Pages

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Hamilton beli jet

Posted:

London: Dia menyara hidup dengan memandu kereta lumba Formula 1.

Tetapi kini Lewis Hamilton mempunyai pengangkutan yang jauh lebih laju sebuah jet bernilai 20 juta pound (RM97 juta).


Pemandu Formula 1 terbabit berharap jet Bombardier CL-600 berwarna merah yang berkelajuan 500 batu sejam itu akan memudahkan hubungan jarak jauhnya dengan juri X Factor, Nicole Scherzinger.

Sementara Hamilton tinggal di Monaco, bekas anggota Pussycat Doll itu berpangkalan di Los Angeles dan kedua-duanya membuat perjalanan ke serata dunia untuk tugas mereka. Rakannya berkata, jejaka berusia 28 tahun itu membeli jet mewah itu untuk memudahkan perjalanannya menemui teman wanitanya sekerap mungkin.


Pasangan itu berpisah pada 2011, dilaporkan kerana tertekan apabila terpaksa meluangkan begitu banyak masa membuat perjalanan beribu-ribu kilometer. Juara dunia 2008 itu turut menukar pendaftaran rasminya kepada G-LCDH yang bermaksud Lewis Carl Davidson Hamilton. Juara Formula 1 2008 itu berjimat membayar cukai kastam apabila mengambil penghantaran jet berkenaan di Lapangan Terbang Isle of Man bulan lalu.


Pihak berkuasa pulau itu mengenakan cukai lebih rendah berbanding di tanah besar.

Foto

HAMILTON berharap jet Bombardier CL-600 akan memudahkan hubungan jarak jauhnya dengan Nicole.

Foto

JET peribadi Hamilton dilengkapi dengan katil mudah alih, televisyen plasma dan bar.

Hamilton kemudian membuat penerbangan sulung ke Stuttgurt, Jerman, di mana dia melawat pasukan Formula 1, selepas menandatangani kontrak 60 juta pound (RM292 juta) dengan Mercedes September lalu.


Dia memuat naik fotonya berehat di tempat duduk dalam jet itu di Twitter dan menulis: "Berakhir hari cuti, kembali ke kawasan pergunungan untuk berlatih!" Bekas pemandu McLaren itu dan Nicole, 34, yang mula berpacaran pada 2007, telah menyertai kelab elit "super selebriti", termasuk Tom Cruise dan Oprah Winfrey yang mampu memiliki jet peribadi.

Itu bermakna mereka tidak perlu berdepan penundaan di lapangan terbang awam yang menyediakan penerbangan untuk orang ramai. Nicole baru-baru ini berkata: "Saya tidak syorkan hubungan jarak jauh pada orang lain. Hamilton juga akan berkata begitu.


"Tetapi jika ia berbaloi, anda perlu berjuang untuk itu. Kami cuba untuk bertemu semungkin yang boleh," katanya.


Nicole dilaporkan membelanjakan 750,000 pound (RM3.6 juta) untuk menyewa jet peribadi bagi melawat teman lelakinya sepanjang tahun lalu. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Maut dirempuh kereta api laju

Posted:

Albuquerque (New Mexico): Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mati dirempuh kereta api laju Amtrak ketika dia melintas landasan sambil mendengar muzik.

Polis berkata, Jose Angel dia mendengar konduktor membunyikan hon, kerana dia memakai fon kepala ketika berjalan pulang dari Sekolah Tinggi Bernalillo di sepanjang landasan kereta api bersama dua kawannya.


Rakannya dan saksi lain melaporkan melihat Angel berjalan atas landasan tanpa menyedari sebuah kereta api menuju ke selatan muncul dengan kelajuan 112 kilometer sejam, lapor Albuquerque Journal. Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.15 petang menemui mayat mangsa dekat Valle Avenue dan Oak Street, kawasan antara dua laluan umum lintasan kereta api.

Polis menemui serpihan fon kepala dalam telinga mangsa dan iPod di tempat kejadian.


Ketua Polis Bernalillo, Julian Gonzales dilaporkan berkata: "Saya rasa mesej kejadian ini untuk semua remaja ialah: Lihat kedua-dua arah sebelum melintas sama ada di jalan raya atau landasan kereta api." Kereta api terbabit dalam perjalanan ke arah selatan menuju Albuquerque ketika ia merempuh mangsa. Ia meneruskan perjalanannya kira-kira sejam kemudian. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Mayat bangun semasa majlis pengebumian

Posted:

Guangdong: Sebilangan besar jiran tetangga yang hadir di upacara pengebumian seorang warga emas, Peng Xiuhua semalam terkejut apabila wanita tua itu bangun lalu duduk berbual dengan mereka.

Peng, 101, mengejutkan anggota keluarga dan sahabat handainya apabila dia bangun di kediamannya di Lianjiang di sini. Dia bertanya mengapa terdapat ramai orang di rumahnya sebelum diberitahu bahawa dua anak perempuannya menemukan tubuhnya sudah tidak bernyawa sehari sebelum itu. Dua anak perempuannya yang berusia 70-an itu kemudian memandikan ibu mereka dan meminta pekerja rumah mayat membuat persediaan untuk upacara pengebumian. Bagaimanapun, upacara pengebumian Peng kemudian dibatalkan kerana wanita tua terbabit kini sudah bangun dan berbual seperti sediakala. "Bukan saja saya dapat menyaksikan bahawa ramai orang yang mengambil berat terhadap diri saya, tetapi saya juga sempat bangun sebelum mereka membawa saya untuk upacara pembakaran mayat," katanya. - metrouk.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Dua gunung meletus

Posted:

Manado: Gunung Lokon yang terletak di Tomohon, Sulawesi Utara, kembali meletus kira-kira jam 2 petang semalam (waktu tempatan) dengan mengeluarkan kepulan asap dan debu setinggi 3,000 meter.

Ketua Pejabat Pemantau Gunung Berapi Lokon Dan Mahawu, Farid Ruskanda Bima, berkata siri letusan itu berlangsung dari semasa ke semasa dengan kekerapan harian. Kelmarin, katanya, gunung berapi itu meletus sembilan kali dan pihak berkuasa mengklasifikasikan situasi di situ berada di tahap ketiga. Sementara itu, sebuah lagi gunung berapi, Gunung Rokatenda, di Pulau Palue, Nusa Tenggara Timur, juga meletus kelmarin.


Agensi berita Antara melaporkan, sebahagian besar wilayah di Pulau Flores diselaputi debu dari gunung berapi berkenaan. "Rumah penduduk, terutama di utara Pulau Flores, diselaputi debu setebal kira-kira satu milimeter," lapor agensi berita rasmi Indonesia itu. Jurucakap badan pemantau gunung berapi itu berkata, ketika letusan kelmarin, hujan turut berlaku menyebabkan debu dari situ menyelubungi sebahagian besar kawasan sekitarnya. "Letusan berlaku diikuti dengan dentuman dan suara gemuruh yang boleh didengar dari pos pemantau yang terletak 17 kilometer ke selatan Gunung Rokatenda," katanya.

Kejadian itu juga, katanya, menyebabkan lahar gunung berapi mengalir menuruni gunung berkenaan, manakala debu terapung sehingga 4,000 meter dari permukaan laut.


Katanya, pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya berjaga-jaga kerana debu berkenaan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang teruk. "Untuk sementara, orang ramai diminta tidak keluar rumah, atau jika terpaksa, mereka mesti memakai topeng untuk mengelak diserang masalah pernafasan," katanya. - Lensaindonesia.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Parti Golkar dapat kepercayaan rakyat

Posted:

Jakarta: Parti Golkar bakal memenangi pilihan raya Presiden Indonesia jika pemilihan diadakan pada 2012, kata sebuah agensi penyelidikan, semalam.

Pengarah kaji selidik itu, Jayadi Hanan berkata, harapan rakyat Indonesia terhadap parti yang popular dengan lambang pokok beringin itu sangat tinggi. Katanya, dalam penyelidikan dibuat agensinya, 21.3 peratus responden memilih Golkar berbanding Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) 18.2 peratus dan Pati Demokrat 8.3 peratus.


"Hasil daripada perbandingan ketiga-tiga parti berkenaan, ternyata Golkar menjadi pemenang," katanya di sidang media di sebuah hotel, semalam.

Kaji selidik itu dibuat dengan menilai prestasi dan parti yang menyertai politik di Indonesia. Menurut Jayadi, kaji selidik itu dijalankan antara 6 hingga 22 Disember tahun lalu dengan membabitkan 1,220 responden. Katanya, Parti Gerindra turut mendapat kepercayaan sebahagian responden.


"Gerinda memperoleh 7.2 peratus, manakala Parti Kebangkitan Bangsa 5.6 peratus, Parti Nasional Demokrat (NasDem) 5.2 peratus.


"Parti Persatuan Pembangunan pula mendapat 4.1 peratus, Parti Keadilan Sejahtera 2.7 peratus, Parti Amanat Negara 1.5 peratus dan Parti Hasrat Nurani Rakyat (Hanura) 1.4 peratus," katanya. - inilah.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Wanita seludup kokain ditahan

Posted:

Bangkok: Seorang wanita Thailand ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kerana disyaki cuba menyeludup kokain bernilai lebih RM2 juta, kata polis semalam.

Suspek, Natcha Lomchanthuek, mendakwa dia baru tiba dari Peru dan singgah di Sao Paulo, Brazil, selain Singapura dan Samui di wilayah Surat Thani. Jurucakap polis berkata, pegawai kastam menemui lebih lima kilogram kokain dalam beg Natcha. "Bagaimanapun, Natcha menafikan tahu mengenai dadah berkenaan dan mendakwa ia dimiliki teman lelakinya," katanya. Natcha kemudian didakwa memiliki dadah dan menyeludup bahan larangan itu tanpa kebenaran. Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Siasatan Dan Pencegahan Kastam Thailand, Rakop Srisupaat, berkata berlaku peningkatan ketara dalam pembabitan wanita sebagai penyeludup dadah. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Abu Sayyaf bebas dua tahanan

Posted:

Manila: Militan Abu Sayyaf membebaskan dua rakyat Filipina yang bertugas untuk stesen televisyen Jordan yang diculik sejak Jun lalu, kata polis semalam.

Ketua Polis Sulu, Antonio Freyra, berkata pihak berkuasa menemui jurukamera, Ramel Vela, serta juruteknik audio, Roland Letriro, dalam keadaan lemah, kelmarin.


"Kedua-dua mereka dibawa ke hospital tempatan untuk pemeriksaan," katanya.

Vela dan Letriro dilaporkan hilang bersama wartawan warga Jordan, Baker Abdullah Atyani, ketika mereka mengadakan temu bual dengan kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda itu tahun lalu. Freyra berkata, Baker dipercayai masih ada dalam tahanan Abu Sayyaf.


Katanya, Vela dan Letriro kehilangan berat badan yang ketara kerana setiap hari berada dalam keadaan tertekan. Tidak dapat dipastikan setakat ini siapa yang mengusahakan pembebasan mereka. Sumber tentera berkata, Abu Sayyaf menuntut tebusan RM9.6 juta untuk pembebasan Baker dan dua krunya.


Ratusan anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MILF) turut berunding dengan militan terbabit untuk membebaskan ketiga-tiga pekerja stesen televisyen berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Mahu Mursi dibicara

Posted:

Kaherah: Pembangkang utama Mesir semalam menyokong gesaan supaya Presiden Mohamed Mursi disingkirkan dan menuntut pemimpin kumpulan Islam itu dibicarakan selepas pertempuran maut antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan.

Barisan Penyelamat Negara (NSF) berkata, Mohamed Mursi perlu didakwa atas tuduhan 'membunuh dan menyeksa', selain menggesa orang ramai terus mengadakan protes aman.


"NSF memihak sepenuhnya kepada rakyat dan seruan mereka untuk menggulingkan rejim kuku besi serta kawasan Ikhwanul Muslimin," kata kenyataan dikeluarkan kumpulan itu. NSF gabungan lebih 35 parti pembangkang dan kumpulan yang tidak sehaluan dengan Mohamed Mursi.

Dibentuk untuk menggagalkan perisytiharan perlembagaan baru Mesir pada 22 November tahun lalu, NSF diketuai bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed ElBaradei.


Menurut kumpulan itu, Mohamed Mursi perlu dibicarakan selepas 'siasatan bebas' dijalankan.


Mereka juga menolak sebarang dialog dengan presiden itu sehingga "pertumpahan darah dihentikan, manakala pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu dikenakan tindakan." Bagaimanapun, wujud tanda-tanda berlaku perbezaan pendapat di kalangan anggota gabungan pembangkang itu.

Jurucakap NSF Khaled Dawoud, berkata mereka menggesa supaya kumpulan yang mengamalkan pemerintahan zalim digulingkan, tetapi bukan regim itu sendiri. "Kami membantah sebarang tindakan menganiaya rakyat serta mengabaikan segala tuntutan pembangkang," katanya. Seorang lagi anggota NSF Hussein Abdel Ghani berkata, kenyataan dikeluarkan itu bertujuan menggulingkan kerajaan Mohamed Mursi. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

33 korban serangan berani mati

Posted:

Kirkuk: Seorang pengebom berani mati serta sekumpulan lelaki bersenjata menyamar sebagai polis sebelum cuba merempuh ibu pejabat polis semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 33 maut.

Ia serangan besar ketiga dilakukan dalam beberapa minggu di bandar di utara Iraq itu.


Jurucakap polis berkata, pengebom berani mati itu memandu kenderaan sarat berisi bahan letupan melanggar pintu masuk ibu pejabat polis.

"Selepas kereta itu meletup, sekumpulan lelaki bersenjata memakai jaket diisi bahan letupan menyerang menggunakan raifal AK47 dan grenad, tetapi anggota keselamatan berjaya membunuh mereka," katanya. Letupan kereta itu memusnahkan tembok konkrit bangunan polis berkenaan selain merosakkan kenderaan di luar.


Sekurang-kurangnya dua penyerang ditemui di bawah runtuhan akibat letupan itu.


Beberapa kumpulan bersenjata aktif di Kirkuk selain pemberontak Sunnah yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda sering menyerang pasukan keselamatan bagi melemahkan kerajaan Perdana Menteri, Nuri al-Maliki. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Rakaman video cetus kemarahan

Posted:

Kaherah: Selepas lapan hari berlaku protes yang setakat ini mengorbankan hampir 60 nyawa, rakaman video memaparkan penunjuk perasaan dibogelkan, diheret dan dibelasah polis mencetuskan kemarahan baru di kalangan rakyat Mesir.

Hamada Saber, 48, kini di hospital polis, sehari selepas dilihat di kaca televisyen menjadi sasaran serangan polis antirusuhan.


Melalui rakaman video itu, Hamada kelihatan tanpa pakaian, comot dan diserang polis sebelum ditarik ke kereta perisai berhampiran Istana Presiden. Pejabat Presiden Mesir berjanji menjalankan siasatan terhadap insiden itu yang berlaku sejurus selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa mengorbankan orang awam.

Pembangkang menuduh Mohamed Mursi menggunakan kaedah ganas, sama seperti dilakukan pemerintah Mesir sebelum ini Hosni Mubarak. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

No comments:

Post a Comment