaupun mereka boleh dikatakan agak 'senior', kedua-dua pelumba ini masih dahagakan kemenangan dan saya percaya kehadiran mereka baik untuk pasukan ini, sekali gus mendorong mereka memberikan aksi terbaik pada setiap pusingan."

Menurutnya, walaupun Zamri dan Fazrul memacu jentera Yamaha sejak permulaan karier mereka, ia tidak menjadi masalah. Sebaliknya, beliau menganggap pengalaman mereka boleh digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi prestasi jentera Honda.

"Ramai beranggapan mereka akan mengalami kesukaran menyesuaikan diri apabila beralih jentera namun ini tidak benar sama sekali. Setiap jentera mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri dan saya percaya kemahiran Zamri dan Fazrul boleh digunakan untuk memperbaiki kelemahan Honda.

"Cuba lihat pelumba Moto2 negara, Azlan Shah. Sebelum bersama kami, dia hanya pernah memacu jentera Yamaha tapi menggunakan kemahiran itu untuk merangkul gelaran juara 2012 bersama Honda.

"Tidak dinafikan sedikit masa diperlukan sebelum mereka benar-benar serasi bersama jentera baru. Saya berharap mereka bersabar dan menganggap segala halangan yang ditempuhi sebagai cabaran baru buat pembangunan karier mereka," katanya yang juga bekas pelumba itu.

Sementara itu, Zamri berkata, dia sudah berlumba bersama Yamaha selama 10 tahun namun masih belum berjaya memenangi gelaran juara CP130/ Expert.

"Hakikat itu mendorong saya untuk melakukan sedikit perubahan kepada karier saya dengan beralih pasukan dan jentera. Moga-moga impian saya boleh dicapai bersama SCK Racing.

"Pada masa sama, saya amat berterima kasih kepada Chee Kieong kerana memberi peluang ini. Saya turut teruja akan digandingkan dengan rakan sepasukan baru, Norizman, Fazrul Sham dan Fitri Ashraf. Saya percaya kami boleh bekerja-sama dengan baik sekali," katanya.

Dalam pada itu, Chee Kieong turut mendedahkan pasukannya bakal menggunakan jentera baru bagi memberikan saingan kepada pasukan lain.

Bagaimanapun, setakat ini jentera itu masih belum diuji kemampuannya di atas litar berikutan kesibukan melakukan persiapan menyambut Tahun Baru Cina, namun beliau yakin kemampuannya untuk tampil kompetitif.

"Selain pelumba, kami akan menggunakan jentera baru bagi menghadapi saingan Cub Prix musim ini. Ia model terbaru Honda Dash 110. Setakat ini tidak banyak dapat diperkatakan kerana kami belum melakukan ujian litar tapi berdasarkan ujian dyno dan data asas musim lalu, kami percaya ia boleh membantu pelumba menjadi pencabar utama secara konsisten apabila musim baru bermula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Pahang tekad benam LionsXII

Posted: 30 Jan 2014 09:24 AM PST

Kuantan: Sudah melupakan dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super, Pahang kini mahu memastikan kemenangan apabila bertemu LionsXII pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Jalan Besar, malam esok.

Jurulatih pasukan, Ronald Smith berkata, walaupun skuadnya gagal mempamerkan prestasi meyakinkan terutama ketumpulan barisan serangan tetapi beliau tetap percaya mengenai tentangan sengit yang bakal dipersembahkan bagi menyekat tuan rumah daripada mencapai kemenangan.

"Kami akan memberi tekanan kepada lawan sambil mengharapkan pemain dapat beraksi dengan lebih baik dan memanfaatkan segala peluang yang ada.

"Dua kekalahan lalu tidak harus memberi tekanan sebaliknya mereka diharap menebus kesilapan itu dengan mencatat kemenangan ke atas LionsXII," katanya semalam.

Foto

SMITH (tengah) ada strategi ampuh tewaskan LionsXII.


Dalam pada itu, penyerang Pahang Azamuddin Mohd Akil mengakui perasaan cemas memang dihadapi tetapi tidak bermakna mereka berada prestasi tidak meyakinkan pada tiga perlawanan Liga Super ketika ini.


Justeru, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu percaya nasib belum lagi menyebelahi skuad Tok Gajah itu seperti dipersembahkan ketika perlawanan menentang Selangor dan Sime Darby FC.

"Saya akui memang cemas tapi percaya nasib belum lagi memihak kepada Pahang selepas kami gagal mempamerkan prestasi meyakinkan dalam dua perlawanan lalu.

Bagaimanapun, Azamuddin yang lebih mesra dengan panggilan Alex percaya Pahang akan kembali bangkit terutama melakar kemenangan serta dapat melakukan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Johor DT waspada ancaman T-Team

Posted: 30 Jan 2014 09:23 AM PST

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) harus berwaspada dengan corak permainan pantas T-Team seandainya impian melangkah ke suku akhir tidak tersekat apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Larkin, malam esok.

Skuad Harimau Selatan yang turun berbekalkan misi memburu kejuaraan Piala FA untuk menempatkan diri dalam kancah Piala AFC musim depan, perlu berdepan ujian getir kerana T-Team menjadi pasukan pertama menewaskan Johor DT 1-0 pada aksi Liga Super, baru-baru ini.

Apapun pengendali Harimau Selatan, Cesar Ferrando Jiminez tampak yakin namun tetap berhati-hati apabila berdepan anak didik Mohd Azraai Khor Abdullah yang ingin menidakkan harapan mereka.

"Mungkin Aidil Zafuan (Abdul Radzak) tidak dapat diturunkan kerana masih mengalami kecederaan paha kanan namun saya mempunyai pengganti mengisi kekosongan tempatnya dengan kemungkinan menurunkan sama ada S Subramaniam atau Mohd Fadhli Shas.

"Pemain yang akan mengisi kekosongan Aidil Zafuan perlu beraksi lebih 100 peratus malah yang lain juga harus bekerja keras.

"Piala FA amat penting bagi Johor DT, kita perlu menang kerana sebagai finalis musim lalu, sasaran utama kali ini menjuarai piala itu bagi memburu slot ke Piala AFC musim depan.

Saya yakin pemain akan memberi persembahan terbaik," katanya.

Sememangnya Jiminez perlu berwaspada dengan corak permainan T-Team yang dianggap `pembunuh senyap' sejak dibimbing Mohd Azraai kerana pasukan itu mempunyai barisan mantap serta bijak menyusun strategi.

Barisan tengah Harimau Selatan sekali lagi menjadi tumpuan bukan saja bagi menyekat gerakan pasukan kelab dari Pantai Timur itu malah perlu bijak mengatur strategi ampuh dengan kelibat Pablo Aimar menjadi taruhan terbaik sambil dibantu Shakir Shaari.

Yang pasti, JDT akan turun habis-habisan bukan saja mahu mencari kemenangan sebaliknya membalas dendam kekecewaan selepas tumpas 1-0 kepada T-Team pada aksi Liga Super, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Zayar Win tak bersalah!

Posted: 30 Jan 2014 09:22 AM PST

Ipoh: Perak mendakwa pemain tengah, Kyaw Zayar Win yang dilayangkan kad merah ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium MP Selayang, Selasa lalu tidak bersalah.

Justeru pengurus pasukan Bos Gaurus, Datuk Azhar Ahmad meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya meneliti semula keputusan yang dibuat demi mengembalikan integriti sukan itu

Zayar Win digantung dua perlawanan serta didenda RM1,500 kerana mengutip kad merah pada minit ke-89 perlawanan yang menyaksikan Perak tumpas 0-1 itu.

Azhar berkata, beliau diarahkan kepimpinan negeri supaya membuat rayuan kepada FAM terhadap hukuman penggantungan itu.

Foto

ZAYAR Win (kanan) digantung dua perlawanan serta denda RM1,500.


"Secara peribadi saya rasa Zayar Win tidak melakukan sebarang kesalahan. Dia jatuh selepas ditampar pemain lawan dan bangun dalam keadaan terpinga-pinga sebelum mengemukakan pertanyaan kepada pengadil, Shamsuddin Ibrahim. Sebaliknya dia pula yang dilayangkan kad merah.


"PAFA bukan hendak mencari salah pengadil atau mengecam pegawai perlawanan. Sebaliknya kami mahu mencari keadilan serta melaporkan kepincangan itu kepada FAM seperti yang dimahukan badan induk bola sepak negara itu.

"Saya yakin pegawai FAM yang berwibawa mampu membuat keputusan rasional. Jadi jika berlaku sebarang kesilapan saya berharap mereka akan mengubahnya demi memperbetulkan keadaan," katanya.

Selain kontroversi kad pemain tengah itu, Azhar berkata gol Juan Manual Arostegui pada minit ke-18 itu juga meragukan dan berharap jawatankuasa berkenaan akan membuat penilaian.

"Biarlah mereka yang arif dan berwibawa membuat keputusan mengenai gol itu. Ada pelbagai andaian mengenainya setakat ini.

"Jika ada kesilapan pengadil biarlah jawatankuasa itu membuat pembetulan. Dengan cara ini pengadil kita akan dapat diperbetulkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Melaka mahu naik taraf lampu limpah

Posted: 30 Jan 2014 09:20 AM PST

Melaka: Perbadanan Stadium Melaka (PSM) bercadang menaik taraf lampu limpah Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, dalam memastikan stadium berkenaan menepati spesifikasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan perlawanan dilangsungkan pada waktu malam.

Pengerusi PSM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, buat masa ini tahap kecerahan lampu limpah stadium itu tidak memenuhi tahap kecerahan sekurang-kurangnya 1,000 laks seperti ditetapkan FAM.

untuk perlawanan Liga Malaysia diadakan pada sebelah malam.

"Tahap kecerahan lampu limpah Stadium Hang Jebat ketika ini sekitar 800 laks, ia perlu dinaik taraf untuk membolehkan perlawanan dilangsungkan pada waktu malam.

"Kami masih menunggu laporan daripada kontraktor dilantik bagi menilai peruntukan diperlukan untuk menggantikan lampu limpah di stadium ini dengan kosnya dianggarkan mencecah RM3.2 juta," katanya.

Beliau berkata, jumlah besar itu juga akan diteliti sama ada dengan hanya menukar saja unit lampu yang tidak berfungsi dianggarkan mencecah RM600,000 atau sebaliknya.

Katanya, buat masa ini, saingan Melaka United di pentas piala FAM yang bermula Mac akan dilangsungkan pada sebelah petang di venue terbabit manakala saingan Piala Presiden dilangsungkan di Stadium Hang Tuah.

Dua pasukan Liga Perdana menjadikan Stadium Hang Jebat sebagai gelanggang tuan rumah pada musim ini termasuk KL SPA dan DRB Hicom yang beraksi pada sebelah petang.

Setakat ini, KL SPA menggunakan venue terbabit ketika berdepan UiTM FC dan DRB Hicom bertemu Kedah FA dan kedua-dua pasukan akan bertembung di gelanggang berkenaan 7 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Amaran awal Politeknik Pahang

Posted: 30 Jan 2014 09:19 AM PST

Kelantan: Aksi bersemangat menjadi kelebihan kepada pasukan Politeknik Pahang untuk menjulang kejuaraan Kejohanan Futsal Politeknik 2014 di Real 7 Futsal, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Pada saingan akhir, skuad bimbingan Mohd Zamri Sa'at yang dilihat pasukan bukan pilihan menewaskan Politeknik Melaka 2- 0 untuk membawa pulang piala iringan, pingat dan set jersi.

Kejohanan anjuran Politeknik Kota Bharu itu menghimpunkan 13 politeknik seluruh Malaysia yang bertujuan mengeratkan hubungan di kalangan pemain selain sebagai usaha mencungkil bakat baru, seterusnya terpilih ke peringkat kebangsaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pengajian Politeknik Kamaruddin Hamzah.

Mohd Zamri berkata, pasukan Politeknik Pahang dihasilkan daripada gabungan pemain Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Muadzam Shah dan Politeknik Metro Kuantan yang hanya sempat mengikuti latihan dalam tempoh beberapa minggu saja.

Namun menurutnya, dengan semangat juang tinggi serta kerja keras pemain impian menjulang kejuaraan sulung musim ini akhirnya menjadi kenyataan yang melakar sejarah manis pasukan Politeknik Pahang.

"Rekod cemerlang pasukan Politeknik Melaka yang sebelum ini beberapa kali menjulang kejuaraan kejohanan futsal politeknik ternyata tidak menjejaskan tumpuan barisan pemain saya yang begitu yakin dapat menjinakkan lawan.

"Saya berharap kejayaan kali ini memberi gambaran awal kekuatan sebenar pasukan Politeknik Pahang yang akan bersaing dalam Kejohanan Futsal Liga Institut Pengajian Tinggi (IPT) edisi 2014, Mac depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

'Tunggu saja hasilnya nanti'

Posted: 30 Jan 2014 09:17 AM PST

Kuala Lumpur: "Tunggu saja masanya untuk dia mencapai kemuncak prestasi terbaik."

Demikian pandangan Zulkifli Sidek selaku jurulatih serta ayah pemain perseorangan negara, Zulfadli (gambar) yang tetap yakin anaknya akan meraih kejayaan lebih besar dalam tempoh setahun dua dari sekarang.

Sekalipun ada yang menganggap prestasi Zulfadli semakin merudum sejak merangkul gelaran juara remaja dunia serta Asia tiga tahun lalu, Zulkifli yang melatih anaknya tanpa bernaung dengan mana-mana persatuan tidak mahu ambil pusing segala kritikan itu.

Sebaliknya beliau yang menjadi tunjang utama di sebalik kejayaan Zulfadli mahu pengkritik atau peminat yang gusar dengan masa depan pemain berusia 21 tahun itu supaya menantikan saja hasilnya tidak lama lagi.

Foto


"Saya faham dengan segala kritikan itu, malah saya sendiri sedar mengenainya.

"Tapi sebagai jurulatih dan bapa kepada Zulfadli yang selalu meluangkan masa bersamanya, saya tahu di mana tahap prestasinya sekarang.

"Orang luar mungkin melihat pencapaiannya di beberapa kejohanan tidak memberangsangkan, tapi pada saya aksi Zulfadli semakin kemas dan prestasinya sedang meningkat naik ketika ini," katanya.

Zulkifli memberi contoh kemampuan anaknya itu mara ke saingan suku akhir Grand Prix (GP) Emas di India, baru-baru ini yang di luar daripada sasarannya sendiri.

"Itu antara peningkatan corak permainan Zulfadli yang saya maksudkan. Dia memerlukan selangkah demi selangkah untuk mencapai tahap permainan lebih baik.

"Begitulah juga yang pernah dilalui jaguh badminton kita Datuk Lee Chong Wei. Dia juga naik ketika usianya hampir sama dengan Zulfadli ketika ini," katanya yang sudah menyusun jadual pertandingan yang akan disertai anaknya sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Madzli sedia curah ilmu

Posted: 30 Jan 2014 09:16 AM PST

Kuala Lumpur: Bekas kapten skuad hoki negara, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor mengaku mungkin tidak mampu lagi mengerah kudrat beraksi pada semua saingan sepanjang tahun ini, tetapi pemain berusia 35 tahun itu masih cukup teruja untuk tampil beraksi di Piala Dunia serta Sukan Asia.

Dia yang dipanggil semula menyertai skuad negara tahun lalu selepas menyatakan komitmen untuk bersara, menganggap keputusan itu bukanlah mudah baginya yang pernah beraksi pada Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur, namun Madzli tetap menerima tawaran bekas pengendali Paul Revington dengan niat membantu barisan pemain muda.

Kini di bawah bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah, Madzli tidak terlalu mengharap menjadi tonggak sebaliknya dia yang sudah melengkapkan kursus kejurulatihan tahap satu, menyerahkan segala-galanya kepada pengendali itu.

"Bila saya kembali semula ke skuad kebangsaan, saya memang berasa agak ketinggalan dengan barisan pemain muda. Lagipun sukar untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan hoki moden pantas.

Foto

MADZLI (kanan) tidak terlalu berharap jadi tonggak utama pasukan.


"Tapi matlamat saya bukanlah mendapatkan tempat saja dalam skuad negara. Saya juga mahu membantu pemain muda beraksi lebih baik pada masa akan datang.


"Soal terpilih atau tidak untuk beraksi itu terpulang kepada jurulatih. Tapi saya pasti teruja jika diberi peluang beraksi pada Piala Dunia dan Sukan Asia," katanya.

Kali terakhir dia melakukan penampilan bersama skuad negara pada kempen kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland yang ketika itu di bawah bimbingan Tai Beng Hai sebelum mengumumkan untuk bersara.

Madzli menolak panggilan pertama Revington pada Oktober 2012 sebelum bersetuju kembali semula pada Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Jonathan idam aksi Sukan Asia 2014

Posted: 30 Jan 2014 09:15 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas menempah tiket ke Sukan Komanwel 2014 Julai ini, penembak elit negara, Jonathan Wong Guanjie kini mengintai peluang ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, September ini.

Penembak berusia 22 tahun itu, bagaimanapun berkata, dia perlu mengharungi beberapa kejohanan kelayakan dalam tempoh terdekat bagi mencerahkan peluang beraksi buat pertama kali pada Sukan Asia.

Buat permulaan, dia akan bersaing pada Kejohanan Air Gun Asia Ketujuh di Kuwait, Mac ini.

"Pencapaian saya memang meningkat sejak Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember lalu berikutan penggunaan pistol baru dan bimbingan jurulatih baru, Zamil Ahmad Murad.


"Kehadiran jurulatih baru ini akan menyuntik semangat saya dan rakan sepasukan untuk memberi aksi terbaik di Kuwait," katanya.


Menyentuh mengenai sasaran peribadinya tahun ini, Jonathan berkata, dia hanya menyasarkan mengekalkan persembahan cemerlangnya selain memberikan fokus sepenuhnya terhadap pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Jonathan yang meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga di Melaka, berharap kehadiran Tahun Kuda dapat menyuntik semangat untuk meraih lebih banyak kejayaan tahun ini.

"Setiap tahun saya akan balik ke Melaka dan beraya bersama keluarga. Memang meriah sebab saudara mara dari Singapura juga akan turut pulang untuk melawat datuk yang tinggal bersama keluarga saya," katanya.

Sukan Komanwel akan bermula dari 23 Julai hingga 3 Ogos manakala Sukan Asia 19 September hingga 4 Oktober ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pengawal curi berlian RM66j

Posted: 30 Jan 2014 08:15 AM PST

London: Seorang pengawal peribadi wanita mencuri berlian yang jarang ditemui bernilai £12 juta (RM66.1 juta) daripada bekas isteri seorang daripada lelaki terkaya di dunia.

Dia juga menggantikan berlian berkenaan dengan batu permata palsu yang tidak berharga.

Fatimah Lim, 35, dituduh mencuri dua berlian besar daripada peti simpanan di kediaman Mariam Aziz, bekas isteri Sultan Brunei di London.

Mahkamah agung Isleworth semalam diberitahu Fatimah dituduh menggantikan berlian biru 12.71 karat yang berbentuk buah pir dan berharga £7.6 juta (RM41.9 juta) itu dan berlian kuning 27.1 karat berbentuk segi empat tepat berharga £600,000 (RM3.3 juta) dengan batu permata palsu yang berharga £150 (RM827) setiap satu bagi melangsaikan hutangnya.

Foto

FATIMAH

Foto

MARIAM ketika masih menjadi isteri Sultan Brunei.


Fatimah yang juga warga Singapura dikatakan mencuri berlian itu dari kediaman majikannya di Kensington, barat London selepas memperdaya anak perempuan Mariam agar membenarkan dia meminjam batu permata itu selama beberapa jam.


Dia juga dituduh mencuri £3.3 juta (RM18.2 juta) gelang berlian selepas Mariam memberinya untuk disimpan di peti simpanan.

Ketika Mariam meminta barang kemas itu semula, Fatimah menafikan yang Mariam memberikan barang kemas itu kepadanya sebaliknya menyalahkan pembantu rumah majikannya.

Fatimah menjual barang kemas itu yang diberikan Sultan Brunei kepada Mariam ketika perkahwinan mereka. Berlian biru itu dibeli dari kedai emas di Hilton Park Lane pada 1986.

Mariam, bekas pramugari Brunei yang berketurunan Jepun dan Scotland mempunyai empat anak sepanjang 21 tahun perkahwinannya dengan Sultan Brunei.

Mahkamah dimaklumkan selepas mencuri berlian itu, Fatimah membawanya kepada tukang emas di Hatton Garden untuk dijual, mendakwa ia adalah hadiah daripada majikannya untuk ibunya yang dikatakan menjadi setiausaha peribadi kepada bekas isteri sultan itu.

Kecurian itu hanya disedari pada Disember 2009 apabila Mariam meminta anak angkatnya, Afifa Abduallah mengambil berlian itu yang sudah diikat dengan cincin kembali ke Hilton untuk diperbaiki saiznya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

2 ditukul hingga mati

Posted: 30 Jan 2014 08:14 AM PST

New York: Seorang lelaki mengaku membelasah teman wanita dan anak perempuan kekasihnya itu hingga mati menggunakan tukul kerana menyangka mereka 'ahli sihir' yang menjampinya.

Carlos Amarillo, 44, memukul kekasihnya Estrella Castaneda, 56, dan anak wanita itu Lina, 24, kerana menyangka mereka pengamal ilmu hitam voodoo untuk menjampinya di rumah mereka pada jam 12.15 tengah malam.

Dua beranak berkenaan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Anak perempuan Lina berusia tujuh tahun yang identiti dirahsiakan tidak dicederakan.

Foto

AMARILLO ditahan polis.


Amarillo sendiri menelefon polis selepas membelasah dua wanita itu hingga mati.


Menurut timbalan pendakwa raya Richard A Brown, Amarillo mengaku bertanggungjawab kepada operator 911 yang menjawab panggilannya.

"Dia dilaporkan berkata: 'Dua wanita maut dibunuh. Saya yang bunuh dengan tukul kerana mereka ahli sihir. Saya disampuk dan mahu polis bunuh saya'," katanya.

Amarillo juga dilihat berjalan di depan rumahnya sambil memeluk Injil dan berkata "Saya bunuh mereka" berulang kali.

Jirannya Jorge Carrion berkata, isterinya yang berada di rumah ketika kejadian terdengar bunyi bising seperti seseorang dipukul dengan kuat.

"Dia terdengar bunyi hentaman pada dinding rumah jiran kami, namun tiada jeritan," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Bieber didakwa serang pemandu limosin

Posted: 30 Jan 2014 08:12 AM PST

Toronto: Penyanyi remaja Justin Bieber sekali lagi berdepan tindakan undang-undang apabila didakwa menyerang seorang pemandu limosin Disember lalu. Bieber diarahkan hadir ke mahkamah untuk menjawab tuduhan itu secara rasmi pada 10 Mac depan.

Menurut kenyataan polis, kejadian berlaku pada awal pagi 30 Disember lalu apabila limosin berkenaan mengambil enam orang termasuk Bieber, 19, di luar sebuah kelab malam di Toronto.

Pemandu itu mendakwa dipukul di belakang kepalanya beberapa kali ketika pertengkaran dalam perjalanan ke sebuah hotel.

Mangsa kemudian menghentikan kenderaannya dan keluar untuk menghubungi polis, namun Bieber meninggalkan tempat kejadian sebelum pasukan keselamatan tiba.

Foto

BIEBER hadir di balai polis.


Peguam Bieber dalam satu kenyataan berkata anak guamnya tidak bersalah.


Pasukan pembelaan Bieber menjangka kes itu dianggap kesalahan kecil yang membawa hukuman lebih rendah.

Bieber hadir di balai polis menaiki SUV hitam dan disambut wartawan serta peminat yang sanggup meredah cuaca paras beku untuk menemuinya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Tutup bida jual dara

Posted: 30 Jan 2014 08:11 AM PST

Brasilia: Wanita Brazil yang sudah empat kali cuba menjual daranya kepada pembida tertinggi di Internet akhirnya membatalkan hasratnya itu.

"Bidaan ditutup," kata Catarina Migliorini kepada Huffington Post melalui emel.
Sebaliknya, Yahoo! Brazil melaporkan Catarina, 23, bercadang menyerahkan dirinya kepada pemenang bagi rancangan realiti 'There's Something About Catarina' yang masih dalam peringkat perancangan di Brazil.


Bagi rancangan itu, 20 lelaki dari seluruh dunia akan bertanding untuk menjadi pasangan seks pertama Catarina selain memenangi hadiah AS$1 juta (RM3.3 juta).

Foto

CATARINA

Sebuah laman web diwujudkan untuk mencari calon bagi rancangan berkenaan.

Ini kali keempat Catarina berusaha meraih untung daripada menjual daranya.
Kali pertama dilakukan pada Oktober 2012 melalui dokumentari Australia 'Virgins Wanted' membabitkan bidaan di Internet.

Pemenangnya jutawan Jepun dikenali sebagai 'Natsu' dengan tawaran sebanyak $780,000 (RM2.6 juta).

Bagaimanapun, Catarina kemudian menarik diri kerana ragu-ragu mengenai 'Natsu' dan identiti sebenarnya selain mendakwa hampir ditipu pembuat dokumentari itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Kitar 9 juta botol untuk sekolahkan anak

Posted: 30 Jan 2014 08:08 AM PST

Beijing: Sepasang suami isteri sanggup mengitar semula botol plastik sejak 10 tahun lalu semata-mata mahu memastikan dua anak lelaki mereka mendapat pendidikan sempurna sehingga peringkat universiti.

Zhu dan isterinya Liu menganggarkan mengitar semula hampir sembilan juta botol plastik dan lebih 20 tan bahan plastik.

"Kami sanggup melakukan apa saja demi anak kami itu.

"Malah kejayaan mereka juga akan menguntungkan negara ini," katanya.


Setiap hari, bagi memastikan botol dikutip boleh dikitar semula, Liu membuka label setiap satu menggunakan tangannya sebelum diasingkan mengikut warna.


Hasilnya, anak sulung mereka kini mempunyai PhD dan bakal menyambung pengajiannya di Jerman.

Zhu berkata, pada 2006 anak bongsunya yang berada di universiti untuk tahun ketiga pengajiannya tiba-tiba mahu berhenti belajar dan memulakan perniagaan.

"Saya risau dengan keputusannya dan memujuknya menumpukan perhatian terhadap pelajarannya.

"Duit boleh dicari kemudian," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Bangkok lumpuh 2/2

Posted: 30 Jan 2014 08:07 AM PST

Bangkok: Pemimpin protes antikerajaan Suthep Thaugsuban semalam mengancam "melumpuhkan sepenuhnya" Bangkok ketika pilihan raya umum dijalankan pada 2 Februari ini.

Kata Suthep, penyokong Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) mula berarak di sepanjang jalan di Bangkok sehingga esok sebelum mengadakan perhimpunan besar-besaran pada Ahad.

"Pada 2 Februari ini kita akan melumpuhkan sepenuhnya Bangkok. Jalan raya ditukar menjadi laluan pejalan kaki dan rakyat tidak perlu keluar mengundi," katanya di pentas protes di Taman Lumpini malam kelmarin.

Tiga perhimpunan besar-besaran diadakan PDRC pada November dan Disember dengan dihadiri beberapa ribu orang menjelang kempen "lumpuhkan Bangkok" pada 13 Januari lalu dalam usaha pembangkang menyingkirkan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra.

Foto

PENUNJUK perasaan berarak beramai-ramai di Bangkok, semalam.


Sumber PDRC pula menyatakan mereka merancang untuk mengepung separuh daripada 50 daerah pusat mengundi di Bangkok.


Suthep berkata pengundi berdaftar diseru menyertai PDRC di lokasi utama bantahan di seluruh Bangkok tanpa perlu berasa rugi kerana tidak mengundi.

"Perarakan diadakan selama tiga hari mulai esok (hari ini) merangkumi Jalan Sukhumvit, Ratchadaphisek dan Silom serta Yaowaraj," katanya.

Sementara itu polis berkata lebih 250,000 anggota pasukan itu akan ditugaskan mengawal pilihan raya selain 1,450 lagi bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Sumber polis berkata, fokus mereka ialah pusat pengundian di Bangkok dan 10 wilayah di selatan Thailand.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Jumlah tentera ditambah menjelang pilihan raya

Posted: 30 Jan 2014 08:06 AM PST

Bangkok: Jumlah tentera akan ditambah di Bangkok menjelang pilihan raya umum Ahad ini selepas pembangkang mengancam untuk mengganggu perjalanan proses itu.

Jurucakap tentera, Winthai Suvaree berkata, kerajaan bertegas mahu meneruskan pilihan raya tetapi ia mencetuskan ketegangan di ibu negara Thailand itu.

"Sebagai tambahan kepada 5,000 anggota yang sudah ditempatkan di sekitar Bangkok, kami akan menambah bilangan petugas di sekitar tapak protes banyak pihak cuba mencetuskan keganasan," katanya.

Winthai berkata, kira-kira 10,000 polis akan bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan di Bangkok Ahad ini.

"Tentera hanya ditempatkan sebagai langkah persediaan," katanya, semalam.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Gesa penduduk dapat anak sempena Tahun Baru Cina

Posted: 30 Jan 2014 08:06 AM PST

Singapura: Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam menggesa pasangan muda Singapura bertindak pantas mendapatkan anak sempena permulaan Tahun Baru Cina ini bagi meningkatkan kadar kelahiran negara itu.

Dalam ucapan sempena perayaan itu, Lee berkata Singapura memerlukan "anak mencukupi bagi membentuk generasi masa depan" ketika kadar kemasukan imigran terus membimbangkan.

"Malangnya di sebalik usaha kerajaan menggalakkan perkahwinan dan keibubapaan, kadar kelahiran kita masih terlalu rendah," katanya.

Menurut bapa kepada empat anak itu, kadar kesuburan semasa Singapura ialah 1.19 bayi bagi setiap seorang wanita - menurun daripada 1.29 pada 2012.

Kadar etnik Cina Singapura pula - yang membentuk 74 peratus penduduk negara itu - adalah lebih rendah iaitu 1.06.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Tentera Filipina bunuh 40 militan Islam

Posted: 30 Jan 2014 08:05 AM PST

Manila: Tentera Filipina membunuh sekurang-kurangnya 40 pejuang Islam dan menguasai kubu kuat mereka dalam operasi selama dua hari terhadap kumpulan Gerakan Pembebasan Islam Bangsamoro.

President Benigno Aquino III berkata kubu berkenaan dilengkapi kemudahan membuat bom.

Katanya, tentera melancarkan operasi itu bagi melindungi orang kampung selepas kumpulan terbabit menyerang wilayah Maguindanao.

"Matlamat tentera ialah melumpuhkan kemampuan kumpulan itu supaya mereka tidak lagi mengancam keselamatan negara," katanya.

Gerakan itu melancarkan serangan ke kawasan petempatan awam sejurus selepas Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro menandatangani perjanjian damai di Malaysia.


Mereka berjanji terus melawan kerana menganggap perjanjian berkenaan tidak membolehkan kewujudan wilayah berpenduduk majoriti Muslim yang terpisah dari Manila.


Pertempuran itu menyebabkan seorang tentera maut dan 12 lagi cedera akibat letupan bom yang disembunyikan di sekitar sebuah masjid.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Bekas ketua mahkamah minta suapan RM824,000

Posted: 30 Jan 2014 08:04 AM PST

Jakarta: Bekas Ketua Mahkamah Agung Akil Mochtar akhirnya mengaku semalam bahawa dia meminta suapan bernilai kira-kira Rp3 bilion (RM824,000) bagi membolehkan dia berpihak kepada rayuan dalam pertikaian pemilihan pegawai daerah Kalimantan Tengah.

Sebelum ini Akil sentiasa menafikan dakwaan itu setiap kali pendakwa bertanya mengenainya.

Keterangan itu diberikan Akil di mahkamah semalam ketika hadir sebagai saksi terhadap kes Chairun Nisa di Jakarta.

Dalam perbicaraan terbabit pendakwa memaksa Akil menjelaskan mesej pesanan ringkas yang dihantarnya kepada Chairun dengan meminta "tiga tan emas" sebagai upah untuk menyebelahinya dalam pemilihan daerah.

Pendakwa kemudian membacakan mesej berkenaan yang berbunyi: "Cuma sediakan tiga tan emas.

Jangan kurang." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lepas gian bawa anak

Posted: 30 Jan 2014 12:32 PM PST

Sabak Bernam: Seorang nelayan sanggup membawa anak lelakinya ke satu kawasan yang dipenuhi penagih dadah semata-mata hanya untuk melepaskan ketagihannya di kawasan hutan bakau dekat Jalan Pantai, Panchang Bedena, dekat sini, kelmarin.

Warga tempatan berusia 26 tahun itu mendakwa terpaksa membawa anaknya itu kerana isterinya sudah pulang ke Kemboja untuk memperbaharui pasportnya manakala kedua-dua orang tuanya pula tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Lelaki berkenaan adalah antara 19 penagih yang diberkas selepas kawasan melepaskan gian mereka diserbu kira-kira jam 6.30 padi dan berakhir jam 3 petang oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, daripada jumlah penagih itu, seorang adalah wanita dan semua mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Foto

SEORANG penagih nekad terjun dalam tali air elak dicekup.

Foto

ANTARA penagih dadah yang dicekup.


Menurutnya, seramai 15 anggota dan dua pegawai diketuai Asisten Superintendan Ramly Raaf melakukan operasi secara bersepadu di kawasan itu dalam usaha membanteras kegiatan penagihan dadah di 'port' berkenaan.


"Dalam usaha memutihkan kawasan ini, polis menjalankan intipan selepas menerima laporan daripada orang awam memaklumkan kawasan ini sering dijadikan port penagihan dadah," katanya.

Berdasarkan maklumat itu, polis melancarkan gerakan 'memburu' penagih yang kebanyakan tinggal sekitar daerah Sabak Bernam dengan membuat sekatan dan menahan mereka yang dipercayai menuju ke kawasan hutan bakau berkenaan untuk melepaskan gian.

"Operasi ini dianggap berjaya walaupun usaha untuk menahan mereka berdepan dengan pelbagai halangan dan kesulitan apabila ada antara mereka cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam tali air berdekatan," katanya.

Menurutnya, polis juga menahan seorang lelaki yang membawa anak lelakinya yang masih kecil ke kawasan berkenaan. Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada datuk dan neneknya.

"Ketika disoal siasat lelaki berkenaan memberitahu dia terlalu gian hingga terpaksa membawa anaknya ke kawasan itu kerana isterinya sudah pulang ke negara asal," katanya.

Menurut Noor Mushar, kawasan hutan bakau itu menjadi pilihan kaki lalok memandangkan lokasinya yang tersorok.

"Kita yakin penagih sering keluar masuk ke dalam kawasan ini untuk melepaskan gian dan kita harap dengan operasi seperti ini akan dapat membanteras kegiatan terbabit pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan menjalani ujian air kencing di IPD Sabak Bernam dan 12 daripadanya positif dadah, tiga di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan selebihnya dibebaskan.

"Mereka yang positif akan direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Harga barang menerusi aplikasi telefon pintar

Posted: 30 Jan 2014 12:25 PM PST

Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan aplikasi telefon pintar sebagai medium makluman awam berkenaan harga barangan yang ditawarkan kepada pengguna.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, arahan yang baru dikeluarkan semalam itu akan membantu pengguna memilih perkhidmatan dan barangan yang dijual hanya pada harga berpatutan.

Katanya, melalui aplikasi terbabit orang ramai mampu menerima maklumat yang melabelkan sama ada harga ditawarkan mahal atau rendah.

"Kita dapati masih ada peniaga yang mengenakan harga melampau ke atas pengguna.

Ada yang menyebabkan caj tidak masuk akal bagi minuman dan makanan di sesetengah restoran.

"Justeru, baru semalam (kelmarin) saya keluarkan arahan mewujudkan medium perantara ini kepada DBKL supaya mereka laksanakan langkah ini seperti dilaksanakan di Taiwan.

Pengguna sendiri boleh berkongsi sesama mereka lokasi restoran yang mengenakan harga mahal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Seminar anjuran Kementerian Kewangan ini turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan lebih 500 orang peniaga.

Tengku Adnan berkata, pelekat bagi melabelkan sama satu-satu premis 'mahal' atau 'berpatutan' akan dijadikan modus operandi selain memuat turun senarai menerusi aplikasi ini kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Beg berisi pistol di halaman rumah

Posted: 30 Jan 2014 12:25 PM PST

Kapar: Seorang suri rumah berusia 53 tahun yang sedang membersihkan halaman rumahnya terkejut sejurus menemui sebuah beg sandang mengandungi sepucuk pistol bersama sembilan butir peluru, semalam.

Pistol jenis Barretta itu ditemui di halaman rumahnya di Batu 2, Jalan Kapar, kira-kira jam 9.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada jiran yang menghubungi polis untuk tindakan susulan.

Difahamkan, suri rumah terbabit pada mulanya tidak menyedari kewujudan beg sandang hitam yang diletakkan di celah pokok bunga di hadapan rumahnya.

Namun, selepas beberapa minit membersihkan halaman rumahnya itu, dia terlihat beg sandang berwarna hitam di celah pokok bunga berkenaan, tetapi pada mulanya hanya menyangka ia hanya beg biasa.

Sumber berkata, suri rumah terbabit kemudian mengambil beg sandang berkenaan untuk dibuang, namun terkejut apabila melihat sehelai kain membalut sesuatu di dalamnya.

Beliau berkata, curiga dengan objek yang dibalut kain berkenaan, suri rumah berkenaan kemudian membuka balutan itu dan mendapati ia adalah sepucuk pistol.

"Terkejut dengan penemuan itu, seorang jirannya kemudian segera menghubungi polis.

"Siasatan mendapati pistol berkenaan adalah jenis Barretta dan terdapat satu kelopak peluru yang mengandungi sembilan butir peluru di dalamnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan penemuan senjata api berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

'Makan besar' lebih bermakna

Posted: 30 Jan 2014 12:22 PM PST

Kuala Lumpur: "Tidak keterlaluan jika saya kata sambutan Tahun Baru Cina saya bersama ibu bapa lebih bermakna sejak saya memeluk Islam," kata saudara baru, Firdaus Wong Wai Hung, 31.

Dia ditemui Harian Metro di majlis 'makan besar' bersama-sama ibu bapanya yang masih menganut agama Buddha di rumah ibu bapanya di Kepong, dekat sini, malam tadi.

Menurutnya, sejak memeluk Islam hatinya lebih tenang dan dia juga tidak terbabit dengan aktiviti liar serta tidak berfaedah, berbanding sebelumnya.

"Sebab itulah sambutan Tahun Baru Cina saya penuh berkualiti bersama ibu bapa dan bukan keluar berfoya-foya serta minum arak seperti dulu," katanya yang juga Presiden dan Penasihat Malaysia Reverted Muslim (MRM).

Foto

FIRDAUS (dua kanan) bersama isterinya (kiri) menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di Kepong, malam tadi.


Firdaus yang kini pendakwah sepenuh masa berkata, hubungan dia dengan ibu, See Ah Lin, 56, dan bapanya, Wong Tak Kui, 69, tidak pernah terjejas biarpun selepas memeluk Islam, sembilan tahun lalu.


Menurutnya, dia amat bersyukur apabila ibu bapanya memberi peluang menjadi Muslim dan sebagai tanda terima kasih dia akan memastikan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada mereka.

Menceritakan bagaimana dia memeluk Islam, Firdaus berkata ia bermula dengan persoalan mengenai fungsi dia dilahirkan di dunia.

"Dulu, setiap minggu saya ke kelab malam dan minum sehingga mabuk. Namun hidup saya rasa kosong. Selepas peluk Islam, baru saya faham apa makna kehidupan dan fungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi," katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga bersyukur dikurniakan isteri, Nor Shakina Shahruddin, 32, yang memahami keadaan dirinya yang masih mempelajari Islam dan masih memerlukan bimbingan ketika baru memeluk Islam.

Mengenai aktivitinya kini sebagai pendakwah, Firdaus berkata biarpun banyak cabaran yang perlu ditempuhinya, dia berserah segala-galanya kepada Allah.

"Bagi saya, permulaan adalah perkara yang paling sukar, namun Allah sentiasa ada untuk memudahkannya selagi kita percaya kepada Nya.

Sementara itu, Wong berkata dia tidak menghalang anak bongsu daripada tiga beradik itu memeluk Islam kerana akhlak dan kelakuannya membuktikan dia mampu menjadi anak yang baik.

"Saya tidak menghalang permintaannya sembilan tahun lalu asalkan mengikut jalan yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31

Langsung jadi tahlil

Posted: 30 Jan 2014 12:21 PM PST

Kuala Terengganu: "Saya tak sangka permintaan anak saudara tergesa-gesa meminta isteri dan dua anak segera bersiap membeli barang keperluan jamuan perjumpaan saudara-mara esok (hari ini) petanda dia meninggalkan kami.

"Paling memilukan nahas itu meragut nyawa isteri saya," kata Yunus Ismail, 51.

Dia adalah suami kepada Hamidah Hamid, 42, dan bapa saudara Amin Mohamad, 31, yang maut dalam nahas meragut tiga nyawa di Kampung Sungai Ikan, Jalan Sungai Tong di Kilometer 29, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, dekat sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 10 pagi itu, Amin dan Hamidah dari Permaisuri yang menaiki PERODUA Myvi serta pemandu PROTON Waja, Sajunairi Nafi, 31, dari Pasir Puteh, Ayer Lanas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Foto

KEADAAN kereta yang mengorbankan Sajunairi.

Foto

KEADAAN kereta yang dipandu Amin.

Foto

TOYOTA Vellfire yang terlibat rosak di bahagian hadapan.


Dua lagi penumpang PERODUA yang juga anak arwah Hamidah, Nurul Hidayu Mohd Nasir, 25, dan Nurul Hafizal Mohd Nasir, 20, dilaporkan parah dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.


Yunus berkata, sebelum kejadian, arwah Hamidah bersama Nurul Hidayu dan Nurul Hafizal menemani Amin menuju pusat bandar raya ini membeli barang keperluan untuk jamuan itu.

"Amin yang meminjam kereta PERODUA Myvi saya tidak sempat mengelak apabila sebuah PROTON Waja dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan pertembungan kuat berlaku.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian depan PERODUA Myvi saya remuk. Arwah isteri dan anak saudara saya tersepit manakala Nurul Hidayu dan Nurul Hafizal tercampak keluar," katanya.

Yunus yang tinggal di Kampung Baru Pak Ba, Permaisuri, Setiu, berkata, dia tidak sempat menemani anak saudaranya itu kerana mempunyai urusan lain.

"Kejadian berlaku ketika saya berada di rumah dan terkejut selepas seorang anggota polis memaklumkan nahas itu. Sebaik tiba di lokasi, semua mangsa dibawa ke Unit Forensik dan Unit Kecemasan HSNZ dan saya cuma nampak tiga kenderaan remuk di lokasi kejadian.

"Saya lihat banyak darah dalam PERODUA Myvi dan ketika itu beberapa anggota polis cuba menenangkan saya dan memberitahu kejadian menimpa isteri, anak serta anak saudara.

"Masih terngiang-ngiang di telinga saya ayat anak saudara yang tergesa-gesa meminta isteri dan dua anak kami segera bersiap seperti tidak cukup masa lagi untuk membeli barang-barang itu.

"Arwah isteri pula hanya mengikut dan sempat meminta izin saya keluar dari rumah," kata bapa kepada lima anak itu.

Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, persiapan majlis perjumpaan itu kini bertukar kepada majlis tahlil dan pasti kepulangan saudara-mara yang lain ketika cuti Tahun Baru Cina mengundang rasa pilu.

Menurutnya, dia sempat melihat anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kenderaan masing-masing.

"Saya sempat tengok tulang kaki mangsa masih berada di dalam kenderaan itu dan anggota bomba terpaksa memotong bahagian sisi kereta mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/31