Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Harimau 170kg jadi sahabat

Posted: 29 Nov 2012 11:27 AM PST

MALANG: Persahabatan dijalin sejak kira-kira empat tahun lalu membolehkan seekor harimau Benggala menjadi sahabat kepada manusia.

Haiwan liar yang dinamakan sebagai Mulan itu kini menjadi kawan akrab kepada Abdullah Sholeh.


Mulan - kini berusia empat tahun dan seberat lebih 171 kilogram - mula dijaga Abdullah sejak haiwan berkenaan berusia tiga bulan. Sejak dipelihara, hubungan Mulan dengan Abdullah semakin rapat dan kini haiwan yang lazimnya ganas dan berbahaya kepada manusia itu boleh bergurau dengan penjaganya.

Bagaimanapun, Abdullah bukanlah pemilik Mulan, sebaliknya dia cuma dibayar sebagai penjaga oleh majikannya, Noer Mohammaed Sholeh.


Mereka kini tinggal di sebuah kawasan di Malang, Indonesia.


Dikenali sebagai "pengasuh harimau" Abdullah dilaporkan sering menolak untuk tidur di katil sendiri, sebaliknya dia lebih selesa tidur bersama Mulan di kandang haiwan berkenaan. Ditanya perasaannya terhadap Mulan, Abdullah, 31, berkata dia tidak pernah takut atau bimbang terhadap harimau bertina berkenaan.

"Saya menganggap Mulan sama seperti rakan lain.


"Apabila dia menggigit atau mencakar, itu petanda Mulan seekor harimau yang normal," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Lindsay tumbuk wanita dalam kelab malam

Posted: 29 Nov 2012 10:56 AM PST

NEW YORK: Aktres Lindsay Lohan ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah kelab malam dan menumbuk seorang wanita, semalam.

Selebriti bermasalah itu berada di Club Avenue ketika dia dilaporkan berbalah dengan seorang wanita lain. Sumber polis berkata, wanita terbabit sebelum itu bergaduh dengan seorang lagi pengunjung kelab malam berkenaan.


"Hanya selepas itu wanita terbabit bergaduh pula dengan Lindsay," katanya.

Sumber itu berkata, mangsa tumbukan Lindsay adalah wanita kulit putih berusia 28 tahun.


Katanya, akibat pergaduhan berkenaan, wanita itu mengalami bengkak dan lebam di beberapa bahagian badannya. Lindsay, 26, masih diletakkan di bawah pengawasan selepas mahkamah mendapati dia bersalah mencuri seutas rantai pada Julai 2011. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Angsa jadi mangsa kerakusan industri fesyen

Posted: 29 Nov 2012 10:55 AM PST

LONDON: Ketika orang ramai teruja dengan kemunculan fesyen baru sempena musim dingin kini, tidak ramai yang menyedari setiap jaket dihasilkan biasanya menyimpan 'cerita hitam' sebelum ia disiapkan.

Di sebalik jenama terkemuka pada produk berkenaan, sejumlah haiwan terutama angsa - dikorbankan kerana ia menyediakan sumber asas penciptaan jaket terkini yang menarik. Bulu angsa itu dicabut dari angsa berkenaan yang masih hidup, menyebabkan haiwan itu menanggung kesakitan dan pendarahan.


Bulu diambil daripada haiwan hidup kerana kualitinya boleh terjejas apabila haiwan berkenaan dibiarkan mati terlebih dulu. Bahan berkualiti tinggi iaitu bulu lembut yang dicabut dari bahagian dada angsa - boleh mencecah harga jualan sehingga �22 (RM107) sekilogram.

Ia jauh lebih lumayan dan menguntungkan berbanding harga bulu daripada angsa mati cuma �1.60 (RM7.81) sekilogram. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Ketawa untuk sihat

Posted: 29 Nov 2012 10:20 AM PST

NEW DELHI: "Guru Ketawa" India, Madan Kataria, yang berjaya mengajar beribu-ribu orang di seluruh dunia untuk ketawa demi mendapatkan kesihatan yang baik, membuat satu pengakuan yang tidak disangka-sangka.

Dia kurang mempunyai deria lucu.

"Tapi anda tidak begitu mememerlukannya untuk ketawa," kata Kataria, pengasas "Yoga Ketawa", satu pergerakan yang berjaya menarik minat di seluruh dunia termasuk selebriti Oprah Winfrey dan Goldie Hawn.

Kataria, yang sentiasa mengembara untuk menyebarkan ajaran "ketawa tanpa sebab", pernah dipanggil untuk mengajar pekerja ketika sesi aktiviti membina semangat berpasukan di syarikat gergasi antarabangsa seperti Hewlett-Packard dan pembuat kereta Volvo.


Kini, dia dalam proses menubuhkan "Universiti Ketawa" di bandar Bangalore di atas tanah yang didermakan oleh kontraktor binaan dan dana AS$250,000 (RM761,194) daripada seorang penderma tidak dikenali.


"Kami akan mula kerja pembinaan dalam masa tiga minggu dan menjelang 2013, ia akan beroperasi. Kami mahu menubuhkan ibu pejabat untuk komuniti yoga ketawa seluruh dunia," katanya.

Kataria membayangkan mengadakan sesi ketawa dan persidangan di pusat itu dan menubuhkan sebuah unit perubatan alternatif untuk mengembangkan ilmu perubatan mengenai kesan ketawa yang memberi manfaat kepada kesihatan.

Kajian menunjukkan ketawa menghasilkan bahan kimia otak endorfin yang menghasilkan rasa senang hati yang dikaitkan dengan rasa sejahtera.

"Ketawa adalah perkara paling sihat yang boleh anda buat.. ia ubat paling mujarab," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Polis Australia banteras sindiket penipuan kad kredit terbesar

Posted: 29 Nov 2012 10:19 AM PST

SYDNEY: Polis Australia membongkar sindiket curi data kad kredit terbesar dan menumpaskan kumpulan Romania yang dikatakan dalang penipuan itu.

Hasil siasatan antarabangsa, empat orang didakwa di Romania kerana mencuri butiran kira-kira 30,000 pemegang kad kredit dan menggunakan maklumat itu untuk membeli barang di seluruh dunia bernilai Aus$30 juta (RM94.4 juta).

Polis melaporkan, data itu dicuri dengan menggodam sistem komputer di kira-kira 100 kedai runcit di Australia.

Ia kemudian digunakan untuk membuat kad kredit palsu lalu digunakan untuk membuat urus niaga palsu di beberapa lokasi di Eropah, Hong Kong dan Amerika Syarikat.


Siasatan dibuat selepas institut kewangan Australia mengesan urus niaga kad kredit mencurigakan. Siasatan kemudian melibatkan agensi penguatkuasa di 13 negara. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Gadis dikelar leher selepas lamaran ditolak keluarga

Posted: 29 Nov 2012 10:19 AM PST

KUNDUZ (Afghanistan): Dua lelaki ditahan kerana mengelar leher remaja perempuan berusia 15 tahun selepas keluarganya enggan menerima lamaran pihak lelaki.

Jurucakap polis, Sayed Sarwar Hussaini berkata, gadis itu sedang mengambil air dari sungai ke kampung di wilayah Kunduz ketika dia dibunuh.

"Dua lelaki itu menyerang dan mengelar lehernya dengan pisau. Suspek sudah ditahan," katanya.

Sarwar berkata, seorang daripada suspek itu membuat lamaran kepada keluarga gadis itu tetapi lamarannya ditolak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Wanita Saudi marah dipantau

Posted: 29 Nov 2012 10:18 AM PST

JEDDAH: Wanita negara ini yang melakukan perjalanan ke luar negara kini dipantau pergerakan mereka menerusi sistem elektronik. Tindakan itu mencetuskan kontroversi di kalangan rakyat.

Pada masa ini, wanita di Arab Saudi tidak boleh pergi ke mana-mana tanpa keizinan mahram (penjaga lelaki) mereka.


Ramai wanita tempatan yang menghubungi media meluahkan kebimbangan terhadap sistem baru itu dan merasakan ia adalah aktiviti sia-sia kerana melanggar kebebasan mereka untuk bergerak.

Suri rumah, Mona Mohammed, 34, berkata: "Mengapa tidak melabur untuk mencegah keganasan terhadap wanita daripada memantau pergerakan mereka?" Pereka berusia 35 tahun, Basma Shaheen berkata: "Siapa yang melaksanakan undang-undang ini? Ia sungguh memalukan dan menghina wanita Saudi kerana dilayan seperti barang atau haiwan ternakan." Teknologi baru itu dilaporkan ditemui selepas seorang lelaki Saudi dihubungi pihak imigresen melalui mesej pesanan ringkas (SMS) memaklumkan isterinya telah ke luar negara, ketika si isteri berada bersama lelaki itu. Berita mengenai wanita Saudi dijejaki melalui SMS itu mencetuskan pelbagai komen kritikal dan kekeliruan di Twitter. - SG

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Masih ramai guru adakan tusyen persendirian

Posted: 29 Nov 2012 10:18 AM PST

JEDDAH: Walaupun Kementerian Pendidikan telah menjelaskan guru yang menawarkan pelajar mereka tusyen secara persendirian adalah melanggar undang-undang, tetapi kebanyakan guru masih melakukannya.

Menurut jurucakap Kementerian Pendidikan, Muhammad al-Dukhaini, undang-undang umum terhadap pendidik itu mencegah sesi pengajaran tidak sistematik di kedua-dua sekolah awam dan persendirian.


"Iklan secara rawak berkaitan tusyen persendirian turut diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan.

"Larangan itu dikeluarkan kerana kerajaan tidak dapat memastikan kualiti dan tahap latar belakang pendidikan guru. Kementerian selalu memberi amaran kepada pelajar dan keluarga mereka daripada mengupah sesi bimbingan persendirian," katanya. - AN

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


7 terbabit dalam video antiIslam dihukum mati

Posted: 29 Nov 2012 10:17 AM PST

KAHERAH: Sebuah mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman mati kepada tujuh rakyat tempatan beragama Kristian yang terbabit dalam penerbitan video antiIslam yang dipaparkan di Internet September lalu hingga mencetuskan bantahan di negara Islam.

"Tujuh yang didakwa itu disabitkan bersalah menghina agama Islam apabila terbabit dalam penerbitan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW," kata Hakim Saif al-Nasr Soliman.


Video bajet rendah yang dihasilkan secara persendirian di California itu memperlekehkan Nabi Muhammad dan mencetuskan bantahan antiAS dan serangan terhadap kedutaan Barat di sekitar dunia Islam. - AN

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


No comments:

Post a Comment