Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Denda pembikin bah

Posted: 29 Nov 2012 01:30 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang melanggar syarat kerja tanah menyebabkan bencana alam termasuk banjir.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya tidak menolak masalah banjir di bandar raya ini turut berpunca daripada projek pembangunan yang mengabaikan sistem saliran air dan longkang.


"Jika didapati bersalah, mereka (pemaju) dikenakan tindakan termasuk kompaun tidak kurang RM1,000 bagi setiap kesalahan. Dalam masa sama, DBKL sudah mengenal pasti 38 kawasan lokasi panas yang kerap berlaku banjir seperti Jalan Kuching, Segambut dan Sungai Besi.

"Malah, kerja pembersihan longkang daripada tersumbat akibat sampah-sarap atau tanah sudah dilakukan bagi mengatasi masalah banjir di sini," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, DBKL turut menubuhkan unit khas penguat kuasa yang sentiasa bersedia mengawal lalu lintas ketika banjir.


"Di Kuala Lumpur, aliran trafik perlahan apabila hujan lebat berlaku. Oleh itu, setiap kali mendung, unit khas ini bersedia untuk bergerak ke lokasi yang dikenal pasti bagi mengawal lalu lintas.

"Selain itu, tahun depan, kami akan bekerjasama dengan Alam Flora dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi perhatian lebih untuk menaik taraf semua saliran longkang bermasalah," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Amin Nordin Abd Aziz berkata, DBKL tidak membenarkan lori tanah melalui jalan raya di Pantai Dalam ke tapak projek pembangunan 71 banglo Bukit Gasing selama dua minggu, bermula kelmarin.

"Tindakan ini diambil selepas kontraktor lori itu tidak mematuhi peraturan kerana menyebabkan jalan raya menjadi kotor serta rosak selain menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Dua pengawal nafi sogok polis RM500

Posted: 29 Nov 2012 01:27 PM PST

SHAH ALAM: Dua pengawal keselamatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memberi sogokan RM500 kepada seorang anggota polis bagi mengelak tindakan kerana menjual dadah di Hulu Langat, dekat sini, Ogos lalu.

Tertuduh, J Genash, 31, dan K Karithikeyan, 40, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.


Dua sekawan itu didakwa memberi suapan wang tunai itu kepada Koperal Mohd Kamarulzaman Mohd Sukri dari cawangan pencegahan jenayah, Balai Polis Kajang di hadapan EGI Group, Lot 5290, Batu 19, Off Jalan Semenyih, Kajang, jam 5.30 petang, pada 24 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.


Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Yusliza Mohd Yusoff dari SPRM menawarkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak berkemampuan.


Asmadi membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan Genash dan Karithikeyan masing-masing melapor diri ke pejabat SPRM pada Ahad pertama setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Anak menjerit kedai jiran terbakar

Posted: 29 Nov 2012 01:25 PM PST

BELURAN: "Ketika sibuk melayan pelanggan, saya mendengar jeritan anak memberitahu kedai di sebelah restoran kami terbakar. Tak lama kemudian berlaku beberapa letupan dan saya bersama anak serta pelanggan bertempiaran lari menyelamatkan diri."

Itu kata kata Samsiah Awang, 48, pemilik restoran terletak bersebelahan rumah kedai yang terbakar hingga mengorbankan tiga beranak di sini, malam kelmarin.


Samsiah berkata, api marak cepat dan dia bersama pekerja serta pelanggan restoran tidak sempat berbuat apa-apa, melainkan lari menyelamatkan diri secepat mungkin.

"Saya masih terkejut dan trauma dengan kejadian ini. Tiga beranak yang terbunuh itu sangat baik dan hampir setiap hari mereka membeli makanan di restoran saya," katanya.


Menurutnya, ketika ini, dia menutup restorannya untuk kerja membaiki pulih siling yang terbakar.


Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Rosman, 50, berkata, dia sedar kejadian itu apabila terdengar letupan kuat dan percikan api sebelum berlari keluar dari rumah kedai yang terletak sebaris kedai mangsa.

"Keadaan sangat kelam-kabut ketika itu dengan semua orang berusaha membantu menyelamatkan barang-barang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


‘Sangka ajal sudah sampai’

Posted: 29 Nov 2012 01:24 PM PST

GAZA: "Saya tidak ingat apa yang berlaku sejurus peluru raifal itu menembusi perut. Saya hanya sempat mengucap dua kalimah syahadah sebelum tidak sedarkan diri.

"Saya sangka ajal sudah sampai dan tak sangka masih hidup," kata Abdul Mohamad Isme, 27, seorang daripada ribuan rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan rejim Israel sepanjang bedilan roket selama lapan hari bermula 14 November lalu.


Dia yang ditemui di Hospital Khan Younis, di sini, semalam berkata dia ditembak tentera Israel ketika sedang berada di ladang pokok Zaitun miliknya di Alkara pada 20 November lalu. Menurutnya, sekumpulan tentera Zionis tiba-tiba muncul sebelum mengacukan raifal dan senjata berat ke arahnya dari jarak dekat.

"Tanpa sebarang amaran, tentera terbabit terus melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah saya yang tidak bersenjata.


Abdul Mohamed berkata, dia hanya tersedar selepas dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan terpaksa menjalani pembedahan bagi merawat perut hingga belakang tubuhnya yang ditembusi peluru.


"Saiz peluru digunakan amat luar biasa dan saya kini tidak mampu menggerakkan tubuh kecuali tangan," katanya dalam keadaan menderita kesakitan.

Menurutnya, tindakan keji tentera Zionis itu bertujuan menakut-nakutkan golongan petani dan menghalau penduduk Gaza dari tanah ladang dimiliki selama ini.


"Tapi, jangan fikir saya akan mengalah. Tanah ini milik kami dan saya tetap akan kembali ke situ jika diizinkan Allah SWT sembuh kelak," katanya.

Serangan menggila tentera Zionis selama lebih seminggu itu menyebabkan ratusan mangsa kini terlantar di katil hospital dan ramai juga yang mengalami kecacatan kekal.


Kebanyakannya membabitkan golongan kanak-kanak dan belia yang dirawat di Hospital Khan Younis dan Hospital Al Sifa' di sini, akibat putus kaki atau lumpuh selepas terkena letupan roket dan tembakan senjata berat.


Seorang mangsa dirawat di Hospital Khan Younis, Abdul Malek Abu Syamil, 26, putus kaki kanan akibat ditembak roket disasarkan pesawat tanpa juruterbang dikenali sebagai Drone milik Zionis.


Dalam kejadian 17 November lalu, pesawat Drone yang terbang di ruang angkasa Gaza bertindak melepaskan roket ke arahnya yang sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah.


"Dalam sekelip mata ledakan kuat berlaku sebelum motosikal ditunggang berkecai. Saya turut terpelanting sebelum mendapati kaki kanan hancur dan putus.


"Malah tulang tangan dan kaki kiri saya turut patah remuk. Saya cuba bangkit namun gagal dan jatuh pengsan akibat terlalu sakit," katanya.


Menurutnya, tindakan gila tentera Isreal menggunakan pesawat Drone untuk menyerang orang awam di Gaza adalah taktik pengecut dan tidak berperikemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Terpaksa tempuh 18 sekatan

Posted: 29 Nov 2012 01:23 PM PST

DOA dan harapan melangit saya dan jurugambar, Azhar Mat Ganti untuk melepasi sekatan di pintu sempadan Rafah-Gaza akhirnya dimakbulkan Tuhan tepat jam 3.39 petang waktu tempatan kelmarin.

Usaha dan halangan dihadapi silih berganti sejak Jumaat lalu tidak sekelumit mematahkan semangat kami untuk cuba memasuki bandar Gaza bersama tiga wakil persatuan Muslim Care Malaysia.


Untuk sampai ke garisan 'penamat' di Tebing Gaza ini, kami melepasi satu persatu 18 sekatan di pos kawalan serta pemeriksaan tentera Mesir di sepanjang laluan antara Kaherah ke sempadan Rafah.

Jelingan tajam tanpa sedikit pun menunjukkan riak senyuman di wajah pegawai tentera bertugas menyebabkan kami hanya diam kaget serta berdoa dalam hati memohon perjalanan ini dipermudahkan.


Rata-rata pos pemeriksaan meletakkan sejumlah tentera beruniform lengkap dengan raifal dan dua kereta kebal yang dihalakan muncung meriamnya ke arah Rafah.


Sekali pandang, situasi ini kelihatan seperti tentera Mesir sedang bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran besar dalam tempoh terdekat.

Keadaan berjaga-jaga ini dipercayai ada kaitan dengan tindakan rakus Zionis melakukan pembunuhan terhadap penduduk Tebing Gaza yang tidak disenangi Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan Perdana Menterinya, Hisham Qandil.


Susulan itu langkah kawalan ketat diambil dengan menghalau 'orang luar' mendekati pintu sempadan Rafah apatah lagi tanpa dokumen sokongan atau kebenaran dari pihak kerajaan Mesir sendiri.

Kegembiraan menjejakkan kaki ke bumi suci Gaza segera dizahirkan dengan melakukan sujud syukur sambil menadah tangan ke hadrat Ilahi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Selera orang muda berubah

Posted: 29 Nov 2012 01:02 PM PST

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengingatkan ahli Umno akan hakikat bahawa landskap politik negara dan demografik Malaysia sudah berubah secara radikal berikutan majoriti daripada 29 juta penduduknya dilahirkan pasca Hari Malaysia.

Presiden Umno itu berkata, cabaran Umno kini ialah untuk memahami cita rasa dan jangkaan rakyat terutama golongan muda yang sudah bertukar dengan mendadak berikutan kebanyakan pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat dan kritikal.


Beliau berkata, perubahan itu berlaku berikutan peningkatan taraf hidup, proses perbandaran, akses kepada pendidikan dan kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan.

"Peningkatan dan kemajuan itu sudah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia.


"Demografik Malaysia menunjukkan separuh daripada 29 juta penduduk Malaysia berusia kurang 25 tahun manakala 80 peratus rakyat kita berusia kurang 45 tahun.


"Jumlah pengundi baru sejak Mac 2008 ialah 2.9 juta terdiri pelbagai umur dan ini menjadikan setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-13 yang berjumlah 13.1 juta orang nanti ialah pengundi baru atau yang pertama kali mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Dalam pada itu, Najib berkata, transformasi pengundi juga tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya, berlangsung secara berdikit sejak lebih lima dekad yang digerakkan kejayaan dasar serta program hasil prakarsa kerajaan Perikatan yang kemudian diteruskan Barisan Nasional (BN). Najib juga berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai rancangan holistik mengenai hala tuju masa depan negara dan atas sebab itu rakyat perlu terus memilihnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.


"Sebaliknya parti pembangkang pula dalamannya kelam-kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat mereka sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, teokratik atau berkebajikan.

"Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka.


"Pilihan raya bukan satu uji kaji," katanya.


Beliau berkata, tempoh lima tahun ialah jangka masa lama dalam pentadbiran sesebuah kerajaan dan pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya akan gagal dan tersungkur jika ditadbir parti yang bercelaru.


Beliau turut menjelaskan bahawa Umno bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti komponen lain dalam BN.


"(Umno) tidak seperti gabungan DAP, Pas dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang tiada bertunjangkan ketulusan.


"Contohnya di Pulau Pinang yang diterajui DAP, tiada wakil Pas menyertai kerajaan manakala di Kedah yang diteraju Pas, DAP tidak menyertai pentadbiran, kita maklum, puncanya kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain," katanya. Najib juga meminta semua ahli Umno supaya mengambil iktibar daripada dua peristiwa penting yang pernah tercatat dalam sejarah Islam iaitu Perang Badar dan Uhud. Beliau berkata, kedua-dua peristiwa penting itu mempunyai kaitan secara langsung dengan disiplin dalam organisasi yang perlu diamalkan setiap ahli dan pendokong parti.


"Dalam Perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan berjaya menewaskan musuh yang mempunyai jumlah bala tentera serta kelengkapan perang lengkap manakala dalam Perang Uhud pula, tentera Islam agak setara daripada segi jumlah tentera dan kelengkapan, namun disebabkan kelemahan rantaian kawalan dan kelalaian mentaati arahan, maka tentera Islam tewas," katanya.


Justeru, menurutnya, disiplin berorganisasi itu adalah faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat diinginkan.


Dalam pertubuhan siasah pula, katanya, disiplin berorganisasi bakal menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya.


"Inti patinya ialah disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi di atas kepentingan individu. Jika keputusan muktamad sudah dibuat, terimalah dengan hati terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Ikrar Presiden dahulukan kesejahteraan rakyat

Posted: 29 Nov 2012 01:01 PM PST

KUALA LUMPUR: Presiden Umno semalam mengulangi sumpah, janji dan ikrar beliau untuk terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, memartabat rumpun Melayu, membenteng akidah umat dan memelihara agama Islam jika Umno dan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan yakin bahawa hanya Umno dan BN yang mampu menawarkan yang terbaik kepada mereka. Justeru, menurutnya, Umno dan BN akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangi hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik, bersaing untuk setiap undi, berusaha meyakinkan setiap rakyat, mengetuk setiap pintu hati serta membuka setiap gerbang harapan.


"Walau apa rintangan melanda, biar apa cabaran menghalang, Umno tidak akan berpulang walau setapak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Amanat Najib berdepan cabaran

Posted: 29 Nov 2012 12:52 PM PST

KUALA LUMPUR: Ahli Umno khasnya saf kepemimpinan diingatkan supaya sentiasa mendahulukan kepentingan organisasi, berdisiplin, ikhlas dan berkhidmat kepada rakyat pada setiap masa bagi memastikan parti itu diterima rakyat seterusnya menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pada sidang media bersama semalam, ketiga-tiga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meluahkan keyakinan inti pati ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak akan dijadikan amanat terbaik untuk mendepani segala cabaran. Ahmad Zahid berkata, seperti diucapkan Najib, kerajaan sudah melakukan banyak perkara demi kepentingan rakyat dan antaranya, dalam tempoh tiga setengah tahun menjadi Perdana Menteri, Perdana Menteri sudah memperkenalkan 21 produk berkaitan gagasan 1Malaysia.


"Bukan mudah untuk melakukannya dalam tempoh singkat ini, namun ia berjaya dilaksanakan hasil daripada kepemimpinan dinamik dan lebih banyak lagi yang akan dilakukan bagi memenuhi keperluan rakyat," katanya.

Beliau turut menyentuh berkaitan persoalan uji kaji serta tukar kerajaan dan menurutnya, apa dilalui negeri ditadbir pembangkang kini memberi kesimpulan bahawa hanya Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mampu mentadbir negara ini dengan baik.


"Najib menyifatkan tukar kerajaan ibarat tikus membaiki labu dan ketiga-tiga kami berpendapat ia mesej cukup kuat dan perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan," katanya.


Berkaitan permohonan maaf dibuat Najib dalam ucapan dasarnya, Ahmad Zahid berkata, ia perkara terpuji yang ada dalam diri Perdana Menteri.

"Mesejnya ialah kita bukan maksum dan kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak rakyat," katanya.


"Itu yang tidak ada pada pembangkang, mereka tidak pernah mengakui kesilapan serta kelemahan mereka. Kita berbeza kerana sanggup merendah diri, malah sentiasa berusaha bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta program untuk rakyat," katanya. Bagi Hishammuddin, ucapan dasar kali ini berkaitan bagaimana ahli parti boleh berubah serta cara mana mereka perlu bangkit bagi menangkis dakyah dilemparkan pembangkang.

"Kita diserang bertubi-tubi, seolah-olah kita tidak pernah melakukan apa-apa. Apa yang kita lakukan untuk rakyat pula dihantui dengan fitnah, serangan dan tohmahan, ia bukan politik matang, sebaliknya politik penuh kebencian.


"Jadi, penting untuk kita berusaha bagi menangkis semua ini selain menyelesaikan perkara berbangkit pada perhimpunan ini, dalam wadah di rumah Umno ini untuk mengingatkan bukan saja kepada orang luar, malah ahli Umno sendiri," katanya. Mohd Shafie pula berkata, kejayaan sesebuah kerajaan bukan diukur melalui jumlah janji yang dibuat, tetapi janji yang berjaya dilaksanakan.


"Jangan menukar kerajaan umpama menukar baju kerana ia berkaitan dengan masa depan rakyat serta negara.


"Pembangkang sudah diberikan peluang untuk mentadbir lima negeri, namun mereka gagal melaksanakan hasrat rakyat walaupun menjanjikan pelbagai perkara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


‘Usah buat eksperimen’

Posted: 29 Nov 2012 12:49 PM PST

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak seharusnya melakukan eksperimen dengan memperjudikan masa depan negara apabila mengubah kerajaan kerana ia hanya membawa kepada keadaan porak-peranda.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bukan soal menakut-nakutkan rakyat tetapi demi memastikan masa depan generasi akan datang lebih terjamin di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).


Menurutnya, terdapat sesetengah pihak terutama pembangkang menyatakan peluang mentadbir negara perlu diberikan kepada mereka selepas ditadbir kerajaan BN sejak 55 tahun lalu tetapi keadaan itu tidak seharusnya berlaku.

"Ini bukan soal bagi peluang kepada mereka dan kenapa kita perlu tolak (pakatan) pembangkang bukan kerana mereka pembangkang tetapi ideologi mereka yang tidak sepakat dan dasar tidak disokong antara satu sama lain.


"DAP dan Pas selalu bersengketa (kerana perbezaan ideologi dan dasar) sepanjang masa, dan keadaan itu memang terbukti. Justeru, bagaimana rakyat mahu percaya kepada kemampuan mereka untuk mentadbir negara. "Keadaan (negara) akan porak-peranda kerana mempunyai pertembungan ideologi berbeza. Bagaimana mereka mahu duduk semeja untuk menentukan hala tuju dalam mentadbir negara jika di peringkat negeri pun bermasalah," katanya.


Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, demikian pada sidang media bagi mengulas Ucapan Dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Menurutnya, Umno turut menyedari bakal berdepan cabaran begitu sengit dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang berikutan senario politik negara yang berbeza pada masa ini.


Katanya, hal itu berikutan pakatan pembangkang pasti menggunakan pelbagai taktik atau cara menjatuhkan kerajaan BN bagi membolehkan mereka memegang tampuk pentadbiran negara.

"Cabaran dihadapi BN dan Umno kini memang hebat kerana pihak di sana (pembangkang) kemaruk kuasa politik, (kerana) mereka kata sudah buat jalan ke Putrajaya.


"Sebab ada pelbagai taktik atau cara kotor (akan) mereka guna untuk pertikai kewibawaan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) supaya digambarkan awal-awal jika keputusan tidak menyebelahi mereka, maka mereka kata sistem kotor dan tidak adil," katanya.


Beliau berkata, berikutan itu peringatan diberikan Najib supaya ahli Umno tidak leka perlu dipandang serius bagi mengelakkan negara yang dibina sekian lama mengalami kehancuran kerana perangkap pembangkang.


"Jangan menggadaikan masa depan negara kerana pembangkang jelas gagal dalam menepati janji, contohnya negeri yang dikuasai mereka banyak janji yang gagal ditunaikan.


"Justeru, sudah menjadi kewajipan kepada ahli parti (Umno) untuk bangkit dan bangun bagi mempertahankan kerajaan BN. "Maka, elakkan perkara yang boleh menyebabkan kita menghadapi masalah dengan mengekalkan perpaduan, ketaatan dan kesetiaan tanpa mensabotaj parti sekali gus bersiap sedia dalam menghadapi PRU akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Semangat menakjubkan

Posted: 29 Nov 2012 12:48 PM PST

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Ucapan Dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai paling menakjubkan.

"Kita boleh nampak, semangat hari ini begitu kuat sekali dan saya nampak Umno pulih, bahkan lebih kuat dalam perhimpunan ini daripada biasa," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.


Menurutnya, ucapan Najib bukan saja merangkumi semua perkara, malah turut menjawab segala tohmahan, fitnah dan tuduhan dibuat parti lawan selama ini.

Katanya, beliau percaya ahli Umno terutama di akar umbi mampu mencerna apa yang ingin disampaikan Najib dan pemimpin parti semua peringkat juga maklum apa perlu dilakukan.


Najib mahukan pemimpin parti sentiasa bersikap rendah diri, namun Dr Mahathir berkata, Najib juga adalah seorang yang sentiasa bersikap merendah diri.


"Kita mahu berkhidmat untuk rakyat dan oleh sebab itu, kita tidak boleh angkuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


No comments:

Post a Comment