Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Nazmi, ejen bermain teka-teki

Posted:

Kuala Lumpur: Status kepulangan mengejut Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia masih mencetuskan tanda tanya walaupun pemain berbakat berusia 19 tahun itu seboleh-bolehnya cuba meyakinkan pihak media menerusi sidang akhbar semalam bahawa dia sendiri mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air.

"Saya sendiri membuat keputusan ini dan saya juga yang memilih untuk menyertai PKNS FC.


"(SC) Beira Mar dan saya sudah mencapai persetujuan bersama, iaitu mereka melepaskan saya.

"Jadi khabar angin yang menyatakan saya dipinjamkan ke kelab ini selama enam bulan dan akan kembali semula ke Beira Mar, tidak benar. Saya sudah bebas sepenuhnya daripada Beira Mar dan tak akan kembali ke sana," katanya pada sidang media memperkenalkannya sebagai pemain baru PKNS FC, semalam.


Namun di sebalik jawapannya itu, Nazmi seolah-olah membuat kenyataan yang bercanggah apabila menegaskan keputusan untuk pulang ke Malaysia dibuat dalam tempoh yang begitu singkat.


"Keputusan yang dibuat ini memang tidak dijangkakan, keputusan yang saya buat secara mengejut.

"Apapun, saya fikir keputusan ini terbaik untuk saya. Tiada desakan mana-mana pihak," katanya yang sering diganggu ejennya, Marco Guimaraes apabila pihak media bertanyakan soalan 'panas'.


Malah Guimaraes sendiri gagal memberikan jawapan meyakinkan ketika ditanya mengenai kepulangan Nazmi ke Malaysia.

"Saya rasa kami dijemput ke sini untuk memperkatakan mengenai kelab baru Nazmi, iaitu PKNS dan bukannya Beira Mar, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) atau sebagainya," katanya.


Ditanya adakah FAM dimaklumkan mengenai kepulangan Nazmi, Guimaraes sekadar berkata: "Kenapa perlu babitkan FAM?" Sementara itu, Presiden PKNS FC, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, Nazmi sudah mengikat kontrak tiga tahun bersama pasukan yang beraksi di Liga Super itu dengan membabitkan sejumlah yuran perpindahan yang enggan didedahkan.


"Untuk dapatkan Nazmi bukan sesuatu yang dirancang. Kami didatangi ejennya yang menyatakan kontrak Nazmi dengan Beira Mar sudah tidak ada lagi.


"Bermakna Nazmi bebas untuk bermain dengan mana-mana kelab. Dia diberi pilihan dan PKNS menjadi pilihan utama Nazmi," katanya.


Noor Hisham berkata, pihaknya akan bertemu dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) esok bagi membincangkan mengenai kepulangan Nazmi serta berharap FAM dapat memberi lampu hijau untuk pemain tengah itu beraksi dengan kadar segera.


Jika mengikut peraturan, Nazmi hanya boleh dibenarkan bermain ketika jendela perpindahan pemain kedua yang akan dibuka pada April.


Arena Metro semalam melaporkan penjelasan bapa Nazmi, Mansor Mustapha yang tidak mahu kepulangan anaknya itu disalahertikan, sebaliknya menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang baik bagi meneruskan karier Nazmi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

'Isu Nazmi tutup peluang pemain lain'

Posted:

Brisbane, Australia: Ibarat tikam dari belakang. Itulah perumpamaan tepat yang membayangi kepulangan Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia selepas berkelana di Portugal selama tujuh bulan.

Pemain SC Beira Mar itu yang pada awalnya mengikat kontrak tiga tahun bersama SC Beira Mar, kembali beraksi dalam kancah bola sepak tempatan apabila tidak sampai setahun berada di kelab divisyen satu itu dan mengikat kontrak bersama pasukan berstatus kelab, PKNS FC.


Malah tindakan 'pelik' terbabit langsung tidak ketahui pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersusah payah membuka ruang untuknya mengembangkan bakatnya di Eropah.

Justeru, apa berlaku kepada Nazmi itu memberikan pengajaran cukup berguna yang jelas amat pahit untuk ditelan, namun ia bukan bermakna perancangan untuk menghantar pemain Harimau Muda yang lain beraksi di luar negara, terbantut.


"Cuma kita perlu berhati-hati apabila mengadakan perbincangan dengan ejen yang lebih jujur. Saya berharap perkara sama tidak menimpa Ahmad Fakri Saarani dan dia dapat meneruskan kariernya di tahap lebih tinggi," katanya.


Pemergian Nazmi Faiz ke Portugal diuruskan Marco Guimaraes yang turut bertindak sebagai ejen Ahmad Fakri yang kini beraksi bersama kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC dengan kontrak enam bulan.

Kepulangan perancang tengah itu dilihat 'membunuh bola sepak negara' kerana Nazmi dianggap sebagai seorang pemain berbakat dan dilihat mampu membawa perubahan dan peningkatan kepada skuad negara, terutamanya menjelang misi mempertahankan emas Sukan Sea penghujung tahun ini.


Perancangan saya untuk Sukan Sea tidak berubah dengan dia perlu membuktikan kemampuannya untuk tersenarai," katanya yang mempunyai bilangan pemain muda yang tidak terhad untuk mengemudi bahagian tengah.

Tindakan Nazmi Faiz itu dikatakan menyebabkan peluang Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Zakaria ke Jepun untuk bersama kelab FC Ryukyu turut terkena tempias.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

SSTMI perlu pamerkan aksi sebenar mereka

Posted:

Kuala Lumpur: Mungkinkah Sekolah Sukan Tunku Ismail Thunderbolt (SSTMI) sudah hilang taring berikutan menampilkan aksi tidak meyakinkan selepas mengharungi lima perlawanan Divisyen Satu Liga Hoki Malaysia (LHM).

Buktinya pada perlawanan terakhir bertemu MBI Anderson, SSTMI umpama tidak menampilkan aksi sebenar apabila dibolosi tiga kali berturut-turut sebelum tumpas mengejut 2-3.


Reputasi selaku juara berganda musim lalu dilihat semakin pudar selepas kekalahan itu dan hari ini, mereka berpeluang untuk menebus maruah dengan misi menewaskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tiga mata penuh pasti menjadi sasaran pihak pengurusan, tetapi persoalannya adakah mereka mampu menewaskan MBPJ yang ketika ini menghuni tangga kedua liga.


Setakat ini, MBPJ dilihat lebih cemerlang dengan mencatat kemenangan bersih selepas lima perlawanan sekali gus mengumpul maksimum 15 mata, lebih tiga mata berbanding SSTMI yang menduduki tangga ketiga.


Atas kertas, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang, tetapi apa yang membezakan antara kedua-duanya mungkin faktor nasib.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Jangan pandang rendah Liverpool

Posted:

Manchester: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada pemainnya bahawa Liverpool mampu menggugat harapan mereka untuk meraih gelaran juara ketika pertemuan di Eastlands malam ini.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu mensia-siakan peluang untuk memberi tekanan kepada Manchester United apabila mereka terikat tanpa jaringan dengan QPR, Rabu lalu dan mungkin ketinggalan 10 mata kepada pendahulu itu apabila turun menentang Liverpool, nanti.


Jika United menewaskan Fulham di Craven Cottage, misi City mempertahankan gelaran berada dalam bahaya dengan Mancini sedar Liverpool mempunyai pemain individu berbakat yang mampu menghadirkan masalah buat pasukannya.

Biarpun pengurus Reds, Brendan Rodgers meraih keputusan tidak menentu musim ini, beliau cuba membentuk sistem baru di Anfield dan Mancini percaya Liverpool pasti memberi ancaman menerusi pemain seperti Luis Suarez dan Steven Gerrard.


"Ada kalanya sukar untuk membuat perubahan seperti Liverpool," kata Mancini.


"Rodgers mencatat beberapa keputusan membanggakan, tapi Liverpool sentiasa sebuah pasukan yang kuat. Perlawanan esok pastinya berbahaya buat kami." City tidak pernah bolos sebarang gol tahun ini dan mereka mengekalkan tujuh perlawanan tanpa membenarkan gawang mereka dibolosi dalam semua kejohanan, tetapi Mancini berpendapat mereka perlu menjaringkan lebih banyak gol jika mahu merapatkan jurang dengan United.

"Saya rasa pertahanan kami semakin baik kerana seluruh pasukan bekerja keras. Amat penting untuk terus mengekalkan rekod jaringan. Kami mungkin boleh menambah tujuh hingga sembilan gol," kata Mancini.


Mancini juga berharap kesibukan United pada bulan ini dan Mac, sewaktu mereka menentang Real Madrid dalam kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara, akan menjejaskan kutipan mata dalam liga domestik.

"Ada dua perlawanan penting buat United, jadi saya fikir Februari dan Mac masa paling sesuai untuk menentukan kejuaraan ini," katanya.


Sementara itu, penolong pengurus Liverpool, Colin Pascoe percaya gandingan penyerang Suarez dan Daniel Sturridge mampu menjadikan mereka sebagai pemain pertama membolosi gawang City tahun ini.


Sturridge menyertai pasukan itu dari Chelsea, bulan lalu pada harga £12 juta (RM38.4 juta) dan ketibaannya di Anfield menyaksikan Suarez yang sudah menjaringkan 22 gol, beraksi lebih jauh dari kawasan gol lawan, tetapi Pascoe percaya strategi itu banyak membantu mereka.


"Anda boleh melihat kedua-duanya saling berhubung dalam latihan dan perlawanan. Pemain yang baik mampu menampilkan gandingan mantap dan keadaannya hebat setakat ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Tekad lupakan kontroversi Odemwingie

Posted:

LONDON: West Bromwich Albion berharap dapat melupakan gangguan yang dicetuskan Peter Odemwingie ketika mereka melayan kunjungan Tottenham Hotspur di The Hawthorns malam ini.

Kedua-dua pasukan tidak banyak membuat rombakan sejak pertemuan awal musim ini dengan kurangnya pembabitan dalam musim perpindahan.


Ia bukan membabitkan pemain yang mereka perlukan tetapi pemain yang cuba dipertahankan kedua-dua kelab menjadi tumpuan pada hari terakhir perpindahan.

Spurs dijangka terus menggunakan khidmat Gareth Bale dan Gylfi Sigurdsson, tetapi kisah pelik Odemwingie pastinya lebih diingat berbanding perpindahan lain musim ini.


Selepas beberapa minggu mengkritik Baggies dalam akaun Twitter miliknya, Odemwingie kemudiannya cuba berbincang dengan Queen's Park Rangers (QPR) pada hari terakhir perpindahan.


Biarpun tiada perjanjian dibuat di antara kedua-dua kelab, Odemwingie hadir di Stadium QPR, Loftus Road, tetapi diminta supaya tidak meninggalkan keretanya kerana QPR enggan bercakap dengannya bagi menghormati West Brom.

Penyerang Nigeria itu kemudian hadir di pusat latihan Baggies, pagi kelmarin, tetapi diminta pulang selepas pegawai kelab itu bermesyuarat. Pengurus West Brom, Steve Clarke mengesahkan pemain itu tidak mendapat kebenaran untuk berbincang dengan QPR.


"Dia tidak diberikan kebenaran untuk pergi," kata Clarke. "Dia anggap kontrak itu dapat diselesaikan dalam satu hari. Saya juga berfikir mengenai perkara yang sama. Ia sesuatu yang gila kerana dia tidak mendapat kebenaran untuk berbincang dengan QPR." Clarke turut mengesahkan Odemwingie tidak akan diturunkan untuk menentang Spurs.

"Peter tidak berada di tahap terbaik untuk menentang Spurs. Ini adalah demi kepentingan pemain lain. Peter akan kembali berlatih apabila kami memutuskan masa yang sesuai untuknya. Kami akan mengambil tindakan disiplin terhadap Peter dan ia akan dilakukan secara rahsia." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Pertembungan dua jaguh

Posted:

Rustenburg: Beberapa nama besar dalam Piala negara-Negara Afrika akan bertembung sesama sendiri dalam pertemuan suku akhir paling dinantikan hujung minggu ini, apabila Ivory Coast dan Nigeria berjuang untuk kekal bersaing bagi merebut gelaran pertama mereka dalam tempoh dua dekad.

Ivory Coast yang diketuai Didier Drogba dan pemain lain yang berpangkalan di Eropah mahu menebus kekecewaan mereka di final edisi tahun lalu. Mereka cuba untuk menjulang gelaran itu buat kali pertama sejak 1992.


Nigeria pula yang diketuai pemain Chelsea, John Obi Mikel dan Victor Moses, mahu mengakhiri penantian sejak 1994 dan mula mengalami kebangkitan seperti yang pernah dirasai pada 1990-an.

Pemain dan jurulatih kedua-dua pasukan mengakui Ivory Coast sebagai pasukan pilihan tetapi ramai yang meragui kehebatan skuad Elephants menjelang perlawanan di Rusternburg awal pagi esok.


"Mereka tewas di perlawanan akhir sebelum ini, sewaktu mereka menjadi pasukan pilihan," kata kapten Nigeria, Joseph Yobo semalam.


"Zambia yang sebelum ini juara bertahan turut tersingkir daripada kejohanan. Ia tiada kena mengena dengan nama atau individu, ia mengenai kemampuan untuk layak ke peringkat berikutnya.

"Tidak menjadi pasukan pilihan tidak memberi tekanan kepada kami. Kami berjaya melepasi peringkat pertama dan kini ia saingan yang begitu berbeza." Ivory Coast pula menjadi pasukan ternama di Afrika Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sekali lagi menjadi pencabar utama di Afrika dengan skuad yang dibarisi bintang seperti penyerang terbaru Galatasaray, Drogba, penyerang Arsenal, Gervinho dan pemain adik-beradik dari Manchester City, Kolo dan Yaya Toure. "Kami menjadi pilihan setiap kali menyertai kejohanan ini," kata pemain tengah Ivory Coast, Max Gradel.


"Begitupun untuk terus berada dalam kedudukan ini, kami perlu memenangi piala ini. Perkara paling penting adalah memenanginya." Ivory Coast mendahului Kumpulan D selepas menewaskan Togo dan Tunisia serta seri dengan Algeria. "Pasukan Ivory Coast bermain bersama-sama dalam tempoh enam tahun, mungkin juga pasukan sama yang menyertai empat edisi Piala Negara-Negara Afrika," kata jurulatih Nigeria, Stephen Keshi. "Begitupun ia bukan satu alasan, kami akan datang malam ini untuk melakukan yang terbaik. Bola sepak adalah perlawanan selama 90 minit. Kami akan menilai semuanya sebaik tamat permainan. Buat masa ini, kami yakin untuk menang." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Ikut jejak senior

Posted:

Kuala Lumpur: Susun atur dan langkahnya yang kemas bukan saja sering dipuji jurulatih malah dia turut digilai pelapis yang rata-rata ingin menjadi sepertinya suatu hari nanti. Itulah kehebatan yang ada pada gimnas artistik kebangsaan negara, Tracie Ang, 20.

Tracie yang ketika ini menerima bimbingan bekas ratu artistik negara, Nurul Fatiha Abd Hamid turut menerima tunjuk ajar jurulatih, Natalia Sinkova disifatkan sebagai 'wirawati' terakhir negara buat masa ini. Ini kerana, pelapis sedia ada perlu pantas mencontohi skuad elit yang dibarisi Tracie serta rakan seangkatannya Farah Ann Abdul Hadi, Nur Eli Ellina Azmi dan Tan Ing Yueh sekiranya ingin menaikkan semula sukan gimnastik negara di persada dunia.


Lantaran itu, peluang keemasan menerima tunjuk ajar oleh Tracie tidak dipersiakan dua gimnas pelapis, Rachel Yeoh Li Wen, 15, dan Nur Azira Aziri, 14, yang menganggap idolanya itu seorang yang peramah serta tidak lokek ilmu.

Nyata peluang menemubual Tracie secara dekat turut dianggap sebagai pengalaman berharga buat mereka untuk bergelar gimnas hebat suatu hari nanti.


Soalan (S): Apa yang perlu kami lakukan untuk menjadi gimnas hebat? Jawapan (J): Sentiasa contohi serta ikut jejak langkah senior. Dengan erti kata lain sentiasa peka atau jika boleh sentiasa belajar dari kami ketika latihan, terutama gerak langkah dalam rutin harian. Paling utama, jangan 'kunci mulut' atau malu untuk bertanya jika ada sebarang masalah ketika latihan dan sebagainya. Saya dan rakan seangkatan sedia memberi nasihat kepada gimnas baru dan pelapis khususnya.


Untuk menjadi gimnas yang hebat juga seseorang itu perlu ada komitmen yang berterusan dengan sanggup lakukan apa saja demi sukan gimnastik, sanggup kawal makan untuk menjaga berat badan. Perlu ada disiplin yang tinggi dan sentiasa dengar cakap jurulatih. Daya ketahanan mental juga kena kuat serta perlu tahan sakit kerana gimnastik seperti yang kita sedia maklum sukan sukar dan senang mendapat kecederaan.

S: Berdasarkan pengalaman, sejauh mana prestasi kami selaku atlet pelapis sekarang ini? J: Untuk berada di puncak, jujurnya masih jauh. Tetapi, tidak bermaksud anda terlalu hambar. Cuma perlu cekap dan cepat belajar bergelar gimnas bertaraf dunia. Anda bakal menggantikan kami kelak maka jadilah gimnas yang terbaik serta disegani untuk Malaysia. Ini kerana sukan gimnastik pernah menjadi antara penyumbang utama pingat emas buat negara di pentas dunia. Lantaran itu, kita perlu bangkitkan semula sukan ini.


S: Bagaimana mula berminat untuk menyertai sukan gimnastik? J: Bermula dari usia lapan tahun. Sebenarnya secara tidak langsung kerana terpilih di sekolah bersandarkan ukuran dan berat badan. Kemudian dari situ hadir ke sesi kelayakan dan terpilih menjadi antara yang terbaik di Melaka. Saya mendapat galakan keluarga meneruskan kerjaya sukan ini hingga bergelar atlet elit kebangsaan hingga berpeluang mewakili Malaysia ke saingan dunia, Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

S: Siapakah idola anda? Mungkin yang boleh dijadikan ikutan buat kami? J: Tiada yang khusus kerana gimnas mempunyai personaliti serta kehebatan tersendiri. Bagi saya, semua gimnas di dunia mempunyai kelebihan masing-masing.


S: Apakah rancangan masa panjang? Mungkin siapakah Tracie Ang dalam tempoh lima tahun lagi? J: Untuk menjadi gimnas sebenarnya tiada had umur tertentu kerana ia mengikut kemampuan masing-masing. Selagi saya mampu maka saya akan terus berjuang menaikkan sukan gimnastik Malaysia. Contohnya, seperti gimnas dari Jerman Oksana Aleksandrovna Chusovitina. Dia sudah berusia 37 tahun dan ibu kepada seorang anak tetapi masih terus membabitkan diri dalam sukan gimnastik. Dia menyertai enam sukan Olimpik setakat ini termasuk di London tahun lalu. Semangat juangnya amat tinggi.


S: Apa sasaran selepas ini? J: Pastinya untuk menempah kelayakan pertama ke Sukan Olimpik Rio 2016. Waktu itu saya sudah mencecah usia 24 tahun, tetapi dengan mengambil Oksana sebagai contoh terbaik maka tidak mustahil misi itu bakal menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Mahu jadi jurulatih renang

Posted:

Kuala Lumpur: Perenang kebangsaan negara, Kevin Yeap ingin menjadi jurulatih dengan membuka akademi renang sendiri andai tidak bergelar atlet...

Soalan (S): Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang...


Jawapan (J): Saya menyimpan cita-cita miliki perniagaan sendiri. Lantaran itu saya memilih untuk membuka akademi renang sendiri suatu hari nanti dan impian ini bukan 'andaian', sebaliknya mesti saya usahakan.

S: Mengapa? J: Saya sememangnya meminati bidang perniagaan malah memilih pengajian ini di Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika ini. Sukan renang juga menjadi antara kerjaya saya sekarang maka menjadi tumpuan saya untuk mencurah ilmu kepada generasi baru dan membangunkan lagi sukan renang di Malaysia.


S: Lantaran itu, dijangka rancangan ini akan direalisasikan sejurus selepas anda tamat pengajian kelak? J: Saya mempunyai baki tiga tahun lagi di UPM dan ya, misi ini akan menjadi kenyataan sejurus saya tamat pengajian. Jika semua proses berjalan lancar kemungkinan dalam tempoh tiga tahun lagi Akademi Renang Kevin Yeap akan dibuka. S: Berlatar-belakangkan status mahasiswa pengurusan perniagaan, pasti anda sudah menjalankan beberapa kaji selidik membuka akademi ini. Mungkin sudah ada lokasinya? J: Benar, saya sudah melakukan beberapa kaji selidik dan merancang untuk membuka akademi ini di tempat asal saya di Ipoh, Perak.


S: Selain sukan renang, mungkin ada meminati sukan lain? J: Saya gemar bermain snuker bersama rakan jika ada masa terluang.

S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap...


J: Peramah dan mudah berkawan. Namun, lucunya mereka sering melabel saya sebagai seorang yang 'macho' tetapi bukan kerana raut wajah kacak tetapi disebabkan tubuh badan saya selaku atlet renang yang berotot.

S: Bagaimana pula dengan teman hidup, sudah ada yang punya? J: Sudah, dia seorang yang menepati kehendak saya. Amat memahami kerjaya saya sebagai atlet yang pada masa sama sibuk dengan tugasan di universiti. Malah, dia seorang yang cantik serta atlet sukan juga.


S: Bagaimana pula dengan rancangan dalam sukan renang sekarang ini? J: Menjadi sasaran saya untuk memburu pingat emas pada Sukan SEA Myanmar tahun ini. Selain itu, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menempah kelayakan pertama ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Mampukah Harimau Malaya buang badi?

Posted:

Kuala Lumpur: "Liga M bukan bola sepak." Kata-kata bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan, 21 Januari 2009, sebaik pasukan negara diaibkan Emiriah Arab Bersatu, 0-5 pada kelayakan Piala Asia 2011, terus terngiang-ngiang hingga kini.

Tiada siapa menduga kekalahan itu cukup memberi kesan kepada landskap bola sepak negara, kerana perlawanan seterusnya masih gagal menyelamatkan maruah mereka.


Apatah lagi kerana kritikan itu, beliau kehilangan jawatannya.

Seolah-olah pencapaian di Piala Asia, baik kelayakan mahupun pusingan akhir menjadi kayu ukur kemampuan bola sepak negara untuk menongkah saingan antarabangsa yang lebih mencabar.


Kini, kelayakan Piala Asia datang lagi untuk tiket ke edisi 2015 di Australia. Seorang lagi jurulatih disandarkan harapan untuk membuktikan sejauh mana kemampuannya, selepas mencatat kejayaan di Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010.


Apa yang pasti, bola sepak negara pasca- Sathianathan melalui transformasi atau setidak-tidaknya keyakinan peminat negara semakin meningkat.

Nama beberapa pemain kini lebih menjadi sebutan berbanding era sebelumnya, menjadikan Harimau Malaya (jolokan sensasi untuk pasukan negara ini) kembali mendapat perhatian.


Begitupun, mampukah skuad Rajagobal mencipta keajaiban selepas Sathianathan gagal meneruskan reputasi jurulatih terdahulu, Norizan Bakar untuk setidak-tidaknya beraksi di pusingan pertama di bumi Kanggaru itu.

Malah Norizan sendiri turut menerima kritikan hebat selepas tewas kepada China, 1-5 di perlawanan pertama Piala Asia 2007, bolos 10 gol jika dicampur dengan perlawanan menentang Uzbekistan selepas itu, meletakkan Malaysia di tangga tercorot kumpulan tanpa mengutip sebarang mata.


Tidak keterlaluan jika dikatakan pentas Piala Asia memberi tekanan tersendiri, baik kepada pemain mahu pun pengurus. Norizan sendiri ketika dihubungi enggan memberi sebarang ulasan mengenai persiapan skuad kali ini, mungkin terkesan dengan insiden yang mencalar kredibilitinya sebagai jurulatih.


Malaysia hanya menjaringkan satu gol menerusi Indra Putra Mahyuddin (gambar).


Tragedi hampir sama juga dialami skuad kelayakan 2011, apabila gawang pasukan kebangsaan kerap bolos dan Malaysia beroleh gol menerusi Zaquan Adha Abdul Radzak serta Badrol Bakhtiar.


Realitinya, mampukah skuad negara di bawah Rajagobal mampu mencipta sesuatu, atau pasukan negara sekadar berlegar di pusingan kelayakan.


Mungkinkah badi sama berulang, apabila skuad negara awal-awal lagi diletakkan dalam situasi berbahaya, perlu melepasi cabaran Qatar, Bahrain dan Yaman untuk tiket ke Australia.


Tidak kiralah siapa dan bagaimanapun situasi dalam pusingan kali ini, Malaysia sepatutnya sudah cukup belajar sesuatu daripada kesilapan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Rozaimi tak gentar galas tugas sukar

Posted:

Brisbane, Australia: Penyerang berbakat negara, Rozaimi Abd Rahman tidak tertekan walaupun harapan tinggi bakal disandarkan kepadanya dalam mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar, Disember nanti.

Pemain berusia 21 tahun itu dilihat antara pemain yang bakal menjadi tonggak utama skuad kendalian Ong Kim Swee dalam mempertahankan pingat emas di temasya dwi tahunan itu buat kali ketiga berturut-turut.


Dia tidak menunggu masa yang lama untuk memikat hati Kim Swee selepas bersama Harimau Muda A tahun ini apabila meledak dua gol dalam dua aksi awal perlawanan persahabatan yang berlangsung di Australia.

"Untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama masih belum pasti namun saya gembira seandainya jurulatih terus memberikan kepercayaan.


"Ini mencetuskan semangat saya untuk mempamerkan aksi lebih baik. Malah saya tidak berasa sebarang tekanan kerana ini adalah permainan berpasukan,"kata pemain kelahiran Sabah.


Jelasnya masih terdapat beberapa kelemahan individu yang perlu diperbaikinya dan berharap perlawanan kompetitif selepas ini mampu memantapkan lagi persembahan menjelang misi penting di Myanmar nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

No comments:

Post a Comment