Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


Sarang ponteng

Posted: 27 Sep 2012 09:29 PM PDT

KUALA LUMPUR: Taman Rimba Bukit Kerinchi, Pantai Dalam, di sini, yang dibuka, baru-baru ini, kini menjadi lokasi kaki ponteng pelajar dari sekolah berhampiran untuk melepak.

Lokasinya yang terpencil dan jauh dari kesibukan jalan utama menjadikan kawasan berkenaan sunyi dan ini menyebabkan segelintir pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil kesempatan ke situ.


Tinjauan Metroplus pada jam 11 pagi di taman rimba itu baru-baru ini, mendapati terdapat sekumpulan remaja mandi-manda dan berbual-bual sambil merokok di pondok di situ.

Ketika ditanya mereka mendakwa berusia 11 hingga 17 tahun dan semuanya berasal dari perumahan berhampiran taman rekreasi berkenaan.


Menurut mereka, ibu bapa masing-masing tidak mengetahui apa yang dilakukan kerana bekerja dan pemerhatian juga mendapati pada jam 1 tengah hari kumpulan remaja itu bergerak pulang sama seperti waktu tamat persekolahan biasa.


Peniaga, Muhd Saiful Adnan, 20, berkata, walaupun baru pertama kali ke taman rimba itu, namun dia agak kesal apabila mendapati kawasan itu menjadi lokasi kaki ponteng pelajar sekolah.

Katanya, lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan selain tiada kawalan ketat di taman itu menyebabkan mereka bebas keluar dan masuk ke pusat rekreasi itu.


"Sekiranya tiada pengawasan di kawasan itu, kami bimbang pelbagai jenayah lain dilakukan remaja kerana tiada siapa sedar perbuatan mereka kerana ia jauh daripada pandangan masyarakat.

"Malah, saya dapati sudah banyak kerosakan dilakukan di tandas selain terdapat kecurian seperti kipas," katanya.


Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bertindak lebih tegas menangani perkara ini bagi memastikan taman rimba itu terjaga dan memberi keselesaan kepada pengunjung.


Bagi Syed Ahmad Syuhaidi, 24, dia berkata, selain kawasan itu menjadi 'port' lepak pelajar yang ponteng, taman itu perlu diselenggara lebih baik bagi menarik orang ramai untuk berkunjung.


"Macam mana orang ramai hendak tahu kewujudan taman rimba ini kerana tanda lokasi tidak kelihatan, malah sepanjang laluan dari jalan utama pula dipenuhi sampah-sarap selain tiada bekalan air dan elektrik.


"Ramai kawan-kawan saya tidak tahu mengenai taman ini dan mereka terkejut sebaik mengetahui lokasinya terletak di Pantai Dalam," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kerjasama semua pihak perlu bagi mengekang aktiviti ponteng di kalangan pelajar dan mereka berhak melaporkan kegiatan itu kepada pihak sekolah.


Katanya, kerjasama ibu bapa dan komuniti setempat melaporkan jika terdapat kejadian itu bagi rekod sekolah ia sekali gus mengekang perbuatan terbabit.


"Bagaimanapun, pihak sekolah juga boleh mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan perkara ini berlaku antaranya dengan memanggil nama pelajar yang ponteng atau menaikkan nama pada laman web sekolah.


"Dengan ini, pelajar yang melakukan kesalahan itu sedar dan malu untuk mengulangi aktiviti tidak berfaedah," katanya ketika dihubungi.


Katanya, dasar 'sifar ponteng' juga perlu dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan sekolah sebagai pusat ilmu seterusnya membudayakan pendidikan di kalangan pelajar.


Sementara itu, Pengurus Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Ismail Stapa berkata, sekiranya kegiatan ponteng itu berlaku di kawasan selenggaraan mereka, pemerhatian akan dilakukan pihaknya, namun tiada tindakan diambil berikutan perbuatan itu bukan di bawah bidang kuasa mereka.


Katanya, sekiranya mereka tidak mengganggu atau melakukan perbuatan vandalisme, pegawai yang ditugaskan di satu-satu kawasan riadah tidak boleh melakukan tindakan kecuali menasihat mereka supaya berkelakuan baik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Alat permainan rosak, berkarat

Posted: 27 Sep 2012 09:24 PM PDT

SEREMBAN: Kebanyakan peralatan taman permainan di Taman Permai Fasa 2, di sini, rosak serta tidak sempurna, sekali gus berisiko membahayakan pengunjung taman itu terutama kanak-kanak.

Tinjauan Metroplus mendapati sebahagian besar peralatan permainan tidak boleh digunakan, malah kebanyakannya sudah berkarat yang boleh mengundang bahaya.


Lebih teruk, pihak tidak bertanggungjawab membakar beberapa bahagian peralatan permainan papan gelongsor, bangku batu dipecahkan, buaian berkarat dan rantainya putus serta sampah dibuang merata-rata tempat.

Kebanyakan alat permainan terutama buaian dan jongkang-jongkit sudah rosak sehingga menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan kanak-kanak yang menggunakannya.


Lebih menghairankan, kedudukan taman permainan berkenaan bersebelahan Pusat Rukun Tetangga, Taman Permai 2 itu.


Sebuah gazebo yang menjadi tempat pengunjung berehat bersama keluarga mengambil angin pula bocor dan tidak terurus.

Dua beradik remaja yang bersantai di taman permainan ketika ditemui Metroplus, Amirul Mohd Zin, 15, dan adiknya Mohd Asrul, 13, berkata, sudah lama keadaan taman berkenaan tidak terurus.


Menurut Amirul, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS Seremban, di sini, walaupun keadaan taman permainan itu teruk, tetapi dia masih menjadikan tempat itu untuk berehat.

"Selepas mengulang kaji pelajaran di rumah biasanya di taman permainan ini tempat saya berehat. Taman ini dekat dengan rumah sebab itu saya datang sini," katanya.


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, pihaknya sudah menerima aduan berhubung kerosakan dan perbuatan vandalisme di taman permainan di Taman Permai Fasa 2 itu.


Beliau berkata, pihaknya dalam proses melantik kontraktor menjalankan kerja pemulihan taman permainan berkenaan.


"Saya minta penduduk menjaga harta awam selepas taman permainan itu dibaiki kelak.


"Pihak MPS mungkin akan mencadangkan supaya mana-mana sukarelawan menjadi bapa angkat kepada taman permainan itu. Pada awal tahun ini, Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sudah melaksanakan program bapa angkat taman permainan bagi mencegah vandalisme di daerah itu dan terbukti berjaya menurunkan aduan berhubung kes seumpamanya.


"Program bapa angkat ini akan diperluaskan ke Seremban. Kami bukan suruh mereka (bapa angkat) jaga taman permainan, tetapi kami hanya mahu maklumat sebelum kami ambil tindakan terhadap pelaku vandalisme," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


‘Mandi’ air cuci lantai

Posted: 27 Sep 2012 09:22 PM PDT

KUALA LUMPUR: Beberapa penghuni Venice Hill Condo, Cheras, di sini, kesal dengan tindakan segelintir penghuni kondominium itu membuang sampah dan mencurah air cucian lantai ke bawah sehingga mengancam penghuni di tingkat bawah.

Penghuni, Nazatul Azreen Abdul Hayi, 40, yang menginap di tingkat bawah, mendakwa perbuatan itu dipercayai dilakukan pelajar kolej yang menyewa di tingkat 16 ke atas yang sering membuang sampah-sarap dan mencurah air.


"Saya nyaris basah selepas dicurah air sisa cucian lantai oleh pelajar berkenaan baru-baru ini.

"Sampah yang dicampak seperti tin minuman, kertas laporan kajian, plastik makanan, lampu kalimantang, malah suami saya menemui pembalut kondom di halaman rumah.


"Kawasan ini menjadi tumpuan kanak-kanak, ia mungkin penyebab kemalangan dan kami sentiasa risau keselamatan mereka," katanya yang juga mempunyai anak berusia 12 tahun.


Nazatul Azreen berkata, persatuan penduduk sudah banyak kali membuat aduan kepada pengurusan kolej terbabit, namun tiada tindakan diambil dan masalah itu masih berterusan sehingga kini tanpa penyelesaian.

Menurutnya, tempat pembuangan sampah di setiap tingkat tidak jauh daripada setiap unit kondominium, tetapi mereka membuang sampah dari tingkat atas tanpa fikirkan keselamatan dan keselesaan penduduk lain.


Dia yang menghuni tingkat bawah berkata, walaupun baru berpindah di sini dia berasa tertekan dengan kejadian terbabit kerana sampah bertaburan di halaman rumah setiap hari walaupun baru dikutip pekerja pembersihan.

Suaminya, Shukri Abd Rahman, 43, mendakwa masalah ini berlaku sejak tingkat atas Tower 10 disewakan kepada pelajar kolej berdekatan dan dia terkilan kerana pelajar itu penuntut perubatan yang sepatutnya sentiasa mementingkan kebersihan.


"Saya takut pisang berbuah dua kali kerana terbaca laporan akhbar mengenai buluh jatuh dari tingkat atas sebuah pangsapuri menimpa budak sehingga maut mengejutkan saya," katanya.


Eksekutif Bangunan Tower 10, Sofian Md Piah, 38, mengesahkan 108 kondominium milik persendirian disewakan kepada pelajar kolej terbabit dengan 70 peratus daripadanya wanita dan selebihnya pelajar lelaki.


Sofian memberitahu, pihaknya sudah berusaha menjaga kebersihan kawasan bangunan itu dengan sentiasa mengadakan rondaan, tetapi masih ada sampah dibaling.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Tunggu lama belok kanan

Posted: 27 Sep 2012 09:18 PM PDT

MELAKA: Saban hari pengguna jalan raya yang mahu membelok ke kanan menghala ke bulatan Ayer Molek dan kawasan sekitarnya menerusi simpang tiga Bukit Lintang/Kandang berdepan kesulitan berikutan bilangan kenderaan terlalu banyak menggunakan laluan itu setiap hari.

Tinjauan Metroplus mendapati, akibat terlalu sukar membelok keluar ke kanan laluan yang begitu sibuk terutama pada waktu puncak, sebilangan pengguna terpaksa memandu keluar ke arah kiri sebelum berpatah balik selepas membuat pusingan di hadapan pintu masuk Pejabat Mardi Negeri Melaka.


Tindakan dilakukan pengguna itu bertujuan mengejar masa ketika menghantar anak masing-masing ke sekolah atau ke tempat kerja disebabkan tidak sanggup menunggu lama untuk membelok ke kanan di simpang terbabit.

Ini berikutan bilangan kenderaan yang datang dari kedua-dua arah pada waktu puncak dari bulatan Ayer Molek dan kawasan Kandang, bertali-arus mengakibatkan jumlah kenderaan yang datang dari arah Bukit Lintang dan kawasan sekitarnya yang berhenti di simpang terbabit terpaksa menunggu lama untuk membelok ke kanan.


Sehubungan itu, pengguna yang tidak mahu membuang masa menunggu giliran memandu keluar menerusi simpang berkenaan, mengambil keputusan keluar ke kiri simpang sebelum membelok semula di hadapan pintu masuk pejabat Mardi berdekatan.


Pengguna jalan raya, Mohd Rabbani Wakiman, 24, dari Taman Ayer Molek berkata, memang wujud masalah seumpama itu khususnya pada waktu pagi yang mana pemandu menghadapi kesukaran membelok ke kanan.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkenaan perlu memasang lampu isyarat di simpang tiga terbabit untuk memudahkan pengguna yang keluar dari simpang berkenaan.


"Jika lampu isyarat dipasang di lokasi terbabit, ia bukan saja memudahkan pengguna, malah menjamin keselamatan pemandu dari semua arah di persimpangan berkenaan.

"Ini secara tidak langsung dapat mengelak kejadian tidak diingini berlaku di lokasi berkenaan," katanya kepada Metroplus.


Sementara itu, Rokiah Mohamad, 50, dari Bukit Lintang berkata, masalah berkenaan menjejaskan masa pengguna.


"Kalau pengguna sudah terlambat, tentu mereka tiada pilihan dan terpaksa membuat pusingan di kawasan berhampiran sebelum memandu menghala ke bulatan Ayer Molek.


"Ini kerana pada waktu puncak, jumlah kenderaan dari kedua-dua arah di hadapan simpang tiga berkenaan begitu banyak sehinggakan pemandu sukar keluar dari simpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Hanya 36 restoran capai gred amat bersih

Posted: 27 Sep 2012 09:18 PM PDT

NILAI: Pengusaha kedai makan dan restoran di daerah ini diminta memberikan perhatian terhadap aspek kebersihan premis dan makanan bagi mengelak berlaku keracunan makanan dan penyakit berjangkit.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd Halim Abd Latif berkata, pihaknya belum berpuas hati terhadap prestasi kebersihan kedai makan dan restoran di daerah itu yang masih rendah berbanding jumlah keseluruhan restoran yang beroperasi.


Katanya, daripada jumlah restoran yang beroperasi iaitu sebanyak 350 premis, hanya 36 yang mencapai tahap amat bersih atau mendapat gred A manakala gred B (52) dan gred C (64).

"Sebanyak 198 restoran didapati kotor atau mendapat gred D hasil operasi pembersihan dan pengredan MPN.


"Ini menunjukkan masih ramai pengusaha restoran mengabaikan aspek kebersihan.


"Keadaan ini bukan saja akan memberi kesan kepada pengguna, malah boleh menjejaskan imej pihak berkuasa tempatan," katanya ketika merasmikan majlis penutup Seminar Keselamatan Makanan dan Alam Sekitar Bawah Program Local Agenda 21 2012, di Dewan MPN, baru-baru ini.

Seramai 150 pengusaha restoran dari kawasan perbandaran itu menyertai seminar sehari yang bertujuan menyalurkan maklumat kepada mereka mengenai tanggungjawab terhadap isu kebersihan makanan.


Abd Halim berkata, pihaknya terpaksa bertindak tegas terhadap mana-mana restoran yang gagal mematuhi etika kebersihan.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu kejadian cirit-birit atau penyakit berjangkit berlaku disebabkan kecuaian atau kegagalan pengusaha restoran terhadap aspek kebersihan yang akhirnya menjejaskan imej PBT.


"Saya berharap semua pengusaha lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Dah jenuh dijengah bah

Posted: 27 Sep 2012 09:17 PM PDT

SEREMBAN: Penduduk di Kampung Dato' Mansor, dekat sini, tidak sanggup lagi menghadapi masalah banjir setiap kali hujan lebat dan berharap pihak berwajib membantu menangani masalah itu segera.

Difahamkan, keadaan banjir bertambah teruk sejak empat bulan lalu apabila tanah dari bekas lombong yang ditambak untuk membina rumah di kawasan itu mendap dalam longkang hinga menyekat aliran air.


Penduduk, Asmah Mat Tan, 61, berkata, fenomena banjir sudah biasa dihadapi sejak dia tinggal di situ, namun semakin teruk walaupun pelbagai usaha dibuat termasuk mengadu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Setiap kali hujan saya mula risau rumah akan dimasuki air walaupun hujan hanya setengah jam saja, air longkang sudah penuh dan melimpah masuk ke kawasan rumah.


"Lebih teruk, air longkang yang bercampur dengan lumpur itu bukan saja mengotorkan rumah malah penat untuk membersihkannya apabila air surut kerana saya sudah tua dan tidak larat lagi.


"Justeru, saya memohon jasa baik pihak berkenaan supaya dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk ini dengan segera," katanya.

Asmah berkata, rumahnya pernah dimasuki air sehingga paras pinggang dan merosakkan banyak perabot di rumahnya.


"Selagi masalah ini tidak selesai, saya terpaksa menggunakan perabot lama dan tidak berani membeli perabot baru kerana bimbang akan rosak lagi," katanya.

Yaacob Harun, 59, pula berkata, dia kesal dengan keadaan infrastruktur dan juga sistem perparitan yang tidak sistematik sehingga mengakibatkan kesukaran setiap kali hujan.


"Setiap kali hujan lebat, bukan saja air daripada longkang yang tersumbat di depan rumah tidak dapat mengalir sehingga memasuki rumah saya malah air lumpur yang turun dari bukit berdekatan juga masuk ke dalam rumah saya.


"Saya sudah tinggal di sini sejak 23 tahun lalu dan masalah banjir di kawasan ini memang sudah lama berlarutan namun sehingga kini masih tiada inisiatif dilakukan untuk menyelesaikan masalah kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Longkang konkrit siap

Posted: 27 Sep 2012 09:17 PM PDT

MELAKA: Kerja membina saluran longkang konkrit sepanjang kira-kira 50 meter berhampiran rumah penduduk di Jalan Tambak Rel, Kampung Bukit Lintang, Ayer Molek, di sini, yang siap minggu lalu melegakan penduduk di kawasan berkenaan.

Berikutan itu, mereka kini tidak lagi berdepan gangguan bau busuk dan masalah nyamuk kerana sebelum ini sebahagian saluran longkang itu hanya longkang tanah.


Penduduk, Sulaiman Mohamad, 57, berkata dia sekeluarga berasa lega memandangkan saluran longkang berkenaan terletak berhampiran rumahnya.

Menurutnya, biarpun baru kini saluran longkang konkrit berkenaan dibina selepas terpaksa menunggu tempoh agak lama, dia berpuas hati malah lega apabila pihak berkenaan melaksanakan kerja menaik taraf saluran longkang.


Katanya, sebelum ini, longkang tanah sedia ada menjejaskan keselesaan mereka sekeluarga berikutan kumbahan di dalam longkang berkenaan berbau.


"Keadaan itu mengakibatkan kami sekeluarga berdepan masalah bau busuk yang menyelinap ke udara selain tidak tahan dengan kehadiran nyamuk.

"Kini kami bukan saja berasa lega, malah begitu selesa apabila pihak berkenaan membina struktur longkang konkrit baru yang mana ia disambung dengan sebahagian longkang konkrit sedia ada yang dibina sebelum ini.


"Sehubungan itu, kami amat berterima kasih serta menghargai jasa baik kerajaan khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Ayer Molek, Datuk Md Yunos Husin yang prihatin terhadap masalah kami di sini," katanya kepada Metroplus ketika di temui, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Sulaiman berkata, saliran kumbahan longkang berkenaan mengalir menerusi Jalan Gobiah dan Kampung Pendamar, Bukit Lintang hingga ke Sungai Duyong di kawasan Duyong.


Sehubungan itu, katanya, penghujung saluran longkang konkrit yang baru dibina itu dapat disambung hingga ke parit besar berdekatan yang jaraknya kira-kira 30 meter dari situ.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


Sedia untuk berubah

Posted: 27 Sep 2012 09:16 PM PDT

JASIN: Warga kerja Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) disaran supaya membuat perubahan 'mind set' atau anjakan paradigma dalam usaha menjana kecemerlangan perkhidmatan bersesuaian dengan alaf baru.

Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, selain perlu sentiasa bersedia menerima perubahan seumpama itu (alaf baru) anggota kerajaan khususnya kakitangan MPJ turut disaran berusaha lebih gigih bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran sesuai demi meningkatkan kualiti kerja masing-masing.


"Setiap anggota kerajaan perlu sedar kualiti kerja yang dicari itu bukanlah satu keadaan statik, malah terus melalui pelbagai perubahan lebih pesat lagi pada masa depan.

"Apabila matlamat kita memperolehi tahap kualiti yang dimahukan tercapai maka kita tidak semestinya boleh berpuas hati, selesa serta lalai," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 MPJ di Dewan Alamanda, di sini, baru-baru ini.


Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md Yunos Husin.


Hadir sama, Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman; Timbalan Ketua Whip MPJ, Datuk Abu Dolah Hitam; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Roslan Ahmad; Adun Rim, Mohd Yazed Khamis dan barisan Ahli Majlis serta warga kerja MPJ.

Pada majlis itu, 17 kakitangan MPJ daripada pelbagai jawatan dan jabatan terpilih menerima anugerah berkenaan.


Sementara itu, Murad berkata, majlis diadakan itu sebagai pengiktirafan MPJ terhadap warga kerja jabatan berkaitan.

Katanya, meskipun jumlah kakitangan yang menerima anugerah itu tidak besar, namun beliau percaya jumlah kakitangan cemerlang pada hakikatnya lebih ramai dan mereka yang terpilih pada kali ini yang terbaik di kalangan terbaik.


Menurutnya, kejayaan MPJ bukan sekadar bergantung kepada prestasi kecemerlangan segelintir kakitangan, tetapi penyertaan dan sokongan padu seluruh anggota.


"Justeru, saya menyeru semua warga MPJ berusaha dengan lebih gigih dan penuh tanggungjawab dalam memberikan sumbangan maksimum demi meningkatkan nama baik jabatan.


"Ini supaya perkhidmatan diberikan dapat dilaksanakan tepat, cepat dan berkualiti manakala segala usaha dilakukan mestilah ke arah pencapaian visi, misi dan objektif MPJ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


No comments:

Post a Comment