Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ratah Garuda!

Posted: 30 Nov 2012 08:02 AM PST

SKUAD Harimau Malaya bakal turun beraksi pada perlawanan terakhir Kumpulan B dengan berbekalkan keyakinan tinggi bahawa mereka mampu menewaskan Indonesia bagi menempah tiket ke separuh akhir Piala AFF.

Barisan pemain skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu sedar bahawa kemenangan saja yang boleh menjamin mereka meneruskan misi mempertahankan kejuaraan dan jika tidak mereka boleh mengucapkan selamat tinggal lebih awal.


Semangat juang pemain dituntut dalam perlawanan ini kerana pertembungan getir dengan naib juara 2010 itu bukan sekadar soal perebutan tiket ke separuh akhir semata-mata sebaliknya ia juga mempertaruhkan maruah negara.

Rajagobal menegaskan hanya kemenangan menjadi fokus pemain-pemain dan percaya mereka boleh mengulangi detik kegemilangan membaham Garuda 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi pertama final dua tahun lalu.


"Saya hanya memikirkan kemenangan, mentaliti saya selalu positif, kami harus mengambil serius perlawanan ini yang amat penting kepada negara. Tapi apa pun ia bergantung kepada persembahan pemain.


"Kami menghormati Indonesia, saya fikir mereka dalam prestasi yang bagus ketika ini tapi kami pernah menewaskan mereka jadi saya yakin kami mampu mengulanginya," katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Selepas memulakan kempen Kumpulan B dengan aksi buruk apabila tewas 0-3 kepada Singapura, Harimau Malaya mempamerkan peningkatan dengan menumpaskan Laos 4-1.


Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam kancah Piala AFF ternyata tidak memihak kepada Malaysia apabila tumpas empat kali dalam tujuh pertemuan.

Untuk menang ke atas Indonesia yang kini mendahului kumpulan dengan empat mata bukan mudah, tapi Rajagobal sudah mencongak apa yang perlu dilakukan anak buahnya.


Apa yang melegakan pengendali berusia 56 tahun itu apabila beliau tidak berdepan masalah untuk menurunkan barisan terbaik melainkan hanya Khyril Muhymeen Zambri yang pasti diketepikan kerana mengalami kecederaan pangkal paha.


"Saya mahu pemain beraksi dengan agresif seperti yang ditunjukkan ketika menentang Laos. Kami memerlukan kemenangan jadi kami akan turun dengan mentaliti menyerang tapi kami juga harus berwaspada dengan kemampuan Indonesia melakukan serangan balas pantas kerana mereka berjaya melakukannya ketika menentang Singapura," jelasnya.


Meskipun beliau mahu anak buahnya memberi perhatian 'istimewa' kepada beberapa tonggak Indonesia khususnya, pemain lincah, Andik Vermansyah yang muncul penjaring gol kemenangan ke atas Singapura.


"Andik boleh memberikan ancaman, (Muhammad) Taufiq pula seorang pemain yang rajin. Selain Bambang (Pamungkas) mereka juga pemain berpengalaman seperti Elie Aiboy dan Oktovianus (Maniani). "Memang kita perlu berhati-hati dengan pemain ini tapi kita lebih memberi perhatian kepada satu pasukan," kata Rajagobal yang membimbing skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF buat kali pertama dengan menundukkan Indonesia menerusi agregat 4-2 di Jakarta pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


‘Bagaikan satu jenaka’

Posted: 30 Nov 2012 07:46 AM PST

LONDON: Supremo Formula Satu, Bernie Ecclestone menganggap kontroversi mengenai juara dunia, Sebastian Vettel yang dituduh menipu ketika memotong pada Grand Prix Brazil sebagai satu "jenaka".

Ferrari menghubungi badan induk F1, FIA, mengadu mengenai tindakan pemandu Red Bull itu ketika perlumbaan penamat musim Grand Prix Brazil minggu lalu yang membolehkannya memenangi kejuaraan dunia ketiga berturut-turut.


Ada spekulasi bahawa tindakan memintas itu menyalahi peraturan dan jika benar, Vettel mungkin dikenakan hukuman sekaligus kejuaraannya ditarik balik dan diberikan kepada pemandu Ferrari, Fernando Alonso yang terlepas kejuaraan dengan hanya tiga mata.

Namun Ecclestone berkata adalah memalukan kemuncak musim itu dibayangi dengan pertikaian itu.


"Amat memalukan kerana semuanya berjalan lancar," katanya semalam.


"Ia satu perlumbaan menakjubkan, satu kejuaraan mengagumkan. Kini setiap orang bercakap mengenai perkara ini. Masalahnya tiada siapa sebenarnya tahu apa yang berlaku." Kelmarin, majalah Autosport mendedahkan FIA tidak ragu-ragu bahawa Vettel memotong secara sah pada pusingan keempat perlumbaan itu kerana bendera hijau sudah dikibarkan di sektor bendera kuning sekali gus membenarkan pemandu memintas.

Tiada pasukan yang meminta insiden itu dikaji semula, menurutnya.


"Dalam peraturan, biasanya anda perlu membuat bantahan," kata Ecclestone.

"Mereka (Ferrari) tidak melakukan bantahan ketika itu. Kemudian hakikatnya bendera hijau sudah dikibarkan, sesuatu yang tidak dipertikaikan semua. Ia satu jenaka tidak berasas. Apa yang mereka katakan dalam surat itu tidak benar. Saya tidak fikir sebarang tindakan perlu diambil. Ia memang tidak berasas." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Watney unggul 2 pukulan

Posted: 30 Nov 2012 07:46 AM PST

THOUSAND OAKS (Amerika Syarikat): Permainan 'short game' yang lebih mantap membantu Nick Watney meraih dua kejuaraan dalam tempoh empat bulan terakhir dan meletakkannya dalam kedudukan baik untuk meraih kejuaraan ketiga apabila mendahului dengan dua pukulan pada kejohanan Cabaran Dunia, semalam.

Pemain Amerika itu membenam empat birdie dalam enam lubang terakhir di Sherwood Country Club untuk melakar lima bawah par 67 pada pusingan pertama kejohanan elit membabitkan 18 pemain dan dihoskan oleh Tiger Woods dengan hanya tiga pemain mampu mengatasi catatan 70.


"Saya bermain dengan amat bagus pada sembilan lubang terakhir," kata Watney selepas pulang dengan empat bawah par 32 untuk menamatkan cabaran di lapangan berdekatan pergunungan Santa Monica di depan rakan senegara, Keegan Bradley dan Jim Furyk serta pemain daripada Ireland Utara, Graeme McDowell.

"Sembilan lubang pertama agak teruk. Permainan short game perlu saya perbaiki tahun depan. Tapi ia banyak membantu saya hari ini." Persembahan Watney secara keseluruhannya meningkat selepas dia mendapatkan khidmat jurulatih hayunan, Butch Harmon selama seminggu sebelum Terbuka AS, Jun lalu.


Berikutan beberapa persembahan konsisten, dia memenangi kejuaraan kelima dalam Jelajah PGA pada kejohanan Barclays Ogos lalu sebelum menjuarai kejohanan Klasik CIMB yang diiktiraf Jelajah PGA di Malaysia dua bulan lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Siapa akan menang?

Posted: 30 Nov 2012 07:44 AM PST

SAO PAULO: Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Andres Iniesta disenarai pendek bagi merebut anugerah Ballon d'Or kelmarin, menurut badan bola sepak dunia, Fifa dan penaja anugerah itu, majalah France Football.

Messi, penyerang Barcelona berusia 25 tahun, sudah memenanginya sebanyak tiga kali dan pemain Argentina itu sekali lagi menjadi pilihan utama diumum sebagai pemenang pada 7 Januari depan di Zurich selepas undian wartawan, kapten dan jurulatih pasukan kebangsaan dilakukan.


Jika sekali lagi memenanginya, Messi akan menjadi pemain pertama menjulangnya buat kali keempat selepas menyertai legenda Perancis dan Presiden Uefa, Michel Platini sebagai pemain yang memenanginya buat kali ketiga berturut-turut.

Bintang Belanda, Johan Cruyff dan Marco Van Basten turut memenanginya sebanyak tiga kali.


Presiden Fifa, Sepp Blatter mengumumkan senarai pendek calon pada sidang media di Sao Paulo.


"Saya tidak menyatakan ia setaraf dengan anugerah Oscar namun ia tidak terlalu jauh," kata Blatter secara berjenaka ketika tiga nama pemain itu diumumkan daripada senarai awal 23 pemain.

Beliau turut berkata jurulatih Sepanyol, Vicente Del Bosque yang memimpin negara itu menjuarai Euro 2012 dan mengemudi Sepanyol sebagai pasukan pertama memenangi tiga kejohanan berturut-turut berada dalam senarai untuk memenangi kategori jurulatih terbaik.


Turut tersenarai adalah jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho dan bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

Bagi pemain terbaik wanita, pemain Brazil yang menjulangnya sebanyak lima kali, Marta akan ditentang dua pemain Amerika Syarikat, Aby Wambach dan Alex Morgan.


Kejayaan Ronaldo meledak 46 gol dalam La Liga musim lalu, yang hanya diatasi Messi dengan 50 gol, patut meletakkannya sebagai pilihan utama namun kehebatan Messi memecahkan rekod menjejaskan peluang kapten Portugal itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Pertembungan jiran setempat

Posted: 30 Nov 2012 07:44 AM PST

MILAN: Satu daripada pertembungan jiran setempat terbesar Serie A akan diadakan awal pagi esok apabila Torino mengunjungi Stadium Juventus dengan kemungkinan tidak mampu menyekat usaha Old Lady mempertahankan kejuaraan.

'Il Grand Torino' sebelum ini pernah menjadi sebuah kelab terbesar Itali dan sejarah mereka masih kekal apabila bukit Superga menjadi medan meragut nyawa keseluruhan pasukan itu dalam satu kemalangan kapal terbang pada Mei 1949.


Juve tidak pernah kalah menentang Torino dalam 12 perlawanan terakhir dan di laman sendiri mereka meraih 33 kemenangan, 18 seri dan 16 kalah.

Malah kali terakhir Torino menundukkan Bianconeri adalah pada 1995, apabila pasukan pelawat meraih tiga mata ketika menang 2-1 di Delle Alpi.


Juve, bagaimanapun berdepan kebimbangan kecederaan terhadap pemain tengah Chile, Arturo Vidal dan pertahanan Uruguay, Martin Caceres, dengan Vidal belum pasti manakala Caceres sah diketepikan.


Juve turut mempertaruhkan kecergasan seorang daripada tiga pertahanan mereka, Giorgio Chiellini, yang terlepas kunjungan ke San Siro minggu lalu kerana kecederaan betis. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Atletico tekad tambah tekanan Mourinho

Posted: 30 Nov 2012 07:43 AM PST

MADRID: Atletico Madrid turun menentang seteru setempat, Real Madrid awal pagi esok dengan tekad menambah tekanan kepada pengurus pasukan lawan, Jose Mourinho yang kini sudah ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.

Buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun, Atletico menentang musuh setempat itu dengan meraih mata lebih banyak dalam La Liga apabila kini berada di tempat kedua dengan kelebihan lapan mata ke atas Real yang tidak konsisten apabila tewaskan minggu lalu di tangan Real Betis. Walaupun memenangi liga musim lalu, Mourinho berdepan tekanan media Madrid yang membuat spekulasi sama ada beliau akan kekal di kelab itu musim depan.


Pengurus kelahiran Portugal itu menafikan sekeras-kerasnya beliau tertekan.

"Saya sentiasa sihat dan bekerja seperti yang saya lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan. Hubungan saya dengan pemain dan kelab seperti biasa," katanya.


"Ini bukan bilik mahkamah tapi sidang media. Saya cuma seorang pekerja kelab dan mereka yang membuat keputusan sama ada gembira dengan apa yang dimiliki namun saya mempunyai hubungan yang amat baik dengan presiden dan lembaga pengarah." Beliau turut mendapat sokongan kapten, Iker Casillas yang menafikan wujudnya ejekan terhadap jurulatih itu di Bernabeu baru-baru ini.


"Hanya beberapa bulan lalu, pujian dan tepukan diberikan apabila kami memenangi liga namun dalam bola sepak kenangan sangat singkat.

"Beliau memimpin pasukan untuk meraih kejuaraan dengan jumlah mata yang dicatat sebagai rekod. Kami seharusnya mengingati saat indah itu," kata Casillas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Ingatan Nastasic

Posted: 30 Nov 2012 07:43 AM PST

MANCHESTER: Pertahanan Manchester City, Matija Nastasic (gambar kiri) menggesa pasukan juara Liga Perdana itu meraih lebih banyak kemenangan tanpa dibolosi lawan sepanjang bulan ini ketika mereka berusaha mengatasi pendahulu liga, Manchester United.

Pemain berusia 19 tahun itu melakukan penampilan kelapan berturut-turut buat City menentang Wigan awal pagi kelmarin ketika mereka mengekori rapat pendahulu Liga Perdana, United dengan kemenangan 2-0.


Anak buah Roberto Mancini menanti Everton di Eastlands malam ini dan Nastasic mahukan pasukan juara itu memperkukuhkan benteng pertahanan walaupun mereka pasti berdepan kesukaran menangani penyerang Everton, Nikica Jelavic dan Marouane Fellaini.

Nastasic, pertahanan tengah Serbia, mempamerkan aksi menakjubkan sejak berganding dengan Vincent Kompany di benteng pertahanan City dan pasukan kendalian Mancini hanya dibolosi satu gol dalam enam perlawanan terakhir liga.


Nastasic tidak begitu dikenali dalam kancah bola sepak Inggeris apabila dia tiba dari Fiorentina ketika awal musim namun kini penyokong City mula menyanjungnya.


Dia juga kini mengetepikan Kolo Toure dan Joleon Lescott yang terpaksa memanaskan bangku pemain simpanan dengan rekod pertahanan terbaik dalam liga.

Kini Nastasic mahu City mengekalkan persembahan tidak dibolosi gol lawan.


"Semuanya berjalan lancar buat kami," katanya. "Dalam enam perlawanan terakhir kami hanya melepaskan satu gol, kini kami perlu meneruskannya, tapi kali ini pastikan tiada gol dibolosi." Pemain remaja sensasi itu berkata persembahannya banyak dibantu kapten City, Kompany, pemain berpengalaman dari Belgium.

"Kami bercakap setiap hari di padang dan di padang latihan dan ia membuatkan saya gembira bermain di samping seorang kapten yang hebat dalam sebuah pasukan yang amat bagus," jelas Nastasic. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


‘Saya akan buat Torres laju’

Posted: 30 Nov 2012 07:43 AM PST

LONDON: Penyerang Chelsea, Fernando Torres hanya memerlukan dua minggu latihan pecut intensif dan bekas juara Olimpik Britain, Darren Campbell percaya dia boleh membantu pemain Sepanyol itu menemui semula kepantasan menakjubkan.

Campbell, yang bekerja dengan Torres pada hujung musim 2010-11, menegaskan penyerang itu hanya memerlukan tempoh singkat untuk mengembalikan semula kepantasan dan keyakinan diri.


"Ia sesuatu yang bagus dilakukan ketika pramusim tapi Fernando hanya perlukan dua minggu dan dia tidak perlu bimbang kerana boleh beraksi pada Sabtu," kata Campbell kelmarin.

"Hanya dua minggu program latihan dan saya fikir ia pasti dapat mengembalikan semula kepantasannya.


"Saya pasti boleh memperbaikinya," kata Campbell, yang memenangi pingat emas acara berganti-ganti pada temasya Sukan Olimpik Athens 2004 dan kini bekerja sebagai jurulatih pecut dalam bola sepak dan ragbi.


"Ia tidak memerlukan proses jangka panjang kerana pemain ini sudah terlalu cergas. Anda tidak perlu bimbang mengenai kecergasan asas jadi anda hanya perlu mengajar asas pecutan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Benitez perlu menang

Posted: 30 Nov 2012 07:42 AM PST

LONDON: Juara Eropah, Chelsea mungkin menduduki tangga ketiga dalam Liga Perdana Inggeris namun ia bukan jaminan buat pengurus sementara, Rafael Benitez ketika beliau membawa pasukannya berkunjung ke West Ham, malam ini.

Dua keputusan seri tanpa jaringan bukanlah sesuatu yang diingini pemilik Roman Abramovich selepas pemecatan Roberto Di Matteo, pengendali yang membawa Piala Eropah ke Stamford Bridge buat kali pertama selepas kejayaan pada Liga Juara-Juara musim lalu.


Persembahan itu, menentang Manchester City dan jiran setempat Fulham, tidak banyak membantu Benitez yang diejek hampir keseluruhan penyokong Chelsea berikutan keceluparan pengurus berbangsa Sepanyol itu terhadap Blues ketika beliau mengendalikan Liverpool.

Malah kemenangan mungkin tidak mampu meredakan kemarahan penyokong setia Chelsea yang tetap membantah pelantikannya.


Namun kemenangan di West Ham amat dituntut kerana ia mampu menyaksikan Blues merapatkan kedudukan empat mata di belakang Manchester United sebelum pendahulu liga itu beraksi di Reading.


"Jika anda analisis semula 10 perlawanan yang dibolosi, apabila pasukan menyerang dan anda memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol, anda mula hilang keyakinan," kata Benitez.

"Perkara utama adalah mengekalkan pasukan mantap yang cergas dan kemudian kami perlu menggunakan setiap peluang yang dicipta dengan pemain berbakat yang kami miliki di bahagian serangan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


Belasah Reading

Posted: 30 Nov 2012 07:42 AM PST

MANCHESTER: Michael Carrick percaya inilah masanya Manchester United mengembalikan semula keupayaan membelasah lawan tanpa belas kasihan ketika mereka berusaha merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Anak buah Alex Ferguson berkunjung ke kelab bermasalah Reading awal pagi esok dan mengintai peluang untuk mengekalkan kelebihan satu mata di depan musuh utama dan juara bertahan, Manchester City di puncak liga.


United dibolosi gol pertama dalam lima perlawanan terakhir sebelum kemenangan 1-0 ke atas West Ham awal pagi kelmarin apabila penyerang Robin van Persie memerlukan hanya 33 saat untuk menjaringkan gol.

Namun kegagalan United menambah gol kedua mencetus debaran hebat menjelang akhir perlawanan bagi kelab yang memegang rekod 19 kejuaraan liga itu.


Kini Carrick meminta United mempamerkan ketajaman yang mereka tunjukkan ketika kali terakhir mereka memenangi kejuaraan Liga Perdana pada musim 2010-11.


"Pernah setahun atau dua tahun lalu apabila kami memulakan perlawanan dengan amat bagus dan memusnahkan cabaran lawan lebih awal," kata Carrick. "Kami mahu kembali ke tahap itu.

"Kami mahu melakukannya sebegitu, pastinya bagi perlawanan selepas ini kerana ketinggalan satu gol amat menyukarkan buat kami," kata pemain tengah United dan England itu.


"Mengekalkan gol daripada dibocori lawan sesuatu yang baik buat kami.

"Kami perlu mengekalkan gol daripada dibolosi lawan dan persembahan juga perlu lebih baik," tegasnya. "Kami masih berada di posisi yang bagus di puncak liga. Kami agak berpuas hati." Carrick mengakui persembahan United perlu ditingkatkan selepas mereka berhempas-pulas menentang Norwich, QPR dan West Ham dalam tiga perlawanan terakhir terutama kerana City, satu-satunya pasukan yang belum kalah dalam liga, mengekori mereka dengan rapat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30


No comments:

Post a Comment