| Peminat tegar di seluruh dunia Posted: Siapa yang tidak berasa bangga apabila akhirnya diberi ruang mewakili negara di pentas Olimpik. Ternyata ia satu penantian yang cukup lama dan tentunya istimewa dengan peluang meraih pingat emas turut terbuka. Sama ada Datuk Nicol David masih berupaya menggalas harapan negara adalah cerita lain tetapi laluan yang dibuka untuk atlet Malaysia mempamerkan kehebatan di temasya Olimpik harus dihargai dan disyukuri. Delia Arnold, 27 antara yang turut meluahkan harapan untuk skuasy tersenarai dalam acara yang dipertandingkan di Olimpik 2020. Menurutnya, sudah sampai masanya skuasy dipertandingkan di Olimpik memandangkan sukan itu mempunyai pengikut di seluruh dunia. "Semua sukan mempunyai peluang untuk dipertandingkan tapi kita perlu berusaha sebaik mungkin bagi memastikan skuasy dipertandingkan di Olimpik 2020," kata pemain yang ketika ini menduduki ranking ke-30 dunia itu. "Jika skuasy terpilih, ia bagus untuk Malaysia dan secara tidak langsung ia memudahkan kita mencari lebih ramai bakat baru untuk diketengahkan." Malah pemain yang menyertai Wispa sejak berusia 17 tahun memuji usaha dilakukan ratu skuasy negara itu yang tidak pernah jemu mempromosi kempen di seluruh dunia bagi membolehkan sukan itu tersenarai di Olimpik.  NICOL tak kenal erti penat lobi skuasy ke Olimpik. "Apa yang dilakukan Nicol menakjubkan. Di sebalik kesibukan menjalani latihan, dia tetap berusaha mendapatkan sokongan daripada atlet antarabangsa. "Ia bukan satu tugas yang mudah tetapi dia berjaya melakukannya," katanya. Ditanya sama ada dia juga melakukan pendekatan seperti itu, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu juga sanggup menyertai kempen bagi mempromosi skuasy. "Tahun lalu, kami bersama-sama melakukan tarian 'flash mob' untuk mempromosi skuasy. Saya gembira jika diberi peluang menyertai kempen seperti itu." Pemain muda, Gushan Singh, 18, menganggap skuasy wajar disenaraikan di Olimpik memandangkan ia sukan yang dikenali di seluruh dunia. "Apatah lagi ia sukan yang menyihatkan kerana memerlukan pergerakan dan tindak balas pantas di gelanggang," kata Gushan yang bermain sejak berusia 10 tahun. Malah bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil yang pernah meraih naib juara Kejohanan Remaja Asia 2012 turut berharap jika sukan itu tersenarai, harapan untuknya beraksi di Olimpik juga terbuka. "Saya sanjung usaha dilakukan Nicol yang sanggup pergi ke seluruh dunia demi mempromosi sukan ini dan bertemu dengan ramai atlet antarabangsa termasuk Roger Federer," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
| Nafsu besar SSTMI Posted: Kuala Lumpur: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolt) menyimpan hasrat besar menjelang final Piala Milo bertemu UniKL Young Guns di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini. Bukan sekadar mahu menewaskan musuh ketat mereka itu, SSTMI berkira-kira menjulang Piala Milo buat kali ketiga berturut-turut selepas memenanginya pada dua edisi terakhir. Ketua jurulatih SSTMI, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman berkata, itulah impian yang diharapkannya sekali gus melebarkan kekecewaan UniKL. "Memang kami mahu mencipta hatrik. Kami sudah menang pada 2011 dan tahun lalu dan ini pertemuan keempat kedua-dua pasukan pada final Piala Milo. "Sudah pasti UniKL memberi saingan sengit dan menurunkan barisan terbaik kerana tidak mahu dikecewakan sekali lagi," katanya. Bagaimanapun, jelas Wan Mohd Roslan, anak buahnya juga tidak akan memberi laluan mudah kepada UniKL yang kali terakhir memenangi Piala Milo pada 2010. "Kami juga akan turunkan barisan terbaik dan bermain sebaik mungkin. "Mujur juga saya tidak berdepan masalah kecederaan pemain dan mudah untuk saya congak strategi apabila bertemu mereka." Selain final antara SSTMI dan UniKL, perlawanan penentuan tempat ketiga menyaksikan pertembungan antara MBI Anderson dan SSTMI Juniors. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
| Aris minat akademi bowling Posted: Kuala Lumpur: Atlet bowling kebangsaan, Aris Ardila Santosoh Gariman menyimpan impian membuka akademinya sendiri andai tidak bergelar atlet. Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang... Jawapan (J): Saya ingin membuka akademi bowling sendiri dan melatih muka baru. S: Mengapa? J: Selain menaikkan lagi sukan bowling tempatan, ia sebenarnya lebih kepada unsur perniagaan. Bagi saya, gelaran sebagai ahli perniagaan amat sesuai selepas tidak bergelar atlet lagi. Impian ini bukan sekadar angan-angan tapi rancangan jangka masa panjang yang akan saya usahakan. Apatah lagi, saya adalah atlet sepenuh masa dan tidak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, maka bidang perniagaan amat sesuai dengan saya. S: Mungkin ada sesiapa mempengaruhi anda? J: Ahli keluarga saya terutama ibu dan ayah, masing-masing mempunyai perniagaan sendiri. Begitu juga dengan abang saya. Lantaran itu, tidak mustahil saya mengikut jejak langkah mereka. S: Bila rancangan ini akan direalisasikan? J: Mungkin dalam masa 10 tahun lagi. S: Sudah ada rancangan lokasi perniagaan atau nama akademi itu? J: Saya ingin membuka perniagaan di Kuala Lumpur terlebih dulu sebelum membuka cawangan di negeri lain terutama di kampung halaman, Bumi Kenyalang, Sarawak. Nama akademi belum lagi saya fikirkan, mungkin saya akan namakan 'Megah Kenyalang'. S: Dalam sukan bowling, apa sasaran anda tahun ini? J: Memandangkan kami tidak ke Sukan SEA, saya hanya memberi tumpuan penuh pada Kejohanan Dunia pertengahan tahun ini. S: Usia anda sudah mencecah 22 tahun, mungkin ada teman istimewa? J: Jujurnya saya masih tiada teman wanita. S: Jika begitu, apa kriteria gadis idaman anda? J: Cantik. Siapa yang tidak mahu orang cantik bukan? Namun, saya juga mahukan gadis yang sopan santun, lemah lembut serta hormat orang tua. Namun, pada masa sama saya agak memilih orangnya dan mungkin kerana itu saya masih bersendirian. S: Ada jangkaan had umur bila menamatkan zaman bujang? J: Sekurang-kurangnya 28 tahun, apapun saya meletakkan had umur 30 tahun untuk mendirikan rumah tangga sekiranya bertemu jodoh. S: Selain bowling, ada meminati sukan lain? J: Tiada. Saya amat mencintai bowling. S: Mungkin ada hobi tertentu? J: Saya suka bermain gitar dan snuker bersama rakan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
| Sentiasa bersedia! Posted: Kuala Lumpur: Jika dalam sukan seni tempur, wushu, siapa tidak gentar kehebatan juara dunia tiga kali, Chai Fong Ying yang kini dilabel pengganti bekas jaguh negara, Ho Ro Bin. Sejak merangkul gelaran juara berganda Sukan Asia Doha disempurnakan di Guangzhou 2010, Fong Ying kini harapan skuad negara menaikkan lagi nama Malaysia di pentas dunia. Lantaran itu, tidak mustahil dirinya menjadi idola pelapis negara berlainan disiplin kerana Fong Ying pakar disiplin Taijijian. Ikuti temubual pelapis negara disiplin Nanquan, Tan Cheong Min yang tetap menghormati semangat seniornya. Soalan (S): Saya belum pernah mewakili negara ke kejohanan utama dunia. Jika diberi peluang, bagaimana menghilangkan rasa gentar dan lebih bersedia di gelanggang? Jawapan: Sesiapa saja pasti gementar setiap kali melangkah ke gelanggang, tidak kira sehebat mana pun anda. Meskipun sudah tiga kali bergelar juara dunia, tidak bermakna saya boleh pandang remeh pencabar lain. Kita perlu sentiasa peka pada keadaan sekeliling. Bagi saya, penting untuk setiap atlet wushu mengawal diri. Maksudnya, jangan hilang fokus semasa di gelanggang dan kekal tenang serta jaga pernafasan. Apa nasihat anda untuk saya jadi jaguh wushu bertaraf dunia? Kena perlu rajin berusaha, bijak dan pantas tangani sebarang masalah di gelanggang. Anda juga perlu sentiasa bersedia. Selaku juara dunia tiga kali dan kini memburu kejuaraan keempat pada Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur tahun ini, apa tanggapan anda terhadap saya? Anda seorang yang berbakat. Namun, bakat itu perlu dimanfaat dengan bijak, jika tidak, ia tetap tidak berguna. Setakat ini, prestasi anda baik tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki. Apa kenangan pahit serta manis boleh saya jadikan iktibar? Saya bermula dengan kenangan pahit kerana pernah jatuh sakit hingga tidak mampu bangun pada 2007. Lebih buruk, waktu itu kami di Tianjin, China, seminggu sebelum Kejohanan Dunia di Beijing. Mujur saya pulih dan agak bersedia kerana sebelum itu saya jalani latihan intensif untuk mempertahankan gelaran diraih di Vietnam 2005. Lantaran itu, saya gagahkan diri beraksi di Beijing dan berjaya meraih emas serta gelaran juara dunia kedua buat Malaysia. Itu adalah kenangan manis di sebalik kenangan pahit dalam hidup saya. Kerana itu jugalah, saya jadikan ia pengajaran seumur hidup untuk sentiasa bersedia kerana jika tidak, mungkin saya gagal mempamerkan aksi terbaik pada saingan itu yang menjadi sejarah untuk saya mempertahankan gelaran di Kejohanan Dunia di Turki pada 2011. Apa misi anda selepas ini? Melakar sejarah sebagai atlet negara pertama meraih gelaran juara dunia tiga kali sudah cukup membanggakan saya serta keluarga. Namun, itu bukan noktah buat saya berasa selesa. Misi saya selepas ini pastinya ingin mempertahankan gelaran itu buat kali keempat tahun ini apatah lagi Kejohanan Dunia 2013 bakal diadakan di Kuala Lumpur. Saya enggan tewas di laman sendiri. Namun, seperti yang saya tekankan sebelum ini, saya enggan mendabik dada dan tidak memandang remeh pencabar lain. Saya berjanji akan lakukan yang terbaik. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
| Milik Arredondo Posted: Kuala Terengganu: Pelumba Team Nippo-De Rosa, Julian Arredondo menepati ramalan apabila muncul pelumba terbaik Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 yang berakhir semalam dengan MTN Qhubeka dinobatkan pasukan terbaik. Walaupun tidak berada dalam 10 tempat teratas ia sudah cukup untuk menobat pelumba dari Colombia itu sebagai pemenang jersi kuning dengan masa keseluruhan 34 jam 53 minit 7 saat untuk meninggalkan Pieter Weening di tempat kedua. Kemenangan pelumba yang mewakili pasukan benua dari Jepun itu sekali gus menafikan hasrat pelumba ternama lain yang bersama pasukan Pro Tour dan profesional benua untuk muncul juara. Dia mula menyarung jersi kuning selepas menawan peringkat kelima di puncak Genting Highlands dan membolehkan pelumba itu meneruskan legasi pelumba Amerika Selatan yang menguasai jersi kuning sejak 2009. Jersi Raja Pecut pula menjadi milik pelumba Vini Fantini Felle Italia, Francesco Chicchi selepas berjaya menafikan hasrat pelumba Astana Pro Team, Andrea Guardini untuk mencatatkan hatrik menjuarai kategori itu. Pelumba dari Itali itu menafikan hasrat rakan senegaranya itu apabila mempamerkan kayuhan bertenaga menjuarai peringkat ke-10 semalam sekali gus mempunyai kelebihan tujuh mata mengatasi Guardini selepas mengumpul 96 mata. "Saya sangat menyukai perlumbaan ini. Saya tidak boleh mengharap sesuatu yang hebat dengan pasukan ini dengan memenangi dua peringkat perlumbaan dan jersi biru," kata Chicchi. Manakala pemenang Raja Bukit kelmarin, Wang Meiyin yang bersama Hengxiang Cycling Team meraih jersi kedua apabila mengekalkan statusnya sebagai pelumba terbaik Asia dengan catatan 34'55:47s. MTN Qhubeka dari Afrika Selatan pula pasukan terbaik sekali gus muncul juara baru dalam sejarah 18 tahun perlumbaan LTdL. Tanpa sebarang kemenangan dalam peringkat perlumbaan, pasukan profesional benua itu memastikan kejuaraan dengan persembahan konsisten sepanjang 10 peringkat perlumbaan yang bermula pada 21 Februari lalu. Tabriz Petrochemical Team dari Iran yang berada di tempat kedua keseluruhan muncul pasukan terbaik Asia. Peringkat ke-10 semalam dari Tasik Kenyir ke Dataran Shahbandar sekali lagi menyaksikan pelumba terbaik negara semalam adalah Anuar Manan yang menamatkan saingan di tempat keenam. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
| KBS sedia serah hak penganjuran Posted: Kuala Terengganu: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menimbang permintaan mana-mana pihak untuk menganjurkan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang sudah berusia 18 tahun. Bagaimanapun Menteri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan, hak penganjuran perlumbaan itu hak mutlak Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). "Ia adalah hak PKBM namun kita sedia menimbangnya andai pihak berminat ingin mengeluarkan peruntukan kewangan sendiri," katanya. Beliau diminta mengulas laporan yang mendakwa ada pihak berminat menganjurkannya pada tahun depan. LTdL dikendalikan KBS sejak beberapa tahun lalu selepas menanggung kerugian apabila dianjur pihak ketiga sebelum ini sekali gus memberikan imej negatif kepada negara. Beliau bagaimanapun turut memuji penganjuran tahun ini yang berlangsung dengan meriah berakhir di Kuala Terengganu semalam. Katanya kehadiran lima pasukan Pro Tour menurutnya satu pengiktirafan yang besar kepada LTdL. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
| Kem negara gigit jari Posted: Kuala Terengganu: Cabaran pelumba Synergy-Baku Cycling Project, Anuar Manan berakhir tanpa sebarang kemenangan pada LTdL yang berakhir semalam. Anak jati Terengganu itu gagal mencapai matlamat memenangi semula jersi Raja Pecut dan tidak mampu menaiki podium sepanjang 10 peringkat perlumbaan. Manakala dalam saingan Raja Pecut, pelumba berusia 27 tahun dari Terengganu itu sekadar menduduki tempat ketiga selepas mengumpul 76 mata. "Saya kecewa kerana gagal mencapai sasaran namun saya sudah memberikan aksi terbaik untuk perlumbaan ini," kata Raja Pecut 2010 itu. Tambahnya, LTdL tetap permulaan yang hebat buat pasukannya yang baru ditubuhkan beberapa bulan sebelum saingan berprestij Asia itu bermula. Walaupun gagal mencipta kejayaan membanggakan, Anuar tetap paling menyerlah di kalangan pelumba tempatan apabila berada dalam 10 pelumba terbaik enam peringkat. Malah pada peringkat terakhir semalam, dia cemerlang menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan masa dua jam 39 minit 4 saat. Kecemerlangan dalam kategori pecut itu turut menobatkan dirinya sebagai pelumba tempatan terbaik kategori pecut dengan menerima hadiah RM2,500. Namun pelumba terbaik Malaysia adalah Adiq Husainie Othman yang memenangi RM5,000 selepas kecemerlangannya di Cameron Highlands dan Genting Highlands. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
| Wujudkan program cinta skuasy Posted: Kuala Lumpur: Impian melihat skuasy dianjur di Sukan Olimpik 2020 tidak mustahil menjadi kenyataan tapi harus disokong dengan program sewajarnya. Justeru bekas pemain skuasy kebangsaan, Azlan Iskandar tetap yakin keupayaan sukan itu untuk disenaraikan sebagai acara Sukan Olimpik pada edisi 2020 kelak, malah Malaysia sudah membuktikannya menerusi program pembangunan berterusan. "Saya yakin peluang skuasy ke Olimpik, malah dengan sokongan Roger Federer akan memberi impak terhadap slot ke Olimpik dan peratusannya tinggi. "InsyaAllah, jika skuasy menyertai Olimpik, ia sesuatu yang bagus untuk negara," katanya yang pernah menduduki ranking ke-10 dunia. Apatah lagi menurutnya, Persatuan Skuasy Dunia menggunakan khidmat syarikat pemasaran sama yang mempromosikan ragbi tujuh sebelah yang berjaya diserapkan ke Sukan Olimpik 2016. Jelasnya yang penting, usaha untuk mengetengahkan skuasy perlu bermula seawal mungkin, malah dia memulakan akademinya sendiri, Akademi Skuasy Azlan Iskandar (AISA) yang semakin aktif diusahakan sejak bersara daripada mewakili negara tahun lalu. Sejak AISA ditubuhkan pada 2011, Azlan kini memiliki lima akademi iaitu di Kuching, Miri dan Bau di Sarawak, Kemaman (Terengganu), dan Seremban 2 (Negeri Sembilan). Menurut pemenang pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010 itu, perkembangan akademi itu dilihat positif dengan penyertaan 500 pelajar sekolah rendah pada tahun pertama penubuhannya dan mensasarkan 2,000 pelajar sehingga akhir tahun ini. Malah kini, Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia (SSJM) yang dianjurkannya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah memulakan aksi di Kemaman dari 15 hingga 17 Februari diikuti Johor Bahru pada 1-3 Mac, Seremban 22-24 Mac, Kuala Terengganu 12-14 April, Putrajaya 17-19 April, Kota Bharu 19-21 April dan Melaka pada 14-16 Jun. Ia disusuli kejohanan dari 28 hingga 30 Jun di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Kuantan pada 5-7 Julai sebelum kejohanan kemuncak pada 23-25 Ogos di Bukit Jalil. "Sekiranya berpeluang ke Olimpik, sudah pasti skuasy akan semakin berkembang dan bilangan kejohanan pastinya meningkat. Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) perlu melihat bagaimana skuasy boleh memberi impak kepada komuniti," katanya yang turut gembira dengan sokongan KBS terhadap usaha yang dilakukan. "Malah menerusi kejohanan ini, kita tidak memberi tumpuan kepada Kuala Lumpur semata-mata tetapi juga menganjurkannya di negeri lain. Ini strategi yang saya gunakan untuk terus memperkenalkan skuasy, selain kegiatan di akademi. Biarpun bermula pada skala yang kecil tetapi sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. "Kejayaan skuasy memang sudah terbukti dan anak Malaysia ternyata boleh cemerlang dalam sukan ini hingga mampu melahirkan pemain bertaraf dunia." Ketika Datuk Nicol David dan Low Wee Wern dilihat menjadi sandaran ke Olimpik, Azlan turut berpendapat pemain lelaki tidak kurang hebatnya menerusi Nafiizwan Adnan dan Syafiq Kamal. "Apa yang saya harapkan supaya tumpuan tidak diberikan kepada hanya pemain yang bagus semata-mata sedangkan yang lain diabaikan, jika tidak kita pasti akan kehilangan pelapis." Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
| Emas Olimpik pertama? Posted: Kuala Lumpur: Di sebalik keghairahan mengenai peluang negara meraih pingat emas pertama Olimpik (selepas Datuk Lee Chong Wei gagal pada 2008 dan 2012) menerusi skuasy, mampukah Datuk Nicol David menggalas harapan serupa andai sukan itu dipertandingkan pada Olimpik 2020. Setakat ini skuasy masih perlu bersaing dengan karate, wushu, wakeboard, sport climbing, roller sports dan besbol/sofbol untuk satu tiket ke Olimpik selepas sukan gusti digugurkan daripada program itu. Secara matematik, Nicol bakal berusia 37 tahun dan pastinya menimbulkan persoalan sama ada kemampuan pemain nombor satu dunia itu berjuang hingga ke tahun itu, apatah lagi beberapa pemain muda sudah mula memberi tentangan kepada ikon negara itu sejak akhir-akhir ini. Melihat kepada perspektif lebih luas, mampukah negara melahirkan pemain baru yang boleh berdiri sama tinggi dengan Nicol dalam tempoh tujuh tahun lagi? Bagaimanapun, Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Datuk Syed Mustaffa Syed Ali (gambar) berpendapat Malaysia sudah memiliki barisan pelapis yang boleh diharapkan itupun sekiranya usaha yang dilakukan untuk memajukan sukan itu tidak tergendala seperti yang berlaku pada 1998 selepas Sukan Komanwel akibat peruntukan dipotong, jurulatih ditamatkan perkhidmatan hingga memberikan kesan kepada program pembangunan peringkat negeri. Menurutnya, program yang bermula pada 1990 berjaya melahirkan pemain seperti Nicol, Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee yang dianggap sebagai 'gelombang pertama' skuasy negara. "Matlamat SRAM adalah meletakkan skuasy Malaysia di tahap terbaik, sebagai kuasa besar skuasy dunia," katanya. Jelasnya, kemasukan skuasy sebagai Sukan Teras sedikit sebanyak memberi harapan baru kepada skuasy negara apabila mereka kembali mendapat peruntukan dan bimbingan jurulatih sekali gus menghidupkan kembali program remaja. "Malah penyertaan CIMB sebagai Rakan Sukan pada 2005 memberi petanda positif apabila menganjurkan kejohanan pada 2006. Bermula dengan dua kategori iaitu Bawah 9 dan 11 tahun dengan 100 penyertaan, ia meningkat sehingga enam kategori umur membabitkan lebih 600 penyertaan. "Apa yang dilakukan mula berhasil apabila Ng Eain Yow menjuarai Terbuka Remaja Britain tahun ini dan 2011 untuk kategori B-15 dan B-14 manakala S Sivasangari muncul naib juara kategori perempuan B-15 tahun, begitu juga dengan pemain B-17 kami." Begitupun, apa yang membimbangkan beliau adalah kekurangan gelanggang dan jurulatih untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa depan biarpun menyedari ada di kalangan bekas pemain mula membabitkan diri dalam bidang kejurulatihan. "Bakat ada di mana-mana tetapi gelanggang yang ada tidak mencukupi dan di negeri pula, ia hanya tertumpu di ibu negeri masing-masing," katanya. Menjawab persoalan sama ada Nicol masih mampu menggalas tugas andai skuasy tersenarai di Olimpik kelak, Syed Mustaffa tetap yakin kemampuan pemain nombor satu dunia itu biarpun turut berharap Low Wee Wern yang kini menduduki ranking nombor enam dunia. "Begitupun untuk pemain lelaki, saya belum melihat pengganti sebagus Azlan dan Beng Hee pada masa ini." Apa pun harapan yang diletakkan, semua itu akan diputuskan Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang akan membuat pemilihan September ini di Buenos Aires. Menurutnya skuasy dua kali terlepas peluang untuk ke Olimpik 2012 dan 2016 dan berharap ia akan dipertandingkan kali ini. "Sejak tahun lalu, Persekutuan Skuasy Dunia sudah memulakan kempen untuk mempromosi dan menimbulkan kesedaran terhadap sukan ini yang dimainkan di seluruh dunia, "Kami harap akan terpilih kali ini meskipun sedar sukan lain juga turut berkempen untuk diletakkan sebagai program Olimpik." Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 |
No comments:
Post a Comment