Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bantah pindah tahanan

Posted:

Kaherah: Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Port Said semalam ketika Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk memindahkan 39 tahanan yang menanti hukuman ekoran pembabitan mereka dalam rusuhan di stadium bola sepak pada Februari tahun lalu.

Pegawai keselamatan berkata, hakim dijangka membacakan hukuman ke atas 39 defendan itu pada Sabtu akan datang.


Mereka adalah kumpulan tertuduh terakhir yang didapati bersalah terbabit dalam keganasan ekoran perlawanan bola sepak di sebuah stadium di Port Said.

Kejadian itu menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 74 orang dan lebih 1,000 lagi cedera.


Seramai 21 pesalah lain sudah dijatuhi hukuman mati pada Januari lalu dan keputusan berkenaan mencetuskan rusuhan di bandar berkenaan dan membunuh sekurang-kurangnya 40 orang. Pegawai keselamatan berkata, rusuhan semalam menyaksikan penunjuk perasaan melontar bom petrol dan batu ke balai polis di Port Said, memaksa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata.


Mogok umum di bandar itu pula memasuki minggu ketiga ketika ini.

Foto

PASUKAN keselamatan Mesir berjaga-jaga ketika berdepan dengan penunjuk perasaan (tiada dalam gambar), di Port Said, semalam.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri berkata, pesalah rusuhan itu dipindahkan dari Port Said bagi mengelakkan kekacauan berlaku di situ.


Kelmarin, penunjuk perasaan turut membakar sebuah balai polis dan menghalang bomba daripada menghampiri tempat kejadian. Penduduk Port Said dan bandar yang ada di sepanjang Terusan Suez memang menganggap Kaherah sentiasa meminggirkan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Bangga kerat ibu

Posted:

New York: Foto mengerikan menunjukkan seorang lelaki dari Bronx yang dituduh membunuh dan mengerat tubuh ibunya sambil tersenyum dan mempamerkan kepala si mati didedahkan di akhbar semalam.

Bahsid McLean, 23, bergaya di depan cermin bilik air memegang kepala ibunya, Tanya Byrd yang masih berlumuran darah, seperti trofi, dan menggunakan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar mengerikan itu sebagai kenang-kenangan.


Gambar itu disiarkan akhbar New York Post, semalam. McLean dituduh membunuh Tanya, 45, selepas satu pertengkaran di mana si ibu memberitahu anak lelakinya itu agar menjadi matang dan berpindah keluar dari apartmen mereka. Menurut polis, foto mengejutkan itu hanya satu daripada beberapa imej yang ditemui dalam telefon bimbit McLean. Polis berkata, selepas McLean menikam ibunya, dia mengerat tubuh mangsa dengan gergaji.

Dia dan rakannya kemudian memasukkan bahagian tubuh mangsa ke dalam tiga beg sampah, sesetengahnya dizip dalam bagasi dan dibuang sekurang-kurangnya di empat lokasi di Morrisania.


McLean yang tampil di mahkamah Jumaat lalu untuk menghadapi pertuduhan, mendakwa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.


Dengan memakai beg plastik sampah berwarna hitam ke mahkamah kerana kerap terkencing, dia ditahan bagi mengelak membunuh diri selepas serangan mengerikan terhadap ibunya awal minggu lalu. Lelaki menghidap sakit mental itu memberitahu hakim dia cuba membantu ibunya yang sakit.

Ketika kemunculan di mahkamah, McLean melakukan beberapa aksi ganas dan dia ditahan tanpa ikat jamin.


"Dia benar-beanr sakit," kata sumber polis kepada New York Post.

"Ia tindakan yang menakutkan. Lelaki terbabit memang betul-betul sakit mental kerana melakukan perbuatan kejam itu." Gambar mengerikan itu ditemui polis dalam telefon bimbitnya dan pengakuan awalnya mendorong kepada tuduhan membunuh Rabu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Bekas banduan kemaruk masuk jel

Posted:

New York: Seorang lelaki, Matthew Matagrano, 36, semalam berdepan pertuduhan di Manhattan atas dakwaan menyamar sebagai penyiasat Jabatan Perisikan.

Pihak berkuasa berkata, Matagrano menyamar sekurang-kurangnya seminggu untuk memasuki beberapa lokap di bandar raya ini termasuk pusat tahanan Pulau Rikers dan Manhattan dan bergaul dengan tahanan selama berjam-jam.

Polis berkata, Matagrano mengakui tiba di penjara Manhattan pada jam 3.30 petang dan masuk ke dalam pusat tahanan itu dengan mengakui dia penyiasat dari Jabatan Pperisikan.

Menurut laporan, dia berada di situ hingga jam 11 malam, memberikan rokok kepada tahanan dan merokok bersama mereka.


Dia turut dituduh mencuri radio dari sebuah pejabat ketika berada dalam penjara itu.


Tidak dapat dipastikan sama ada atau bila Matagrano akan berdepan pertuduhan sama iaitu memasuki penjara lain di bandar raya ini.

Matagrano juga dikatakan mempunyai rekod jenayah termasuk tuduhan liwat dan penderaan seksual. Namanya tersenarai dalam pendaftaran senarai penyerang seksual di New York.

Pihak berkuasa masih belum mengetahui alasan dia mahu ke penjara, tetapi sebelum ini dia pernah ditangkap kerana menyamar sebagai pekerja Lembaga Pendidikan yang mengunjungi dua sekolah dan memeriksa fail pelajar.

Hakim menetapkan ikat jamin AS$50,000 (RM 154,660) terhadap Matagrano.

Dia turut berdepan tuduhan pecah masuk, memilik peralatan palsu, kecurian dan menggalakkan penyeludupan barang larangan ke dalam penjara. Dia dijangka tampil di mahkamah Rabu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Rakan Putera William dipenjara seminggu

Posted:

London: Seorang teman Duke dan Duchess of Cambridge ditahan di lapangan terbang kerana memiliki bahagian pistol dalam bagasinya dan ditahan seminggu di penjara terkenal.

Pereka dalaman masyarakat kelas atasan, James Archibald yang menjadi tetamu dalam perkahwinan pasangan diraja itu ditahan ketika begnya dikesan mengandungi bahagian senjata itu di Barbados. Dia berada di lapangan terbang itu untuk menukar pesawat dalam perjalanan pulang dari Mustique ke Britain.


Archibald, 50, teman lama keluarga Kate menanggalkan bahagian pistol itu sebelum meletakkannya dalam bekas berkunci.

Dia cuba menyakinkan kakitangan lapangan terbang bahagian pistol itu tidak boleh digunakan untuk menembak.


Bagaimanapun, dia tetap ditahan di penjara Dodds, Archibald memberitahu akhbar The Mail semalam: "Ia hanya bahagian pistol angin yang saya gunakan untuk sasaran tembakan.


"Saya mengandaikan disebabkan ia tidak boleh beroperasi dan disimpan dalam bagasi yang dikunci, ia tidak akan menjadi isu," katanya. - Sunday Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

700 rumah musnah akibat gempa bumi

Posted:

Beijing: Beratus-ratus rumah di barat daya China runtuh dan lebih 20 penduduk cedera apabila gempa bumi berukuran sederhana melanda wilayah itu, semalam.

Biro gempa bumi di wilayah Yunnan, tempat kejadian itu berlaku berkata, tiga daripada mereka yang cedera, parah.


Agensi berita Xinhua melaporkan, bencana gempa bumi berkenaan merosakkan 2,500 rumah dan 700 daripadanya musnah sama sekali.

Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa berukuran 5.5 magnitud itu berlaku 51 kilometer dari bandar Dali pada kedalaman 33 kilometer. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

45 banduan bergaduh dikejarkan ke hospital

Posted:

Riyadh: Sejumlah banduan cedera dalam satu pergaduhan di penjara Malaz di Riyadh, malam kelmarin.

"Pergaduhan bermula ekoran insiden ejek-mengejek antara banduan sebelum bertukar menjadi pergaduhan," kata jurucakap Pengarah Penjara, Kolonel Ayyub Nahit sambil menambah 45 tahanan rakyat tempatan dan Habsyah cedera. Pegawai penjara mengejarkan 25 banduan yang cedera parah ke Hospital Polis, manakala baki 20 yang lain menerima rawatan kecemasan sebelum dihantar ke wad. Siasatan masih djalankan bagi memastikan punca yang menyebabkan pergaduhan itu.


Ayyub berkata, semua banduan yang terbabit dalam pergaduhan itu akan dikurung bagi mengelak saling bertemu dan memungkinkan terjadinya pergaduhan lagi.

Dalam insiden pergaduhan itu, sembilan ambulans dikejarkan ke penjara berkenaan bagi membawa mereka yang cedera ke hospital. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Bashar tolak letak jawatan

Posted:

Damsyik: Presiden Syria, Bashar al-Assad berkata, beliau tidak sekali-kali akan meletak jawatan.

Dalam wawancara menerusi video dengan akhbar The Sunday Times, pemimpin Syria itu turut menawar kan rundingan dengan pembangkang bagi mengakhiri krisis senjata yang sudah meragut lebih 70,000 nyawa di negara itu.

"Mereka perlu meletakkan senjata sebelum rundingan boleh diadakan," katanya.

Bagaimanapun, Bashar turut menjelaskan, beliau hanya bersedia untuk berunding itu dengan kumpulan politik, bukan 'pengganas bersenjata.'


"Kami sudah bersedia berunding dengan dengan sesiapa saja termasuk militan yang menyerah diri


"Kami boleh mengadakan dialog dengan pembangkang, tetapi tidak dengan pengganas," katanya dalam wawancara yang diadakan minggu lalu di kediamannya, Istana Al-Muhajireen.

Wawancara itu disiarkan ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon dan dutanya ke Syria, Lakhdar Brahimi berkata, mereka bersedia menjadi orang tengah rundingan damai antara rejim Bashar dengan penentangnya.

Di Teheran, Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi berkata, Bashar yang menjadi presiden berikutan kematian bapanya, Hafez pada 2000, akan mengambil bahagian dalam pilihan raya presiden tahun depan.

"Terserah kepada rakyat Syria untuk memilih pemimpin mereka pada pilihan raya itu," katanya.

Dalam temuramah berkenaan, Bashar juga menyangkal sengketa bersenjata melanda negaranya berkait dengan kepimpinannya.

"Adakah pertempuran akan terhenti jika saya meletakkan jawatan?

"Ini tidak masuk akal. Perkembangan di Libya, Yaman dan Mesir membuktikan bahawa dengan menjatuhkan pemimpin secara paksa, negara masih tidak boleh aman," katanya.

Sementara itu, 133 orang terbunuh di seluruh Syria kelmarin.

Mereka termasuk dua warga Palestin yang digantung di atas pokok oleh penentang di sebuah kem pelarian di Yarmuk kerana disyaki membantu tentera kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Aleppo hampir dikuasai penentang

Posted:

Damsyik: Kumpulan penentang, semalam menembak mati 34 anggota tentera kerajaan dalam serangan awal pagi terhadap sebuah akademi tentera di Aleppo.

Pertubuhan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi berkata, penentang menguasai sebahagian besar akademi itu di bandar Khan al-Assad selepas pertempuran sengit menguasai kubu terakhir rejim Bashar di barat Aleppo meletus beberapa hari lalu. Sementara itu, kumpulan jihad menawan penjara di wilayah Raqa dan membebaskan banduan.


Tentera kerajaan berundur dari penjara berkenaan yang terletak di utara wilayah itu selepas pertempuran sejak beberapa hari lalu.

"Anggota jihad dari Barisan Al-Nusra itu dan beberapa anggota penentang lain mengambil alih penjara dan membebaskan tahanan. "Sebahagian tahanan dipindahkan ke penjara berhampiran lain dan akan dihadapkan ke mahkamah Syariah sedikit masa lagi," kata sumber penentang. Penjara itu ditawan ketika pertempuran sengit di pinggir bandar Raqa antara penentang dengan tentera kerajaan Syria.


Enam belas penentang dan 14 tentera terbunuh dalam pertempuran itu yang disifatkan sebagai paling ganas sejak kebangkitan menentang Presiden Bashar meletus hampir dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Bangladesh kerah tentera

Posted:

Dhaka: Bangladesh semalam mengerahkan tentera ke utara negara itu apabila 10 lagi terbunuh dalam pertempuran berkait dengan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas pemimpin sebuah parti Islam negara itu.

Tentera dikerah ke bandar Shahjahanpur selepas lebih 5,000 penunjuk perasaan bersenjatakan kayu menyerang dua balai polis, memaksa anggota polis melepaskan tembakan. "Empat terbunuh selepas penyokong Jamaat-e-Islami menyerang kami. Jumlah mungkin meningkat," kata Ketua Polis Daerah Shahjahanpur, Moqbul Ahmed kepada media.


Sementara itu, empat orang ditembak mati di Godagari selepas polis dan pengawal sempadan melepaskan tembakan ke arah beribu-ribu penunjuk perasaan parti itu selepas mereka menyerang polis dengan kayu dan batu, kata ketua polis daerah, Jamaat-e-Islami. Dua lagi terbunuh malam semalam, termasuk aktivis pelajar parti pemerintah.

Jumlah kematian dalam pertempuran selepas Naib Presiden Parti Jamaat-e-Islami, Delwar Hossain Sayeed dijatuhkan hukuman mati minggu lalu kini meningkat 65 orang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

No comments:

Post a Comment