Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Harimau mesti asah kuku lagi

Posted: 29 Nov 2012 07:52 AM PST

BELUM masanya untuk Harimau Malaya mendabik dada meskipun juara bertahan itu mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Laos dalam kempen kelayakan Kumpulan B Piala AFF kelmarin.

Kebangkitan skuad kendalian Datuk K Rajagobal dalam perlawanan itu selepas teruk dikritik ekoran aksi hambar ketika tumpas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pembukaan memang wajar dipuji tapi sebenarnya kemenangan ke atas Laos sudah boleh dijangka kerana kalau ia tidak berlaku, ia ibarat satu lagi tragedi buruk kepada bola sepak tanah air.


Meskipun mendominasi sepenuhnya perlawanan dengan pasukan yang kurang pengalaman, masih banyak yang perlu diperbaiki skuad kebangsaan sebelum turun dalam aksi terakhir menentang Indonesia yang diibaratkan aksi ulangan final dua tahun lalu.

Indonesia yang dikendalikan jurulatih baru, Nil Maizar sekadar seri dengan Laos 2-2 tapi mereka mula menampakkan potensi sebenar dengan menumpaskan Singapura 1-0 untuk meneraju kumpulan dengan lima mata.


Rajagobal sedar hanya kemenangan boleh menjamin anak buahnya ke separuh akhir sementara skuad Garuda pula hanya memerlukan seri untuk mara.


Mengulangi kejayaan mengalahkan Indonesia 3-0 pada perlawanan pertama final 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil bukan sesuatu yang mustahil buat Harimau Malaya namun jentera serangan yang diterajui Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha perlu lebih tajam.

Malah pemain negara juga diingatkan supaya mengelak daripada melakukan kesilapan jika tidak mahu dihukum dengan kepantasan pemain Indonesia khususnya Andik Vermansyah.


"Saya kecewa dengan kesilapan pemain melakukan hantaran. Kita seharusnya menutup ruang dan membunuh perlawanan menentang Laos lebih awal, mujur kita masih boleh mendapat keputusan baik malam ini (kelmarin)... yang penting pemain tidak boleh mengulangi kesilapan dalam perlawanan penting.

"Saingan dalam kumpulan ini kembali terbuka. Semua pasukan mahu mencari kemenangan, malah Laos juga masih boleh layak.


"Sebagai jurulatih, saya tetap yakin dengan kemampuan pasukan saya. Percayalah kami. Saya optimis akan mendapat keputusan baik menentang Indonesia," katanya.


Selain itu kreativiti jurulatih itu turut dituntut khususnya dalam pemilihan pemain selepas rombakan kecil dalam pasukan ketika menentang Laos tampak berhasil.


Pemain yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama khususnya Wan Zack Haikal Wan Noor yang meledak gol ketiga kelmarin dan Mohd Shakir Shaari yang bergandingan dengan kapten Safiq Rahim di bahagian tengah agak menyerlah.


"Shakir banyak merampas bola dan membuat hantaran dengan baik mungkin dia akan diturunkan lagi," jelas Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Mat Yo kental

Posted: 29 Nov 2012 07:47 AM PST

SEMANGAT kental Norshahrul Idlan Talaha yang sanggup mengetepikan soal kesihatannya untuk membantu skuad kebangsaan membenam Laos 4-1 pada kempen Piala AFF kelmarin sesuatu yang wajar dipuji.

Pemain kebangsaan paling bernilai 2012 itu tidak menjalani latihan sehari sebelum perlawanan kerana disahkan mengalami jangkitan di telinga yang menyebabkan dia hilang keseimbangan badan, muntah-muntah dan pening kepala.


Namun Norshahrul atau Mat Yo yang baru menandatangani kontrak bersama Johor tetap diturunkan oleh ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal dan ternyata pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi yang tidak menghampakan.

"Memang kesihatan saya tidak berada di tahap 100 peratus, tapi jurulatih masih memberikan kepercayaan kepada saya dan saya berusaha untuk memberikan yang terbaik. Perlawanan semalam (kelmarin) amat penting untuk kita teruskan saingan dalam Piala AFF jadi saya kuatkan mental dan fizikal untuk bermain dengan sebaik mungkin," katanya, semalam.


Gerakan dan lariannya sering memberikan masalah kepada pemain Laos namun apa yang kurang menjadi adalah sentuhan penyudah di dalam kotak penalti.


Kegagalannya menyempurnakan sekurang-kurangnya tiga percubaan terbaik dalam perlawanan itu menyebabkan dia masih gagal menghasilkan gol dalam edisi kali ini.

Namun dia yang gemar menggelecek pemain di garisan tepi padang bertekad untuk merobek gawang Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi memastikan skuad juara bertahan, Harimau Malaya mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Wan Zack optimis skuad mampu tewaskan Indonesia

Posted: 29 Nov 2012 07:46 AM PST

"KEMENANGAN ke atas Indonesia bukan sesuatu yang mustahil". Itu pandangan pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Noor menjelang pertemuan getir membabitkan juara dan naib juara Piala AFF 2010, malam esok.

Skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal yang kini mengumpul tiga mata memerlukan kemenangan mutlak untuk memastikan tiket ke separuh akhir manakala Indonesia yang kini mendahului Kumpulan B hanya memerlukan keputusan seri. "Jika kami bermain seperti satu pasukan dan mengikut arahan, kemenangan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai," kata pemain berusia 21 tahun itu yang menyinar ketika menewaskan Laos 4-1 malam kelmarin di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


Anggota skuad Harimau Muda A bimbingan Ong Kim Swee itu berharap rakan sepasukan tidak terbawa-bawa dan leka dengan kemenangan besar ke atas Laos kerana perlu menyedari hidup mati Malaysia adalah menentang Indonesia.

Lawan jelas berada di tahap terbaik apabila menewaskan juara tiga kali Singapura 1-0 ketika Malaysia sebaliknya kecundang 0-3 kepada lawan yang sama, Ahad lalu.


"Kita kena menghormati semua pasukan, tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan. Paling penting adalah beraksi seperti biasa dan tidak terlalu memikirkan mengenai corak permainan lawan," katanya.


Dia yang turut dinobat sebagai pemain muda terbaik dan pilihan peminat dalam saingan Liga Singapura 2012 mempamerkan aksi bertenaga apabila meledak jaringan ketiga selain melakukan hantaran tepat untuk membolehkan Safee Sali menjaringkan gol kedua negara pada babak kedua.

Wan Zack Haikal adalah antara empat pertukaran yang dilakukan Rajagobal dalam kesebelasan utama ketika tewas kepada Singapura selain kemasukan Mohd Farizal Marlias, Mahali Jasuli dan perancang tengah Kelantan, Shakir Shaari jelas mengubah corak permainan Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Barca singkir Alaves

Posted: 29 Nov 2012 07:45 AM PST

MADRID: David Villa meledak jaringan ke-301 dalam kariernya apabila menjaringkan dua gol untuk membantu juara bertahan Piala Raja Sepanyol, Barcelona menyingkirkan kelab bahagian tiga, Alaves 6-1 secara agregat sekali gus mara sebagai 16 pasukan terakhir.

Penyerang Sepanyol itu menyudahkan sepakan percuma ke penjuru gawang pada minit ke-56 pada perlawanan di Nou Camp dan memanfaatkan gerakan Cristian Tello tiga minit kemudian bagi membantu Barca bangkit untuk memenangi aksi timbal balik dengan keputusan 3-1 dan akan bertemu kelab bahagian dua, Cordoba.


Jurulatih Barca, Tito Vilanova menggunakan perlawanan itu bagi memberi peluang kepada pemain yang baru pulih daripada kecederaan dan pemain muda berbakat beraksi selain merehatkan beberapa pemain utama termasuk Lionel Messi, Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Sergio Busquets dan Victor Valdes.

Selepas Barca memenangi perlawanan pertama bulan lalu dengan keputusan 3-0 di Alaves, pelawat melakukan kejutan apabila meledak jaringan pembukaan pada minit ke-17 selepas Martin Montoya gagal menghalang hantaran silang Miki di sebelah kanan bagi membolehkan Borja Viguera mengatasi Jose Manuel Pinto di gawang.


Adriano menyamakan kedudukan pada minit ke-35 apabila bertukar hantaran dengan Thiago Alcantara untuk menewaskan penjaga gol Alaves, Sergio Herrera sebelum Villa meledak dua jaringan selepas waktu rehat bagi memastikan kemenangan milik mereka.


Pemain berusia 30 tahun itu semakin hampir menemui semula persembahan terbaiknya selepas mengalami patah kaki pada saingan Piala Kelab Dunia, Disember tahun lalu dan kini sudah menjaringkan 40 gol buat Barca sejak meninggalkan Valencia pada hujung musim 2009-10.

"Kami sedar mempunyai kelebihan namun mereka tampil mencabar dengan sengit dan memberikan tekanan kepada kami hingga berjaya menjaringkan gol," kata Adriano.


"Namun kami terus mempamerkan tahap permainan dan kesabaran yang sama untuk mendapat keputusan positif," kata pemain Brazil itu.

Sementara itu Levante mencatat kemenangan 4-1 dan mara dengan agregat 4-2 namun diberikan cabaran oleh Melilla apabila melepaskan gol awal kepada kelab bahagian tiga itu.


Melilla terletak di wilayah terpencil Sepanyol, utara Maghribi, menang perlawanan pertama 1-0 dan mendahului 2-1 secara agregat hinggalah jaringan Roger Marti, Michel dan sepakan penalti Vicente Iborra membolehkan Levante yang berpusat di Valencia mara. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Big Phil sah bimbing Brazil

Posted: 29 Nov 2012 07:45 AM PST

SAO PAULO: Luiz Felipe Scolari diumumkan secara rasmi sebagai jurulatih baru Brazil yang akan mengemudi pasukan itu pada pusingan akhir Piala Dunia 2014, menggantikan Mano Menezes yang dipecat minggu lalu.

Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) menamakan pengendali yang membimbing skuad juara Piala Dunia 2002, Scolari yang akan memegang jawatan itu buat kali kedua ketika beliau menyasarkan kejuaraan dunia keenam dalam tempoh 18 bulan lagi dan menjadikan Piala Konfederasi di Brazil musim panas depan sebagai acara memanaskan badan.


Carlos Alberto Parreira, pengurus skuad Brazil yang memenangi Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, akan bertugas sebagai penolong teknikal Scolari.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Sepatutnya penalti!

Posted: 29 Nov 2012 07:44 AM PST

LONDON: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers seakan tidak percaya apabila pasukannya tidak mendapat sepakan penalti selepas Steven Gerrard dikasari ketika mereka tewas 1-2 di tangan Tottenham Hotspurs namun beliau percaya nasib malang Reds akan berubah pada babak kedua musim ini.

Liverpool yang masih tidak mendapat sepakan penalti dalam 14 perlawanan musim ini, kecewa apabila rekod tanpa kalah mereka dalam lapan perlawanan Liga Perdana berakhir di White Hart Lane.


Rodgers tidak berpuas hati selepas pengadil, Phil Dowd tidak menghadiahkan sepakan penalti atas kekasaran yang dialami Gerrard dan Luis Suarez dan beliau berkata Liverpool bakal berdepan keputusan seperti ini sepanjang musim.

"Gerrard dikasari, kenapa kami tidak mendapat sepakan penalti?" katanya. "Suarez pula berpusing dan William Gallas menjatuhkannya.


"Kami tahu kami perlu lebih klinikal tapi untuk sampai ke peringkat ini dan masih tidak mendapat penalti, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan oleh pemain.


"Saya mendengar orang ramai dan pengulas bola sepak mengatakan keputusan tidak memihak kepada kami jadi saya berharap pada babak kedua musim ini kami akan mendapat keputusan yang lebih baik." Pasukan tuan rumah mencipta lebih banyak peluang pada babak pertama dan larian pantas Gareth Bale yang kemudian melorongkan bola kepada Aaron Lennon membolehkan mereka mendahului pada minit ketujuh.

Bale menggandakan jaringan 10 minit kemudian menerusi sepakan percuma yang memerangkap penjaga gol, Pepe Reina namun dia kemudian menghidupkan peluang Liverpool 18 minit sebelum tamat apabila cubaan Lennon mengeluarkan bola di garisan gol terkena muka Bale sebelum masuk ke dalam gawang sendiri.


Rodgers memuji persembahan Liverpool dan menjangkakan mereka akan memperbaiki kedudukan di tangga ke-12 Liga Perdana meskipun beliau menyedari masih memerlukan masa untuk membentuk pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.

"Tahap persembahan dan rentak permainan kami semakin baik. Jika kami terus mengekalkan corak permainan seperti ini, kami boleh memperbaiki kedudukan," kata Rodgers. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Mancini gesa Balotelli lebih cemerlang

Posted: 29 Nov 2012 07:43 AM PST

WIGAN: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini masih belum berpuas hati dengan prestasi Mario Balotelli meskipun penyerang Itali itu menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana musim ini menentang Wigan Athletic, awal pagi semalam.

Balotelli, yang hanya disenaraikan dalam kesebelasan utama sebanyak enam kali daripada 14 perlawanan liga musim ini, berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-69 di Stadium DW untuk membantu City mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 2-0 bagi kekal satu mata di belakang pendahulu, Manchester United.


Penyerang itu yang mengumpul 13 gol dalam liga musim lalu untuk membantu City merangkul gelaran, menghasilkan gol menerusi percubaan kedua selepas sepakan pertamanya berjaya dihalang penjaga gol Wigan, Ali Al-Habsi yang membuka peluang kepadanya selepas gagal menangkap kemas rembatan leret Gareth Barry.

Mancini bagaimanapun enggan untuk memberi pujian keterlaluan.


"Saya fikir Balotelli boleh beraksi lebih baik. Dia menjaringkan satu gol penting tapi masih banyak yang perlu ditingkatkan," katanya kepada pemberita.


"Bagi saya dia tidak bermain dengan baik." Awal bulan ini, Mancini berkata, penyerang itu yang menghasilkan dua gol menarik untuk Itali menewaskan Jerman pada separuh akhir Euro 2012, boleh menjadi salah seorang pemain terbaik dunia.

"Dia boleh menjadi pemain sehebat Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi jika dia berusaha keras dalam latihan." Dua lagi gol yang disumbangkan Balotelli buat City musim ini hadir dalam aksi Piala Liga dan Liga Juara-Juara. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Wenger tagih aksi konsisten

Posted: 29 Nov 2012 07:42 AM PST

LIVERPOOL: Arsene Wenger menggesa pasukan kendaliannya, Arsenal supaya bermain dengan lebih konsisten selepas keputusan seri 1-1 di Everton menyebabkan Gunners terperosok di tangga ketujuh Liga Perdana.

Theo Walcott, yang kembali beraksi selepas kecederaan bahu, meletakkan Arsenal di depan selepas hanya 52 saat di Goodison Park awal pagi semalam namun Marouane Fellaini menyamakan kedudukan pada minit ke-28.


Anak buah Wenger kini 12 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester United selepas hanya meraih dua kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir dan juga lima mata daripada kedudukan keempat dan tempat ke Liga Juara-Juara.

Pengendali berbangsa Perancis itu berasakan keputusan seri adalah tepat namun ketika beliau gembira dengan komitmen pemainnya, beliau juga mahu melihat kualiti dan konsisten pada saat memerlukan.


"Saya percaya 1-1 adalah keputusan yang adil," kata Wenger. "Ia satu mata yang bagus di sini. Ia satu perlawanan yang amat tegang. Kami memerlukan semangat juang tinggi.


"Jika kami beraksi baik di laman sendiri, kami ada peluang untuk bangkit." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Hanya 33 saat

Posted: 29 Nov 2012 07:39 AM PST

LONDON: Robin van Persie menjaringkan gol terpantas Liga Perdana Inggeris musim ini ketika Manchester United kekal satu mata di depan di puncak liga dengan kemenangan 1-0 ke atas West Ham di Old Trafford, awal pagi semalam.

Penyerang Belanda itu hanya memerlukan 33 saat untuk membolehkan United mendahului, selepas menerima bola daripada Michael Carrick, sentuhan pertamanya mengatasi Winston Reid sebelum rembatannya terkena badan James Collins dan melepasi jangkauan penjaga gol Hammers, Jussi Jaaskelainen.


Jaringan Van Persie agak istimewa kerana sebelum perlawanan awal pagi semalam, United dibolosi gol pembukaan perlawanan 13 kali musim ini.

"Kami meraih tiga mata dan masih mendahului liga," kata pengurus United, Alex Ferguson.


"Ia malam yang sukar dan kami bermain dengan baik tapi West Ham bertindak baik serta menyukarkan kami." United kekal satu mata di depan penyandang juara dan pencabar setempat, Manchester City, yang menang 2-0 ke atas Wigan di gelanggang lawan.


City, satu-satunya pasukan yang masih belum kalah dalam liga utama, kelihatan bakal meraih keputusan seri sebelum penyerang Mario Balotelli menyumbat gol pertamanya dalam liga musim ini pada minit ke-69.

Tiga minit kemudian, pemain tengah England, James Milner menjadikan kedudukan 2-0 dengan tendangan padu.


Juara Eropah, Chelsea mencatat keputusan seri tanpa jaringan kali kedua berturut-turut di gelanggang sendiri di bawah kendalian pengurus sementara, Rafael Benitez. Keputusan seri 0-0 dengan Fulham semakin menyemarakkan rasa benci penyokong setia Blues terhadap Benitez.

Chelsea melonjak satu anak tangga ke tangga ketiga namun mereka kini tujuh mata di belakang United. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


Laudrup puas hati tundukkan West Brom

Posted: 29 Nov 2012 07:38 AM PST

LONDON: Jurulatih Michael Laudrup paling berpuas hati menyaksikan Swansea menundukkan West Brom 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Liberty, awal pagi semalam.

West Brom tampil pada perlawanan itu menduduki tangga ketiga liga selain meraih empat kemenangan berturut-turut namun mereka dibelasah Swansea, yang mendahului 3-0 selepas 40 minit menerusi gol Michu dan dua jaringan Wayne Routledge.


Baggies membalas satu gol menerusi Romelu Lukaku pada masa kecederaan babak pertama dan mempamerkan aksi lebih baik pada babak kedua, namun Laudrup berkata Swansea berada di kelas tersendiri.

"Kami amat menakjubkan pada babak pertama. Tidak selalu seseorang pengurus boleh duduk diam dan menikmati permainan pasukannya," katanya.


"Kami membuktikan boleh menang jika berada pada tahap terbaik, tapi adalah sukar untuk melakukannya bagi tempoh 90 minit." "Perlawanan itu turut membuktikan perkara kecil boleh mengubah perlawanan, kerana apabila mereka menjaringkan gol, permainan mereka berubah sedikit. Tapi saya tidak fikir West Brom mencipta peluang hebat pada babak kedua dan adalah menggembirakan menyaksikan pasukan saya beraksi sebegitu." Kemenangan itu melonjakkan Swansea ke tangga kelapan dengan 20 mata, enam mata di belakang pasukan tangga keempat, West Brom dan Swans kini tidak kalah dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana, sekalipun mereka berdepan perlawanan sukar apabila berkunjung ke Arsenal, malam esok. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29


No comments:

Post a Comment