Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Profesor dipanah dalam kelas

Posted: 01 Dec 2012 01:55 PM PST

CASPER (Wyoming): Seorang lelaki yang membawa senjata tajam dipercayai busur dan anak panah membunuh dua orang, termasuk seorang profesor kolej dalam kelas Sains sebelum membunuh dirinya semalam.

Sebelum itu, suspek turut membunuh seorang wanita yang memakai pijama di jalan raya dekat kampus kolej itu. Ketua Polis Casper, Chris Walsh berkata, profesor lelaki itu dan suspek ditemui mati dalam kelas di Pusat Sains Fizikal kolej komuniti berkenaan kira-kira jam 9 pagi, lapor akhbar Casper Star-Tribune. Akhbar itu turut melaporkan seorang pelajar wanita melihat pembunuh itu memanah seorang profesor sebelum menikamnya dengan senjata tajam berulang kali.


Polis percaya ketiga-tiga mangsa mempunyai kaitan, tetapi serangan tidak berkaitan dengan kolej itu. Pembunuh juga bukan pelajar di kolej terbabit yang dikenakan kawalan ketat hingga tengah hari ekoran kejadian itu.

Polis berkata, pihaknya dihubungi supaya bergegas ke Kolej Casper kira-kira jam 9 pagi bagi menangani kejadian itu.


"Terdapat tiga kematian disahkan di dua kawasan berasingan di tempat kejadian. Seorang mangsa adalah kakitangan kolej," kata polis dalam satu kenyataan. - FN

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Fesyen baru rambut Kate jadi ikutan

Posted: 01 Dec 2012 01:54 PM PST

LONDON: Apabila Duchess of Cambridge, Kate Middleton mempamerkan fesyen rambut terbarunya minggu ini, terdapat pelbagai pendapat mengenainya.

Bagaimanapun, sementara Kate sendiri tidak begitu yakin dengan penampilan barunya, tetapi imej baru isteri Putera William itu sudah menjadi ikutan di New York. Sebilangan salun rambut terkemuka di Manhattan dilaporkan mendapat permintaan tinggi untuk 'sentuhan Kate Middleton' itu apabila ramai pelanggan membawa foto anggota diraja Britain itu kepada pendandan rambut di situ. Pengasas Salun Yarok, Mordechai Alvow yang mempunyai pelanggan seperti Melania dan Ivanka Trump berkata, telefon bimbitnya tidak berhenti berdering sejak kate mempamerkan gaya rembut barunya itu Selasa lalu.


"Saya ada terfikir mungkin penampilan barunya itu akan menjadi ikutan dan saya sangat gembira ia menjadi kenyataan," katanya. Pendandan rambut juga menyuarakan persetujuan mereka bahawa gaya terbaru rambut Kate itu sesuai untuk semua jenis muka.

Pendandan, Gardner Edmunds dari Salun Marie Robinson berkata, fesyen rambut itu juga tidak menelan kos yang tinggi. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Empat hari seminggu tak makan

Posted: 01 Dec 2012 01:53 PM PST

LONDON: Seorang ibu dua anak yang menjadi miskin selepas kehilangan pekerjaan mendedahkan langkah paling terdesak terpaksa diambil untuk mengelakkan kediamannya daripada dijual.

Pekerja taska, Vickie Robins, 31, mendedahkan dia terpaksa menahan lapar selama beberapa hari supaya dua anak lelakinya, Blake, 3, dan Thomas, 18 bulan, dapat makan dengan secukupnya. Dia sudah hilang 12 kilogram sejak beberapa bulan lalu dan keadaannya sangat lemah serta kerap pengsan di taska tempat dia bekerja secara sambilan. Doktor memberi amaran, dia mungkin berdepan serangan jantung kerana tertekan memikirkan kehidupannya. Vickie dari Quedgeley, Gloucestershire, turut mengambil langkah terdesak dengan menyembunyikan permainan anak supaya mereka boleh mendapat hadiah ketika perayaan Krismas.


"Saya tidak makan selama empat hari dalam seminggu supaya anak saya mendapat cukup makanan," katanya.

"Suami saya Matthew terpaksa menjual semua barang yang kami ada, termasuk pakaian, barang kemas dan permainan anak. "Kami tidak memasang pemanas di rumah dan hampir kehilangan kediaman ini. Hubungan kami juga semakin tegang," katanya.


Keluarga Vickie jadi miskin apabila wanita itu hilang pekerjaan sebagai petugas pusat jagaan yang membolehkannya meraih 22,000 pound (RM107,800) setahun pada September tahun lalu. Suami isteri itu mempunyai pendapatan bulanan sebanyak 1,400 pound (RM6,860) daripada kerja sambilan. Matthew bekerja 40 jam seminggu sebagai tukang kebun dan Vickie bertugas 30 jam seminggu di taska.


Mereka membelanjakan 900 pound (RM4,410) untuk ansuran rumah dan bakinya untuk membayar cukai majlis perbandaran, pusat jagaan kanak-kanak dan bil. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Ketua kumpulan kongsi gelap Macau dibebas

Posted: 01 Dec 2012 01:53 PM PST

MACAU: Ketua kongsi gelap Macau yang dikenali sebagai "Broken Tooth" dibebaskan semalam selepas lebih 14 tahun menjalani hukuman penjara kerana mengetuai kumpulan yang dipersalahkan atas beberapa insiden pembunuhan dan pengeboman di bekas wilayah jajahan Portugis itu.

Pembebasan Wan Kuokkoi mendorong pihak berkuasa memperketat kawaan keselamatan di hab perjudian terbesar di dunia itu walaupun pakar berkata, tidak mungkin insiden keganasan akan berlaku lagi di Macau sejak ia dipulangkan kepada pemerintahan China pada 1999. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Mahu bina 3,000 penempatan baru

Posted: 01 Dec 2012 01:53 PM PST

BAITULMAQDIS: Beberapa jam selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengundi untuk mengsiytihar negara Palestin, Israel memberi maklum balas dengan mengumumkan untuk membina 3,000 kediaman penempatan baru di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur semalam.

Seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, kerajaan Yahudi turut memutuskan untuk mempercepat rancangan membina ribuan kediaman di kawasan sensitif berhampiran Baitulmaqdis yang dikatakan pengkritik akan membunuh harapan rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara merdeka. Keputusan itu dibuat apabila Perhimpunan Agung PBB dengan jelas bersedia meningkatkan status rakyat Palestin di badan dunia itu kepada 'negara bukan anggota' memberi tamparan hebat kepada negara Zionis itu. Keputusan itu disokong 138 negara, sembilan menentang, manakala 41 anggota lagi berkecuali tindakan yang mendedahkan peminggiran diplomatik Israel yang kian meningkat. Pegawai Israel sebelum itu mengaku keputusan itu menunjukkan "hubungan diplomasi yang gagal" dan memberi amaran tindakan akibat daripada keputusan itu.


Rancangan untuk membina ribuan kediaman penempatan baru akan dijalankan susulan pengiktirafan negara Palestin dan prospek membina di kawasan dikenali sebagai E-1 yang terletak dekat Baitulmaqdis dan Tebing Barat dilihat sebagai perubahan dalam permainan negara Yahudi itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


AS selar keputusan Israel

Posted: 01 Dec 2012 01:52 PM PST

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam mengecam keputusan Israel untuk membina 3,000 penempatan di timur Baitul maqdis dan Tebing Barat apabila Setiausaha Negara Hillary Clinton menyifatkan ia sebagai menghalang rundingan damai.

Rumah Putih sebelum itu menyifatkan tindakan yang dibuat Israel susulan daripada undian bersejarah Perhimpunan Agung PBB Khamis lalu yang mengiktiraf Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota sebagai "tidak produktif". "Berikutan daripada pengumuman hari ini, ingin saya menekankan pentadbiran AS sekarang seperti juga pentadbiran sebelum ini sudah menjelaskan kepada Israel semua bentuk aktiviti sedemikian akan menghalang rundingan damai," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Pembangkang boikot pilihan raya Kuwait

Posted: 01 Dec 2012 01:51 PM PST

KUWAIT: Rakyat Kuwait semalam mengundi dalam pilihan raya Parlimen dibayangi oleh pemboikotan daripada pembangkang sebagai bantahan terhadap perubahan dalam undang-undang pilihan raya dan mengeruhkan krisis politik di negara pengeluar minyak yang menjadi sekutu Amerika Syarikat itu.

Pilihan raya itu adalah yang kedua tahun ini di negara Arab di teluk itu. Puluhan ribu aktivis Kuwait berarak kelmarin menggesa rakyat agar tidak mengundi sebagai bantahan terhadap perubahan dalam undang-undang pilihan raya yang dikatakan mereka berat sebelah dan memihak kepada calon prokerajaan. Emir Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah menggunakan kuasa kecemasan Oktober lalu bagi mengurangkan bilangan pengundi untuk setiap kerakyatan kepada satu daripada empat, mengatakan perubahan itu akan menetapkan sistem yang tidak sempurna dan mengekalkan kestabilan serta keselamatan. "Saya rasa negara ini perlu melalui kaedah baru pengundian," kata pegawai Kementerian Kerajaan, Dalal Al-Aboud di pusat undian wanita di daerah kelas atasan di pinggir bandar raya Kuwait. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Sisa runtuhan istana purba ditemui di kubur maharaja China

Posted: 01 Dec 2012 01:51 PM PST

BEIJING: China menemui sisa runtuhan istana purba dekat kubur maharaja pertamanya yang terkenal dengan tentera terracotta, kata media kerajaan semalam.

Penemuan itu adalah yang terbaru di kawasan perkuburan itu yang bertarikh lebih dua millinium dan menjadi satu daripada penemuan arkeologi moden paling hebat selepas seorang petani yang menggali perigi terjumpa tentera dengan saiz sebenar pada 1974. Istana itu "adalah yang kompleks terbesar pernah ditemui di perkuburan itu", lapor agensi berita Xinhua, memetik Sun Weigang, penyelidik di institut arkeologi di utara wilayah Shaanxi di mana letaknya kawasan perkuburan itu. Pemerintah pada zaman dinasti Qin (221-207 SM), Qin Shihuang bertanggungjawab menyatukan China dan mengisytihar dirinya sebagai maharaja pertama.


Berdasarkan penemuannya, istana itu dipercayai seluas 690 X 250 meter, hampir suku daripada saiz "Forbidden City" yang menjadi ikon Beijing. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Pena Nieto azam pulih ekonomi Mexico

Posted: 01 Dec 2012 01:50 PM PST

BANDAR RAYA MEXICO: Enrique Pena Nieto yang mengambil alih jawatan sebagai Presiden Mexico daripada Felipe Calderon semalam, menawarkan pemulihan untuk parti yang membentuk Mexico moden itu jika dia mampu mengakhiri keganasan dan ekonomi yang gagal menunjukkan prestasi selama bertahun-tahun.

Mengembalikan Parti Institusi Revolusi atau PRI untuk memegang kuasa selepas 12 tahun, Pena Nieto, 46, mensasarkan untuk mendukung ekonomi Mexico agar mencapai pertumbuhan lebih pantas. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


No comments:

Post a Comment