Pages

Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Bangga raih perak

Posted: 03 Aug 2014 11:48 AM PDT

Glasgow: Ooi Tze Liang menutup cabaran negara pada hari terakhir acara terjun Sukan Komanwel dengan pingat perak 10 meter platform lelaki di Kolam Renang Diraja Komanwel, Edinburgh, awal pagi semalam.

Dia mengumpul 433.70 mata kurang 82.85 berbanding juara Olimpik 2012 dari England, Tom Daley yang meraih pingat emas dengan 516.55, manakala gangsa milik Vincent Riendeau dari Kanada (429.25).


"Saya tewaskan Daley dalam acara papan anjal dan yakin mengulanginya dalam platform. Kami saling kejar mata tapi dia akhirnya membuat terjunan kelima lebih baik untuk mengatasi saya.

"Memang saya mahu emas kedua dan yakin dengan persembahan saya sejak dari terjunan pertama lagi... apapun pingat perak ini tetap jadi kebanggaan saya," katanya.


Kejayaan pingat perak itu menjadikan Tze Liang penerjun terbaik negara pada temasya Glasgow ini selepas mengutip satu emas (emas keempat negara) dalam acara 3m papan anjal sebelum ini.


Atlet dari Georgetown, Pulau Pinang berusia 20 tahun itu kini mengumpul RM120,000 hasil ganjaran kemenangan tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi SHAKAM.

Foto

Ooi Tze Liang

Ditanya apa yang akan dilakukan dengan ganjaran itu, Tze Liang sambil tersenyum berkata: "Belum tahu lagi tapi saya akan menyimpannya untuk keperluan penting.


"Saya tujukan kemenangan ini kepada kedua ibu bapa saya serta jurulatih Huang Qiang yang banyak memberikan kata-kata semangat dan membantu saya terutama ketika temasya seperti ini.

"Pastinya kejayaan ini juga menguatkan azam saya untuk lebih bekerja keras menghadapi Sukan Asia Incheon pula," jelasnya.


Seorang lagi atlet negara yang turut beraksi dalam acara itu Chew Yiwei hanya menduduki tempat ke-10 selepas mengumpul 358.55 mata.


Skuad terjun menamatkan kempen dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Jelmaan Adebayor

Posted: 03 Aug 2014 11:46 AM PDT

London: Bintang baru Arsenal, Alexis Sanchez membuat penampilan pertama tetapi penyerang Perancis, Yaya Sanogo paling mencuri tumpuan apabila meledak empat gol ketika membelasah Benfica 5-1 pada saingan pramusim Piala Emirates, kelmarin.

Penyerang antarabangsa Chile itu yang berpindah dari Barcelona bulan lalu, masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan tetapi sebelum itu Sanogo serta penyerang Costa Rica, Joel Campbell sudah meletakkan Arsenal di posisi selesa.


Sanogo yang berusia 21 tahun belum pernah beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris sejak berpindah dari Auxerre pada Julai tahun lalu sementara Campbell menghabiskan hampir kebanyakan kariernya dengan dipinjamkan ke Lorient, Real Betis dan Olympiakos Piraeus.

Aksi kelmarin menyaksikan skuad bimbingan Arsene Wenger itu mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan pada musim baru nanti.


"Yang memeningkan kepala saya ialah mereka tidak beraksi pada tahap terbaik.


"Kami perlu melakukan keputusan dengan tepat apabila semua pemain beraksi dengan baik.

Foto

SANOGO (jersi merah) jaring empat gol jinak Benfica.

"Sanogo berdepan kecederaan selama dua tahun sebelum dia menyertai kami. Jika anda menyaksikan rekod jaringannya sebelum dia berdepan kecederaan, ia amat menakjubkan.


"Dia mempunyai masa depan yang cerah di sini. Dia baru berusia 21 tahun dan mempunyai karakter hampir sama seperti bekas penyerang kami, Emmanuel Adebayor.

"Campbell sudah melakukan yang terbaik. Saya gemar melihat aksinya yang mengawal bola dengan baik," katanya.


Sanogo menjaringkan tiga gol pada babak pertama dan meraih gol keempat pada minit ke-50 selepas cubaan Aaron Ramsey dinafikan oleh penjaga gol Benfica, Artur Moraes. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Wenger nafi pancing Khedira

Posted: 03 Aug 2014 11:43 AM PDT

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, pihaknya tidak melakukan sebarang tawaran kepada Sami Khedira yang juga pemain tengah Real Madrid.

Khedira salah seorang pemain yang membantu Jerman memenangi Piala Dunia, berdepan persaingan sengit untuk berada dalam kesebelasan utama di Madrid selepas ketibaan bintang Colombia, James Rodriguez dengan Arsenal dikaitkan dengan pemain itu.


Namun Wenger tetap menutup mulut ketika ditanya sama ada Arsenal berminat untuk mendapatkan pemain berusia 27 tahun itu.

Ditanya mengenai perkara itu, Wenger sekadar menjawab: "Tidak." Ketika ditanya lagi adakah beliau pernah menyemak status pemain tengah itu, Wenger sekadar berkata: "Saya tidak tahu apa-apa." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Ledakan Young

Posted: 03 Aug 2014 11:43 AM PDT

Ann Arbor, AS: Ashley Young meledak dua gol untuk membantu Manchester United mengatasi Real Madrid 3-1 di hadapan penonton teramai dalam perlawanan bola sepak di Amerika Syarikat semalam.

Javier Hernandez turut meledak satu gol buat Manchester United dengan jaringan tunggal lawan menerusi sepakan penalti Gareth Bale.


Madrid ketinggalan 1-2 pada babak kedua ketika Carlo Ancelotti menurunkan bekas bintang United Cristiano Ronaldo yang terlebih dulu memanaskan bangku simpanan.

Langkah itu tidak memberi impak kepada juara Eropah untuk memburu jaringan penyamaan namun ia menceriakan kira-kira 109,318 penyokong di Stadium Michigan.


Jumlah kehadiran penonton itu mengatasi rekod terdahulu seramai 101,799 yang menyaksikan perlawanan final Olimpik 1984 antara Brazil dan Perancis di Rose Bowl, Pasadena.


Ketika pengurus United, Louis Van Gaal menyuarakan keraguannya mengenai kekerapan perjalanan yang terpaksa diharungi di jelajah AS mampu memberikan persiapan pramusim terbaik buat pemainnya, beliau bangga kelabnya memberi impak di Amerika Utara selain persembahan mereka di padang dalam empat perlawanan setakat ini.

Foto

YOUNG (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama pemain Manchester United.

"Sudah tiga ratus ribu penyokong menyaksikan kami dan kami kini di Miami untuk final, ia akan menarik minat lebih ramai lagi," katanya.


"Stesen penyiar seluruh dunia seharusnya menayangkan jaringan pertama," katanya mengenai jaringan Young pada minit ke-21. "Ia jaringan yang hebat dihasilkan Manchester United. Saya fikir semua pemain menyentuh bola itu. Saya fikir penonton hadir ke stadium untuk menyaksikan jaringan itu." Real Madrid menyamakan kedudukan enam minit kemudian selepas Bale dikasari Michael Keane dan menyempurnakan sepakan penalti.

Skuad kendalian Van Gaal kembali mendahului pada minit ke-37 apabila sepakan lencong Young menggegar gawang sebelum Hernandez melengkapkan kemenangan pada minit ke-80 apabila menanduk masuk bola hantaran Shinji Kagawa.


Mereka akan bertemu kelab musuh Liga Perdana, Liverpool pada perlawanan akhir pagi esok. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Ronaldo masih sayang Red Devils

Posted: 03 Aug 2014 11:41 AM PDT

Ann Arbor, AS: Cristiano Ronaldo mengakui dia mungkin kembali ke Manchester United suatu hari nanti.

Ronaldo muncul wira di United selepas mengharungi tempoh enam musim yang cemerlang di bawah kendalian Alex Ferguson.


Pemain sayap Portugal itu berpindah ke Real Madrid dengan harga £80 juta (RM432 juta) pada 2009 namun mahu mengingati saat manisnya di Old Trafford.

Walaupun mengatakan dia gembira di Bernabeu, Ronaldo turut tidak menolak kemungkinan untuk kembali bersama United pada masa depan.


"Saya menyayangi Manchester dan anda tidak boleh jangkakan apa yang akan berlaku dalam bola sepak. Sudah pasti saya gembira di Real Madrid, ia adalah rumah saya, ia kelab saya namun United melayan saya dengan luar biasa.


"Saya masih berhubung dengan beberapa individu kerana mempunyai hubungan yang baik dengan setiap orang, ia seperti keluarga kedua saya." Ketika di bawah kendalian Ferguson, Ronaldo memenangi tiga gelaran Liga Perdana dan satu Liga Juara-Juara sebelum menyertai Real Madrid yang melakar rekod baru perpindahan dunia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Ancelotti tak bimbang

Posted: 03 Aug 2014 11:41 AM PDT

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti tidak bimbang dengan tiga kekalahan dalam aksi persahabatan pasukannya di Amerika Syarikat dan yakin pemainnya akan berada di prestasi terbaik menjelang Piala Super Eropah menentang Sevilla pada 12 Ogos ini.

Real tewas 1-3 dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United dalam perlawanan Piala Juara Antarabangsa di Michigan semalam yang turut menyaksikan juara Eropah musim lalu itu tewas kepada dua wakil kelab dari Serie A, AS Roma dan Inter Milan.


"Kami tidak gembira dengan kekalahan ini," kata Ancelotti.

"Namun, saya yakin kami akan bermain dengan semangat berbeza dalam saingan Piala Super Eropah," kata pengendali dari Itali itu yang mengemudi Real menjuarai Liga Juara-juara Eropah 2014 dalam musim pertamanya bersama kelab itu.


"Ini perlawanan persediaan. Kami tidak mempamerkan aksi yang terbaik, tapi segala-galanya akan berubah minggu depan," katanya.


Di sebalik keputusan perlawanan kurang memuaskan itu, Real menerima perkhabaran menggembirakan apabila pemain Portugal yang juga pemain terbaik dunia Cristiano Ronaldo yang baru pulih daripada kecederaan lutut dimasukkan pada 20 minit terakhir.

Sebelum perlawanan, Ancelotti berkata, kelibat Ronaldo tidak akan digunakan dalam aksi itu, namun beliau merubahnya apabila penjaring terbanyak Real itu didapati kembali cergas sepenuhnya dengan pemain baru James Rodriguez dan Toni Kroos mula menyertai pasukan yang kini dalam rangka persiapan bagi menghadapi musim baru.


"Kami masih di peringkat awal dan belum bersedia ketika beberapa pemain hanya mula (latihan) seminggu yang lalu dan mereka tidak berada dalam prestasi terbaik," kata Ancelotti.

"Ia perkara biasa hari ini kerana kami tidak menurunkan barisan terbaik seperti Cristiano atau pemain lain.


"Dengan kehadiran semula pemain berkualiti ke dalam skuad, kami akan bertambah baik," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Ibrahimovic julang PSG ungguli Trofi Juara-Juara

Posted: 03 Aug 2014 10:34 AM PDT

Beijing: Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol dalam masa 20 minit buat membantu Paris St Germain memenangi Trofi Juara-Juara bagi kali keempat selepas menewaskan Guingamp 2-0 di Beijing, kelmarin.

Pemain Sweden itu berjaya menemui jaring lawan seawal minit kelapan menerusi sepakan lencong jarak jauh sebelum mencetak jaringan kedua hasil sepakan penalti, dalam perlawanan yang menemukan juara Liga Perancis dan Piala Perancis setiap tahun itu.


Penyerang Mali, Mustapha Yatabare terlepas peluang keemasan untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-31, namun sepakan penalti yang diambilnya diselamatkan oleh penjaga gol PSG, Salvatore Sirigu.

Kerancakan perlawanan di ibu negara China itu sedikit membosankan, dengan aksi kurang menarik terutama tonggak PSG, Marco Verratti dan Thiago Motta di bahagian tengah.


Penyerang Uruguay, Edinson Cavani yang dilaporkan bakal meninggalkan juara Perancis itu, dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-61 dan hampir menambah jaringan namun sedikit melewati palang gol Guingamp. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Xavi penyelamat maruah Barcelona

Posted: 03 Aug 2014 10:33 AM PDT

Nice, Perancis: Sentuhan pemain senior membantu menyelamatkan maruah Barcelona apabila seri 1-1 dengan Nice dalam aksi persahabatan di selatan Perancis kelmarin.

Pemain veteran Xavi Hernandez dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua selepas kelab Catalunya itu ketinggalan 0-1 kepada kelab dari Ligue 1 itu di Stadium Allianz Riviera.


Dia menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti apabila Romain Genevois menjatuhkan penyerang muda Barcelona Munir El Haddadi dalam kotak penalti.

   Sebelum itu, penyerang Argentina, Dario Cvitanich meletakkan Nice di depan menerusi penalti selepas pertahanan kental skuad kebangsaan Sepanyol, Gerard Pique mengasarinya dalam kotak penalti.


Jurulatih baru Barcelona, Luis Enrique yang membeli dua pemain baru Marc-Andre ter Stegen dan Jeremy Mathiue, turut membawa masuk Ivan Rakitic dan Alen Halilovic sebagai pemain gantian.


Aksi pemanas badan seterusnya buat Barcelona dijadualkan Rabu ini menentang Napoli, sebelum turun beraksi dalam perlawanan pertama pembukaan La Liga menentang Elche 24 Ogos ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Garcia mantap

Posted: 03 Aug 2014 10:33 AM PDT

Akron, AS: Sergio Garcia kekal mendahului tiga pukulan selepas pusingan ketiga kejohanan Jemputan WGC-Bridgestone semalam manakala Rory McIlroy cuba mencabarnya di tangga kedua ketika dua pemain Eropah itu bertembung sekali lagi dalam perebutan kejuaraan.

Dua minggu selepas McIlroy mengatasi cabaran sengit Garcia pada pusingan akhir sebelum menjuarai Terbuka British, pemain Ireland Utara itu kini cuba mengejar bukannya dikejar.


Garcia, yang menyamai rekod lapangan 61 pada pusingan kedua, ternyata mantap apabila dia merakam tiga bawah par 67 di Kelab Country Firestone di Akron, Ohio.

Dia mengumpul jumlah keseluruhan 14 bawah par 196 dengan berbaki satu pusingan manakala McIlroy birdie dua lubang terakhir termasuk menolak masuk birdie dari jarak 35 kaki pada lubang terakhir untuk merakam 66 dan 11 bawah par keseluruhan.


Ia bukan saja persaingan dua penjuru selepas pusingan yang menyaksikan ia tertangguh selama lebih tiga jam kerana ribut petir.


Marc Leishman empat pukulan di belakang manakala seorang lagi pemain Australia yang juga pemain nombor satu dunia Adam Scott, lima pukulan di belakang bersama pemain England, Justin Rose dan Keegan Bradley dari Amerika Syarikat.

Foto

Sergio Garcia

"Saya tersalah congak beberapa pukulan putt di beberapa tempat selain melakukan beberapa putt yang tidak bagus," kata Garcia sekalipun berpuas hati dengan permainannya dan sedia bertembung sekali lagi dengan McIlroy.


"Saya berasa amat selesa sepanjang minggu jadi harapnya saya boleh melakukan perkara sama pada hari terakhir, seperti dia (McIlroy) melakukannya di Hoylake dan harapnya dia kekal di belakang saya." McIlroy turut teruja dengan peluang mengejar pemain yang menjadi tonggak utama bersamanya dalam pasukan Eropah bagi Piala Ryder bulan depan.

"Sergio mengejar saya di Royal Liverpool. Saya akan cuba mengejarnya minggu ini," jelas McIlroy yang boleh merampas kedudukan Scott sebagai pemain nombor satu dunia.


McIlroy mesti menang dan Scott berakhir di tangga kelima atau lebih teruk. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Hodak puas aksi Harimau Selatan

Posted: 03 Aug 2014 10:28 AM PDT

Johor Bahru: Rekod bersih tanpa kalah sepanjang tiga aksi persahabatan menjelang saingan Piala Malaysia bermula 13 Ogos ini mengundang rasa puas buat ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Bojan Hodak.

Apa tidaknya, kelibat pemain simpanan yang dipertaruhkan untuk menguji kesesuaian perancangan jurulatih dari Croatia itu membuahkan hasil selepas pemain Johor DT mampu memberi persembahan terbaik.


Malah Hodak sendiri mengakui kelibat lapan pemain utama Asaruddin Putra Omar, Aidil Zafuan Abd Radzak, Amri Yahyah, Safiq Rahim, Mahalli Jasuli, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali dan Fadhli Shas kemungkinan sekadar memanas bangku simpanan andainya pemain simpanan terus mempamer aksi konsisten.

"Tidak semestinya jika kelapan-lapan pemain itu yang kembali bersama Johor DT selepas menyertai kem latihan skuad kebangsaan akan diberi tempat dalam kesebelasan utama.


"Sebaliknya mereka perlu merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama selepas pemain simpanan yang diturunkan pada aksi persahabatan menunjukkan corak permainan bermutu.


"Tiga kemenangan yang dicatat sudah cukup memberi kesan positif kepada pemain untuk terus mempamerkan aksi konsisten malah ia memberi pemain motivasi dan keyakinan sebelum saingan Piala Malaysia bermula," katanya kepada Arena Metro selepas aksi persahabatan Johor DT menentang Polis di Stadium Larkin, kelmarin.

Pada perlawanan yang menemukan dua juara iaitu Johor DT selaku juara Liga Super dan Polis berstatus juara Liga Perdana menyaksikan anak didik Hodak yang rata-rata barisan pemain simpanan menewaskan skuad bimbingan Azman Adnan 3-0.


Sebelum ini, Johor DT berjaya menewaskan Johor DT II 2-1 sebelum mengatasi kelab Liga Singapura, Warriors FC 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

No comments:

Post a Comment