Pages

Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Caturan taktikal jadi taruhan

Posted: 05 Jul 2013 09:45 AM PDT

Johor Bahru: Percaturan taktikal yang ampuh menjadi penentu buat Johor Darul Takzim (DT) untuk memintas Selangor bagi merebut slot ke saingan Piala AFC musim depan apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Apapun semua bergantung kepada kesebelasan pemain untuk menyamai pencapaian Johor FC yang pernah beraksi di pentas sama pada musim 2009 dan kemenangan ke atas Selangor mampu mengubat duka kelab dari selatan tanah air itu yang terlepas menjulang Piala FA, baru-baru.


Kini Johor DT terikat dengan Selangor yang turut mengumpul 39 mata namun kelebihan memihak kepada barisan Irfan Bakti Abu Salim yang memiliki kelebihan jaringan dan hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke saingan Piala AFC musim kedua berturut-turut.

Namun pengendali Harimau Selatan, Fandi Ahmad tampak sudah bersedia berdepan Gergasi Merah itu dan mahukan kemenangan sebagai hadiah buat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyambut hari keputeraan, baru-baru ini.


"Selepas gagal menghadiahkan Piala FA, kini peluang terbaik menebus kekecewaaan itu dengan kemenangan ke atas Selangor dan tiket Piala AFC musim depan. Apapun pemain harus fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah.


"Awasi pergerakan pantas Selangor dan sekat setiap gerakan berbahaya tanpa melakukan terjahan keras terutama di kawasan luar kotak penalti sebaliknya biar mereka hilang konsentrasi dan kita menguasai perlawanan.

Foto

PEMAIN Johor DT mendengar arahan Fandi pada sesi latihan.

"Atas kertas kita ada kelebihan beraksi di laman sendiri namun saya ingatkan pemain beri sepenuh tumpuan kerana saya tahu lawan bijak mengambil kesempatan," katanya.


Apapun Fandi mengesahkan kelibat tiga tonggak, Safee Sali, Andre Francisco Da Silva dan Safiq Rahim tidak diturunkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan dan menaruh sandaran kepada barisan pemain simpanan yang menunjukkan peningkatan ketika menang 2-0 ke atas Negeri Sembilan, Selasa lalu.

"Saya tidak mahu ambil risiko menurunkan mereka kerana ia pasti memburukkan lagi keadaan. Kamarul Afiq Kamarudin juga belum pasti diturunkan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

SUKMA makin positif

Posted: 05 Jul 2013 09:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 yang rancak berlangsung kini mempamerkan komitmen negeri mempertingkatkan persiapan dalam acara sukan bukan pilihan, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

"Daripada sudut positif, penganjuran SUKMA kali ini menunjukkan bahawa negeri-negeri kini sudah semakin serius menbangunkan acara sukan bukan pilihan (acara sukan yang tidak dipilih oleh tuan rumah SUKMA).


"Jika sebelum ini, tumpuan sentiasa diberikan kepada jenis-jenis sukan popular seperti olahraga, renang, bola sepak dan sebagainya. Kita dapat lihat dengan pertambahan jumlah penyertaan dalam semua jenis sukan yang diadakan kali ini," katanya.

Menurut Zolkples, kebanyakan sukan yang dipertandingkan pada temasya SUKMA kali ini pencapaian atlet tidak boleh diukur dari segi masa atau jarak, sebaliknya ia lebih bersifat subjektif dan acara berpasukan.


"Kalau kita lihat daripada segi taburan pingat pula, ia memperlihatkan tiada dominasi kontinjen tertentu sebaliknya peluang adalah lebih terbuka.


"Jika kita lihat kepada kontinjen Terengganu pada SUKMA tahun lalu, pada tiga hari terakhir temasya mereka sudah boleh menarik nafas lega kerana mendahului negeri-negeri lain. Berbeza dengan SUKMA kali ini, kita dapat lihat setiap negeri mempunyai peluang untuk muncul sebagai juara keseluruhan," katanya.

Temasya SUKMA 16 akan menutup tirai esok dan setakat ini, Terengganu mengungguli kedudukan pingat dengan 17 pingat emas, 11 perak dan sembilan gangsa.


Sementara Wilayah Persekutuan dan Selangor mengekori dengan masing-masing mendapat 12-11-19 dan 12-10-21.

Sebanyak 39 pingat emas ditawarkan esok dan kontinjen seperti Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Selangor dijangka bersaing hebat merebut pingat emas yang ditawarkan.


Daripada jumlah itu, acara Silambam menawarkan pingat emas terbanyak iaitu 13 pingat, sementara acara Muay Thai, yang pertama kali dipertandingkan dalam temasya SUKMA, menawarkan 12 pingat emas. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

Kelantan lakar kejutan

Posted: 05 Jul 2013 09:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan Bola Baling Kelantan melakarkan kejutan menewaskan pasukan pilihan Terengganu apabila mara ke perlawanan akhir temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Dewan Seri Putra, semalam.

Skuad Kelantan bimbingan Syihabuddin Ismail merangkul kemenangan 25-21 sekali gus berjaya menebus kekalahan kepada pasukan yang sama pada temasya dua tahun lalu dengan defisit tiga gol.


Syihabuddin berkata, faktor kejayaan pasukannya adalah kerana kemampuan pemain menyerap tekanan dan bermain dengan semangat juang tinggi serta bijak menggunakan peluang yang ada biarpun diasak Terengganu.

"Pada peringkat ini (separuh akhir) semua pasukan sama hebat. Peluang untuk menang 50-50. Namun mana-mana pasukan yang boleh membaca kelemahan dan mengambil kesempatan daripada kesilapan taktikal lawan merekalah yang akan menang," katanya.


Pada perlawanan semalam, Terengganu terlebih dahulu membuka jaringan namun ia hanya kekal beberapa minit sebelum Kelantan berjaya menyamakan kedudukan.


Bermula di kedudukan 2-2, Kelantan terus melancarkan strategi serangan pantas untuk terus mendahului Terengganu mata demi mata sehingga ke wisel penamat.

Menanti Kelantan pada perlawanan akhir adalah Perak yang menewaskan Johor pada satu lagi saingan separuh akhir dengan jaringan 21-14.


Mengulas perlawanan menentang Perak, Syihabuddin yang memiliki tiga pemain kebangsaan berkata, pertemuan itu memang sudah dijangka berdasarkan kekuatan yang dimiliki lawannya itu.

Biarpun sedar akan saingan yang bakal diterima namun Syihabuddin sudah bersedia dengan mengkaji kekuatan pasukan itu.


Perlawanan akhir wanita menemukan pasukan Negeri Sembilan menentang Terengganu. Negeri Sembilan menewaskan Perak 10-7 manakala Terengganu menewaskan Melaka 13-11.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

WP, Sabah tentu juara futsal wanita

Posted: 05 Jul 2013 09:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Wilayah Persekutuan akan menentang Sabah pada perlawanan akhir acara futsal wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di gelanggang futsal KSL Sports Puchong, hari ini.

Pada perlawanan separuh semalam, Wilayah Persekutuan dengan mudah mengalahkan Perak 7-0 manakala Sabah mengatasi Kedah 4-2.


Farahiyah Muhamad Ridzuan menjadi wirawati skuad Wilayah Persekutuan apabila menghasilkan empat gol pada minit kesembilan, 10, 19 dan minit ke-23.

Penjaring lain ialah Siti Syarizan Mohd Sani (12), Noor Azizah Shahrani (16) dan Siti Asnidah Zamri (17).


Jurulatih Wilayah Persekutuan Mohd Faizul Abd Gaffar berkata pemain mengikut arahan yang diberi dan berjaya mengawal permainan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

'Saya minta maaf': Azlan

Posted: 05 Jul 2013 09:40 AM PDT

Johor Bahru: "Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu menyokong kami."

Demikian ayat pertama yang keluar daripada mulut pertahanan skuad hoki negara, Azlan Misron (gambar) selepas menyaksikan Malaysia gagal memenuhi misi untuk layak ke Piala Dunia 2014 di Belanda menerusi Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia selepas dibelasah 0-6 oleh Jerman pada aksi suku akhir kelmarin.


Azlan mengaku melakukan beberapa kesilapan pada awal permainan sekali gus menyaksikan Jerman menggunakan kesempatan itu dengan meledak enam gol hanya selepas 18 minit permainan.

"Pada awal permainan kita tidak bermula dengan baik, itu yang terus 'kena' enam gol. Bagi saya kekalahan ini amat memalukan.


"Saya minta maaf kepada semua. Kami cuba perbaiki corak permainan pada babak kedua tapi masih gagal menyaingi mereka. Lagipun Jerman juga bermain dengan tersusun," katanya.


Azlan berkata, gol awal Jerman akibat kesilapan benteng pertahanan negara menyebabkan moral skuad menurun selepas itu.

Bagaimanapun Azlan berharap semua penyokong negara dapat terus memberi sokongan untuk perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan bertemu gergasi Asia dan juga pasukan ranking kelima dunia Pakistan, hari ini.


"Sekarang kami akan bermain demi maruah skuad negara. Kami akan cuba untuk menamatkan saingan pada kejohanan ini di tempat kelima."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

Norfarhan terus bernafsu

Posted: 05 Jul 2013 09:39 AM PDT

Kota Bharu: Pemain sayap Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad tekad mencipta jaringan pada perlawanan terakhir saingan Liga Super ketika melayani kunjungan LionsXII di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Norfarhan yang menjadi penjaring tunggal ketika menewaskan Johor Darul Takzim (JDT), 1-0 pada final Piala FA mahu meneruskan sentuhan berbisanya berdepan pasukan kendalian V Sundramoorthy.


Norfarhan berkata, andai mendapat kepercayaan jurulatih Bojan Hodak menyertai kesebelasan utama, dia bersedia merobek gawang lawan.

"Terpulang kepada jurulatih namun saya sedia menggalas tugas. Jika dapat beraksi saya akan membalas kepercayaan jurulatih dan ingin menghadiahkan jaringan.


"Gol tunggal ketika membantu The Red Warriors (TRW) mempertahankan kejuaraan Piala FA dua tahun berturut-turut menjadi motivasi untuk terus memberikan aksi meyakinkan.


"Jaringan itu memberi semangat kepada saya mencari kemenangan menentang LionsXII," katanya.

Kelantan yang mengejar tiga mata bagi memastikan berada dalam kelompok empat terbaik musim ini juga terpaksa menggalas tanggungjawab negara untuk menewaskan pasukan dari seberang tambak Johor yang berjaya merampas trofi Liga Super musim ini.


Norfarhan berkata, Lions XII pasti enggan mengalah selepas dinobat juara Liga Super dan ia menjadi cabaran kepada Kelantan.

"Kelantan perlu menewaskan LionsXII meskipun mereka sudah dinobat juara Liga Super. Jika Kelantan menang, sekurang-kurangnya dapat mengembalikan maruah negara."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

Shahurain tekad bantu Jang

Posted: 05 Jul 2013 09:38 AM PDT

Seremban: Selepas mensia-siakan banyak peluang jaringan ketika menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Selasa lalu, pemain sayap Shahurain Abu Samah berazam memperbaiki persembahan apabila Negeri Sembilan turun menentang FELDA United FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Dia kecewa Negeri Sembilan tunduk 0-2 dan pemain kelahiran Kajang berusia 25 tahun itu kini fokus membantu Negeri Sembilan mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir liga.


"Saya berazam memberikan persembahan terbaik dan membantu pasukan mencapai kemenangan.

"Walaupun keputusan perlawanan tidak mampu mengubah kedudukan liga, kemenangan amat penting demi maruah," katanya. Dia yang hanya menjaringkan satu gol musim ini bersedia bergandingan dengan Leandro Barbosa Fabio dan Mohd Nazrin Mohd Nawi bagi menggerakkan jentera depan lebih mantap.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

Perak buru tiga mata penuh di Paroi

Posted: 05 Jul 2013 09:37 AM PDT

Ipoh: Perak memburu mata penuh berdepan ATM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk memperbaiki kedudukan Liga Super 2013 yang melabuhkan tirai malam ini.

Seladang kini menduduki kedudukan kelapan dan mampu melonjak satu anak tangga jika mencatat kemenangan dengan syarat PKNS kecundang di tangan Pahang.


Jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Perak tetap bertandang ke Seremban dengan misi mengutip mata penuh.

"Matlamat kami ialah menamatkan cabaran di kedudukan terbaik. Tangga ketujuh tetap pencapaian baik buat saya kali ini. Apa yang boleh dilakukan ialah berusaha dalam Piala Malaysia pula," katanya.


Namun Azraai sedar anak buahnya juga boleh jatuh ke posisi kesembilan, dipintas Terengganu jika mereka gagal mengutip sebarang mata.


"Pilihan terletak di tangan pemain sama ada mahu ke atas atau ke bawah. Mereka tentu tahu apa yang perlu dilakukan," kata Azraai.

Bagi menghadapi perlawanan malam ini, Perak tidak dapat menurunkan kapten, Shahrulnizam Mustapa yang masih cedera.


"Shahrul mengalami kecederaan sehari sebelum kami turun bertemu Kelantan, baru-baru ini dan terpaksa berehat tiga minggu.

"Apapun saya sudah bersedia menghadapi perlawanan terakhir ini tanpa khidmatnya. Mujur ini perlawanan liga terakhir.


"Selepas ini dia boleh berehat untuk menjalani pemulihan." Azraai berharap jentera serangan Perak tidak mensia-siakan peluang seperti yang berlaku ketika menentang Kelantan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

Saiful Nizam tekad benam ego PKNS

Posted: 05 Jul 2013 09:36 AM PDT

Kuantan: Pemain pertahanan Pahang, Mohd Saiful Nizam Miswan ingin memastikan mereka menang aksi terakhir Liga Super bertemu PKNS Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pada masa sama, Saiful berkata, misi utama ialah membalas dendam kekalahan 1-3 pada pusingan pertama di Stadium Darul Makmur, 8 Mac lalu. Menurutnya, kemenangan 2-1 ke atas ATM dinantikan selepas pasukan gagal mempamerkan aksi meyakinkan sebelum itu.


"Tiga mata itu memberi motivasi terbaik kepada kami untuk menewaskan PKNS bagi memastikan kedudukan terbaik liga musim ini.

"Sebagai pemain pertahanan, saya serta rakan lain akan berusaha menyekat jentera serangan tuan rumah.


"Mereka berjaya menewaskan kami pada pusingan pertama dan kami perlu lebih bersedia menghadapi perlawanan ini," katanya.


Sementara itu, Mohd Shahrizan Salleh tidak mahu kecewa pada perlawanan penutup tirai liga itu.

Dia mengharapkan keputusan positif dicapai menjelang persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia 17 Ogos ini.


"Saya akan berusaha menyekat serangan lawan dan pada masa sama berharap rakan di barisan tengah dan serangan lebih bertenaga membolosi gawang PKNS.

"Misi kami kini menduduki kelompok lima pasukan terbaik liga dan perlu mengatasi PKNS untuk mencapainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

Sarawak Raja Bola Borneo

Posted: 05 Jul 2013 09:34 AM PDT

Kota Kinabalu: Sarawak semestinya layak dinobat Raja Bola Sepak Borneo apabila mengekalkan rekod tanpa kalah saingan Liga Perdana musim ini selepas menewaskan jiran, Sabah 2-1 di Stadium Likas, petang semalam.

Gah dengan status selaku juara Liga Perdana, Sarawak memulakan aksi bertenaga apabila lebih banyak melakukan serangan ke kubu tuan rumah.


Benteng Sabahawks akhirnya berjaya dibolosi apabila Sarawak berjaya menghasilkan gol pertama menerusi pemain import, Muamer Salibasic yang berjaya menewaskan Shahril Sa'ari pada minit ke-29.

Namun, tuan rumah enggan mengaku kalah apabila menyamakan kedudukan m-36 menerusi Mohd Fazlidin Khalid yang melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter untuk menewaskan penjaga gol Bujang Senang, Saiful Amar Sudar.


Namun, usaha Sabahawks mengekalkan kedudukan seri gagal selepas bekas pemain Sabah, Bobby Gonzales menjaringkan gol kedua Sarawak m-45.


Seakan belum berpuas hati dengan kelebihan tipis itu, Sarawak terus menggandakan asakan pada babak kedua dan hampir menambah jaringan m-50 dan m-64 menerusi Gonzales, namun nasib tidak menyebelahinya.

Usaha Sabah menyamakan kedudukan turut buntu dan sepakan percuma Zainizam pada minit akhir perlawanan melewati palang gol sekali gus memastikan Sarawak pulang penuh bergaya.


Dengan kemenangan ini, Sarawak berjaya mengutip 58 mata dan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

No comments:

Post a Comment