Pages

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Robot mimik emosi budak

Posted: 10 Jan 2013 11:25 AM PST

Sacramento: Walaupun belum mencapai tahap sempurna seperti manusia, satu robot yang baru dicipta di sebuah universiti California dilaporkan sangat mirip meniru mimik muka kanak-kanak.

Dinamakan sebagai Diego-San, robot itu mampu membuat pelbagai ekspresi wajah seperti bayi, termasuk tersenyum, menyeringai dan berkerut.


Namun, kelebihan Diego-San tidak dapat dinilai sepenuhnya kerana setakat ini cuma bahagian wajah siap dibina.

Dalam klip video dimuat naik di YouTube, Diego-San yang dicipta menyerupai budak berusia setahun mempamerkan pelbagai emosi, termasuk gembira, sedih, terkejut, keliru dan marah.


Malah, Diego-San juga boleh menggigit bibir bawahnya seperti aksi kanak-kanak hampir menangis.


Robot itu dicipta sekumpulan pakar dari Institut Kajian Neural Universiti California di San Diego.

Mereka memasang kamera berdefinisi tinggi pada Diego-San bagi membolehkan robot berkenaan 'melihat' semua gerakan dan emosi manusia. Sejenis bahan dikenali sebagai frubber digunakan bagi menghasilkan kulit fleksibel Diego-San serta beberapa robot lain yang pernah mereka cipta.


Pakar robotik di universiti berkenaan menggunakan teknologi sains komputer canggih bagi membolehkan robot berkenaan mempelajari pelbagai pengalaman - sama seperti dialami seseorang bayi.

Ekspresi muka bahagian penting bayi berkomunikasi dan membantunya menjalin hubungan dengan orang lain. Robot bayi itu dinaik taraf daripada versi asal.


Antara pembaharuan dibuat adalah rahang baru dibina sepenuhnya bagi meningkatkan keberkesanannya. Pakar robotik, Dr David Hanson, berkata mencipta robot yang mampu memahami serta membuat ekspresi muka adalah aspek penting dalam mengajar mereka memahami perasaan manusia. "Kami mahu menghasilkan robot pintar dan empatik kerana ia jauh lebih penting," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11

Cruise tolak menari Gangnam

Posted: 10 Jan 2013 11:15 AM PST

Seoul: Aktor terkenal, Tom Cruise, menolak peluang mencuba kemahirannya menari Gangnam Style semalam, walaupun dia menjadi tokoh idaman paling utama pencipta fenomena itu.

Tahun lalu, penyanyi rap Korea Selatan, PSY (yang mencipta tarian Gangnam Style) berkata, individu paling diingini untuk menari Gangnam Style ialah Cruise.


Hero filem Mission Impossible itu berada di Seoul untuk mempromosi filem terbarunya, Jack Reacher, dan sempat memuji PSY sebagai artis yang "agak sensasi." Namun, Cruise enggan mencontohi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, dengan meniru aksi tarian Gangnam Style. Kata Cruise, PSY mampu melakukan tarian menunggang kuda itu jauh lebih baik berbanding dirinya.

"Saya gembira dengan kejayaannya dan semua orang suka," katanya.


Jack Reacher mula ditayangkan di Korea Selatan minggu depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11

Rasuah seks berleluasa

Posted: 10 Jan 2013 11:13 AM PST

Jakarta: Agensi anti rasuah Indonesia berkata, amalan penggunaan seks sebagai suapan di negara itu berlaku dengan meluas dan menyeru pihak berkenaan menguatkuasakan peruntukan yang menganggap aktiviti berkenaan sebagai jenayah.

Menurut Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) itu, peruntukan itu ada dalam Undang-undang Antirasuah 2001. Jurucakap KPK, Johan Budi berkata, agensi itu percaya 'hadiah' dalam bentuk seks boleh dianggap sebagai rasuah atau sekurang-kurangnya imbuhan dan kegagalan melaporkannya boleh dihukum penjara. "Berdasarkan undang-undang, imbuhan termasuk seks dianggap rasuah jika ia diberi kepada seseorang atas kapasiti sebagai penjawat awam.


"Kedua, ia juga rasuah jika penerima hadiah itu gagal melaporkannya kepada pihak berkuasa dalam tempoh 30 hari," katanya. Melalui peruntukan Undang-undang Antirasuah 2001, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga lebih RM310,000. Selain seks, pemberian habuan berupa wang, barangan, potongan harga, tiket penerbangan, kemudahan penginapan serta pelbagai bentuk hadiah lain boleh dianggap rasuah.

Kata Johan, KPK sedar pengamal rasuah menggunakan seks sebagai sogokan untuk mendapat apa yang diingini. "Kami masih menyiasat sebarang laporan yang membabitkan seks," katanya kepada wartawan. Sementara itu, sejak Disember dua tahun lalu, KPK sudah mengharamkan penjawat awam menerima sebarang tiket percuma daripada Persekutuan Bola Sepak Asia kerana ia juga boleh dianggap sebagai rasuah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. - JAKARTA POST

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11

Tiga parah kena letupan bom

Posted: 10 Jan 2013 11:12 AM PST

Narathiwat: Tiga wanita dan seorang remaja lelaki cedera apabila seorang lelaki bersenjata api melepaskan tembakan di sebuah bar karaoke sebelum meletupkan bom pada motosikal di Muang, Narathiwat, petang kelmarin.

Jurucakap polis berkata, kejadian tembak-menembak itu berlaku kira-kira jam 6.50 petang di Jalan Khok Khian.


Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa cedera parah akibat letupan bom berkenaan.

"Mangsa adalah tiga wanita pekerja bar karaoke itu serta seorang remaja lelaki berusia 14 tahun," katanya kepada wartawan. Semua mangsa dirawat di Hospital Ratchanakarin.


Polis berkata, motosikal yang diletupkan itu dicuri di daerah Rangae, Narathiwat pada 2011. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11

Sembunyi 3,000 pil syabu dalam kemaluan

Posted: 10 Jan 2013 11:12 AM PST

Bangkok: Dua wanita ditahan di Lapangan Terbang Don Mueang bersama lebih 3,000 pil syabu yang disembunyikan dalam kemaluan mereka, kata polis semalam.

Menurut jurucakap polis, pihak berkuasa menerima maklumat mengenai sejumlah dadah yang cuba diseludup ke Bangkok dari Chiang Rai.


"Selepas pesawat disyaki mendarat, polis menahan dua wanita berusia 28 dan 26 tahun.

"Pemeriksaan pada badan mereka membolehkan pihak berkuasa menemui 3,473 pil syabu yang dibungkus dalam kondom dan disimpan dalam kemaluan mereka," katanya.


Polis mendedahkan identiti wanita terbabit sebagai Anu Ma-Yer, dan Sukanda Chue-Mue.


Katanya, suspek mengaku dadah berkenaan dibawa untuk seorang pengedar di Bangkok. "Hasil maklumat diberi, seorang pengedar dadah berusia 31 tahun ditahan di sebuah pusat membeli-belah di Ramkamheang bersama 60,000 pil dadah," katanya. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11

Hari jadi 30 Februari

Posted: 10 Jan 2013 10:48 AM PST

Bangkok: Penolong ketua kampung di daerah Aryanyaprathet, Sa Kaeo yang mempunyai tarikh hari jadi yang tidak wujud iaitu pada 30 Februari akur dengan tekanan selepas diselar seorang menteri Kabinet, meletakkan jawatan semalam.

Timbalan ketua kanan daerah Aranyaprathet, Viroj Aksorndee mendedahkan bahawa Sangwien Khuncharoen, 53, menyerahkan kepadanya surat perletakan jawatan sebagai penolong ketua kampung, desa 3 tambon Khlong Thapchan.


Khuncharoen memberitahu Aksorndee, dia meletakkan jawatan secara sukarela kerana memahami dia telah menjejaskan imej Kementerian Dalam Negeri dengan membuat aduan kepada media mengenai kesilapan tarikh dalam kad pengenalannya menyebabkan dia juga tidak dapat membuka akaun bank. Dia mengakui silapnya tidak memperbetulkan tarikh lahirnya pada pendaftaran kelahiran dan kad pengenalannya. Khuncharoen berkata, dia tidak memperbaiki tarikh itu kerana ibu bapanya yang mendaftar tarikh berkenaan pada rekod pendaftaran kelahiran tanpa mengetahui ia menyebabkan kesukaran. Menurut Aksorndee, memandangkan Khuncharoen sudah meletakkan jawatan, tidak perlu lagi membentuk jawatankuasa disiplin bagi menjalankan siasatan terhadapnya. Selepas berundur Khuncharoen menutup telefon bimbitnya dan kediamannya juga berkunci, seolah-olah tidak mahu dihubungi untuk memberi komen kepada wartawan.- Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11

KPA kesan 675 kes baru AIDS/HIV

Posted: 10 Jan 2013 10:47 AM PST

Jakarta: Komisi Penanggulangan AIDS (KPA) di agensi kesihatan Tangerang mengenal pasti sekurang-kurangnya 675 kes baru AIDS/HIV dalam bahagian pertama tahun lalu, kata pihak berkuasa semalam.

Pengurus KPA, Hady Irawan berkata, pejabatnya mengumpul data dari Januari hingga September mengikut kategori umur dan pekerjaan. Mereka menemui peningkatan ketara jangkitan dalam kumpulan usia 24 hingga 45 tahun.


"Jangkitan HIV di daerah itu mencecah tahap membimbangkan kerana mejoriti mereka yang berjangkit adalah dalam kategori usia paling produktif.

"Angka itu hanya sedikit daripada jumlah sebenar yang mungkin lebih besar. "Bukan setiap orang rela untuk menjalani ujian," katanya kepada wartawan. Statistik itu belum disenaraikan dalam data dikumpul antara September hingga Disember, bererti angka untuk sepanjang tahun pasti lebih buruk. Data daripada agensi kesihatan Tangerang menunjukkan 1,515 orang di daerah itu hidup dengan HIV tahun lalu.


Bagaimanapun, KPA merekodkan 461 orang dijangkiti HIV dan 214 orang benar-benar menghidap AIDS. - tribunenews.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11

Cekup ketua penjara

Posted: 10 Jan 2013 10:46 AM PST

Riau: Polis di daerah Hulu di sini semalam menahan ketua keselamatan penjara Pasir Pangairan kerana memiliki serbuk meth atau dikenali sebagai syabu di kediamannya.

Ketua Polis Hulu Rokan, Adjutan Komisioner Kanan Yudi Kurniawan berkata, suspek ditahan dalam serbuan di kediamannya selepas pihak berkuasa menerima laporan rasmi daripada Ketua Warden penjara, Maizar ekoran jual beli dadah yang semakin meluas di penjara berkenaan. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11

No comments:

Post a Comment